Tuesday 23 January 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 8 - JANJI PERANG BADAR ]






JANJI PERANG BADAR








Suasana yang tenang sepanjang bulan Jamadil Awal, Jamadil Akhir dan Rejab tahun keempat hijrah itu disambut dengan rasa kesyukuran.

     Orang Muhajirin yang dikurniakan rumah peninggalan Bani Nadhir dapat membina semula rumah-rumah yang sudah dirosakkan oleh pemiliknya sebelum meninggalkan Kota Madinah. Namun suasana yang tenang dan aman itu tidak menjadikan umat Islam leka dan lalai. Mereka tetap berwaspada serta bersiap sedia menghadapi ancaman musuh.

     "Rasulullah sedang mempersiapkan pasukan tentera yang lebih kuat daripada Perang Badar dan Perang Uhud. Kamu tahu mengapa?" tanya Abu Ubaidah kepada sahabat baiknya Abu Bakar As-Siddiq.

     "Semasa Perang Uhud, Abu Sufian bin Harb mengajak Rasulullah berperang sekali lagi di Badar. Baginda tidak lupa kerana itu baginda berusaha membentuk pasukan tentera yang lebih kuat bagi menghadapi pasukan Quraisy nanti," jawab Abu Bakar As-Siddiq.

     "Marilah kita membantu Rasulullah menguatkan pasukan perang. Jangan biarkan baginda bersendirian kerana itu tanggungjawab kita bersama," kata Umar Al-Khattab.

     "Apa yang patut kita lakukan?" tanya Abu Qatadah pula.

     "Dalam perang Badar dahulu kita cuma memiliki seekor kuda yang menjadi tunggangan Rasulullah. Bagi menghadapi Perang Badar kedua ini kita perlukan lebih banyak kuda perang," jawab Zubair bin Awwam.

     "Mari kita berusaha bagi mendapatkan kuda perang itu," kata Abu Bakar As-Siddiq.

     Maka para sahabat berusaha mendapatkan kuda itu. Akhirnya sembilan orang daripada mereka berjaya memilikinya. Mereka adalah Abu Bakar As-Siddiq, Abu Qatadah, Said bin Zaid, Miqdad bin Aswad, Al-Hubbab bin Al-Munzir, Zubair bin Awwam, Abdad bin Bisyr, dan Abdullah.

     Ali bin Abi Talib pula berusaha mengajak lebih ramai mujahid yang menyertai pasukan sehingga jumlah mereka 1500 orang.

     "Dalam Perang Badar yang pertama kita cuma berjumlah 313 orang dengan hanya ada seekor kuda. Bagi Perang Badar kedua ini pasukan kita berjumlah 1500 orang dan ada sepuluh ekor kuda. Saya yakin pasukan kita akan berjaya dengan izin Tuhan," kata Abu Ubaidah Al-Jarrah.

     Di Kota Mekah pula, cuaca panas meresahkan penghuninya. Pada waktu siang, mereka lebih selesa berada di dalam rumah masing-masing. Safwan meredah cuaca panas pergi ke rumah Abu Sufian bin Harb.

     "Apakah kamu sudah lupa janji yang diucapkan kepada Muhammad dan pengikutnya semasa Perang Uhud?" tanya Safwan kepada Abu Sufian.

     "Banyak janji yang saya ucapkan. Janji yang mana satu kamu maksudkan?" tanya Abu Sufian pula.

     "Bukankah kamu berjanji hendak berperang sekali lagi dengan Muhammad di Badar? Sekarang sudah sampai masa yang dijanjikan itu," kata Safwan mengingatkan.

     Abu Sufian kelihatan serba salah. Masakan dia lupa janji itu. Tetapi sekarang keadaan sudah berubah. Muhammad dan pasukannya semakin kuat dan digeruni lawan dan kawan.

     "Sekiranya kamu tidak penuhi janji itu, akan dituduh penakut oleh Muhammad dan pengikutnya. Penduduk Mekah juga akan mentertawakan kamu," kata Safwan.

     "Saya tidak lupa janji itu dan saya akan buktikan yang saya bukan penakut," kata Abu Sufian pula.

     "Kita sudah kesuntukan masa, sediakan segera pasukan tentera dan saya sedia membantu," kata Safwan menyatakan kesanggupannya.

     "Kita perlu mendapatkan bantuan daripada orang Habsyi, Bani Kinanah dan Tihamah. Dalam Perang Uhud mereka membantu kita saya yakin dalam Perang Badar kedua ini mereka juga pasti sanggup membantu," kata Abu Sufian dengan penuh keyakinan.

     Abu Sufian mengajak Safwan menemui ketua orang Habsyi lalu menyatakan tujuannya bagi mendapatkan bantuan dengan janji sanggup membayar upahnya.

     "Kami tidak mahu dipatuk dua kali oleh ular hitam," kata Jaukar, ketua orang Habsyi.

     "Apa maksud kata-katamu itu?" tanya Abu Sufian pula.

     "Kamu sudah mungkir janji dan mengkhianati orang Habsyi," jawab Jaukar sambil membeliakkan matanya memandang marah kepada Abu Sufian.

     "Kamu berjanji hendak membayar seribu dinar seorang kepada orang Habsyi yang menyertai Perang Uhud. Dan membayar ganti rugi sepuluh ribu dinar kepada keluarga mereka yang terbunuh. Adakah kamu sudah membayar kepada mereka?" tanya Jaukar lagi.

     "Memang benar saya ada berjanji," jawab Abu Sufian.

     "Mengapa kamu mungkir janji?" tanya Jaukar lagi.

     "Pada mulanya saya yakin dapat mengalahkan Muhammad dan pengikutnya lalu menawan Kota Madinah. Dengan itu saya akan mendapat banyak harta rampasan. Tetapi segalanya musnah apabila kami tidak beroleh kemenangan dan tidak mendapat harta rampasan," jawab Abu Sufian berterus terang.

     "Dalam Perang Uhud seramai dua ribu orang Habsyi membantu kamu. Sama ada menang ataupun kalah kamu mesti membayar upah yang dijanjikan. Keluarga mereka yang terkorban mesti dibayar ganti rugi," kata Jaukar.

     "Jumlah mereka terlalu ramai. Saya tidak mampu membayarnya sekarang. Tetapi saya berjanji membayarnya selepas Perang Badar kedua nanti," kata Abu Sufian cuba mencari helah.

     "Kamu ibarat ular hitam. Kami tidak akan dipatuk dua kali," marah Jauhar.

     "Saya akan pastikan sahabatku Abu Sufian membayarnya." Safwan pula bersuara.

     "Saya tidak percaya lagi kepada dua ekor ular hitam dari Mekah ini," kata Jauhar pula.

     "Kamu telah menghinaku wahai sahabatku," kata Abu Sufian dengan nada kesal.

     "Kita bukan lagi sahabat. Nyah segera dari sini!" balas Jauhar.

     Kemudian Abu Sufian dan Safwan menemui ketua Bani Kinanah dan Bani Tihamah. Mereka juga enggan membantu.

     "Muhammad dan pengikutnya semakin kuat. Tetapi kamu semakin lemah," kata ketua Bani Tihamah.

     "Di Badar nanti kita buktikan yang kita lebih kuat daripada mereka. Selepas Muhammad dan pasukannya dikalahkan dengan mudah kita memasuki Kota Madinah," pujuk Abu Sufian.

     "Itu hanya angan-angan kosong. Muhammad akan menang dan kamu tidak dapat menakluk Madinah," kata ketua Bani Tihamah.

     "Saya sanggup membayar upah yang mahal sekiranya kamu mahu membantu kami memerangi Muhammad," pujuk Safwan pula.

     "Saya tidak berminat. Lebih baik kamu segera beredar dari sini," kata ketua Bani Tihamah.

     Abu Sufian dan Safwan menemui ketua Bani Kinanah tetapi mereka juga tidak mahu lagi memberikan bantuan kerana bimbang nasib buruk menimpa mereka.

     "Terbukti sudah sesiapa yang memusuhi Muhammad berakhir dengan kekecewaan. Kerana itu saya nasihatkan kamu berdamai sahaja dengan Muhammad," kata Basyir ketua Bani Kinanah. Kemudian katanya lagi, "Kamu tengok apa terjadi kepada Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir? Mereka ditimpa malapetaka apabila bermusuhan dengan Muhammad. Saya tidak mahu Bani Kinanah menerima nasib yang sama. Tambahan pula Muhammad tidak pernah mengganggu kami. Kerana itu kami tidak akan menyertai kamu."

     "Satu hari nanti Muhammad akan menyerang kamu. Membunuh orang lelaki Bani Kinanah, merampas harta kamu dan menjadikan isteri dan anak-anak kamu sebagai hamba," kata Safwan pula.

     "Kamu yang buta mata dan buta hati. Kerana berdendam dengan Muhammad kamu tidak nampak kebaikannya," marah Basyir.

     "Apa kebaikan Muhammad? Cuba terangkan?" tanya Abu Sufian sambil bercekak pinggang.

     "Baru-baru ini Bani Tha'labah dan Bani Muharib berpakat mahu menyerang Madinah. Muhammad dan pasukan tenteranya datang secara mengejut. Mereka boleh musnahkan perkampungan Bani Tha'labah dan Bani Muharib sekiranya Muhammad mahu. Tetapi mereka tidak menyerangnya selagi belum diserang. Muhammad hanya memerintahkan pasukannya menyerang balas apabila sudah diserang. Itu salah satu contoh kebaikannya," jawab Basyir.

     "Itu belum cukup bagi mengatakan Muhammad itu seorang yang baik," bantah Safwan pula.

     "Baiklah saya mahu bertanya dan kamu jawab secara jujur," kata Basyir pula.

     "Baiklah," kata Abu Sufian dan Safwan.

     "Sekiranya seorang musuh datang lalu mengacukan senjata ke leher kamu tetapi dia tidak dapat membunuh kamu. Kemudian giliran kamu pula dapat peluang mengacukan senjata ke leher musuh kamu itu. Apa yang akan kamu lakukan?" tanya Basyir.

     "Saya pancung lehernya sehingga putus," jawab Safwan.

     "Saya cincang sehingga lumat," jawab Abu Sufian pula.

     "Terbukti Muhammad itu lebih mulia daripada kamu berdua," kata Basyir.

     Lalu dia menceritakan kisah Da'thur dan Ghauras yang pernah mengacukan senjata ke leher Nabi Muhammad tetapi tidak berjaya membunuhnya. Kemudian giliran Nabi Muhammad pula dapat mengacukan senjata ke leher lawannya. Tetapi akhirnya mereka dimaafkan oleh Nabi Muhammad.

     "Seperti yang aku katakan tadi, kerana dendam kesumat maka kamu tidak nampak kebaikan Muhammad," kata Basyir lalu menyuruh Abu Sufian dan Safwan segera meninggalkan perkampungan Bani Kinanah.

     "Mari kita pujuk orang Bani Tihamah pula," kata Safwan.

     "Mereka juga sama seperti orang Bani Tihamah. Sia-sia sahaja memujuk mereka. Lebih baik kita pulang ke Mekah," kata Abu Sufian dengan rasa kecewa.

     Namun dendamnya terhadap Muhammad tidak pernah reda. Malah semakin bertambah menyala. Abu Sufian pun berusaha mengumpulkan pasukan perang. Tetapi ramai penduduk Kota Mekah yang berasa keberatan bagi menyertainya. Tambahan pula ketika itu musim panas. Cuaca kering kontang.

     "Sekarang adalah masa yang paling tidak sesuai bagi kita pergi berperang. Lebih baik ditangguhkan sahaja," kata Abbas yang sememangnya tidak mahu tercetus lagi perang antara Quraisy Mekah dengan Nabi Muhammad.

     "Saya tidak mahu dituduh pengecut. Kerana itu saya tetap akan pergi ke Badar bagi berperang dengan Muhammad. Kekalahan di Badar perlu ditebus semula," marah Abu Sufian bin Harb.

     "Apakah kamu sudah mempunyai persiapan pergi ke Badar beperang dengan Muhammad?" tanya Abbas.

     Menurut Abu Sufian, dia sudah dapat mengumpulkan dua ribu orang tentera dengan lima puluh ekor kuda. Selain itu dia sudah berjaya mendapatkan kelengkapan senjata dari Rom dan Parsi.

     "Pasukan Quraisy sekarang lebih lemah berbanding pasukan yang menyertai Perang Uhud. Bagaimana kamu yakin mampu mengalahkan pasukan Muhammad yang sekarang bertambah kuat?" tanya Abbas yang sengaja mahu melemahkan semangat Abu Sufian.

     Melihat Abu Sufian berdiam diri, maka Abbas menyambung percakapannya.

     "Dalam Perang Badar yang pertama, pasukan Muhammad cuma 313 orang dapat mengalahkan kita yang berjumlah lebih seribu orang. Dalam Perang Uhud pula pasukan Quraisy berjumlah tiga ribu orang. Enam ratus orang memakai baju besi dan dua ratus tentera berkuda. Tidak dapat mengalahkan pasukan Muhammad yang tidak sampai seribu orang. Sekarang pasukan kamu cuma berjumlah dua ribu orang, seratus orang memakai baju besi dan cuma ada lima puluh tentera berkuda. Mustahil mampu mengalahkan Muhammad yang sekarang sudah ada lebih tiga ribu tentera dan seratus ekor kuda perang."

     "Kamu sengaja hendak menakutkan saya. Mustahil Muhammad dapat mengumpulkan pasukannya seramai tiga ribu orang dan mustahil mereka mampu memiliki seratus ekor kuda," kata Abu Sufian yang sengaja tidak mahu mempercayainya.

     "Muhammad itu anak saudaraku. Kerana itu saya mengetahui segala kekuatan dan kelemahannya. Percayalah cakap saya, pasukan Muhammad sekarang bertambah kuat. Kamu tidak dapat mengalahkan mereka," kata Abbas yang sengaja mereka cerita bagi menakutkan Abu Sufian.

     Perasaan takut mula menyelinap dalam hati Abu Sufian. Tetapi dalam masa yang sama hati batunya menutup kebenaran. Baginya maruah diri itu lebih penting daripada segalanya. Dia tidak mahu dituduh pengecut kerana dia sendiri yang membuat cabaran berperang dengan Muhammad di Badar.

     Sedang Abu Sufian resah gelisah sendirian di rumahnya, tiba-tiba dia dikunjungi seorang kawan baiknya Nu'aim bin Mas'ud, seorang Arab suku Al-Asy'jai. Dia seorang yang berpengaruh, petah berkata-kata, pandai berdiplomasi sehingga dia mempunyai nama yang baik di kalangan kaum Quraisy dan orang Islam di Madinah.

     "Bulan lepas saya pergi ke Madinah membawa barang-barang perniagaan. Ramai orang Islam yang membeli barang-barang perniagaanku," beritahu Nu'aim dengan wajah gembira.

     "Apakah kamu bertemu dengan Muhammad?" tanya Abu Sufian pula.

     "Saya ke Madinah bagi berniaga bukan bagi bertemu Muhammad," jawab Nu'aim.

     "Kamu datang ke Mekah bagi berniaga ataupun berjumpa dengaku?" tanya Abu Sufian.

     "Saya datang bagi berniaga dan saya datang bertemu dengan kamu," jawab Nu'aim sambil tersenyum.

     "Barang apa yang hendak kamu jual pada saya?" tanya Abu Sufian kerana Nu'aim datang berlenggang sahaja.

     "Saya mahu menjual satu maklumat penting berkenaan Muhammad. Sekiranya kamu setuju membelinya maka saya sanggup menjualnya," jawab Nu'aim.

     "Beritahu dulu apa maklumatnya. Sekiranya berharga, saya sanggup membelinya," kata Abu Sufian.

     "Nampaknya kamu tidak berminat. Tidak mengapa wahai kawanku. Biar saya simpan sahaja rahsia ini." Nu'aim pura-pura mahu pergi dari situ.

     "Baiklah, sekiranya maklumat berkenaan Muhammad saya sanggup membayarnya. Berapa upah yang kamu pinta?" Akhirnya Abu Sufian mengalah dengan perniagaan licik Nu'aim.

     "Berikan saya seribu dinar baru saya beritahu maklumat yang saya dapat semasa berada di Madinah," kata Nu'aim dan Abu Sufian tidak ada pilihan selain memberinya.

     "Muhammad sudah menyiapkan pasukan perang seramai tiga ribu orang, lima ratus ekor kuda dan tiga ribu ekor unta. Mereka juga mendapat bekalan senjata dari Rom dan Parsi," kata Nu'aim yang sengaja menambah cerita bagi mencemaskan pemimpin Quraisy itu.

     Abu Sufian begitu terkejut mendengarnya. Namun dia sengaja menunjukkan keberanian dengan berkata, "Saya tidak takut kerana pasukan tentera saya lebih ramai daripada mereka. Saya yakin apabila berlaku Perang Badar kedua nanti, pasukan Quraisy Mekah pasti menang."

     "Benarkah kata-katamu itu ataupun hanya kata-kata kosong? Berterus teranglah wahai sahabatku Abu Sufian," kata Nu'aim.

     "Pergilah kamu ke Madinah dan beritahu Muhammad yang saya sudah menyediakan pasukan tentera yang ramai bagi berperang dengannya di Badar. Beritahu Muhammad yang saya menunggu kedatangan mereka di Badar dengan pasukan tentera berjumlah sepuluh ribu orang. Tiga ribu pasukan berkuda, lima ribu memakai baju besi dan dua ribu pemanah," kata Abu Sufian kepada Nu'aim bin Mas'ud.

     "Benarkah kamu mempunyai pasukan yang begitu kuat? Benarkah kamu akan berperang sekali lagi dengan Muhammad? Tidakkah kamu tahu keadaan sekarang tidak sesuai bagi keluar berperang?" kata Nu'aim minta kepastian.

     "Itu hanyalah helah aku bagi menakutkan Muhammad supaya dia tidak berani datang ke Badar. Tambahan pula sekarang musim panas. Tidak siapa sanggup mengharungi padang pasir dalam cuaca yang sangat panas begini," terang Abu Sufian yang berasa yakin helahnya berjaya menakutkan Nabi Muhammad.

     "Apakah kamu menyangka saya sanggup melakukan tugas yang bahaya itu dengan percuma?" tanya Nu'aim.

     "Saya sanggup membayar berapa sahaja upah yang kamu pinta. Sebutkan apa jenis upahnya dan jumlahnya," jawab Abu Sufian.

     "Saya sanggup memperdayakan Muhammad dan para pengikutnya sekiranya diberi upah 20 ekor unta betina," kata Nu'aim.

     "Saya setuju," kata Abu Sufian.

     "Berikan saya pendahuluannya sebanyak sepuluh ekor unta. Selepas selesai tugasku nanti dan selepas kembali ke sini kamu berikan sepuluh ekor lagi," kata Nu'aim.

     Abu Sufian terpaksa tunduk dengan kehendak Nu'aim kerana itu sahaja peluang bagi menebus maruahnya. Apabila Muhammad tidak berani datang ke Badar maka dia tidak akan dipersendakan orang ramai.

     Pada keesokan harinya, Nu'aim pergi ke Madinah, apabila sampai lalu menghebahkan berita palsu itu kepada orang ramai.

     "Bagi berperang di Badar, Abu Sufian menyediakan sepuluh ribu tentera, tiga ribu pasukan berkuda dan lima ribu memakai baju besi. Saya yakin mereka tidak dapat dikalahkan. Lebih baik jangan pergi ke sana. Tambahan pula cuaca panas terik," kata Nu'aim dalam usahanya menakutkan penduduk Madinah.

     Ramai juga yang terpedaya sehingga tergamak menarik diri daripada menyertainya. Perkara itu diadukan kepada Nabi Muhammad. Baginda tidak menghalang Nu'aim daripada menyebarkan berita palsunya. Apabila mendapati helahnya masih kurang berjaya maka Nu'aim menghadap Nabi Muhammad.

     "Saya diutus oleh Abu Sufian kepada kamu bagi memaklumkan dengan janji yang diucapkannya dalam Perang Uhud dahulu. Sekarang Abu Sufian sedang menunggu kedatangan kamu di Badar bagi berperang sekali lagi. Mereka datang dengan sepuluh ribu tentera," kata Nu'aim yang sengaja menambah cerita bagi menakutkan Nabi Muhammad.

     Sehubungan dengan itu turun ayat Quran surah Ali Imran ayat 173.

     "Sesungguhnya mereka (Quraisy) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu kerana itu takutlah kepada mereka. Perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab, cukuplah Allah menjadi pelindung kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung."

     Kerana itu berita yang disampaikan Nu'aim itu tidak menakutkan Nabi Muhammad. Malah beliau menyahut cabaran itu dengan mengatakan kepada utusan bohong itu, bahawa umat Islam bersedia berperang sekali lagi dengan orang Quraisy Mekah.

     "Demi Allah yang memegang jiwaku dalam genggaman-Nya, seandainya tidak ada seorang pun yang tidak mahu menyertai saya, saya akan pergi juga walau seorang diri," kata Nabi Muhammad SAW.

     "Allah akan memberikan kemenangan kepada umat Islam ini dan akan memberi kejayaan kepada Nabi-Nya. Kita sudah berjanji akan berperang dengan kaum yang kafir itu. Oleh itu jangan ada seorang pun pahlawan Perang Badar dan Uhud tidak turut serta dalam perang ini," kata Umar dengan penuh bersemangat.

     "Beritahu Abu Sufian, kami akan datang ke Badar bagi berperang dengan mereka," kata Ali bin Abi Talib kepada Nu'aim.

     "Katakan juga kepada Abu Sufian yang semua penduduk Madinah akan keluar bagi membantu kami berperang," kata Abu Ubaidah Al-Jarrah pula.

     Nu'aim segera pulang ke Mekah lalu melaporkan perkara itu kepada Abu Sufian.

     Kemudian Nabi Muhammad segera membentuk pasukan perang seramai 1500 orang. Sepuluh orang antara mereka menunggang kuda. Urusan menjaga Madinah diserahkan kepada Abdullah bin Rawahah. Panji tentera Islam diserahkan kepada Ali bin Abi Talib. Kemudian mereka bergerak menuju ke Badar sambil bertakbir.

     Walaupun ketika itu musim panas dan cuaca kering kontang, namun tidak menghalang pasukan Islam meredah padang pasir menuju ke medan jihad. Semangat yang ditunjukkan pasukan Islam itu menakutkan Abdullah bin Ubai dan orangnya. Mereka berjanji bagi menjaga keselamatan Madinah sepanjang ketiadaan Rasulullah.

     Apabila Nabi Muhammad dan pasukannya sampai di Badar, mereka dapati tidak ada seorang pun orang Quraisy berada di situ. Suasana kelihatan lengang dan sunyi. Nabi Muhammad menggunakan peluang itu bagi membuat persiapan berperang. Mereka memilih kawasan yang sesuai lalu membina kubu-kubu pertahanan.

     Di Mekah pula apabila Abu Sufian mendapat tahu Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya sudah berada di Badar, maka dia berasa malu dan serba salah kerana tipu helahnya tidak berjaya. Malah menaikkan semangat orang Islam bagi berperang sehingga sanggup keluar walaupun dalam cuaca yang panas terik.

     Bagi menjaga maruahnya, maka Abu Sufian berusaha juga mengajak penduduk Mekah keluar berperang. Tetapi hanya dua ribu orang yang menyatakan kesanggupan mereka.

     Abu Sufian tidak yakin dengan kekuatan pasukannya. Dalam Perang Uhud, jumlah mereka tiga ribu orang tetapi sekarang jumlah mereka hanya dua ribu orang. Dalam Perang Uhud mereka mempunyai dua ratus orang tentera berkuda tetapi sekarang cuma lima puluh orang. Tetapi demi menjaga air mukanya supaya jangan tercemar, maka Abu Sufian berangkat juga ke Badar. Dia sengaja melengahkan perjalanan sambil menunggu kedatangan Nu'aim yang ditugaskan mengintip pergerakan tentera Islam.

     Apabila sampai di Majannah, Abu Sufian dan pasukan tenteranya singgah di situ selama dua malam bagi menunggu kedatangan Nu'aim.

     "Seluruh penduduk Madinah sudah keluar menuju ke Badar bagi berperang dengan kamu. Mereka sudah menunggu di Badar," kata Nu'aim memberi laporan yang menambahkan lagi rasa takutnya Abu Sufian.

     Dan dia lebih kecewa kerana ramai pahlawan-pahlawan Quraisy termasuk Safwan kelihatan bersemangat mahu berperang. Semangatnya sendiri makin luntur bagi berperang.

     "Wahai kaum Quraisy, sekarang musim kemarau yang sangat melampau. Cuaca kering kontang kerana itu tidak sesuai bagi kita keluar berperang. Lebih baik kita keluar berperang pada musim yang tidak kemarau, musim subur banyak makanan dan buah-buahan. Kerana itu adalah lebih baik kita pulang." Akhirnya Abu Sufian membuat pengumuman.

     Tidak ada yang membantah kata-kata ketua mereka itu. Tambahan pula mereka sendiir kurang bersemangat bagi pergi berperang dalam cuaca yang sangat panas dan kekurangan anggota. Malah mereka menunggu perintah sahaja bagi pulang.

     Kepulangan pasukan tentera Quraisy itu mendapat cemuhan orang ramai. Mereka mempersalahkan Abu Sufian kerana gagal membentuk pasukan perang yang kuat.

     "Demi tuhan, saya pernah melarang kamu berjanji dengan Muhammad bagi berperang. Lihatlah sekarang apa yang terjadi. Mereka menyahut cabaran kamu tetapi kamu yang tidak berani menentang mereka. Dalam keadaan sekarang, kita yang mungkir janji kerana takut berperang dengan mereka," kata Safwan apabila mereka sampai di Mekah.

     "Selepas Perang Badar, kami pulang membawa kekalahan. Tetapi kami terubat dalam Perang Uhud kerana pulang membawa kemenangan. Kali ini kami pulang membawa rasa malu dan penghinaan," kata Amir salah seorang pasukan Quraisy yang ikut serta dalam pasukan itu.

     "Alangkah hinanya kamu yang mengaku kalah sebelum berperang dengan Nabi Muhammad," kata Abbas bin Abdul Mutalib pula.

     "Mereka hanya layak digelar tentera Sawiq," kata Abu Sufian bin Harith pula.

     "Apa maksud kamu tentera Sawwiq?" tanya Abbas minta penjelasan.

     "Penduduk Mekah membekalkan mereka dengan makanan Sawiq. Mereka tidak pergi ke Badar tetapi berhenti di Mujannah bagi menghabiskan makanan itu. Kemudian pulang semula ke Mekah. Kerana itu mereka lebih layak digelar tentera Sawiq," jawab Abu Sufian bin Harith sambil tertawa.

     Alangkah malunya Abu Sufian bin Harb mendengar kata-kata sindiran itu. Beliau berkurung di dalam rumah tidak keluar beberapa hari lamanya.

     "Sudah hampir seminggu ketua kita Abu Sufian bin Harb tidak keluar rumah. Apakah dia sakit?" tanya Derham salah seorang peniaga di Mekah.

     "Di berasa sangat malu dengan kata-kata sindiran orang ramai kepadanya. Kerana itu dia tidak keluar rumah," jawab Admedi, kawannya.

     "Di ketua kita dan khidmatnya masih diperlukan. Buatlah sesuatu yang dapat menggembirakan hatinya," kata Samil pula.

     "Saya akan pergi ke Badar bagi melihat apa yang berlaku. Sekiranya Muhammad dan pasukannya juga sudah pulang ke Madinah keadaan menjadi seri. Abu Sufian tidak perlu berasa malu," kata Derham yang menyatakan kesanggupannya pergi ke Badar membawa barang-barang jualan.

     Di Badar pula, Nabi Muhammad dan pasukannya terus menunggu kedatangan pasukan Quraisy. Selepas menunggu selama seminggu, namun pasukan Quraisy tidak juga muncul.

     "Nabi Muhammad menyuruh kita pulang ke Madinah," beritahu Ali bin Abi Talib yang ditugaskan membawa bendera pasukan Islam.

     "Bagaimana dengan ternakan, barang-barang makanan dan senjata yang kami bawa?" tanya Abdul Rahman bin Auf pula.

     Sebelum berangkat ke Badar tentera Islam membawa banyak makanan buat bekalan ketika berperang. Mereka juga membawa kambing dan unta bagi disembelih. Selain itu mereka membawa senjata lebih daripada satu bagi digunakan ketika bertempur dengan musuh.

     "Tidak jauh dari sini terdapat pasar Badar. Pasar itu sudah dibuka semula apabila perang tidak berlaku," kata Ubaidah Al-Jarrah.

     "Sekiranya begitu kita minta izin daripada Rasulullah bagi menjual barang-barang itu dipasar." Cadangan Abdul Rahman bin Auf itu diizinkan Rasulullah.

     Maka ramailah orang Islam yang menjual barang-barang mereka di pasar Badar. Mereka mendapat keuntungan dari hasil jualan itu. Selepas berada di Badar selama lapan hari lapan malam mereka pun pulang ke Madinah. Sekiranya kepulangan pasukan Quraisy ke Mekah diejek dan dihina tetapi kepulangan pasukan Islam ke Madinah disambut dengan kegembiraan dan kesyukuran. Sehubungan dengan itu turun ayat Al-Quran surah Ali Imran ayat 174.

     "Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar) dari Allah. Mereka tidak dapat apa-apa bencana (kerana) mereka mengikut keredaan Allah..."







N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.



No comments:

Post a Comment