Monday 8 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 13 - MEREKA YANG TERTEWAS ]






MEREKA YANG TERTEWAS








Suasana di sekitar Gunung Uhud kelihatan tenang. Tidak ada lagi berlaku pertempuran. Tidak kedengaran lagi tempik sorak tentera Quraisy yang kehausan darah kerana ingin membalas dendam. Tidak berkumandang lagi suara takbir dari pasukan Muslimin. Pasukan tentera Quraisy sudah selesai mengebumikan rakan-rakan mereka yang terkorban serta mengumpulkan mereka yang cedera untuk di bawa pulang ke Mekah.

     "Dalam Perang Badar seramai 70 orang tentera kita terkorban. Dalam Perang Uhud kita dapat membalasnya dengan angka yang sama iaitu 70 orang pengikut Muhammad terkorban. Manakala pada pihak kita hanya 23 orang sahaja yang gugur. 40 orang lagi cedera," kata Abu Sufian dengan bangga.

     "Sebelum kita meninggalkan Gunung Uhud ini, mari kita lepaskan dendam sekali lagi terhadap pengikut Muhammad yang telah menjadi mayat. Dendam aku terhadap Hamzah masih belum terpadam," kata Hindun dengan nada suara yang marah.

     "Kita mesti melakukannya dengan cepat kerana kemungkinan Muhammad sedang mengumpulkan para pengikutnya untuk menyerang balas," pesan Abu Sufian,

     Mereka pun menggeledah mayat-mayat pahlawan Islam yang gugur syahid. Jika terjumpa mereka yang cedera terus dibunuh tanpa rasa belas kasihan. Jika terjumpa mayat orang yang membunuh ahli keluarga mereka dalam Perang Badar terus mereka cincang.

     Abu Sufian bin Harb dibawa melihat mayat Hamzah bin Abdul Mutalib. Mayat itu telah dibelah perut dan dadanya oleh Hindun. Kemudian dikeluarkan usus dan hatinya. Malah hidung dan telinganya sudah dipotong oleh Hindun. Semua itu dilakukannya sebagai membalas dendam terhadap Hamzah yang membunuh Uthbah, bapa Hindun dalam Perang Badar.

     Ketika melihat mayat Hamzah, tidak ada langsung belas kasihan di hati Abu Sufian malah dia menendang serta memijak kepala pahlawan Islam yang telah syahid itu. Apabila datang Hulais, salah seorang ketua pasukan tentera Quraisy, barulah Abu Sufian menghentikan perbuatannya itu. Dia meminta Hulais jangan menceritakannya kepada sesiapa kerana bimbang menimbulkan kemarahan keluarga Hamzah di Mekah.

     "Jika Abbas bin Abdul Mutalib tahu pasti dia menaruh dendam terhadapku," pesan Abu Sufian.

     Pada masa yang sama, Nabi Muhammad dan para sahabatnya yang setia masih berada di Gunung Uhud. Mereka tidak mahu pulang ke Madinah selagi belum mengebumikan mayat para syuhada.

     "Pergilah keluar dan perhatikan apa yang dilakukan kaum musyrikin. Jika mereka menunggang unta dan kuda menuju ke Madinah, demi Allah yang nyawaku berada di tanganNya, aku akan segera pulang untuk berperang dengan mereka," kata Rasulullah kepada Ali bin Abi Talib.

     Tanpa berlengah lagi Ali menurut perintah Rasulullah itu. Dia memerhatikan pergerakan tentera Quraisy. Hatinya bagaikan dirobek-robek apabila melihat mayat para syuhada dicincang dan diperlakukan sesuka hati mereka. Namun Ali tidak boleh bertindak apa-apa kerana dia diperintahkan Rasulullah untuk mengintip tentera Quraisy. Selepas mengebumikan mayat tentera Quraisy dan selepas merobek serta mencincang mayat para syuhada maka kaum musyrikin itu pulang ke Mekah. Kemudian Ali segera menemui Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, aku melihat kaum musyrikin itu telah meninggalkan tempat ini menuju ke Mekah. Mereka pergi agak tergesa-gesa dengan meninggalkan harta dan barang-barang berharga. Mungkin mereka bimbang serangan balas kita," kata Ali melaporkan.

     Kemudian Rasulullah menyuruh mereka turun dari Gunung Uhud bagi mencari mereka yang cedera dan syahid.

     "Wahai Zaid bin Tsabit, pergilah cari Sa'ad bin Rabi'. Jika kamu menjumpainya sampaikan salamku kepadanya. Katakan kepada mereka bahawa Rasulullah bertanyakan bagaimana keadaan kamu?" kata Nabi Muhammad kepada Zaid bin Tsabit.

     "Baiklah wahai Rasulullah. Sekarang juga saya mencarinya," kata Zaid menyatakan kesanggupannya.

     Zaid bin Tsabit segera mencari Sa'ad bin Rabi' di lembah Qanat tempat berlakunya pertempuran sengit antara pasukan Quraisy dengan pasukan Islam. Di sana bergelimpangan para korban Perang Uhud. Zaid meneliti satu per satu untuk mencari Sa'ad, akhirnya terjumpa. Sa'ad dalam keadaan luka parah dan hampir menemui ajalnya.

     Zaid segera memangku kepala Sa'ad lalu bertanya, "Wahai Sa'ad, masihkah engkau kenal siapa aku?"

     "Engkau adalah Zaid bin Tsabit," jawab Sa'ad.

     "Aku disuruh oleh Rasulullah untuk mencari kamu. Beliau menyuruh aku menyampaikan salamnya dan bertanyakan keadaan kamu," kata Zaid bin Tsabit.

     "Alangkah gembiranya hatiku apabila Rasulullah mengutus kamu menemui aku serta menyampaikan salamnya. Katakanlah kepada baginda bahawa aku telah mencium bau syurga," kata Sa'ad dan tidak lama kemudian dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

     Zaid segera menguruskan mayat Sa'ad supaya dapat dikebumikan sebagai mereka yang mati syahid. Apabila diperiksa tubuh Sa'ad didapati ada tetakan pedang, tikaman tombak dan anak panah di 70 tempat pada tubuhnya.

     Tidak jauh dari Sa'ad bin Rabi' terbaring Amru bin Tsabit atau Al-Ushairam yang juga mengalami luka parah dan sedang menanti ajalnya.

     "Wahai Amru, bukankah engkau menolak seruan kami untuk masuk Islam? Tetapi mengapa engkau menyertai kami dalam perang ini?" tanya Zaid.

     "Apabila mendapat tahu orang Quraisy datang menyerang kerana kebencian mereka terhadap Nabi Muhammad dan agama Allah yang dibawanya maka timbul rasa cintaku terhadap beliau. Maka aku datang berperang bersamanya kerana rasa cintaku kepada Islam. Maka aku pun berperang bersamanya sehingga aku dalam keadaan begini. Sesungguhnya aku beriman kepada Allah dan RasulNya," jawab Amru kemudian dia meninggal dunia.

     Apabila Zaid memaklumkan perkara itu kepada Rasulullah, baginda berkata. "Dia termasuk penghuni syurga."

     "Dia belum pernah melakukan sembahyang. Tetapi kerana rasa cintanya terhadap Islam dan beriman kepada Allah dan RasulNya serta sanggup berjuang di jalan Allah hingga gugur syahid maka tempatnya di syurga," kata Abu Hurairah.

     Antara mereka yang tertewas dalam Perang Uhud adalah Qazman yang menunjukkan kehebatannya kerana dapat membunuh tujuh tentera Quraisy termasuk tiga orang pembawa bendera pasukan Quraisy. Dalam pertempuran merebut bendera Quraisy itu Qazman membunuh Syuraih bin Qarizh, Abu Zaid Amr dan Syurahbil bin Hasyim. Kehebatannya bertempur dengan musuh, maka dia mendapat pujian daripada beberapa orang sahabat. Apabila perkara itu diberitahu kepada Rasulullah maka beliau mengatakan Qazman masuk neraka. Para sahabat berasa hairan kerana Qazman berperang di pihak Islam. Nabi Muhammad menyuruh mereka mencari Qazman.

     Selepas dicari akhirnya mereka menjumpai Qazman yang juga mengalami luka parah tetapi masih belum meninggal dunia.

     "Wahai Qazman, kerana apakah engkau menyertai perang ini?" tanya seorang sahabat.

     "Demi tuhan, aku berperang kerana membela kaumku. Jika kaumku tidak diserang aku tidaklah mahu berperang," jawab Qazman.

     Kemudian Qazman dibawa ke perkampungan Bani Zhafr untuk diberikan rawatan. Tetapi semasa dalam perjalanan Qazman tidak tertahan menanggung kesakitan akibat luka-luka yang dialaminya. Lantas dia bertindak membunuh dirinya.

     Tidak jauh dari Gunung Uhud ada sebuah perkampungan Yahudi Bani Tha'labah. Apabila Mukhairiq mendapat tahu Nabi Muhammad sedang berperang dengan orang Quraisy di Gunung Uhud maka dia pun ingin menyertainya.

     "Kamu hendak ke mana Mukhairiq?" tanya jirannya.

     "Membantu Muhammad berperang melawan musuhnya," jawab Mukhairiq.

     "Bukankah kita juga musuh Muhammad?" marah jirannya.

     "Wahai orang Yahudi sekalian. Bukankah kamu telah mengetahui bahawa kamu akan dikalahkan oleh Muhammad. Kerana itu marilah kita menyebelahinya?" kata Mukhairiq.

     "Bukankah hari ini hari Sabtu? Hari untuk kita beramal ibadat. Bukan hari untuk kita pergi berperang," kata jirannya lagi.

     "Tidak ada lagi hari Sabtu bagi kalian," kata Mukhairiq.

     "Aku pergi membantu Muhammad berperang. Jika aku terbunuh maka hartaku terserah kepadanya. Dia boleh buat apa saja terhadap hartaku," kata Mukhairiq lagi.

     Kemudian dia datang ke Gunung Uhud lalu terjun ke medan perang menyebelahi pasukan muslimin. Dia akhirnya terbunuh.

     Apabila perkara itu dikhabarkan kepada Nabi Muhammad maka baginda pun berkata, "Mukhairiq adalah sebaik-baik Yahudi."

     Mereka juga menemui mayat Hanzalah yang basah seperti baru dimandikan hingga air pada badannya masih menitis. Mereka bertanyakan hal itu kepada Rasulullah dan beliau mengatakan mayat Hanzalah telah dimandikan oleh malaikat.

     "Apakah amalan yang dilakukan oleh Hanzalah sehingga mayatnya dimandikan malaikat?" tanya seorang sahabat.

     "Tanyalah pada keluarganya apa yang telah dia perbuat," jawab Rasulullah.

     Mereka bertanya kepada isteri Hanzalah yang turut datang ke situ bagi mencari suaminya.

     "Kami baru sahaja berkahwin. Belum sempat beliau mandi junub, beliau sudah keluar untuk menyahut panggilan jihad," jawab isterinya. Oleh sebab itu mayatnya dimandikan oleh para malaikat.

     Kemudian Rasulullah memerintahkan mereka mengumpulkan semua para syuhada. Ada yang ingin jenazah itu dibawa pulang ke Madinah tetapi Nabi Muhammad mengatakan semua yang gugur syahid akan dikebumikan di Bukit Uhud bersama dengan pakaian yang mereka pakai.

     Kemudian Nabi Muhammad menghadap ke arah mayat-mayat para syuhada lalu berkata, "Aku adalah saksi bagi mereka. Sesungguhnya setiap yang terluka di jalan Allah akan membangkitkannya pada hari kiamat dalam keadaan luka-lukanya berdarah, warnanya merah tetapi baunya harum kasturi."

     Kemudian mayat para syuhada itu dikebumikan seorang demi seorang. Ada juga antara mereka yang dikebumikan dua orang dalam satu kubur. Apabila sampai giliran Hamzah bin Abdul Mutalib hendak dikebumikan, maka Rasulullah berasa sangat sedih melihat keadaan mayat bapa saudaranya itu yang hampir berkecai kerana dicincang oleh orang Quraisy. Hindun pula telah membelah perut dan dada serta mengeluarkan isinya. Tidak cukup dengan itu, Hindun memotong hidung dan telinga pahlawan Perang Uhud itu.

     Tiba-tiba datang Shafiyyah binti Abdul Mutalib, ibu saudara Nabi Muhammad yang juga adik Hamzah. Dia meminta izin melihat mayat abangnya buat kali terakhir sebelum dikebumikan.

     Rasulullah menyuruh Zubair membawa Shafiyyah pergi dari situ kerana tidak mahu dia melihat keadaan mayat Hamzah.

     "Mengapa aku tidak dibenarkan melihat mayat Hamzah? Aku diberitahu mayat saudaraku itu telah dicincang, perut dan dadanya dirobek. Perkara itu amat menyakitkan hatiku. Tetapi aku akan bersabar apabila melihatnya," kata Shafiyyah.

     Barulah Nabi Muhammad membenarkan Shafiyyah melihatnya. Dia kelihatan tabah apabila melihat mayat saudara kandungnya itu.

     Kemudian Nabi Muhammad menyuruh sahabatnya menguburkan Hamzah dan Abdullah bin Jahsyi dalam satu kubur. Tambahan pula kedua-duanya sepupu dan saudara susu.

     Ketika mayat Hamzah dimasukkan ke dalam kubur dan dihadapkan ke arah kiblat, maka Nabi Muhammad menangis sampai tersedu-sedu. Semua yang berada di situ berkongsi kesedihan bersama Rasulullah. Suasana ketika itu sungguh memilukan dan menyayat hati.

     Selepas perasaannya menjadi reda maka Rasulullah pun berkata, "Wahai bapa saudaraku, aku belum pernah melihat penderitaan seperti yang engkau alami. Aku belum pernah berdiri di satu tempat yang aku lebih murka dari tempat ini. Demi Allah, jika suatu masa nanti Allah memberikan kemenangan kepadaku untuk mengalahkan mereka, nescaya aku perbuat seperti yang belum pernah dibuat oleh seorang pun daripada bangsa Arab."

     Para sahabat turut berikrar akan membalas di atas apa yang telah dilakukan oleh orang-orang Quraisy terhadap para syuhada.

     Allah menurunkan ayat al-Quran surah An-Nahl ayat 126-128.

     "Dan jika kamu memberikan balasan, balaslah dengan cara yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang terbaik bagi orang-orang yang bersabar. Bersabarlah (hai Muhammad) dan tiadalah kesabaran itu melainkan dengan pertolongan Allah. Dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang membuat kebajikan."

Selepas turunnya ayat Quran itu maka lenyaplah perasaan ingin membalas dendam ke atas apa yang telah dilakukan musuh terhadap mereka.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment