Thursday 11 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 17 - EKSPEDISI ]






EKSPEDISI








Malam itu di perkampungan Bani Asad yang terletak di Qatan, sempadan Mekah dengan Madinah diadakan perjumpaan antara orang Arab dan Yahudi yang mendiami perkampungan itu. Antara yang hadir Tulaihah dan Salamah, kedua-duanya pemimpin Bani Asad yang terkenal.

     "Dua bulan yang lalu berlaku Perang Uhud antara tentera Quraisy Mekah yang dipimpin Abu Sufian dengan tentera Madinah yang dipimpin Nabi Muhammad. Dalam peperangan itu, Muhammad dan para pengikutnya telah dikalahkan. Oleh sebab itu, orang Islam di Madinah sekarang dalam keadaan lemah. Kita gunakan kesempatan ini untuk menakluk mereka," kata Tulaihah dengan gaya penuh bersemangat.

     Kemudian katanya lagi, "Sudah lama kita ingin menakluk Madinah tetapi masih belum berjaya kerana sebelum ini berlaku peperangan antara kabilah Aus dan kabilah Khazraj. Kita biarkan mereka berperang sehingga kedua-duanya lemah dan menyerah kalah kepada kita. Tetapi itu tidak berlaku kerana kedua-dua pihak berdamai. Sekarang mereka melantik Muhammad menjadi pemimpin mereka."

     "Benar kata Tulaihah," sokong Salamah pula.

     Kemudian katanya lagi, "Kita perlu menakluk Madinah untuk menguasai lalu perdagangan ke Syam. Selain itu dapat menghapuskan agama Islam yang dibawa oleh Muhammad. Apabila kita menguasai laluan perdagangan dan dapat menghapuskan agama yang dibawa Muhammad, maka Bani Asad bin Khuzaimah akan menjadi kuat dan dipandang mulia oleh kabilah Arab dan kabilah Yahudi."

     Bangun pula Uzair lelaki yang paling tua di kalangan mereka lalu berkata, "Orang Quraisy Mekah memerangi Muhammad juga kerana ingin menguasai laluan perdagangan ke Syam dan memadamkan agama Islam yang dibawa Muhammad. Tetapi mereka tidak berjaya. Walaupun mereka menang dalam Perang Uhud, tetapi matlamat mereka masih tidak kesampaian. Laluan perdagangan ke Syam masih dikuasai Muhammad dan pengikutnya. Agama Islam masih berkembang di Madinah dan mula tersebar di semenanjung tanah Arab."

     Tulaihah kurang senang mendengar kata-kata lelaki tua itu lalu berkata, "Orang Quraisy Mekah itu bodoh kerana mengajak Muhammad berperang di luar Kota Madinah. Untuk menakluk Madinah dan menghapuskan agama Islam kita mesti menyerang Kota Madinah. Kita lakukan serangan mengejut supaya mereka tidak sempat melawan lalu menyerah kalah kepada kita."

     "Berperang dengan Muhammad dan pengikutnya tidak dapat dielakkan. Jika tidak sekarang, pada masa akan datang kita terpaksa juga berperang dengan mereka. Lebih baik kita berperang sekarang kita mereka sedang lemah. Aku yakin dengan mudah kita dapat mengalahkan mereka," kata Salamah dengan penuh bersemangat.

     "Mulai hari ini, kita akan membuat persiapan untuk menyerang Kota Madinah. Para petani hendaklah menyerahkan sebahagian hasil pertanian mereka untuk kegunaan pasukan tentera kita. Para penternak pula menyerahkan sebahagian haiwan ternakan mereka. Para pedagang menyumbangkan sebahagian daripada keuntungan perdagangan mereka untuk membiayai angkatan perang. Manakala, pasukan tentera kita setiap hari menjalani latihan berperang," kata Salamah pula.

     Mereka sebulat suara menyokong cadangan itu. Salamah dan Tulaihah berasa sangat gembira kerana cita-citanya untuk menakluk Madinah akan tercapai tidak lama lagi. Mereka yakin berjaya. Mulai hari itu, orang Bani Asad sibuk membuat persiapan untuk menyerang Madinah. Mereka berjaya menubuhkan pasukan perang berjumlah dua ribu orang terdiri dari orang Arab, Badwi dan Yahudi. Mereka membeli senjata dari Syam.




==============================================




Nabi Muhammad bukan sahaja bijak dalam urusan agama tetapi juga bijak dalam politik dan ketenteraan. Baginda telah menghantar pasukan perisik di merata tempat untuk mendapatkan maklumat tentang musuh. Ada pula yang melakukannya secara sukarela dengan merahsiakan yang mereka telah masuk Islam. Di kalangan Bani Asad sendiri ada yang telah memeluk Islam serta yang bersimpati dengan Nabi Muhammad. Mereka melaporkan perkara itu kepada Rasulullah.

     Apabila Nabi Muhammad mendapat berita itu dan disahkan benar, maka baginda terus membentuk pasukan tentera berjumlah 150 orang dan melantik Abi Salamah bin Abdul Asad sebagai ketuanya. Turut serta dalam pasukan ini adalah Abu Ubaidah al-Jarrah, Saad bin Abi Waqqas dan Usaid bin Hudzair. Sebahagian mereka menunggang kuda dan sebahagian lagi menunggang unta.

     Nabi Muhammad berpesan supaya mereka bergerak pada waktu malam dan berhenti pada siang hari supaya pergerakan mereka tidak diketahui pihak musuh. Abi Salamah patuh dengan pesan Rasulullah. Mereka keluar dari Kota Madinah pada waktu malam terus menuju ke perkampungan Bani Asad. Apabila masuk waktu sembahyang Subuh, mereka berhenti lalu sembahyang berjemaah. Kemudian, mereka mencari tempat untuk bersembunyi supaya mereka tidak dapat dikesan oleh sesiapa. Selepas beberapa malam berjalan, akhirnya mereka sampai di perkampungan Bani Asad.

     Abi Salamah tidak terus memerintahkan pasukan tenteranya menyerang tetapi mereka berehat dahulu melepaskan penat. Pada keesokan harinya, selepas sembahyang Subuh barulah mereka menyerang perkampungan Bani Asad. Oleh sebab kedatangan pasukan Islam itu tidak diduga dan serangan itu dilancarkan secara mengejut maka orang Bani Asad tidak mampu menentangnya. Ramai yang terpaksa menyerah kalah. Tulaihah dan Salamah dapat melarikan diri bersama sekumpulan pasukan tenteranya. Mereka sempat membawa binatang ternakan dan harta.

     Apabila Bani Salamah mendapat tahu, maka dia mengarahkan pasukan tenteranya mengejar mereka yang melarikan diri itu. Selepas berlaku kejar-mengejar akhirnya Salamah dan Tulaihah terpaksa meninggalkan binatang ternakan dan harta yang mereka bawa bagi memudahkan mereka melarikan diri. Maka semua itu dijadikan harta rampasan perang lalu dibawa pulang ke Madinah.

     Penduduk Madinah gembira menyambut kepulangan pahlawan-pahlawan mereka yang membawa harta rampasan yang banyak dan mereka mendapatkannya tanpa pertumpahan darah. Rasulullah membahagikan mengikut hukum Islam.

     Salamah dan Tulaihah serta saki-baki pasukan tenteranya terus melarikan diri hingga sampai ke perkampungan Bani Lihyan yang terletak di Uranah. Kemudian mereka menemui Khalid bin Sufyan Al-Hazali, ketua Bani Lihyan lalu memujuknya menyerang Madinah.

     "Jika kamu bersetuju, maka aku sanggup menyerahkan pasukan tenteraku supaya bergabung dengan pasukan tentera kamu," kata Salamah bersungguh-sungguh.

     "Jika masih belum mencukupi, kami sanggup memanggil semua lelaki Bani Asad untuk bergabung dengan kamu. Para petani kami sanggup memberikan hasil tanaman dan pedagang kami sanggup memberi harta mereka untuk membeli senjata," pujuk Tulaihah pula.

     Akhirnya, Khalid bin Sufyan Al-Hazali bersetuju dengan permintaan itu. Dia mengarahkan Bani Lihyan membuat persiapan bagi menyerang Madinah.

     Berita tersebut sampai kepada Rasulullah. Bagi memastikan benar ataupun tidaknya berita itu, beliau menyuruh Abdullah bin Anis pergi menyiasat. Dia dikehendaki pergi seorang diri. Abdullah bin Anis menerima tugas itu serta berjanji akan menjalankannya dengan bersungguh-sungguh. Pada malam itu juga, Abdullah bin Anis berangkat ke Uranah dengan menunggang kuda seorang diri.

     Pagi itu sebelum matahari terbit, Abdullah bin Anis sudah sampai ke perkampungan Bani Lihyan yang terletak di Uranah kira-kira 30 batu dari Madinah. Dia menyamar sebagai utusan orang Quraisy Mekah yang dihantar oleh Abu Sufian.

     "Kami mendapat berita kamu hendak menyerang Madinah tidak lama lagi. Benarkah?" tanya Abdullah bin Anis yang menyamar sebagai utusan Abu Sufian.

     "Memang benar dan persiapan sudah dibuat. Hanya menunggu harinya saja," jawab Khalid dengan rasa bangga kerana menyangka berita berkenaan rancangannya sudah sampai ke Mekah.

     "Apakah bentuk bantuan yang boleh kami berikan?" tanya Abdullah bin Anis berpura-pura tertarik dengan cadangan itu.

     "Buat masa sekarang, kami tidak memerlukan apa-apa bantuan daripada orang lain kerana apa yang sudah kami miliki lebih daripada mencukupi," jawab Khalid yang langsung tidak menyangka yang Abdullah bin Hanis seorang pengintip.

     "Sebelum pulang ke Mekah, bolehkah kamu membawa aku bersiar-siar di kawasan perkampungan Bani Lihyan ini? Aku berjanji, sewaktu kamu pergi ke Mekah maka giliran aku pula membawa kamu bersiar-siar di sekitar kawasan Mekah," pinta Abdullah bin Anis.

     Khalid bersetuju dengan permintaan itu. Tanpa mengesyaki apa-apa, Khalid membawa Abdullah berjalan-jalan. Mereka berjalan berdua sahaja tanpa diawasi sesiapa.

     "Alangkah cantiknya rambut tuan. Bolehkah saya meletakkan tangan di atas kepala tuan?" tanya Abdullah pura-pura terpesona melihat rambut Khalid yang panjang.

     "Boleh apa salahnya," jawab Khalid dengan rasa bangga.

     Abdullah pun meletakkan tapak tangannya di atas kepala Khalid sambil mengusap-ngusap rambutnya.

     "Bolehkah sekali lagi saya meletakkan tapak tangan saya di atas kepala kamu?" tanya Abdullah.

     "Boleh apa salahnya," jawab Khalid tanpa mengesyaki apa-apa.

     Kali ini tangan kiri Abdullah mengusap rambut Khalid manakala tangan kanannya mencabut pisau yang tersisip pada pinggangnya lalu menikam dada Khalid hingga akhirnya dia mati. Dengan kematian Khalid itu maka rancangan menyerang Madinah terpaksa dibatalkan.

     Buat seketika, keadaan di Madinah tenang dan aman. Tidak ada musuh yang cuba mengganggu. Kehidupan di Madinah kembali tenang. Namun orang Islam tetap berwaspada kerana musuh mereka hanya menunggu masa untuk menyerang.

     Pada tahun itu juga, Allah menurunkan ayat al-Quran surah Al-Baqarah ayat 219 yang menyentuh berkenaan meminum arak.

     "Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya itu dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya...."

     Oleh sebab meminum arak adalah budaya masyarakat Arab, maka Allah tidak serta-merta mengharamkannya. Tidak lama kemudian turun pula ayat Quran surah An-Nisa' ayat 43.

     "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu bersembahyang sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan."

Selepas ayat itu turun, mereka dilarang bersembahyang dalam keadaan mabuk. Tetapi tidak lama kemudian larangan meminum arak melalui surah Al-Maidah ayat 90 dan 91.

     "Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, berjudi, menyembah berhala, mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan. Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu disebabkan arak dan judi dan menghalang kamu dari mengingati Allah dan sembahyang. Maka berhentilah kamu (mengerjakannya)."

Sejak itu, umat Islam dilarang meminum arak, berjudi dan merenung nasib dengan tukang tilik. Larangan itu dikenakan selepas Perang Uhud dan tidak siapa membantahnya kecuali orang Yahudi. Tambahan pula ramai daripada kalangan mereka terlibat dengan perniagaan arak dan judi.

     Pada suatu hari, Rasulullah berkata, "Pada akhir zaman nanti akan muncul golongan-golongan manusia yang berwajah manusia tetapi berhati syaitan. Mereka diibaratkan seperti serigala buas, hati mereka tidak sedikitpun punya belas kasihan. Mereka tidak suka menjauhi segala yang buruk dan mereka lebih suka melakukan pertumpahan darah, kalau engkau ikut mereka, mereka akan mendekati kamu, kalau engkau jauh dari mereka, maka mereka akan mengumpat kamu. Kalau kamu memberi amanah kepada mereka, maka mereka akan berlaku khianat kepadamu."

     Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah mereka melihat kamu?"

     "Tidak," jawab Rasulullah.

     Para sahabat bertanya lagi, "Apakah turun wahyu kepada mereka?"

     "Tidak," jawab Rasulullah.

     "Bagaimana keadaan mereka itu wahai Rasulullah?" tanya sahabat lagi.

     "Seperti garam dalam air. Hati mereka menitik seperti garam dalam air," jawab Rasulullah.

     "Bagaimana mereka hidup ketika itu?" tanya sahabat lagi.

     "Seperti ulat dalam cuka," jawab Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, bagaimana mereka menjaga agama," tanya sahabat lagi.

     "Seperti bara di tangan. Kalau diletak ia akan padam. Kalau diambil dengan tangan, maka akan terbakar," jawab Rasulullah.

     Rasulullah berkata lagi, "Tidaklah seorang nabi melainkan dia mempunyai doa yang mustajab. Semua nabi telah menggunakannya di dunia ini sedangkan aku masih menyimpan doa itu untuk aku gunakan sebagai syafaat bagi umatku pada hari kiamat."









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment