Thursday 18 January 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 3 - DENDAM MASIH MEMBARA ]






DENDAM MASIH MEMBARA








1 Muharram Tahun Keempat Hijrah

Bulan mengambang penuh menyinari perkampungan Bani Asad yang terletak di daerah Qatan, sempadan antara Mekah dengan Madinah. Malam itu Tulaihah dan Salamah mengajak orang ramai berkumpul bagi mendapat sokongan mereka dalam usahanya menyerang Kota Madinah. Selepas semuanya berkumpul, maka Tulaihah pun berucap. Dia memulakan ucapannya dengan memuji nenek moyang mereka yang memiliki darah pahlawan.

     "Nenek moyang kita sudah menunjukkan kegagahan dan keberanian sehingga menggerunkan kawan dan lawan. Darah pahlawan mereka sudah mengalir ke dalam jiwa kita. Kita adalah pahlawan kebanggaan Bani Asad," kata Tulaihah dalam usaha membakar semangat orang ramai. Kemudian dia menyambung lagi ucapannya.

     "Sepertimana yang kita sudah maklum, beberapa bulan yang lalu berlaku Perang Uhud antara tentera Quraisy Mekah yang dipimpin Abu Sufian dan tentera Madinah yang dipimpin Muhammad. Akibat peperangan itu, kedua-dua belah iaitu pihak Quraisy di Mekah dan orang Islam di Madinah sudah lemah. Tujuh puluh orang pengikut Muhammad sudah terbunuh. Singa Quraisy Hamzah bin Abdul Mutalib juga sudah mati. Muhammad sendiri mengalami luka parah. Kerana itu mereka sudah lemah, mari kita gunakan kesempatan ini bagi menakluk Madinah," kata Tulaihah dengan gaya penuh bersemangat.

     Kemudian katanya lagi, "Sudah lama kita mahu menakluk Madinah tetapi masih belum dapat kerana sebelum ini berlaku peperangan antara kabilah Aus dan kabilah Khazraj. Kita biarkan mereka berperang sehingga kedua-duanya lemah dan menyerah kalah kepada kita. Tetapi itu tidak berlaku kerana kedua-dua pihak sudah berdamai. Mereka melantik Muhammad menjadi pemimpin."

     "Benar kata abangku Tulaihah," sokong Salamah pula.

     Kemudian katanya lagi, "Kita perlu menakluk Madinah bagi menguasai laluan perdagangan ke Syam. Selain itu dapat menghapuskan agama Islam yang dibawa oleh Muhammad. Apabila kita dapat menguasai laluan perdagangan dan menghapuskan agama yang dibawa Muhammad, maka Bani Asad bin Khuzaimah akan menjadi kuat dan dipandang mulia oleh kabilah Arab dan kabilah Yahudi."

     Bangun pula Uzair seorang lelaki yang paling tua dalam kalangan mereka lalu berkata, "Orang Quraisy Mekah memerangi Muhammad juga kerana mahu menguasai laluan perdagangan ke Syam dan memadamkan agama Islam yang dibawa Muhammad. Tetapi mereka tidak berjaya. Walaupun mereka mengaku menang dalam Perang Uhud, tetapi matlamat mereka masih tidak kesampaian. Laluan perdagangan ke Syam masih dikuasai Muhammad dan pengikutnya. Agama Islam masih berkembang di Madinah dan mula tersebar di semenanjung tanah Arab."

     Tulaihah kurang senang mendengar kata-kata lelaki tua itu lalu berkata, "Orang Quraisy Mekah itu bodoh kerana mengajak Muhammad berperang di luar Kota Madinah. Bagi menakluk Madinah dan menghapuskan agama Islam kita perlu menyerang Kota Madinah. Kita lakukan serangan mengejut supaya mereka tidak sempat melawan lalu menyerah kalah kepada kita."

     "Berperang dengan Muhammad dan pengikutnya tidak dapat dielakkan. Sekiranya tidak sekarang, pada masa akan datang kita terpaksa juga berperang dengan mereka. Lebih baik kita berperang sekarang ketika mereka sedang lemah. Saya yakin dengan mudah kita dapat mengalahkan mereka," kata Salamah dengan penuh bersemangat.

     "Kami sokong!"

     "Kita serang Madinah!"

     "Kita bunuh Muhammad!"

Teriak orang ramai yang semangat mereka berjaya dibakar oleh Tulaihah dan Salamah. Kedua-duanya kelihatan sangat gembira kerana orang ramai memberi sokongan.

     "Mulai hari ini, kita akan membuat persiapan bagi menyerang Kota Madinah. Para petani mestilah menyerahkan sebahagian hasil pertanian mereka bagi kegunaan pasukan tentera kita. Para penternak pula menyerahkan sebahagian haiwan ternakan mereka. Para pedagang menyumbangkan sebahagian daripada keuntungan perdagangan mereka bagi membiayai angkatan perang. Manakala pasukan tentera kita setiap hari menjalani latihan berperang," kata Salamah pula.

     Mereka sebulat suara menyokong cadangan itu. Salamah dan Tulaihah berasa sangat gembira kerana cita-citanya bagi menakluk Madinah akan tercapai tidak lama lagi. Mereka yakin berjaya. Mulai hari itu, orang Bani Asad sibuk membuat persiapan bagi menyerang Madinah. Mereka berjaya menubuhkan pasukan perang berjumlah dua ribu orang. Sebelum menyerang Madinah Tulaihah dan Salamah pergi semula ke Mekah bagi bertemu dengan Abu Sufian bin Harb.

     "Bani Asad akan menyempurnakan apa yang tidak mampu disempurnakan oleh kaum Quraisy Mekah," kata Tulaihah sambil memuji kehebatan orang Bani Asad.

     "Beritahu saya apa maksud kamu yang sebenarnya?" tanya Abu Sufian yang masih tidak faham apa makna kata-kata Tulaihah.

     "Tuhan kita memberi peluang kepada kaum Quraisy bagi menakluk Madinah dan membunuh Muhammad. Tetapi kamu tidak mampu melakukannya. Kerana itu Tuhan memberi peluang kepada kami bagi melakukannya. Bani Asad sedang membuat persiapan bagi menyerang Madinah," jawab Tulaihah sambil mendabik dada dengan mengatakan orang Bani Asad mampu melakukannya.

     "Bukankah lebih baik Bani Asad bergabung dengan kaum Quraisy? Kita sama-sama menyerang Madinah," kata Abu Sufian pula dengan rasa gembira.

     "Kami sendiri mampu melakukannya tanpa bantuan daripada sesiapa. Tujuan kami datang cuma mahu memaklumkan kepada tuan supaya kaum Quraisy jangan campur tangan. Maklum sahajalah Muhammad dan pengikutnya itu adalah kaum Quraisy yang menjadi keluarga kamu. Jangan pula kamu membalas dendam sekiranya ada antara mereka yang terbunuh," kata Salamah pula.

     "Kamu lakukanlah sesuka hati kamu dan kami tidak akan masuk campur. Tambahan pula mereka sudah menjadi musuh kami. Cuma kami berasa kecewa kerana kaum Quraisy tidak diajak bersama," kata Abu Sufian pula.

     "Musuh kamu adalah musuh kami. Sahabat kamu adalah sahabat kami. Kami akan bunuh Muhammad dan semua pengikutnya," kata Tulaihah pula.

     "Sekiranya mereka melawan kamu bunuh tetapi sekiranya mereka menyerah, jadikan tawanan perang dan jualkan kepada kami. Kami sanggup membelinya walaupun dengan harga yang mahal," kata Abu Sufian bin Harb pula.

     "Saya tidak berminat dengan tawanan perang. Kamu boleh membelinya. Tetapi Madinah akan menjadi milik Bani Asad," balas Tulaihah pula.

     Selepas mencapai kata sepakat, maka diadakan perjanjian antara kaum Quraisy dengan Bani Asad. Antara kandungan perjanjian itu ialah kaum Quraisy tidak campur tangan apabila Bani Asad menyerang Madinah. Mereka yang menjadi tawanan perang akan dijualkan kepada kaum Quraisy Mekah. Madinah akan diperintah oleh Bani Asad. Selepas mengikat perjanjian itu maka Talhah dan Salamah pulang semula ke perkampungan mereka.

     Persiapan Bani Asad hendak menyerang Kota Madinah itu tidak lagi menjadi rahsia selepas Abu Sufian menghebahkannya kepada orang ramai. Penduduk Mekah bercakap berkenaan perkara itu. Mereka berharap Bani Asad mampu melakukannya selepas kaum Quraisy tidak mampu melakukannya.

     Pada masa yang sama, Al-Walid bin Zubair seorang lelaki Bani Ta'i yang tinggal tidak jauh dari perkampungan Bani Asad datang ke Madinah. Beliau terus menemui Nabi Muhammad SAW.

     "Wahai Rasulullah, tidakkah tuan tahu yang Bani Asad sedang membuat persiapan bagi menyerang Kota Madinah? Ini bukan khabar angin kerana saya sendiri melihatnya. Mereka sedang membuat latihan berperang dan mengumpulkan makanan dan senjata perang," kata Al-Walid bin Zubair.

     Menurut Al-Walid, beliau memang sering pergi ke perkampungan Bani Asad atas urusan perniagaan. Kerana itu dia mendapat tahu rancangan mereka.

     Nabi Muhammad segera mengadakan mesyuarat dengan para sahabatnya. Ada yang mencadangkan supaya mereka bertahan dari dalam Kota Madinah. Ada pula yang mencadangkan supaya dibentuk pasukan tentera yang besar bagi menyerang Bani Asad. Akhirnya Nabi Muhammad SAW membuat keputusan dengan menghantar seramai 150 orang tentera yang terdiri daripada kaum Ansar dan Muhajirin ke perkampungan Bani Asad. Baginda melantik Abu Salamah bagi memimpin pasukan itu.

     Abu Salamah bin Abdul Asad Al-Makhzumi atau nama sebenarnya Abdullah adalah saudara sepupu dan sesusuan Nabi Muhammad kerana dia anak kepada Birrah binti Abdul Mutalib dan pernah menyusu dengan Thuwalibah Al-Aslamiyyah hamba Abu Lahab yang pernah menjadi ibu susu Nabi Muhammad. Selepas berkahwin dengan Hindu binti Abu Umaiyah Al-Makhzumi mereka mendapat seorang anak lalu dinamakan Salamah. Sejak itu Abdullah dikenali dengan nama Abu Salamah.

     Ketika Perang Uhud Abu Salamah mendapat cedera parah. Baru sahaja lukanya mahu sembuh kini diberi tanggungjawab mengetuai pasukan tentera Islam ke perkampungan Bani Asad. Beliau menganggap pelantikan itu sebagai satu penghormatan daripada Rasulullah SAW.

     Kerana begitu teguhnya para sahabat menyimpan rahsia, maka keberangkatan pasukan tentera itu tidak diketahui oleh orang Yahudi dan munafik. Tambahan pula mereka bergerak pada waktu malam. Turut serta dalam pasukan itu adalah Abu Ubaidah Al-Jarrah, Saad bin Abi Waqas dan Usaid bin Hudzair. Sebahagian daripada mereka menunggang kuda dan sebahagian lagi menunggang unta. Al-Walid bin Zubair menjadi penunjuk jalan.

     Nabi Muhammad berpesan supaya mereka bergerak pada waktu malam dan berhenti pada siang hari supaya pergerakan mereka tidak diketahui pihak musuh. Mereka juga disuruh melalui jalan yang tidak pernah dilalui orang ramai. Abu Salamah patuh dengan pesan Rasulullah. Mereka keluar dari Kota Madinah pada waktu tengah malam terus menuju ke perkampungan Bani Asad. Apabila masuk waktu sembahyang subuh, mereka berhenti lalu sembahyang berjemaah. Kemudian, mereka mencari tempat bagi bersembunyi supaya mereka tidak dapat dikesan oleh sesiapa. Selepas berjalan selama dua minggu baru mereka sampai di perkampungan Bani Asad.

     Abu Salamah tidak terus memerintahkan pasukan tenteranya menyerang tetapi mereka berehat dahulu melepaskan penat. Pada keesokan harinya, selepas sembahyang subuh barulah mereka menyerang perkampungan Bani Asad. Oleh sebab kedatangan pasukan Islam itu tidak diduga dan serangan itu dilancarkan secara mengejut maka orang Bani Asad tidak mampu menentangnya. Ramai yang terpaksa menyerah kalah. Tulaihah dan Salamah dapat melarikan diri bersama sekumpulan pasukan tenteranya. Mereka sempat membawa binatang ternakan dan harta.

     Apabila Abu Salamah mendapat tahu, maka dia mengarahkan pasukan tenteranya mengejar mereka yang melarikan diri itu. Setelah berlaku kejar-mengejar akhirnya Salamah dan Tulaihah terpaksa meninggalkan binatang ternakan dan harta yang mereka bawa bagi memudahkan mereka melarikan diri. Maka semua itu dijadikan harta rampasan perang lalu dibawa pulang ke Madinah.

     Penduduk Madinah gembira menyambut kepulangan pahlawan-pahlawan mereka yang membawa harta rampasan yang banyak dan mereka mendapatkannya tanpa pertumpahan darah. Rasulullah membahagikan mengikut hukum Islam.

     Semasa Perang Uhud, Abu Salamah tercedera. Apabila dilantik menjadi ketua pasukan tentera pasukan ke perkampungan Bani Asad maka beliau terus mematuhi perintah Rasulullah SAW itu. Selepas pulang ke Madinah, luka yang beliau alami semakin parah. Akhirnya beliau meninggal dunia. Rasulullah SAW berada di sisi sahabatnya itu dan bertakbir sebanyak sembilan kali selepas Abu Salamah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

     Abu Salamah pergi menghadap Ilahi dengan meninggalkan balu bernama Hindun bintin Zadur Rakib atau lebih dikenali dengan nama Ummu Salamah. Tidak lama kemudian Abu Bakar As-Siddiq cuba melamarnya tetapi ditolak oleh Ummu Salamah dengan baik. Kemudian Umar Al-Khattab pula melamarnya. Namun ditolak juga oleh Ummu Salamah. Akhirnya Nabi Muhammad sendiri yang melamarnya.

     "Saya sudah tua, kuat cemburu dan ramai anak," kata Ummu Salamah.

     "Berkenaan usia saya lebih tua daripadamu. Berkenaan cemburu Allah akan menghilangkannya. Anak-anakmu itu urusan Allah dan Rasul-Nya," kata Nabi Muhammad pula. Akhirnya Ummu Salamah menjadi isteri Nabi Muhammad SAW.

     Abdullah bin Ubai dan beberapa orang munafik menjadikan beberapa isu bagi memecahkan perpaduan umat Islam. Antara isu yang mereka pertikaikan adalah pembahagian harta rampasan perang Bani Asad.

     "Harta rampasan Perang Badar dan Perang Uhud dibahagi dengan adil. Tetapi mengapa harta rampasan Bani Asad tidak dibahagi dengan adil?" tanya Abdullah bin Ubai.

     Abu Bakar As-Siddiq tampil membela Rasulullah SAW dengan menerangkan sekiranya harta perang itu diperoleh tanpa berlaku peperangan maka dinamakan Fa'I, hukumnya 80 peratus adalah untuk Allah dan Rasul-Nya, manakala dua puluh peratus untuk pasukan yang pergi berperang."

     Di perkampungan Bani Asad pula, Salamah dan Tulaihah serta saki-baki pasukan tenteranya terus melarikan diri hingga ke perkampungan Bani Lihyan yang terletak di Uranah. Kemudian mereka menemui Sufyan bin Khalid Al-Lihyani, ketua Bani Lihyan lalu memujuknya menyerang Madinah.

     "Sekiranya kamu bersetuju, maka aku sanggup menyerahkan pasukan tenteraku supaya bergabung dengan pasukan tentera kamu," kata Salamah bersungguh-sungguh.

     "Sekiranya masih belum mencukupi, kami sanggup memanggil semua lelaki Bani Asad bagi bergabung dengan kamu. Para petani kami sanggup memberikan hasil tanaman dan pedagang kami sanggup memberi harta mereka bagi membeli senjata," pujuk Tulaihah pula.

     "Apa yang saya dapat sekiranya menyerang Madinah?" tanya Sufian minta kepastian.

     "Kamu akan kami lantik menjadi Raja Madinah. Muhammad dan para pengikutnya kita jadikan tawanan perang lalu dijual kepada pembesar Quraisy Mekah dengan harga yang mahal," pujuk Tulaihah.

     "Apa yang lebih penting, jasa kamu dapat membunuh Muhammad dan dapat memadamkan agama yang dibawanya akan dikenang oleh anak cucu kita selamanya," pujuk Salamah pula.

     Akhirnya, Sufyan bersetuju dengan permintaan itu. Dia mengarahkan Bani Lihyan membuat persiapan bagi menyerang Madinah. Mereka berkumpul di Wadil Urainah yang terletak dalam kawasan Arafah. Berita itu menjadi perbualan penduduk Mekah dan sampai ke pengetahuan Abdullah bin Abbas. Beliau memaklumkan perkara itu kepada Nabi Muhammad SAW.

     Berita itu sampai kepada Rasulullah. Bagi memastikan benar atau tidaknya berita itu, maka beliau menyuruh Abdullah bin Unais pergi ke Wadil Urainah bagi menyiasat. Dia dikehendaki pergi seorang diri. Sekiranya berita itu benar, maka Abdullah bin Unais diperintahkan membunuh Sufyan bin Khalid.

     "Wahai Rasulullah, saya tidak pernah berjumpa dengan lelaki itu. Bolehkah Rasulullah terangkan kepada saya bagaimana rupanya?" tanya Abdullah bin Unais. 

     Nabi Muhammad juga tidak pernah melihat lelaki itu. Namun kerana baginda seorang yang membawa kebenaran maka Allah tunjukkan rupa wajah Sufyan.

     "Dia adalah seorang lelaki yang mana apabila kamu melihat mukanya kamu akan berasa takut kepadanya. Kamu akan terkejut, gementar serta kamu akan teringat kepada syaitan," kata Rasulullah SAW.

     "Wahai Rasulullah, saya tidak pernah berasa takut kepada sesiapa pun kecuali Allah," kata Abdullah bin Unais. Kemudian katanya lagi, "Wahai Rasulullah, izinkan saya berbohong serta memperdayakan lelaki itu agar memudahkan saya membunuhnya."

     "Katakanlah apa sahaja yang kamu rasa perlu asalkan tujuannya tercapai," kata Rasulullah SAW.

     Abdullah bin Uanis adalah pahlawan Ansar yang gagah dan berani. Beliau segera menuju ke Wadil Urainah dengan berjalan pada waktu malam dan berehat pada waktu siang. Beberapa hari kemudian dia sampai di tempat yang dituju. Abdullah terus menemui Sufyan.

     Ketika itu Sufyan sedang dikawal oleh berpuluh orang tentera Habsi. Apabila terpandang sahaja muka lelaki yang menakutkan itu maka hati Abdullah segera berbisik, 'Sesungguhnya Allah benar dan Rasul-Nya pun benar. Muka lelaki itu memang menakutkan.'

     Sufyan yang menyedari kedatangan Abdullah segera bertanya, "Kamu siapa?"

     "Saya orang Arab," jawab Abdullah.

     "Dari mana?" tanya Sufyan.

     "Dari tanah arab," jawab Abdullah.

     "Dari suku apa?" tanya Sufyan lagi.

     "Suku Khuza'ah," jawab Abdullah yang sengaja berbohong bagi memperdayakan Sufyan.

     "Apa tujuan kamu datang ke mari?" tanya Sufyan lagi.

     "Kedatangan saya kerana ada satu keperluan yang amat penting dengan tuan," jawab Abdullah sambil menunjukkan sikap ramahnya.

     "Apakah keperluan kamu itu?" tanya Sufyan lagi.

     "Saya ada mendengar tuan sedang mengumpulkan orang ramai bagi memerangi Muhammad. Kerana itu saya datang menemui tuan. Sekiranya benar, saya menawarkan diri bagi menyertai tuan. Saya seorang pahlawan suku Khuza'ah," jawab Abdullah.

     "Memang benar saya sedang membuat persiapan menyerang Madinah," kata Sufyan dengan gembira.

     "Sesungguhnya musuh tuan itu adalah musuh saya juga. Saya sanggup bersama tuan memeranginya," pujuk Abdullah.

     Sufyan akhirnya dapat diperdayakan oleh Abdullah sehingga dijemput masuk ke dalam khemahnya bagi berbual-bual. Kemudian Sufyan mempelawa Abdullah pergi bersiar-siar bagi melihat persiapan yang sudah dibuatnya. Mereka berjalan berdua sahaja tanpa diawasi sesiapa.

     "Alangkah cantiknya rambut tuan. Bolehkah saya meletakkan tangan di atas kepala tuan?" tanya Abdullah pura-pura terpesona melihat rambut Sufyan yang panjang.

     "Boleh apa salahnya," jawab Sufyan dengan rasa bangga.

     Abdullah pun meletakkan tapak tangannya di atas kepada Sufyan sambil mengusap-usap rambutnya.

     "Bolehkah sekali lagi saya meletakkan tapak tangan saya di atas kepala kamu?" pinta Abdullah.

     "Boleh apa salahnya," jawab Sufyan tanpa mengesyaki apa-apa.

     Kali ini tangan kiri Abdullah mengusap rambut Sufyan manakala tangan kanannya mencabut pisau yang tersisip pada pinggangnya lalu memotong leher Sufyan hingga kepala berpisah daripada badannya. Kemudian Abdullah membungkus kepala lelaki itu bagi ditunjukkan kepada Rasulullah.

     Kematian Sufyan yang mengerikan itu menimbulkan kegemparan pasukan tenteranya. Mereka berkeliaran bagi memburu Abdullahh yang dipercayai melakukan pembunuhan itu. Abdullah pula tidak terus melarikan diri pulang ke Madinah. Sebaliknya mencari tempat perlindungan di dalam sebuah gua di kawasan Arafah.

     Berlaku satu keajaiban apabila labah-labah membuat sarang di pintu gua itu selepas Abdullah masuk ke dalamnya. Apabila tentera Habsyi sampai mereka dapati banyak sarang labah-labah pada pintu masuk gua itu lalu mereka meninggalkannya. Selepas hari malam barulah Abdullah keluar dari gua itu lalu meneruskan perjalanan hingga akhirnya selamat sampai ke Madinah. Sebagai menghargai jasa Abdullah maka Nabi Muhammad menghadiahkannya sebatang tongkat.

     Buat seketika, keadaan Madinah tenang dan aman. Tidak ada musuh yang cuba mengganggu. Kehidupan di Madinah kembali tenang. Namun orang Islam tetap berwaspada kerana musuh mereka hanya menunggu masa bagi menyerang.

     Pasukan tentera Bani Lihyan dan suku Huzail yang sudah membuat persiapan menyerang Madinah, terpaksa menangguhkan dulu rancangan mereka kerana kehilangan ketua. Mereka akhirnya dipimpin oleh ketua yang baru. Rancangan terus diatur bagi membinasakan umat Islam di Madinah.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment