Saturday 20 January 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 6 - NASIB MALANG BANI NADHIR ]






NASIB MALANG BANI NADHIR








Rabiul Awal Tahun 4 Hijrah / Ogos Tahun 625 Masihi

Perkampungan Yahudi Bani Nadhir yang terletak di selatan Kota Madinah berhampiran dengan Qubak itu dikelilingi tembok batu yang kukuh. Mereka menamakan kediaman itu 'syurga' kerana di dalamnya ada kebun kurma dan buah-buahan, ada sungai yang mengalir dan keselamatan mereka terjamin kerana musuh tidak dapat menembusinya. Tragedi yang menimpa umat Islam di Raji' dan Bir Ma'unah disambut dengan gembira oleh kaum Yahudi itu dengan harapan umat Islam di Madinah akan menjadi lemah bagi memboleh mereka kembali berkuasa.

     Pada masa yang sama umat Islam Madinah bersedih kerana kehilangan enam orang di Raji' dan enam puluh lapan orang di Bir Ma'unah. Sebelum itu mereka kehilangan tujuh puluh orang dalam Perang Uhud. Nabi Muhammad juga berasa sedih namun baginda berjaya memujuk umat Islam supaya bersabar dengan apa yang berlaku kerana semua itu ada hikmahnya.

     Kemudian Nabi Muhammad mengadakan mesyuarat dengan para sahabatnya bagi membincangkan ganti rugi yang perlu dibayar kepada keluarga dua orang lelaki Bani Amir yang dibunuh Amru dan Ka'ab kerana keliru atau salah sangka.

     "Saya yakin keluarga dua lelaki itu akan menuntut bayaran ganti rugi yang banyak sedangkan harta kita sudah habis dibelanjakan untuk perang," kata Uthman Affan sambil melahirkan rasa sedihnya dengan apa yang berlaku.

     "Kita juga tidak sanggup meminta derma daripada orang ramai kerana mereka masih bersedih dengan keluarga mereka yang syahid di Perang Uhud, di Raji' dan di Bir Ma'unah," kata Ali bin Abi Talib pula.

     Nabi Muhammad mencadangkan mereka meminta bantuan orang Yahudi Bani Nadhir. Tambahan pula mereka sudah mengikut perjanjian saling membantu apabila menghadapi sesuatu masalah. Para sahabat bersetuju dengan cadangan itu. Tambahan pula Bani Nadhir pernah menjalin hubungan yang baik dengan Bani Amir. Mereka tentu dapat menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah itu.

     Keesokan harinya, Nabi Muhammad pergi ke perkampungan Bani Nadhir dengan ditemani sepuluh orang sahabat iaitu Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Ali bin Abi Talib, Uthman Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin Al-Awwam, Talha bin Ubaidullah, Saad bin Muaz, Sa'ad bin Ubadah, dan Usaid bin Hudhair.

     Kedatangan mereka disambut baik oleh Huyai bin Akhtab, Kinanah bin Rabi', Sallem bin Abu Huqaiq, Sallam bin Misykam dan beberapa orang lagi ketua-ketua Yahudi Bani Nadhir. Wajah-wajah mereka memperlihatkan kemesraan sehingga tidak menimbulkan rasa syak wasangka sahabat-sahabat Rasulullah.

     Nabi Muhammad menyatakan maksud kedatangan mereka lalu mengingatkan perjanjian yang dibuat antara Bani Nadhir dengan baginda. Antara kandungan perjanjian itu adalah mereka saling membantu apabila memerlukan. Namun selepas empat tahun perjanjian itu ditandatangani, belum pernah Nabi Muhammad meminta pertolongan daripada Bani Nadhir walaupun bagi menghadapi peperangan.

     Menurut Nabi Muhammad, mereka memerlukan bantuan Bani Nadhir bagi membayar ganti rugi kepada dua orang lelaki Bani Amir yang dibunuh kerana salah sangka.

     "Sekiranya kamu menuntut semula pemberian itu, maka kami akan membayarnya apabila kami sudah mampu," kata Abu Bakar As-Siddiq.

     "Kami juga melantik kamu menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah ini," beritahu Umar Al-Khattab pula.

      "Kami akan memenuhi permintaan kamu. Tetapi kami memerlukan masa yang agak lama bagi mengumpulkan harta yang kamu perlukan itu. Sementara menunggu urusan kami selesai, maka duduklah di bawah tembok itu," kata Huyay bin Akhtab, ketua Bani Nadhir.

     Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya bersetuju menunggu di situ. Huyay bin Akhtab pula segera mengadakan mesyuarat dengan orangnya.

     "Telah datang ke perkampungan kita, Muhammad bersama sepuluh orang pengikutnya yang setia. Mereka datang bagi meminta bantuan berupa haiwan ternakan dan wang bagi membayar ganti rugi kepada orang Bani Amir yang mereka bunuh," kata Huyay bin Akhtab lalu menceritakan peristiwa pembunuhan yang tidak disengajakan itu.

     "Selama ini Nabi Muhammad tidak pernah meminta apa-apa bantuan daripada kita walaupun ketika berlakunya Perang Badar dan Perang Uhud. Kerana itu saya bersetuju bagi memenuhi permintaan mereka. Cuma saya mahukan sokongan dan persetujuan daripada kamu," kata Huyay lagi.

     "Saya pun setuju kita memenuhi permintaan mereka," kata Kinanah pula menyatakan sokongannya.

     "Saya tidak setuju," tiba-tiba Amru bin Jahasy membantah.

     "Mengapa?" tanya Huyay.

     "Ketika ini Muhammad benar-benar dalam keadaan susah. Harta mereka habis digunakan bagi peperangan. Mereka juga sudah lemah kerana tujuh puluh orang pahlawan mereka terbunuh dalam perang Uhud. Enam orang terbunuh di Raji'. Dan ditambah enam puluh lapan orang lagi terbunuh di Bir Ma'unah. Kerana Muhammad dalam keadaan susah dan lemah maka dia datang berjumpa kita bagi meminta pertolongan," jawab Amru.

     "Saya setuju dengan pendapat Amru," sokong Sallem pula. Kemudian katanya lagi, "Sekiranya kita memenuhi pemberian mereka ibarat memberi makan kepada harimau yang lapar. Selepas itu apabila sudah kenyang kita dibunuhnya. Lebih baik kita terus biarkan harimau itu mati kelaparan. Bukankah itu lebih menjamin keselamatan kita?"

     "Benar juga kata kamu itu. Tetapi bukankah kita sudah mengikat perjanjian dengan Muhammad? Saya tidak mahu kita dituduh mungkir janji." Huyay dalam keadaan serba salah.

     "Kita mengadakan perjanjian dengan Muhammad kerana muslihat. Kerana itu tidak ada salahnya sekiranya mungkir janji. Tambahan pula kita sekarang kita lebih kuat daripada mereka. Sekiranya berlaku peperangan dengan mudah kita dapat mengalahkan mereka," pujuk Kinanah yang sudah terpengaruh dengan pendapat Amru dan Sallem.

     "Ular yang bisa tidak dapat melawan lagi apabila kepalanya dipukul," kata Amru pula seperti berteka teki.

     "Apa maksud kamu?" tanya Huyay pula.

     "Orang Islam akan menjadi lemah apabila Muhammad dibunuh. Kerana itu kita bunuh sahaja Muhammad," jawab Amru kerana yakin kekuatan umat Islam bergantung pada Nabi Muhammad. Apabila beliau terbunuh maka lemahlah umat Islam.

     "Benar katanya. Sekarang Muhammad sudah berada dalam perkampungan kita. Dia cuma diiringi sepuluh orang sahabatnya yang tidak membawa senjata. Dengan mudah kita dapat membunuh Muhammad dan semua pengiringnya. Inilah peluang keemasan bagi kita membunuh mereka. Jangan lepaskan peluang ini," kata Kinanah pula.

     "Menarik sungguh cadangan itu. Saya juga lebih suka jika Muhammad mati. Tetapi bagaimanakah cara bagi membunuhnya?" tanya Huyay lagi.

     "Muhammad dan pengiringnya sedang duduk berehat di dinding tembok. Cara paling mudah dengan membunuhnya adalah dengan menjatuhkan batu ke atas kepala mereka. Kita dapat membunuh mereka tanpa pertumpahan darah," jawab Amru dengan harapan cadangannya diterima.
  
     "Siapa yang sanggup melakukannya?" tanya Huyay pula.

     "Saya sanggup," jawab Amru sambil mendabik dadanya.

     Menurut Amru, dia akan memanjat tembok itu dengan membawa seketul batu bagi dijatuhkan ke atas kepala Muhammad.

     "Selepas Muhammad mati pengiringnya pasti menyerah," kata Amru dengan yakin.

     "Ataupun kita katakan itu cuma satu kemalangan yang tidak disengajakan apabila seketul batu terjatuh dari atas tembok itu lalu mengenai kepala Muhammad," kata Huyay pula.

     "Saya juga mahu turut serta. Amru menjatuhkan batu di kepala Muhammad dan saya di atas kepala Abu Bakar," kata Syibab kawan baik Muhammad.

     "Saya juga...," kata seorang lagi.

     Akhirnya sebelas orang menawarkan diri bagi membunuh Nabi Muhammad dan semua pengiringnya. Huyay bersetuju dengan permintaan mereka malah memberi kata-kata semangat.

     "Kamu adalah pahlawan Bani Nadhir yang berani. Sekiranya kamu berjaya membunuh Muhammad dan semua pengiringnya maka nama kamu akan dikenang oleh anak cucu kita pada kemudian hari," kata Huyay dalam usaha menaikkan semangat pemuda-pemuda itu.

     "Saya tidak setuju dengan apa yang kamu mahu lakukan," bantah Sallam bin Misykam. Dia seorang pendeta Yahudi yang sangat dihormati orang ramai.

     "Mengapa?" tanya Huyay minta penjelasan.

     "Apakah kamu menyangka Tuhan Muhammad tidak mengetahui pakatan jahat kamu itu? Muhammad itu pesuruh Allah yang dikurniakan mukjizat. Apa yang sedang kamu perkatakan ini diketahui oleh Allah, Tuhan Muhammad. Dia akan mengkhabarkan rancangan jahat kamu itu kepada Muhammad," jawab Sallam bin Misykam.

     "Apakah tuan percaya Muhammad itu pesuruh Allah?" tanya Kinanah pula.

     "Saya percaya tetapi saya memusuhinya kerana dia bukan orang Yahudi," jawab Sallam.

     "Sekiranya tuan memusuhinya mengapa tuan bersama kami menyambut kedatangan Muhammad dengan begitu mesra?" tanya Kinanah lagi.

     "Saya hanya berpura-pura bersikap baik terhadapnya. Namun dalam hatiku hanya tuhan yang mengetahuinya," jawab Sallam berterus terang.

     "Kami tetap juga mahu meneruskan rancangan ini. Saya yakin pasti berjaya," kata putus Huyay. Dia tidak mahu mendengar nasihat pendeta Yahudi itu.

     "Tahukah kamu, apa hukuman ke atas kamu sekiranya melanggar perjanjian dengan Muhammad?" tanya Sallam bin Musykam.

     "Apabila Muhammad sudah mati, maka perjanjian itu tidak berguna lagi," jawab Huyay sambil tersenyum sinis.

     Mereka tetap mahu meneruskan rancangan itu. Tambahan pula Amru dan kawan-kawannya yang berani sanggup melakukannya. Tetapi Allah Maha Mengetahui. Dia tidak mengizinkan perkara itu berlaku ke atas Nabi Muhammad, Rasul pilihan-Nya. Lalu pakatan jahat orang Bani Nadhir itu disampaikan kepada Rasulullah melalui malaikat Jibrail.

     Apabila Nabi Muhammad mendapat tahu rancangan hendak membunuhnya, maka beliau mengajak sahabat-sahabatnya segera beredar dari situ tanpa memaklumkan kepada orang Bani Nadhir.

     Amru bin Jahasy dan kawan-kawannya pula sudah mengumpulkan batu bagi digunakan membunuh Nabi Muhammad dan para pengikutnya. Mereka memanjat tembok itu sehingga sampai ke puncaknya. Tetapi alangkah hampanya mereka apabila Nabi Muhammad dan para pengikutnya sudah tidak ada.

     "Mengapa Muhammad dan pengikutnya pergi tanpa memaklumkan kepada kita?" tanya Huyay.

     "Mungkin mereka sudah tahu rancangan kita," jawab Amru bin Jahasy.

     "Mustahil dia dapat tahu kerana pakatan rahsia ini hanya kita yang tahu," kata Huyay pula.

     "Bukankah saya sudah beri amaran kepada kamu bahawa Tuhan Muhammad tahu apa yang kamu bincangkan? Kemudian Allah mengkhabarkan kepada Nabi Muhammad rancangan jahat kamu itu," tempelak Sallam bin Musykam.

     "Mungkin juga Muhammad tidak tahu rancangan kita. Mereka balik kerana sudah lama menunggu di bawah tembok itu. Semua itu secara kebetulan sahaja. Jangan kamu risau," pujuk Sallem bin Haqiq, pembantu Huyay.

     Namun Huyay bin Akhtab tetap berasa takut dan cemas. Dia yakin Muhammad sudah mengetahui rancangan jahat mereka. Sekarang menunggu apakah hukuman yang akan dijatuhkan terhadap mereka kerana merancang membunuh Nabi Muhammad.

     Keesokan harinya, Nabi Muhammad mengutus Muhammad bin Maslamah kepada Bani Nadhir. Dia terus menemui Huyay bin Akhtab lalu memarahinya.

     "Kamu sudah melanggar perjanjian dengan Nabi Muhammad. Kerana itu kamu diperintahkan keluar dari Madinah dalam masa sepuluh hari. Sekiranya masih berada di sini, maka leher kamu akan kami penggal."

     "Apa salah kami?" kata Huyay bin Akhtab, berpura-pura tidak tahu.

     "Apabila kamu merancang hendak membunuh Nabi Muhamamd bermakna kamu sudah melanggar perjanjian. Mereka yang melanggar perjanjian mesti dihukum. Oleh itu, kamu diperintahkan keluar dari Madinah," kata Muhammad bin Maslamah.

     "Itu semua fitnah. Kami tidak pernah merancang hendak membunuh Muhammad," nafi Huyay bin Akhtab dengan harapan Muhammad percaya.

     "Allah mengetahui apa yang kamu rancang terhadap Nabi Muhammad. Sebelum terlaksana perkara itu dikhabarkan Allah melalui Jibrail," kata Muhammad bin Maslamah pula.

     "Kami tidak pernah berbuat begitu dan kami menafikannya," bantah Huyay bin Akhtab.

     "Kami taat perintah Allah dan rasul-Nya. Apabila kamu disuruh berpindah, maka segera berpindah. Apabila kami diperintahkan memenggal leher kamu, maka kami akan melakukannya," kata Muhammad bin Maslamah.

     "Mengapa engkau sanggup berkata begitu? Bukankah selama ini kita bersahabat?" tanya Huyay pula.

     "Persahabatan kita sudah putus kerana kamu mengkhianati Nabi Muhammad," jawab Muhammad bin Maslamah.

     Akhirnya Huyay bin Akhtab mengaku bersalah lalu meminta maaf. Tetapi sudah terlambat kerana perintah menyuruh mereka keluar dari Madinah dalam tempoh yang sudah ditetapkan sudah dikeluarkan.

     "Baiklah kami akan keluar. Tetapi berilah masa kami yang lebih lama lagi menyiapkan perbekalan dan barang-barang yang perlu dibawa," kata Huyay bin Akhtab.

     "Kamu diberi masa hanya sepuluh hari. Perintah itu tidak boleh diubah lagi," tegas Muhammad bin Maslamah lalu segera beredar dari situ.

     Orang Bani Nadhir tidak ada pilihan selain keluar dari Madinah. Mereka pun bersiap-siap berpindah. Tetapi apabila Abdullah bin Ubai mendapat tahu perkara itu, dia segera menemui Huyay bin Akhtab.

     "Kamu jangan keluar dari sini. Kami sanggup membantu kalian dengan menghantar dua ribu tentera bagi mempertahankan benteng ini. Mereka sanggup mati demi mempertahankan kalian. Tetapi sekiranya kamu diusir juga, maka kami rela diusir bersama kalian. Kami selamanya tidak akan tunduk kepada sesiapa. Sekiranya kalian diperangi kamu akan dibantu oleh Bani Quraizah dan Bani Ghathfan," kata Abdullah bin Ubai.

     Huyay berasa sangat gembira mendengarnya. Kerana yakin dengan janji Abdullah bin Ubai itu, maka Bani Nadhir tidak jadi keluar dari perkampungan Bani Nadhir. Mereka bersedia mahu berperang. Huyay bin Akhtab mengirim wakil menemui Nabi Muhammad dengan membawa pesanan.

     "Kami tidak akan keluar dari tempat tinggal kami. Buatlah sesuka hati kamu. Itu keputusan muktamad kami," beritahu utusan Huyay bin Akhtab.

     Apabila mendengar kata-kata utusan Bani Nadhir itu, maka Rasulullah bertakbir diikuti para sahabat. Mereka bertekad mahu memerangi Bani Nadhir. Utusan itu disuruh pulang bagi menyampaikan pesan kepada Huyay bahawa angkatan perang muslimin akan menyerang Bani Nadhir.

     Nabi Muhammad menyerahkan urusan Madinah kepada Abdullah bin Ummi Maktum. Bendera angkatan muslimin dipegang Ali bin Abi Talib. Mereka berangkat ke perkampungan Bani Nadhir.

     Apabila Huyay bin Akhtab mendengar berita itu, dia memerintahkan semua orang Yahudi Bani Nadhir masuk ke dalam benteng-benteng pertahanan mereka yang kukuh. Mereka yakin Nabi Muhammad dan pasukannya tidak dapat menembusinya. Sebelum itu, mereka membawa masuk bekalan makanan, air dan senjata ke dalam benteng itu.

     Apabila sampai di perkampungan Bani Nadhir, Nabi Muhammad mendapati semua penduduk kampung itu sudah meninggalkan rumah masing-masing berlindung dalam benteng. Baginda memerintahkan pasukannya mengepung benteng itu. Mereka tidak dapat memasukinya kerana benteng itu dibina dengan kukuh. Apabila cuba menghampirinya mereka dihujani dengan anak-anak panah dan tombak.

     Pada hari pertama, orang Yahudi Bani Nadhir begitu bersemangat kerana yakin mendapat bantuan daripada Bani Quraizah dan Bani Ghathfan. Abdullah bin Ubai juga berjanji mengirimkan dua ribu pejuang bagi membantu mereka. Namun selepas hampir satu minggu terkepung bantuan masih belum sampai. Mereka masih belum mendapat bantuan dari luar.

     Nabi Muhammad pula mahu kepungan itu semakin diperketatkan bagi memastikan tidak ada bantuan dari luar dibawa masuk ke dalam benteng.

     "Orang Islam mengepung kita siang dan malam. Kita tidak dapat keluar. Apa yang patut kita lakukan?" tanya Huyay dalam satu mesyuarat dengan para pembantunya.

     "Kita ada dua pilihan. Pertama menyerah diri ataupun kedua keluar menyerang mereka," kata Amru pula.

     "Saya menyokong pendapat Amru," kata Sallem.

     "Saya ada cadangan yang lebih baik daripada itu," tiba-tiba Azuk bersuara.

     "Apa cadangan kamu wahai Azuk?" tanya Huyay.

     "Saya seorang yang mahir memanah. Izinkan saya keluar bagi memanah Muhammad. Selepas dia mati para pengikutnya akan menjadi kelam kabut dan lemah. Selepas itu baru kamu keluar menyerang mereka," jawab Azuk yang kelihatan begitu bersemangat.

     Cadangan itu diterima dengan sebulat suara. Bagi memberi semangat dan memastikan rancangan itu berjaya maka Azuk ditemani sepuluh orang pahlawan Bani Nadhir yang kesemuanya mahir memanah. Mereka keluar dari benteng itu tanpa disedari pasukan tentera Islam.

     "Saya tidak kenal yang mana satu lelaki bernama Muhammad," kata Azuk yang mula berasa keliru apabila dilihatnya semua tentera Islam berpakaian sama.

     "Saya yakin khemah yang berwarna hijau itu kepunyaan Muhammad. Khemah lain berwarna putih," kata seorang pengiringnya.

     "Baiklah saya akan hampiri khemah itu dan akan memanah lelaki yang keluar dari khemah itu," kata Azuk lalu berjalan terhendap-hendap menghampiri khemah Nabi Muhammad.

     Azuk melepaskan anak panah ke arah khemah Nabi Muhammad dengan tujuan penghuni khemah itu akan keluar bagi melihat apa yang berlaku. Dengan itu memudahkan dia memanah Nabi Muhammad.

     Ali bin Abi Talib yang sedang berkawal, melihat Azuk yang memanah khemah Nabi Muhammad. Dia segera menerpa ke arah Azuk lalu berjaya memenggal lehernya. Kawan-kawan Azuk cuba datang membantu tetapi berjaya dilibas oleh Ali bin Abi Talib dengan pedangnya sehingga beberapa orang lagi terbunuh dan cedera.

     Beberapa orang sahabat Rasulullah yang melihat pertarungan antara Ali dengan pahlawan Bani Nadhir itu segera datang membantu. Akhirnya kesemua mereka dapat dibunuh.

     "Pasukan Muhammad masih kuat. Azuk dan kawan-kawannya dibunuh oleh mereka. Kerana itu lebih baik kita menyerah sahaja," kata Sallem seperti putus asa.

     "Sebaiknya kita bertahan dahulu sementara menunggu bantuan dari luar sampai. Abdullah bin Ubai sudah berjanji membawa dua ribu tentera. Bani Quraizah dan Bani Ghathfan juga akan datang membantu kita," kata Kinanah pula yang tidak bersetuju mereka menyerah kalah.

     "Persoalannya, bila bantuan itu akan datang? Bagaimana sekiranya mereka tidak datang? Akhirnya nanti leher kita akan dipenggal oleh Muhammad," kata Sallam pula.

     "Saya yakin bantuan akan sampai tidak lama lagi. Kerana itu mari kita terus bertahan dalam benteng ini. Tambahan pula kita sudah membuat persiapan dengan menyediakan bekalan makanan selama satu tahun. Muhammad dan pengikutnya tidak dapat menembusi benteng yang kukuh ini," kata Kinanah dengan begitu yakin.

     "Saya yakin Abdullah bin Ubai itu menipu kita. Apakah kamu sudah lupa nasib yang menimpa Bani Qainuqa?" tanya Sallam pula.

     "Abdullah bin Ubai yang menghasut Bani Qainuqa' berperang dengan Muhammad. Sebelum itu dia juga yang menjadi batu api sehingga tercetusnya peperangan antara suku Aus dan Khazraj. Dia sengaja mencetuskan peperangan agar beroleh keuntungan dengan menjual senjata," jawab Sallam. Kemudian katanya lagi, "Abdullah bin Ubai berjanji menghantar dua ribu tentera bagi membantu kita. Dari mana dia dapat pasukan tentera yang begitu ramai? Para pengikutnya cuma sekitar tiga ratus orang. Dia juga mengatakan Bani Quraizah dan Bani Ghathfan akan membantu kita. Sedangkan mereka juga sudah mengikat perjanjian damai dengan Muhammad."

     "Benar juga kata tuan kerana semua jalan masuk dan keluar sudah dikepung oleh pengikut Muhammad. Bantuan hanya dapat sampai sekiranya kepungan itu dapat dipecahkan. Tetapi itu sesuatu yang mustahil kerana pasukan Islam begitu kuat," kata Kinanah pula.

     "Sekiranya begitu mari kita menyerah diri sahaja," kata Amru yang mula berasa gentar.

     "Sebaiknya tangguhkan dahulu bagi menyerah kalah. Kita terus bertahan dalam seminggu lagi. Mungkin Abdullah bin Ubai dalam perjalanan membantu kita," kata Salem pula.

     Selepas lima belas hari dikepung namun Bani Nadhir masih tidak menyerah kalah maka Nabi Muhammad menyuruh para sahabat menebang beberapa batang pokok kurma serta membakarnya. Sehubungan dengan itu, turut ayat Al-Quran surah Al-Hasyr ayat 5.

     "Apa sahaja yang kamu tebang dari pohon kurma (milik orang kafir) atau kamu biarkan (tumbuh) berdiri di atas akarnya maka (semua itu) adalah dengan izin Allah."

     Orang Bani Nadhir mula cemas apabila melihat pokok-pokok di keliling benteng sudah ditebang sebatang demi sebatang. Bantuan yang dijanjikan masih tidak kunjung tiba. Ramai pula yang berasa tidak selesa terkurung di dalam benteng itu.

     "Muhammad pernah melarang kamu membinasakan tanam-tanaman, tetapi sekarang mengapa dia sanggup menyuruh kamu melakukannya?" teriak suara dari dalam benteng Bani Nadhir.

     Namun kata-kata itu tidak dipedulikan. Mereka terus juga menebang pokok kurma itu sebatang demi sebatang.

     "Lihatlah pokok-pokok kurma yang menjadi kesayangan kita sudah ditebang oleh Muhammad. Akhirnya nanti semua pokok kurma milik kita binasa. Apalah gunanya lagi hidup kita," kata kaum wanita yang berasa sungguh sedih apabila melihat pokok kurma mereka ditebang.

     "Beritahu Muhammad, apakah mereka berhenti menebang pokok kurma sekiranya kita menyerah," kata Kinanah pula.

     Huyay menghantar wakil menemui Nabi Muhammad lalu bertanyakan perkara itu. Baginda berjanji pokok kurma itu tidak akan ditebang lagi sekiranya orang Bani Nadhir menyerah diri.

     "Kami bersetuju keluar dari Madinah dengan syarat dibenarkan membawa semua harta milik kami," beritahu utusan itu.

     "Kamu boleh keluar meninggalkan negeri ini dengan selamat dan terpelihara darah kamu. Kamu dibenarkan keluar dengan membawa barang-barang sekadar muatan seekor unta sahaja kecuali senjata," kata Nabi Muhammad.

     Syarat itu disampaikan kepada Huyay dan mereka segera mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkannya.

     "Kita tidak ada pilihan terpaksa keluar dari benteng ini dan meninggalkan Madinah. Kita akan menetap di Khaibar," kata Huyay dengan wajah gembira tanpa secalit pun rasa kecewa. Dia gembira kerana tidak dihukum bunuh.

     "Muhammad memberi tiga syarat pertama keluar dari negeri ini dengan selamat, kedua boleh membawa barang-barang berharga yang dimuatkan di atas seekor unta dan tidak boleh membawa senjata. Ini bermakna kita boleh membawa harta dan barang-barang berharga seperti emas, perak, wang, dan barang-barang perhiasan," kata Huyay lagi.

     "Bagaimana dengan rumah kediaman kita? Apakah kita tinggalkan begitu sahaja?" tanya Kinanah seperti tidak berpuas hati dengan syarat itu.

     "Apakah kita mahu meninggalkan begitu sahaja rumah kediaman kita yang begitu besar dan cantik? Tidak, saya tidak rela rumah-rumah kita dirampas dan didiami oleh Muhammad dan pengikutnya. Saya mencadangkan kita rosakkan rumah-rumah kita supaya tidak dapat mereka diami," kata Amru pula.

     "Saya setuju dengan cadangan itu. Kita ambil kayu dan tiang yang kukuh bagi membina rumah baru di Khaibar nanti. Kayu-kayu yang kukuh itu boleh diletakkan di belakang unta," kata Huyay pula.

     "Bagaimana pula dengan kebun-kebun kurma kita?" tanya Kinanah lagi.

     "Saya tidak rela Muhammad dan pengikutnya memiliki kebun-kebun kita yang subur dan banyak buahnya. Kerana itu mari kita tebang dan musnahkan kebun-kebun kita," kata Amru.

     Ramai yang membantah cadangan itu kerana mereka sayang dengan kebun masing-masing.

     "Kita akan kembali semula ke sini. Kerana itu jangan kita musnahkan kebun-kebun kita. Biarkan mereka mengambil hasilnya tidak mengapa kerana kita akan merampasnya semula dengan bantuan penduduk Khaibar," kata Huyay pula yang begitu yakin mereka akan kembali semula ke perkampungan Bani Nadhir itu.

     "Bagaimana pula dengan hutang piutang kita dengan pengikut Muhammad?" tanya Abu Rafi' Sallam bin Abu Huqaiq pula.

     "Sesiapa yang pernah memberi hutang kepada pengikut Muhamamd perlu menuntutnya semula sebelum kita pergi. Tetapi sesiapa yang pernah berhutang dengan mereka tidak perlu membayarnya kerana kita akan meninggalkan negeri ini," jawab Huyay pula yang merasakan pendapat itu sangat bijak.

     "Apakah Muhammad bersetuju dengan syarat itu?" tanya Amru pula.

     "Aku yakin Muhammad setuju," jawab Huyay lalu menghantar seorang utusan bagi bertanyakan kepada Muhammad berkenaan perkara itu.

     "Wahai Rasulullah, saya berhutang kepada Abu Rafi' Sallam sebanyak lapan puluh dinar. Dia menetapkan faedahnya sebanyak empat puluh dinar menjadikan jumlah hutang saya sebanyak seratus dua puluh dinar. Apakah perlu saya membayarnya? Sedangkan mereka sudah kalah dan akan meninggalkan negeri ini," kata Usaid bin Hudhair dari suku Aus.

     Nabi Muhammad menyuruh Usaid membayar hutangnya sebanyak lapan puluh dinar sahaja kerana empat puluh dinar itu adalah riba yang dilarang Islam. Usaid segera menjelaskan hutangnya.

     "Wahai Rasulullah, apakah Huyay bin Akhtab dan Sallam bin Abu Haqiq juga dibenarkan keluar dengan selamat?" tanya Umar Al-Khattab.

     Rasulullah membenarkan ketua Yahudi Bani Nadhir dan pendeta itu keluar dari Madinah dengan selamat. Berita itu disambut dengan gembira oleh orang Yahudi Bani Nadhir. Malah mereka menganggap itu satu kemenangan, bukan kekalahan.

     "Kita akan keluar dari sini dengan kemegahan dan kegembiraan, bukan dengan kesedihan dan tangisan," kata Huyay lalu menyuruh mereka mengenakan pakaian baru dari kain sutera dan yang mahal pada hari meninggalkan Madinah.

     Mereka juga menyiapkan pasukan pemukul gendang dan penari-penari yang akan mengiringi perjalanan mereka hingga sampai ke Khaibar. Mereka lakukan itu sebagai menunjukkan betapa kerasnya hati mereka yang tidak mahu mengakui kekalahan.

     "Apakah kamu tahu siapa yang menjadi punca malapetaka ini?" tanya Al-Ayyamin bin Umair kepada sahabatnya Abu Said bin Wahab.

     "Siapa lagi sekiranya bukan Amru bin Jahasy. Dia yang mencadangkan Nabi Muhammad dibunuh dengan menjatuhkan batu dari atas tembok. Sekiranya dia tidak melakukan pengkhianatan itu, sudah tentu Nabi Muhamamd tidak mengusir kita dari Madinah," jawab Abu Said yang turut melahirkan rasa kesalnya.

     "Mari kita bunuh Amru. Dia tidak boleh dibiarkan pergi begitu sahaja," beritahu Al-Ayyamin.

     "Sebaiknya kita suruh orang lain yang melakukannya. Dan kita keluar dari sini berjumpa dengan Nabi Muhammad," kata Abu Said mencadangkan.

     "Saya juga berfikiran begitu juga. Nabi Muhamamd pasti memaafkan kita sekiranya kita meminta maaf dan memeluk agama Islam," kata Al-Ayyamin pula.

     Kedua-duanya memujuk Qais seorang Yahudi Bani Nadhir yang turut memusuhi Amru bin Jahasy.

     "Saya sanggup membunuh pengkhianat itu walaupun upahnya cuma sepuluh dinar. Saya tidak lena tidur selagi pengkhianat itu masih hidup," kata Qais sambil meluahkan rasa marahnya terhadap Amru.

     Malam itu Qais membawa sebilah lembing lalu pergi ke rumah Amru. Dia berjaya membunuh mangsanya yang ketika itu sedang tidur. Keesokan harinya orang ramai menjadi gempar dengan kematian Amru. Huyay, Kinanah, Sallem dan Sallam berasa takut sekiranya mereka pula yang menjadi sasaran pembunuh itu.

     Al-Ayyaman dan Abu Sa'id pula keluar dari benteng pada malam itu lalu menghadap Nabi Muhammad. Kedua-duanya memohon maaf dan menyatakan hasrat di hati mereka mahu memeluk Islam. Nabi Muhammad memberi jaminan akan menjaga keselamatan Al-Ayyaman dan Abu Sa'id. Harta mereka juga tidak akan dirampas.

     Sebelum pergi, orang Yahudi Bani Nadhir merobohkan rumah-rumah kediaman mereka bagi dibawa kayu, tiang, pintu dan tingkapnya. Mereka membawa semua harta yang berharga dengan menggunakan sebanyak enam ratus ekor unta. Huyay bin Akhtab, ketua Bani Nadhir menganggap itu satu kemenangan lalu menyuruh orangnya keluar dari benteng dengan gembira. Mereka berarak keluar sambil menyanyi dan menari. Ada pula pasukan pemukul gendang menjadikan mereka seperti sedang berpesta. Nabi Muhammad berpesan supaya jangan diganggu walaupun orang Bani Nadhir menyakitkan hati.

     Akhirnya semua orang Yahudi Bani Nadhir berpindah kecuali tiga orang iaitu Al-Ayyamin dan Abu Sa'id yang sudah memeluk Islam dan Amru bin Jahasy yang sudah terbunuh. Harta Al-Ayyamin dan Abu Sa'id dipulangkan semula dan kedua-duanya hidup bebas bersama keluarga masing-masing.

     Orang Bani Nadhir meninggalkan banyak harta termasuk tanah dan kebun kurma, 50 perisai, 50 topi besi dan 340 bilah pedang. Terdapat juga beberapa ekor kuda perang yang tidak sempat dibawa pergi. Semua harta itu bukan ghanimah atau harta rampasan perang kerana tidak terjadi perang antara orang Islam dengan Bani Nadhir kecuali bertempuran antara Saidina Ali dengan Azuk dan kawan-kawannya. Kerana harta itu bukan rampasan perang maka terserah kepada Nabi Muhammad bagi membahagikannya.

     "Wahai Thabit, panggillah semua kaum kamu," kata Nabi Muhammad kepada Thabit bin Qais bin Syammas daripada Bani Khazraj yang pandai berpidato.

     "Apakah semua orang Khazraj?" tanya Thabit pula.

     "Panggillah semua kaum Ansar," jawab Nabi Muhammad.

     Thabit pun memanggil semua kaum Ansar berkumpul di hadapan Nabi Muhammad. Mereka tertanya-tanya apakah perkara yang mahu disampaikan oleh Nabi Muhammad. Selepas memuji Allah SWT dengan pujian yang layak kepada sifat-Nya yang maha pemurah lagi maha penyayang maka baginda memuji kebaikan orang Ansar yang banyak membantu Muhajirin. Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Sekiranya kamu setuju, saya akan bahagi-bahagikan harta ini yang diberi Allah sebagai fa'i antara kamu dengan Muhajirin. Kerana kaum Muhajirin masih tinggal di rumah kamu dan memakan harta-harta kamu maka sekiranya kamu setuju harta ini akan saya berikan kepada mereka dan mereka keluar dari rumah-rumah kamu," kata Nabi Muhammad.

     Mendengar kata-kata Rasulullah yang menyentuh hati itu maka Sa'ad bin Muaz ketua suku Aus dan Saad bin Ubadah ketua suku Khazraj serentak bangun.

     "Wahai Rasulullah, kami berdua setuju tuan bahagi-bahagikanlah harta-harta ini kepada saudara-saudara kami orang Muhajirin. Tetapi biarkanlah mereka terus tinggal di rumah kami seperti sediakala," kata Sa'ad bin Muaz.

     "Benar wahai Rasulullah, kami bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh saudara kami Sa'ad bin Muaz. Kami rela menyerahkan urusan ini kepada tuan," kata Saad bin Ubadah pula.

     Rasulullah kelihatan senang hati mendengarnya lalu berdoa, "Wahai Allah, kasihanilah orang-orang Ansar dan anak-anak mereka."

     Kemudian Nabi Muhammad membahagikan rumah dan tanah yang ditinggalkan Bani Nadhir itu kepada orang Muhajirin. Dari kalangan orang Ansar cuma tiga orang yang miskin diberikan. Mereka adalah Abu Dujanah Simmak, Sahal bin Hanif dan Al-Harith bin Asy-Syammah.

     Kebun-kebun kurma yang subur pokoknya dan banyak hasilnya tidak diberikan oleh Rasulullah SAW kepada sesiapa, tetapi diserahkan kepada baitulmal.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment