Friday 12 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 18 - AIR MATA AR RAJI' ]






AIR MATA AR RAJI'








Salapah berasa sedih kerana dua orang anaknya terbunuh dalam Perang Uhud dan orang yang membunuh kedua-dua anaknya itu adalah Asyim. Dia bersumpah untuk menuntut bela di atas kematian anaknya.

     "Wahai pahlawan-pahlawan Quraisy. Aku sanggup memberikan hadiah 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat membawa kepala Asyim kepada aku," kata Salapah membuat pengumuman kepada orang ramai.

     "Aku sanggup!" teriak seorang lelaki.

     "Siapa nama kamu wahai lelaki yang berani?" tanya Salapah.

     "Sufian bin Khalid. Aku tertarik dengan hadian yang engkau tawarkan," jawab lelaki itu.

     "Segera lakukan wahai Sufian. Seratus ekor unta akan aku berikan kepada kamu jika dapat membawa kepala Asyim kepada aku," kata Salapah dengan hati yang gembira kerana yakin dendamnya akan berbalas tidak lama lagi.
  
     Sufian bin Khalid pun merancang melakukan pembunuhan itu. Dia menemui Bani Udhal dan Bani Qarah.

     "Pergilah ke Madinah, dan pujuk Muhammad supaya menghantar Asyim ke sini untuk mengajar Quran. Jika kamu berjaya membawa Asyim, aku beri hadiah sepuluh ekor unta," pujuk Sufian bin Khalid.

     "Baiklah," kata Amer, ketua Bani Udhal.

     Kemudian Sufian bin Khalid menemui Abdullah, ketua Bani Qarah juga dengan tawaran yang sama.

     "Setelah aku berjaya membawa Asyim ke sini, apa yang kamu akan lakukan kepadanya?" tanya Abdullah pula.

     "Aku akan bunuh dia dan ambil kepalanya untuk diberikan kepada seorang saudagar di Mekah," jawab Sufian bin Khalid.

     "Baiklah aku setuju kerana aku juga memang berdendam dengan Muhammad dan pengikutnya," kata Abdullah memberi persetujuan.

     Keesokan harinya, Amer dan Abdullah berangkat ke Madinah lalu menghadap Nabi Muhammad.

     "Wahai Muhammad, kirimlah pendakwah kepada kami Bani Udhal dan Bani Qarah untuk mengajar Islam dan membaca Quran," kata Abdullah.

     "Kami tertarik dengan Asyim. Dia layak untuk dihantar ke perkampungan kami," sokong Amer pula.

     Melihat kesungguhan mereka, akhirnya Nabi Muhammad menghantar sepuluh pendakwah termasuk Asyim. Pada masa yang sama, Sufian dan orangnya sedang memasang perangkap di satu tempat bernama Ar-Raji'. Apabila Asyim dan kawan-kawannya sampai di situ tiba-tiba mereka diserang oleh sekumpulan lelaki yang diketuai oleh Sufian bin Khalid. Sepuluh sahabat nabi itu tidak mahu menyerah sebaliknya mengadakan perlawanan. Maka berlaku pertempuran antara kedua-dua belah pihak. Sepuluh orang pendakwah itu naik ke sebuah bukit lalu bertahan di puncak bukit itu.

     "Aku tidak mahu membunuh kamu. Aku hanya mahukan Asyim kerana Salapah hendakkan kepalanya. Jika kamu serahkan Asyim maka kamu tidak kami bunuh!" teriak Sufian.

     "Mereka telah mengkhianati kita. Lebih baik kita mati syahid daripada menyerah," kata Asyim kepada kawan-kawannya.

     "Nabi Muhammad juga berpesan supaya kita jangan tunduk kepada sesiapa," kata kawan-kawannya. Mereka bertekad menentang hingga ke hujung nyawa.

     Sufian bin Khalid memerintahkan orangnya mengepong Asyim dan kawan-kawannya. Maka berlaku pertempuran sengit antara kedua-dua belah pihak. Asyim berjuang bersungguh-sungguh. Mula-mula dia menggunakan lembingnya. Apabila lembing itu patah, maka digunakan pedangnya pula. Akhirnya Asyim gugur syahid. Sebelum meninggal dunia, Asyim sempat berdoa.

     "Wahai Tuhan, sampaikan berita ini kepada Nabi Muhammad," kemudian dia berdoa lagi. "Wahai Tuhan, aku telah mengorbankan nyawaku pada jalan yang benar. Selamatkan kepalaku daripada tangan orang-orang yang jahat itu."

     Doa Asyim dimakbulkan Allah Taala. Malaikat Jibril datang kepada Nabi Muhammad lalu mengkhabarkan berkenaan syahidnya Asyim. Permintaan kedua Asyim juga dimakbulkan Tuhan. Sewaktu Sufian hendak mendekati mayat Asyim, tiba-tiba datang sekumpulan lebah lalu menghurung mayat Asyim. Sufian terpaksa menunggu dengan harapan lebah-lebah itu akan lari. Tetapi tidak lama kemudian, hujan turun dengan lebat. Mayat Asyim dihanyutkan air. Sufian kecewa kerana tidak dapat memenggal kepala Asyim. Sekaligus gagal mendapatkan hadiah yang ditawarkan.

     Kawna-kawan Asyim pula terus mengadakan perlawanan. Oleh sebab bilangan musuh ramai maka seorang demi seorang antara mereka meninggal dunia. Akhirnya hanya tinggal tiga orang iaitu Habib, Zaid bin Wisnah dan Abdullah bin Tariq. Mereka terus bertahan di puncak bukit.

     "Turunlah dari bukit itu dan kami tidak akan mengapa-apakan kamu," teriak Sufian.

     "Mereka menerima perdamaian. Apakah pendapat kamu?" tanya Habib kepada kawan-kawannya.

     "Jika benar mereka ingin berdamai kita terima. Tetapi jika mereka khianati kita, maka kita tentang mereka semula," jawab Zaid.

     "Aku yakin ini perangkap. Sebaiknya kita terus berada di sini," kata Abdullah pula ragu-ragu.

     "Mereka mengepong kita dari semua penjuru. Di puncak bukit ini tidak ada makanan dan air. Jika keadaan ini berterusan, akhirnya kita akan tewas juga. Kita cuba menerima tawaran mereka. Tetapi sekiranya ia tipu helah maka kita akan menentang mereka sehingga syahid," kata Habib lalu memujuk kawan-kawannya menerima tawaran itu.

     Akhirnya Abdullah bersetuju. Mereka bertiga pun turun dari puncak bukit itu. Sufian dan kawan-kawannya menyambut mereka dengan berpura-pura menunjukkan sikap yang baik.

     "Berikan mereka makanan dan minuman serta layan dengan baik," kata Sufian.

     Setiap orang pendakwah itu didatangi lima orang pengikut Sufian dengan berpura-pura menunjukkan sikap yang baik. Apabila dekat mereka terus diberkas.

     "Aku sudah kata mereka menipu kita!" teriak Abdullah sambil melawan tetapi dia akhirnya dapat dibunuh. Habib dan Zaid pula tidak dapat mengadakan perlawanan lalu diberkas.

     "Kita gagal mendapatkan kepala Asyim tetapi kita masih ada dua orang tawanan untuk dibawa ke Mekah," kata Sufian. Dia membawa Zaid dan Habib ke Mekah lalu dijual di pasar Ukhaz.

     "Aku mahukan kepala Asyim. Bukan dua orang lelaki ini," marah Salapah.

     "Kami sudah dapat membunuh Asyim tetapi mayatnya dihanyutkan air hujan. Kami tidak dapat mencarinya," jawab Sufian dengan rasa kecewa.

     "Tetapi kami sudah dapat membunuh Asyim. Berilah kami hadiah walaupun hanya seekor unta," rayu Sufian.

     "Aku telah bersumpah untuk meminum arak dari tengkorak Asyim yang membunuh dua orang anak aku. Apabila engkau gagal membawa kepala Asyim, maka engkau gagal mendapat hadiah dari aku walau hanya seekor unta," kata Salapah lalu pergi dari situ.

     Namun Sufian masih tidak berputus asa. Dia berharap orang Quraisy akan membeli Habib dan Zaid bagi dijadikan tempat membalas dendam atas kematian keluarga mereka di Badar.

     "Wahai Safwan, inilah Zaid yang telah membunuh ayah kamu di Badar. Apakah engkau tidak mahu membelinya untuk membalas dendam di atas kematian ayah kamu?" tanya Sufian kepada Safwan yang datang ke pasar Ukkaz.

     "Tujuan aku datang ke sini sememangnya untuk membeli pembunuh ayahku ini. Aku tidak akan berasa tenang selagi pembunuh ayahku belum dapat dibunuh. Aku akan membunuhnya dengan tanganku sendiri," kata Safwan sambil menunjukkan kebenciannya kepada Zaid.

     "Aku hanya akan menjualnya jika kamu sanggup memberikan aku seratus ekor unta. Harga ini berpatutan kerana aku telah kehilangan beberapa orang pengikutku untuk mendapatkan lelaki ini," kata Sufian pula.

     "Aku hanya sanggup memberikan kamu lima puluh ekor unta sahaja. Sekiranya engkau tidak mahu, tidak mengapa. Jualkanlah kepada orang lain tetapi aku percaya tidak siapa yang mahu membelinya melainkan aku sahaja," kata Safwan yang terkenal sebagai seorang peniaga yang licik dan pandai menipu.

     Akhirnya Sufian bersetuju dengan permintaan Safwan lalu menjualkan Zaid dengan lima puluh ekor unta kepada Safwan. Tidak lama kemudian, datang pula Hijjir ke pasar Ukkaz.

     "Wahai Hijjir, inilah lelaki yang telah membunuh ayah kamu. Apakah kamu tidak mahu membelinya untuk membalas dendam di atas kematian ayah kamu? Sesungguhnya harta boleh dicari tetapi maruah kamu tidak boleh dijual beli," kata Sufian yang sengaja mencabar Hijjir untuk membeli Habib.

     "Aku sanggup membeli lelaki ini dengan seratus ekor unta," kata Hijjir dengan rasa bangga. Sufian bersetuju dan menjualkan Habib dengan seratus ekor unta kepada Hijjir.

     "Keesokan harinya, Safwan membawa Zaid di luar kawasan Masjidil Haram untuk dibunuh. Orang ramai berkumpul untuk menyaksikan pembunuhan itu. Safwan membawa sebilah lembing yang akan digunakan untuk membunuh Zaid. Turut hadir ialah Abu Sufian bin Harb dan Abu Sufian bin Harith.

     "Wahai Zaid, sukakah kamu sekiranya Muhammad menggantikan tempat kamu dan kamu dibebaskan untuk hidup bersama keluarga kamu?" tanya Abu Sufian bin Harb.

     "Demi Allah, aku tidak akan berasa bahagia hidup bersama keluarga sekiranya Nabi Muhammad disakiti walau dicucuk dengan duri," jawab Zaid dengan berani walau dia tahu jawapannya itu mengundang padah.

     Orang ramai tercengang mendengar jawapan Zaid. Jika mereka berada di sebelah pihak Zaid, sudah tentu dia menerima tawaran itu. Tetapi tidak dengan Zaid. Dia lebih rela mati syahid daripada membiarkan mereka menghina Nabi Muhammad.

     "Sesungguhnya kasih sayang ditunjukkan oleh sahabat Nabi Muhammad ini tiada tolok bandingnya. Dia pemimpin sejati kerana pemimpinnya sanggup berkorban nyawa untuknya," puji Abu Sufian bin Harith.

     Safwan berasa sangat marah mendengar jawapan Zaid dan kata-kata Abu Safwan bin Harith lalu ditikamnya Zaid dengan lembing yang berada di tangannya. Akhirnya Zaid menghembuskan nafas terakhirnya di situ juga.

     "Wahai Hijjir, Safwan telah membalas dendam ke atas lelaki yang membunuh bapanya. Bilakah giliran engkau pula melakukannya?" tanya Abu Sufian bin Harb. Dia seperti tidak sabar melihat Hijjir membalas dendam terhadap pembunuh bapanya.

     "Aku sengaja tidak mahu membunuh Habib dengan cepat kerana mahu dia terseksa dahulu," jawab Hijjir.

     "Apa yang kamu lakukan terhadapnya?" tanya Abu Sufian.

     "Aku kurung dia tanpa memberi makanan dan minuman. Aku mahu dia berasa lapar dan dahaga," jawab Hijjir.

     "Apa tujuan kamu lakukan itu?" tanya Abu Sufian lagi.

     "Aku mahu dia kembali ke agama nenek moyang kita," jawab Hijjir.

     "Sekiranya Habib setuju, apakah kamu akan membebaskan dia?" tanya Abu Sufian lagi.

     "Oh tidak, aku tetap akan membunuhnya. Aku tidak mahu dia mati dengan menganut agama yang dibawa Muhammad. Aku mahu Habib mati dengan menganut agama kita," jawapan Hijjir itu menggembirakan hati Abu Sufian. Dia yakin apabila Habib berasa lapar dan dahaga, dia terpaksa tunduk dengan permintaan Hijjir.

     Pada suatu hari, Hijjir menyuruh seorang hamba perempuannya melihat keadaan Habib yang berada di dalam kurungan. Dia berharap Habib akan merayu meminta makanan dan air setelah beberapa hari tidak mendapatkannya. Hamba perempuan itu berasa terkejut apabila melihat Habib sedang memakan sebiji buah anggur sebesar kepala. Dia melaporkan apa yang dilihatnya itu kepada Hijjir.

     "Muhammad telah mengajar ilmu sihir kepada Habib. Oleh itu, sia-sia saja aku membiarkannya hidup. Esok pagi dia akan dibunuh," kata Hijjir dengan rasa marah dan kecewa.

     Keesokan harinya, sekali lagi hamba perempuan itu pergi melihat Habib di tempat kurungannya.

     "Hari ini engkau akan dihukum bunuh. Apakah ada apa-apa permintaan kamu yang boleh aku berikan?" tanya perempuan itu.

     "Aku hanya mahukan sebilah pisau untuk mencukur rambutku," jawab Habib.

     Hamba perempuan Hijjir itu pun mengambil sebilah pisau cukur lalu memberikannya kepada Habib. Dibawanya juga anak kecil Hijjir bersama-samanya. Habib mengambil pisau cukup itu daripada tangan hamba perempuan itu, kemudian mencukur rambutnya. Setelah siap mencukur rambutnya maka Habib menyerahkan semula pisau itu kepada hamba perempuan itu. Pada masa yang sama, Hijjir berasa cemas apabila mendapat tahu hamba perempuannya memberikan pisau cukur kepada Habib. Dia lebih cemas apabila mendapat tahu anak kecilnya ada bersama-sama hamba perempuan itu. Hijjir segera pergi ke tempat kurungan Habib. Dilihatnya Habib sedang memegang pisau cukur sambil mengusap kepala anak kecilnya yang sedang didukung hamba perempuan itu.

     Melihat kedatangan Hijjir yang berwajah cemas, maka Habib pun berkata, "Apakah kamu menyangka aku akan membunuh anak kecil yang tidak berdosa dan seorang jariah yang baik? Demi Allah, jika aku belum mendapat hidayah nescaya aku gunakan kesempatan ini untuk melepaskan diri."

     "Kamu memang lelaki yang bodoh!" kata Hijjir lalu memerintahkan hambanya membawa Habib ke tempat pembunuhan.

     Orang ramai sudah berkumpul di situ untuk melihat Hijjir membalas dendam kepada pembunuh bapanya.

     "Sebelum engkau aku bunuh, apakah ada pemintaan kamu yang terakhir?" tanya Hijjir sambil menghunus pedangnya.

     "Izinkan aku mendirikan sembahyang sunat dua rakaat kerana tidak lama lagi aku akan pergi menghadap tuhanku," jawab Habib.

     Hijjir membenarkan permintaan Habib. Dia pun mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat.

     Selesai sembahyang sunat dan berdoa, maka Habib pun berkata, "Demi Allah, inilah sembahyang sunat yang paling aku suka. Jika boleh aku ingin menambah lagi sembahyang sunatku beberapa rakaat tetapi aku bimbang kamu menyangka aku takut dan sengaja mahu melambatkan hukuman terhadap aku."

     Kemudian kaki dan tangan Habib diikat lalu ditambatkan pada sebatang tiang. Hijjir bersama tiga pembantunya menikam tubuh Habib sehingga meninggal dunia. Sebelum meninggal dunia Habib sempat berkata, "Wahai Allah, sampaikan salamku kepada Nabi Muhammad pesuruhMu."

     Allah mengutus malaikat untuk menyampaikan salam Habib itu kepada Nabi Muhammad yang ketika itu berada dalam Masjid Nabi.

     "Waalaikumsalam wahai Habib," kata Nabi Muhammad.

     Orang ramai yang berada di masjid menjadi hairan dengan ucapan itu lalu bertanya.

     "Habib telah disyahidkan oleh orang-orang Quraisy," jawab Nabi Muhammad.

     Kemudian Nabi Muhammad menceritakan apa yang telah berlaku terhadap Habib dan kawan-kawannya. Ramai yang berasa sedih dan simpati dengan apa yang telah berlaku terhadap sepuluh orang pendakwah itu.

     "Mereka telah mengkhianati kita. Izinkan kami membalas perbuatan mereka," kata Umar bin al-Khattab.

     Namun Nabi Muhammad tidak membenarkan mereka membalas dendam. Beberapa orang sahabat meminta izin untuk pergi ke Mekah mengambil mayat Habib. Nabi Muhammad membenarkannya. Syuaib dan dua orang rakannya pergi ke Mekah dengan menyamar diri sebagai pengembara dari Syam.

     Hijjir pula sengaja membiarkan mayat Habib berada di tempat hukuman bunuh itu supaya ditonton orang ramai. Setelah beberapa hari dibunuh namun mayat Habib tidak busuk atau berulat. Apabila Syuaib dan kawan-kawannya sampai di Mekah, dilihatnya mayat Habib masih terikat pada tiang. Keadaan mayatnya masih kelihatan elok. Pada tengah malam itu, Syuaib melarikan mayat Habib lalu dikebumikan sebagai seorang syuhada.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment