Wednesday 17 January 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 2 - SESUDAH PERANG UHUD ]






SESUDAH PERANG UHUD








Cuaca petang semakin redup. Sinar matahari yang kemerah-merahan menyinari perkampungan Bani Asad bin Khuzaimah yang terletak di sebelah utara Madinah berhampiran dengan Sungai Furat. Dua lelaki memecut laju kuda tunggangan mereka menuju ke perkampungan itu.

     "Tulaihah dan Salamah sudah pulang dari Kota Mekah. Mari kita berkumpul di Balai Bani Asad bagi mendengar berita gembira yang dibawanya," teriak Aswad dengan suara yang nyaring supaya dapat didengar orang ramai.

     "Saya sudah tahu berita yang akan disampaikan itu pasti menggembirakan hati kita," kata Mamluk pula dengan wajah gembira. Kemudian dia menyampung percakapannya. "Tulaihah dan Salamah akan mengatakan Muhammad sudah berjaya dibunuh dan Kota Madinah sudah dapat ditawan kaum Quraisy. Kita akan menyambutnya dengan gembira dan malam ini kita berpesta hingga ke pagi."

     "Saya harap pun begitu juga. Selagi Muhammad masih hidup dia membawa kesusahan kepada kita," kata Salaman, kawannya.

     "Bukan kepada kita sahaja tetapi kepada semua manusia," balas Mamluk.

     Selepas masuk ke perkampungan Bani Asad yang dikawal ketat oleh pasukan pengawal, Tulaihah dan Salamah terus menuju ke Balai Bani Asad yang terletak di tengah perkampungan itu. Orang ramai sudah menunggu. Mereka seolah-olah tidak sabar hendak mendengar berita yang akan disampaikan.

     "Mengapa wajah Tulaihah dan Salamah muram sahaja? Apakah mereka membawa berita yang mendukacitakan kita?" tanya Mamluk dengan rasa kurang enak.

     "Kedua-duanya penat. Maklum sahajalah hari ini cuaca panas dari pagi hingga ke petang. Kerana itu dia berwajah muram," jawab Salaman pula.

     "Saya yakin ada sesuatu yang mendukacitakan hatinya," kata Mamluk.

     Tulaihah dan Salamah mengambil tempat duduk yang disediakan di tengah balai itu. Kedua-duanya meneguk air kerana berasa sangat dahaga. Orang ramai menumpukan perhatian kepada mereka.

     "Jangan lagi buang masa. Sampaikan cepat berita yang kamu bawa," teriak Al-Bark, seorang pembesar Bani Asad.

     Tulaihah berdiri menghadap ke arah orang ramai lalu berkata, "Saya tahu kamu mahu mendengar berita yang menggembirakan serta memuaskan hati. Baiklah saya akan menyampaikannya."

     "Benarkah Muhammad sudah dibunuh? Benarkah Madinah sudah ditawan kaum Quraisy?" tanya Mamluk seolah-olah tidak sabar lagi hendak mendengarnya.

     "Wahai pahlawan-pahlawan Bani Asad, ibu-ibu dan bapa-bapa Bani Asad dan wahai adik-adik dan kakak-kakak Bani Asad. Sesungguhnya Muhammad masih hidup dan Kota Madinah tidak dapat ditawan tentera Quraisy," beritahu Tulaihah.

     Mendengar sahaja kata-kata Tulaihah itu maka orang ramai yang berada dalam balai itu berteriak seperti diserang histeria. Suasana menjadi riuh dan kelam kabut.

     "Siapa pemenang Perang Uhud?"

     "Mengapa Muhammad tidak dibunuh?"

     "Mengapa Madinah tidak ditawan?"

     "Apakah berita ini benar ataupun bohong?"

     "Mustahil."

     "Bohong."

     Teriak orang ramai yang tidak dapat menerima berita itu. Tambahan pula sebelum itu mereka mendapat berita tentera Quraisy menang dalam Perang Uhud. Muhammad terbunuh dan Kota Madinah dapat ditawan. Kerana itu mereka seolah-olah tidak percaya dengan berita yang disampaikan Tulaihah itu. Melihat keadaan itu maka Salamah bangun lalu berusaha menenangkan suasana.

     "Bertenang tuan-tuan dan puan-puan. Saya dan Abang Tulaihah sudah pergi ke Mekah dengan tujuan hendak mengucapkan tahniah kepada para pemimpin Quraisy di atas kemenangan mereka dalam Perang Uhud. Tetapi dukacita dimaklumkan, mereka tidak menang dan tidak pula kalah," kata Salamah.

     "Apa maknanya tidak menang dan tidak kalah?" tanya Mamluk yang wajahnya tampak kecewa.

     "Orang Quraisy mengatakan mereka menang dalam Perang Uhud. Tetapi kemenangan itu tidak memberi apa-apa makna. Apa maknanya menang sekiranya tidak ada seorang pun tentera Islam dapat mereka tawan. Tidak ada harta rampasan perang yang mereka bawa pulang. Lebih malang Muhammad masih hidup dan Kota Madinah tidak dapat ditawan," jawab Salamah sambil melahirkan rasa kecewanya.

     "Bukankah tentera Quraisy dapat membunuh ramai pengikut Muhammad? Itu tandanya mereka menang," bantah Mamluk pula.

     "Memang benar mereka berjaya membunuh seramai tujuh puluh satu orang pengikut Muhammad dalam Perang Uhud. Namun jumlah itu tidak memberi apa-apa makna. Malah memalukan," kata Salamah.

     "Apa yang memalukan?" tanya Salaman pula.

     "Angkatan perang Quraisy lebih ramai daripada angkatan perang Islam. Abu Sufian bin Harb seorang yang kedekut. Tetapi bagi Perang Uhud dia sanggup membelanjakan hartanya bagi mengupah dua ribu orang Habsi bagi menyertai Perang Uhud. Mereka dipimpin oleh Al-Hulais bin Zibyan. Mereka juga mengupah beberapa orang penyair termasuk Abu Azzah bagi menaikkan semangat berperang. Mereka juga berjaya memujuk kaum Kinanah dan Tihamah supaya turut serta.

     "Angkatan perang Quraisy berangkat ke medan perang seramai lebih tiga ribu orang yang terdiri daripada kaum Quraisy, Habsi, Kinanah dan Tihamah. Kelengkapan perang Quraisy mengandungi dua ratus ekor kuda, tiga ribu ekor unta dan tujuh ratus tentera memakai baju besi. Selain itu mereka diiringi tujuh belas orang wanita sebagai penghibur. Tentera berkuda Quraisy dibahagikan kepada dua pasukan sebelah kanan dipimpin Khalid al-Walid dan sebelah kiri Ikramah Abu Jahal.

     "Angkatan perang Quraisy yang begitu hebat dan gagah tidak dapat menghancurkan angkatan perang Islam. Cuma tujuh puluh satu orang yang dapat mereka bunuh. Muhammad dan pembantu setianya Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali masih hidup. Kota Madinah tidak berjaya mereka takluk. Bukankah itu sesuatu yang memalukan?" jawab Salamah dengan panjang lebar.

     "Mungkinkah ada daripada kalangan mereka yang berpaling tadah?" tanya Mamluk lagi.

     "Memang benar kaum Quraisy dikhianati oleh kaumnya sendiri," jawab Tulaihah pula. Dia mendapat semangat semula selepas adiknya Salamah berjaya meyakinkan orang ramai.

     "Siapa yang mengkhianati mereka?" tanya Salaman pula.

     "Abbas bin Abdul Mutalib," jawab Tulaihah.

     "Mustahil kerana dia bukan pengikut Muhammad. Dia juga tidak berhijrah ke Madinah," sanggah Salaman.

     "Walaupun Abbas bin Abdul Mutalib tidak memeluk Islam tetapi dia bersimpati kepada Muhammad. Seperti Abu Talib juga, dia tetap dengan agama asal namun sanggup menjadi pelindung Muhammad sehingga akhir hayatnya," kata Tulaihah.

     "Baiklah, beritahu kami apa yang dilakukan oleh Abbas?" tanya Mamluk pula.

     "Selepas Abbas bin Abdul Mutalib mendapat tahu kaum Quraisy Mekah membuat persiapan bagi menyerang Kota Madinah maka dia menulis surat memaklumkan perkara itu kepada Muhammad. Abbas sanggup mengupah seorang lelaki Ghifar dengan harga yang mahal dengan jaminan surat itu perlu sampai ke tangan Muhammad. Kerana itu Muhammad sempat membuat persiapan berperang sebelum kedatangan pasukan tentera Quraisy.

     "Sekiranya Abbas tidak membocorkan rahsia itu sudah pasti pasukan tentera Quraisy dapat melakukan serangan mengejut ke atas Kota Madinah. Apabila serangan mengejut dilakukan mereka tidak dapat melawan, dengan itu mudah sahaja mereka dikalahkan," jawab Tulaihah lalu menceritakan secara terperinci berkenaan Perang Uhud.

     "Walaupun tujuh puluh satu orang pengikut Muhammad terbunuh, namun tidak dapat melemahkan semangat mereka. Buktinya, selepas mereka pulang ke Madinah pada keesokan harinya Muhammad mengirim pasukan perang bagi mengejar orang Quraisy. Mereka masih mampu berperang sehari selepas pulang dari medan Perang Uhud," kata Salamah pula.

     "Sekiranya begitu saya setuju kaum Quraisy tidak menang dalam Perang Uhud. Kaum muslimin juga tidak menang. Namun saya yakin pasukan perang Muhammad lebih lemah daripada sebelum Perang Uhud," kata Mamluk. Baru dia dapat menerima kenyataan itu. Malah dia sudah berani menyalahkan kaum Quraisy.

     "Orang Quraisy Mekah tidak ada pengalaman berperang. Kerana itu mereka mengupah orang Habsi, Bani Tihamah dan Kinanah," kata Salaman pula.

     Menurut Salam lagi. Cuma sembilan ratus orang Quraisy yang menyertai pasukan perang itu. Selebihnya orang Habsi, Bani Tihamah dan Bani Kinanah.

     "Apabila berlaku pertempuran, mereka yang dahulu melarikan diri kerana mereka berperang kerana dibayar upah," kata Salaman.

     "Saya bersetuju orang Quraisy tidak ada pengalaman berperang. Kerana itu mereka kalah dalam Perang Badar dan tidak dapat mencapai matlamat dalam Perang Uhud," sokong Tulaihah pula.

     Salaman yang petah berucap itu segera mencelah. "Sebenarnya kita Bani Asad yang lebih hebat dan lebih berpengalaman berperang berbanding kaum Quraisy. Dalam kalangan kita ramai pahlawan terbilang, ramai yang mahir menunggang kuda dan membuat senjata. Saya yakin sekiranya berlaku peperangan dengan orang Islam kita pasti beroleh kemenangan."

     "Sekiranya begitu, kita sahajalah yang memerangi Muhammad dan pengikutnya. Kita serang Kota Madinah dan kita bunuh Muhammad," kata Mamluk memberi cadangan.

     "Saya setuju dan kita perlu membuat persiapan dari sekarang," kata Tulaihah.

     "Rahsiakan perkara ini supaya tidak sampai ke pengetahuan Muhammad. Kita akan lakukan serangan mengejut ke atas Kota Madinah," kata Salamah pula.

     Pada masa yang sama, penduduk Kota Madinah masih bercerita berkenaan Perang Uhud. Umat Islam memuji kehebatan pahlawan-pahlawan Islam manakala mereka yang bukan Islam dan munafik pula menunjukkan belang mereka.

     "Sekiranya Nabi Muhammad terima cadangan saya supaya bertahan dari dalam Kota Madinah, perkara sebegini tidak akan berlaku. Kita pastik beroleh kemenangan. Tetapi Nabi Muhammad menolak caangan anak-anak muda. Inilah akibatnya," kata Abdullah bin Ubai lalu pura-pura menunjukkan rasa kesalnya.

     "Kekalahan ini berpunca daripada tindakan kamu yang mengajak tiga ratus orang pengikut kamu menarik diri dari medan perang. Tindakan itu penakut dan munafik," marah Jabir bin Abdullah.

     "Hei Jabir, engkau yang penakut dan munafik. Buktinya engkau langsung tidak pergi ke medan perang. Ketika kami berangkat ke Uhud engkau menyorok dalam rumah. Sedangkan aku dan para pengikutku pergi juga walau separuh jalan," tempelak Abdullah bin Ubai sambil tertawa.

     "Saya tidak pergi berperang selepas mendapat persetujuan Rasulullah. Baginda membenarkan saya tidak ikut serta bagi menjaga adik-adik perempuanku seramai tujuh orang," balas Jabir pula.

     Menurut Jabir bin Abdullah, ayahnya Abdullah bin Amru bin Haram memintanya supaya tinggal di Madinah bagi menjaga adik-adik perempuannya yang seramai tujuh orang. Apabila perkara itu dimaklumkan kepada Nabi Muhammad maka diizinkan.

     "Kerana itu Nabi Muhammad cuma membenarkan saya seorang menyertai tetera Islam seramai 629 orang pergi ke Hamratus Asad. Kamu sendiri tidak dibenarkan oleh Nabi Muhammad menyertainya. Itu membuktikan Rasulullah menaruh kepercayaan terhadap saya dan tidak terhadap kamu," tempelak Jabir pula.

     Abdullah bin Ubai terdiam mendengar kata-kata Jabir itu.

     Kemudian dengan nada suara yang lunak dia berkata, "Boleh kamu beritahu saya apa yang terjadi di Hamratul Asad? Benarkah terjadi permainan tipu muslihat antara Nabi Muhammad dengan Abu Sufian bin Harb? Dan benarkah tentera Quraisy meninggalkan Hamratul Asad sebelum berperang?" Bertalu-talu soalan Abdullah bin Ubai kepada Jabir.

     Menurut Jabir, dalam suasana berperang maka tipu muslihat terhadap musuh memang dibenarkan. Apa yang dilakukan Nabi Muhammad demi menjaga umat dan agama Islam.

     "Selepas meninggalkan medan Perang Uhud, pasukan tentera Quraisy bercadang mahu terus pulang ke Mekah. Mereka berhenti di Hamratul Asad. Di situ berlaku perbalahan sesama mereka kerana ada cadangan mahu menyerbu Kota Madinah tetapi ramai pula yang membantah," kata Jabir lal menceritakannya.

     Kebetulan pada masa itu Abdullah bin Amru al-Mazini hendak mengunjungi keluarganya di Malal yang letaknya tidak jauh dari Hamratul Asad. Apabila sampai di Hamratul Asad dilihatnya pasukan Quraisy sedang berkumpul di sana lalu dia menyusup masuk bagi mengetahui apa yang mereka lakukan. Kemudian Abdullah segera pulang ke Madinah lalu melaporkannya kepada Rasulullah. Nabi Muhammad segera membentuk pasukan tentera bagi menyerang musuh di Hamratul Asad. Tetapi hanya mereka yang terlibat dengan Perang Uhud yang dibenarkan pergi. Ramai yang memohon mahu pergi tidak dibenarkan, kecuali Jabir.

     Di pertengahan jalan pasukan tentera Islam itu bertemu dengan Ma'bad al-Khuza'I dari suku Khuzaah lalu dibawa menghadap Nabi Muhammad. Lelaki itu memeluk Islam. Kemudian Ma'bad al-Khuza'I menawarkan diri bagi membantu tentera Islam. Rasulullah SAW menyuruhnya pergi menemui pasukan Quraisy di Hamratul Aswad bagi menakutkan mereka.

     Kedatangan Ma'bad itu disambut baik oleh Abu Sufian yang menyangka lelaki itu masih belum Islam. Abu Sufian bertanya Ma'bad sekiranya tahu berkenaan pasukan tentera Islam di Madinah. Lalu Ma'bad menjalankan tipu muslihatnya dengan mengatakan Nabi Muhammad sedang memimpin pasukan tentera Islam yang sangat ramai menuju ke Hamratul Asad. Apabila mendengar berita itu Abu Sufian berasa takut lalu segera meninggalkan tempat itu pulang ke Mekah.

     "Benarkah Nabi Muhammad hampir terbunuh dalam Perang Uhud?" tanya Abdullah bin Ubai.

     "Memang benar beliau cedera di bahagian muka. Tetapi Nabi Muhammad tidak lari dari medan perang. Beliau terus bertahan walaupun pada satu ketika hanya tinggal seorang diri," jawab Jabir sambil memuji keberanian Nabi Muhammad.

     "Bagaimana kamu tahu sedangkan kamu tidak turut serta dalam Perang Uhud," Abdullah bin Ubai seperti meraguinya.

     "Saya mendapatkan maklumat itu daripada Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Saya yakin cerita yang disampaikan mereka adalah benar," jawab Jabir.

     "Benarkah Ubai bin Khalaf mati dibunuh Muhammad?" tanya Abdullah bin Ubai lagi.

     "Memang benar dan terbukti kata-kata Nabi Muhammad terhadap Ubai bin Khalaf adalah benar," jawab Jabir.

     "Apa yang dikatakan Nabi Muhammad terhadap Ubai?" tanya Abdullah bin Ubai.

     Menurut Jabir, semasa di Mekah ataupun sebelum Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, pernah Ubai bin Khalaf mengatakan hendak membunuh Nabi Muhammad sambil menunggang kudanya yang bernama Udd.

     "Nabi Muhammad mengatakan beliau yang akan membunuh Ubai dengan izin Allah. Dan kata-kata itu terjadi dalam Perang Uhud," kata Jabir.

     "Boleh kamu ceritakan bagaimana kisah kematian Ubai bin Khalaf?" pinta Abdullah bin Ubai.

     "Mengapa kamu mahu mengetahuinya? Bukankah kamu melarikan diri dari medan perang sebelum bertempur dengan musuh?" tanya Jabir pula.

     "Saya kenal Ubai bin Khalaf. Dia seorang pahlawan Quraisy yang gagah berani dan cekap menunggang kuda. Dia sering memakai baju besi dan topi besi. Saya mahu tahu bagaimana dia dapat dibunuh dengan mudah oleh Muhammad?" jawab Abdullah bin Ubai.

     Menurut Jabir, semasa Perang Uhud tentera Quraisy berlumba-lumba mahu membunuh Nabi Muhammad SAW. Salah seorang daripada mereka bernama Ibnu Qamiah sudah membunuh Mus'ab bin Umair yang disangkanya Nabi Muhammad. Dia berteriak dengan mengatakan Muhammad sudah dibunuhnya.

     Tentera Islam menjadi kelam kabut apabila mendengar pengumuman itu. Malah ada yang mahu berundur dari medan perang. Tiba-tiba Ka'ab bin Malik melihat Rasulullah SAW masih hidup lalu berteriak memberitahu kawan-kawannya baginda masih hidup.

     Ubai bin Khalaf mendengar teriakan Ka'ab bin Malik itu lalu berteriak. "Di mana orang yang mengaku dirinya nabi itu? Mari bertarung denganku sekiranya benar dia seorang nabi. Aku akan membunuhnya dengan tangan kirinya."

     Kemudian dia berteriak lagi, "Di mana Muhammad? Aku akan bunuh dia. Aku tidak akan selamat sekiranya dia selamat."

     "Itu Muhammad," teriak seorang tentera Quraisy lalu meluru ke arah Nabi Muhammad. Ketika itu, Ubai bin Khalaf memakai baju besi dan topi besi. Di tangannya ada sebilah lembing. Apabila melihat kedatangannya, maka beberapa orang sahabat Rasulullah SAW meminta izin menghalangnya. Tetapi tidak dibenarkan oleh Rasulullah SAW. Baginda mahu Ubai bin Khalaf datang menghampirinya.

     Kemudian Nabi Muhammad meminta lembing yang sedang dipegang oleh al-Harith bin As-Syimmah. Baginda menimang-nimang lembing itu dan apabila Ubai bin Khalaf sudah hampir, maka dilontarnya lembing itu terkena sedikit leher Ubai bin Khalaf. Apabila merasa lehernya terluka Ubai berpatah semula ke belakang lalu kembali kepada kawan-kawannya.

     Walaupun lupa itu sedikit sahaja tetapi Ubai berasa paling sakit. Dia tidak mampu lagi bertempur kerana menahan kesakitan. Selepas Perang Uhud tamat Ubai bin Khalaf turut balik ke Mekah bersama angkatan Quraisy tetapi dia mati sebelum sempat memasuki Kota Mekah.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment