Monday 22 January 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 7 - PERANG ZATUR RIQA' ]






PERANG ZATUR RIQA'








Rabiul Awal Tahun 4 Hijrah

Abu Sufian bersama tiga orang pengiringnya memecut laju kuda tunggangan mereka menuju ke perkampungan Bani Tha'labah yang terletak di utara Kota Mekah. Apabila sampai, mereka terus menemui Ghauras, ketua Bani Tha'labah.

     "Selamat datang sahabatku Abu Sufian. Pasti ada hajat yang besar menyebabkan tuan sanggup datang ke sini," kata Ghauras yang menyambut kedatangan Abu Sufian dengan mesra.

     "Ada perkara penting yang mahu saya sampaikan. Pastinya ada kaitan dengan masa hadapan Bani Tha'labah dan Bani Muharib," kata Abu Sufian seraya mempamerkan wajah sedihnya.

     "Saya sudah bersedia mendengarnya," balas Ghauras sambil memandang tepat ke muka Abu Sufian.

     "Tidakkah kamu tahu yang Muhammad sudah menghalau Bani Nadhir keluar dari Madinah? Sekarang mereka menjadi pelarian di Khaibar," kata Abu Sufian sambil melahirkan rasa kesalnya.

     "Bukankah Bani Nadhir sudah membuat perjanjian dengan Muhammad? Mengapa mereka dihalau keluar dari Madinah?" tanya Ghauras yang kelihatan terkejut apabila mendengar berita itu.

     "Muhammad tidak boleh dipercayai. Kerana itu tidak ada faedahnya membuat perjanjian damai dengannya. Bani Qainuqa' juga membuat perjanjian damai dengan Muhammad. Mereka dihalau dari Madinah. Sekarang giliran Bani Nadhir pula. Esok ataupun lusa giliran Bani Quraizah dan Bani Ghathfan pula," jawab Safwan sebelum sempat Abu Sufian menjawabnya.

     "Sesungguhnya berita itu mengejutkan saya. Apa yang patut kita lakukan sekarang?" tanya Ghauras pula.

     "Mari kita serang Madinah. Muhammad dan semua pengikutnya perlu ditangkap ataupun dibunuh. Mereka tidak patut dibiarkan terus berkuasa," jawab Abu Sufian pula.

     "Menyerang Madinah bukan sesuatu yang mudah. Nenek moyang kita dahulu pernah melakukannya beberapa kali tetapi tidak berjaya. Apakah kita mahu mengulangi kegagalan itu?" tanya Ghauras lagi.

     "Keadaan sekarang sudah berubah selepas Madinah dikuasai Muhammad dan pengikutnya. Mereka menghalau Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir keluar dari Madinah. Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Kita perlu bertindak," jawab Abu Sufian.

     "Saya tidak mahu berperang dengan Muhammad. Tambahan pula mereka tidak pernah lagi mengganggu kami," kata Ghauras yang enggan mengikut kehendak pemimpin Quraisy itu.

     "Bukankah setahun yang lalu Muhammad pernah datang ke sini menyerang Bani Tha'labah dan Bani Muharib? Tidak mustahil dia akan datang sekali lagi menyerang kamu," hasut Abu Sufian pula.

     "Saya akan membuat persiapan bagi mempertahankan diri tetapi bukan menyerang Madinah." Ghauras mempertahankan pendiriannya tidak mahu bermusuhan dengan Nabi Muhammad.

     Abu Sufian berasa kecewa kerana Ghauras tidak mahu menurut kehendaknya. Namun dia tidak berputus asa lalu pergi ke Khaibar bagi bertemu dengan Huyay pemimpin Bani Nadhir.

     "Ketika berada di Madinah kami dipandang mulia dan hidup kami senang dan kaya-raya. Tetapi sekarang keadaan sudah berubah. Kami menjadi pelarian menumpang hidup di negeri orang. Mereka memang hina terhadap kami," kata Huyay sambil meluahkan perasaannya kepada Abu Sufian.

     "Semua ini salah kita juga kerana cuba mengkhianati Muhammad. Bukankah saya sudah beri amaran supaya jangan cuba membuat pakatan membunuh Muhammad kerana Tuhannya pasti akan memberitahu dia. Sesungguhnya Muhammad dijaga oleh Allah yang maha berkuasa," kata Sallam bin Musykam yang turut menyambut kedatangan pemimpin Quraisy itu.

     "Sekiranya kamu takut dengan Muhammad, mengapa ikut kami berpindah ke sini? Mengapa tidak tinggal sahaja di Madinah dan menjadi pengikut Muhammad?" marah Huyay pula.

     "Aku sayang kepada Bani Nadhir sebab itu aku masih bersama kamu. Walaupun aku yakin Muhammad itu memang seorang rasul dan agama yang dibawanya adalah benar, namun aku lebih suka berada dengan kaumku Bani Nadhir," kata Salam bin Musykam.

     "Mengapa kamu menyebelahi Muhammad? Bukankah dia musuh kamu?" marah Abu Sufian.

     "Saya bukan menyebelahi Muhammad. Cuma mengingatkan kamu. Dahulu saya melarang kamu mengkhianati Muhammad, tetapi kamu degil. Sekarang apa sudah jadi?" tanya Salam bin Musykam pula.

     "Dia sudah tua kerana itu jangan pedulikannya," kata Salem bin Abul Haqiq pula.

     Kemudian katanya lagi, "Kita perlu berusaha bagi kembali semula ke tanah air kita. Madinah perlu kita rebut semula dari Muhammad dan pengikutnya. Mereka akan kita bunuh ataupun kita usir dari Madinah."

     "Saya setuju dengan kata-katanya dan sanggup memberi bantuan," kata Abu Sufian dengan wajah gembira.

     "Selain bantuan daripada penduduk Mekah, saya akan minta bantuan daripada Bani Quraizah dan Bani Ghathafan," kata Huyay yang juga kelihatan gembira kerana Abu Sufian menjanjikan bantuan bagi merebut semula Madinah.

     "Bani Quraizah dan Bani Ghathafan tidak boleh dipercayai kerana menyebelahi Muhammad. Kerana itu mereka tidak memberi bantuan ketika kami dikepung oleh Muhammad," kata Abu Sufian pula.

     "Benar juga kata kamu. Saya akan meminta bantuan daripada orang Bani Muhari dan Bani Tha'labah," kata Huyay pula.

     "Saya sudah menemui Ghauras tetapi dia seorang yang penakut tidak layak dilantik menjadi ketua Bani Tha'labah," kata Abu Sufian lalu menceritakan pertemuannya dengan Ghauras.

     "Saya mempunyai hubungan yang baik dengan Ghauras. Kami sering bersama pergi berniaga di Syam. Saya yakin Bani Tha'labah dan Bani Muhari sanggup membantu," kata Huyay dengan begitu yakin.

     "Pujuklah Ghauras supaya bersatu dengan kita memerangi Muhammad," pesan Abu Sufian sebelum pulang ke Mekah.

     Keesokan harinya, Huyay dan Salem bin Abul Haqiq menuju ke perkampungan Bani Muhari yang terletak tidak jauh dari Khaibar. Kedatangan mereka disambut dengan baik.

     "Kami bersimpati dengan apa yang menimpa kamu. Apa yang dapat kami bantu?" tanya Jusam, ketua Bani Muhari.

     "Muhammad dan pengikutnya sudah mengusir kami dari Madinah. Tanah dan hasil tanaman kami dirampas. Rumah dan ternakan kami juga mereka ambil. Malah senjata dan perisai kami juga mereka rampas. Kami keluar dari Madinah hanya sehelai sepinggang," kata Huyay dalam usaha bagi meraih simpati Jusam, yang juga kawan baiknya.

     "Kami tidak akan berdiam diri selagi Muhammad dan pengikutnya belum dihapuskan dan harta kami yang mereka rampas dapat semula," kata Huyay.

     "Marilah membantu kami menyerang Madinah. Sebagai balasannya, kamu akan dibenarkan memiliki tanah-tanah yang subur di Madinah. Kamu tidak perlu lagi hidup berpindah-randah," pujuk Salem pula.

     "Tawaran kamu itu sungguh menarik. Kami sudah lama ingin memiliki tanah yang subur, rumah yang cantik dan kuda tunggangan yang baik," kata Jusam.

     Orang Bani Badwi Muhari juga memang sudah lama menaruh rasa dengki terhadap Nabi Muhammad dan para pengikutnya. Apabila mendapat tawaran itu dengan mudah mereka menerimanya.

     "Kami sanggup membantu dengan syarat apa yang kamu janjikan tadi ditunaikan," kata Jusam lalu menyatakan kesediaannya menyerang Madinah.

     "Kita juga perlukan bantuan Bani Tha'labah. Mari kita pujuk Ghauras supaya bersatu dengan kita," cadang Huyay dan dipersetujui Jusam.

     "Saya ketua Bani Muharib sanggup menyerahkan kuasa kepada kamu sekiranya kamu sanggup bersatu dengan kami menyerang Madinah," pujuk Jusam apabila bertemu dengan Ghauras.

     "Kamu akan menjadi ketua Bani Tha'labah dan Bani Muharib. Alangkah ruginya sekiranya kamu menolak tawaran ini. Jusam sanggup menyerahkan kuasanya demi memastikan Madinah dapat ditawan semula," kata Huyay yang bersungguh-sungguh memujuk Ghauras.

     Akhirnya Ghauras setuju. Sejak hari itu, Bani Muharib dan Bani Tha'labah membuat persiapan menyerang Madinah. Bagi membesar serta menguatkan lagi pasukan tenteranya maka Ghauras menemui Bani Qais bin Fazarah yang mendiami lembah Syadukh.

     "Saya bersetuju dan mencadangkan lembah Syadukh dijadikan markas bagi melatih tentera kita berperang," kata Fazarah mencadangkan.

     Huyay bersetuju dengan cadangan itu. Tambahan pula lembah Syadukh itu memang sesuai dijadikan tempat latihan tentera.

     "Saya mencadangkan kita hubungi Da'thur bin Al-Harith di Madinah," kata Khalid mencadangkan.

     "Untuk apa?" tanya Ghauras pula. Dia berasa kurang senang mendengar nama itu.

     Kira-kira setahun yang lalu, Da'thur berjaya menyatukan Bani Tha'labah dan Bani Muharib bagi menyerang Madinah dan mereka sudah membuat persediaan. Namun rancangan itu gagal selepas Nabi Muhammad mengetahuinya. Ekoran itu berlaku Perang Zil Ammar yang berakhir dengan Da'thur tunduk kepada Rasulullah lalu memeluk Islam. Sekarang dia berpindah ke Madinah dan tempatnya kini digantikan Ghauras.

     "Kita pujuk dia supaya berpaling tadah. Apabila kita menyerang Madinah, Da'thur dan pengikutnya bertindak dari dalam," jawab Khalid lalu menyatakan kesediaannya memujuk Da'thur.

     "Apakah Da'thur mahu menyebelahi kita?" tanya Salem ragu.

     "Sekiranya diberi harta yang banyak pasti dia mahu menyebelahi kita," kata Huyay dengan begitu yakin. Maka Khalid dibekalkan dengan harta bagi dihadiahkan kepada Da'thur.

     Khalid segera pergi ke Madinah menemui Da'thur lalu memujuknya supaya mengkhianati Nabi Muhammad.

     "Semasa tuan menjadi ketua Bani Tha'labah, tuan dipandang mulia dan dihormati ramai. Tuan seorang yang kaya-raya, memakai pakaian sutera yang mahal dan menikmati makanan dan minuman yang enak. Tetapi sekarang selepas tuan menjadi pengikut Muhammad dan berpindah ke Madinah tuan menjadi orang miskin dan dipandang hina," kata Khalid dalam usahanya memujuk Da'thur supaya berpaling tadah.

     "Kamu tidak tahu apa yang saya rasakan," kata Da'thur pula.

     "Apakah kamu berasa miskin, terhina dan terbuang?" tanya Khalid pula.

     "Selepas memeluk agama yang dibawa Nabi Muhammad, saya merasakan diri saya bagaikan baru dilahirkan. Jiwaku tenang dan hatiku tenteram. Kerana itu saya tidak memerlukan lagi harta kekayaan kerana itu dapat melekakan. Sekarang aku menumpukan usahaku untuk berdakwah dan beramal ibadat," jawab Da'thur.

     "Saya tidak mengajak kamu berpaling daripada agama yang dibawa Muhammad. Kamu boleh terus menganutnya. Cuma saya mahu menawarkan hadiah bagi tugas yang sangat mudah," pujuk Khalid.

     "Apakah tugasnya?" tanya Da'thur pula.

     "Bekerja dengan saya dan kamu menurut apa perintahku. Itu sahaja," pujuk Khalid.

     "Apa perintahmu?" Da'thur terus bertanya.

     "Buat sementara waktu kamu duduk sahaja di Madinah. Apabila sampai waktunya nanti saya beri arahan kepada kamu," jawab Khalid.

     "Saya perlu berbincang dahulu dengan Nabi Muhammad. Sekiranya dia bersetuju baru saya menerimanya."

     "Perkara ini hanya rahsia kita berdua. Jangan beritahu Muhammad," kata Khalid. Lalu dia berterus terang menceritakan rancangannya mahu menyerang Madinah.

     "Alangkah hinanya saya sekiranya saya menerima permintaan kamu itu. Sesungguhnya iman yang ada dalam hatiku ini lebih bernilai daripada harta yang kamu bawa," marah Da'thur lalu menyuruh Khalid membatalkan rancangan itu.

     "Sekiranya Ghauras menyerang Madinah maka aku sendiri yang akan mmebunuhnya," kata Da'thur memberi amaran.

     Khalid segera pulang lalu menyampaikan kata-kata Da'thur kepada Ghauras. Da'thur pula memaklumkan kepada Nabi Muhammad rancangan Bani Tha'labah dan Bani Muharib mahu menyerang Madinah. Namun Muhammad segera memimpin pasukan 400 orang menuju ke perkampungan Bani Tha'abah dan Bani Muharib.

     Nabi Muhammad melantik Uthman Affan sebagai wakil di Madinah dan menyerahkan bendera pasukan kepada Ali bin Abi Talib. Kerana berita itu belum dipastikan kebenarannya maka mereka tidak bercadang terus menyerang Bani Tha'labah dan Bani Muharib. Mereka datang bagi mencegah berlakunya serangan itu. Sekiranya dapat menakutkan musuh tanpa berlakunya pertempuran itu adalah lebih baik. Kecuali sekiranya musuh sudah melancarkan serangan.

     Mereka singgah dahulu di Lembah Syudukh yang didiami Bani Qais bin Fazarah.

     "Muhammad dan para pengikutnya hendak menyerang perkampungan kita. Sekarang mereka sudah sampai di Lembah Syudukh," beritahu Yasar kepada ketua Bani Qais.

     "Bagaimana Muhammad tahu tempat kita dijadikan markas latihan pasukan yang akan menyerang Madinah?" tanya Fazarah dengan rasa hairan.

     "Mungkin ada di kalangan kita yang membocorkan rahsia. Sekarang apa yang patut kita lakukan?" tanya Yasar pula.

     "Mari kita berjumpa dengan Huyay dan Ghauras," jawab Fazarah lalu segera menemui kedua perancang itu.

     "Muhammad mahu menyerang perkampungan Bani Qais. Saya mahu kamu membantu kami mempertahankannya," kata Fazarah dengan harapan kedua-duanya setuju.

     "Kami setuju namun ada baiknya kita berundur dulu. Sekiranya terpaksa nanti baru kita lancarkan serangan besar-besaran," kata Ghauras yang berasa bimbang namun tidak diluahkan.

     "Saya tidak mahu kita berundur tetapi terus mengintip pergerakan Muhammad dan pasukannya. Sekiranya mereka menyerang baru kita buat serangan balas," kata Fazarah.

     "Baiklah, saya setuju. Suruh semua orang meninggalkan rumah mereka dan berlindung di tempat yang selamat. Sekiranya berlaku pertempuran nyawa orang awan selamat," kata Ghauras pula.

     Fazarah segera menyuruh Bani Qais mengosongkan rumah mereka dan berlindung di kawasan berbukit di sekitar kawasan itu. Apabila Nabi Muhamma dan pasukannya sampai, mereka dapati perkampungan itu kosong. Mereka cuma menemui beberapa orang wanita yang sedang membasuh pakaian. Mereka menyoal siasat salah seorang wanita itu yang akhirnya menceritakan Bani Qais berasa takut kerana tempat mereka dijadikan markas pasukan tentera Ghauras yang akan menyerang Madinah.

     "Ghauras dan pasukan tenteranya berada di keliling hutan memerhatikan kamu. Mereka akan menyerang bila-bila masa," kata wanita itu.

     "Sekiranya begitu izinkan kami menyerang mereka sebelum kita kena serang," kata Umar Al-Khattab.

     Nabi Muhammad tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana musuh tidak menyerang. Beliau berpesan serangan hanya boleh dilakukan sekiranya musuh menyerang mereka terlebih dahulu. Mereka mematuhi pesanan Rasulullah SAW.

     Tidak lama kemudian masuk waktu sembahyang asar. Nabi Muhammad menyuruh mereka berhenti di suatu kawasan lapang bagi sembahyang berjemaah. Baginda menyedari musuh sedang mengintip pergerakan mereka dan kemungkinan menyerang pada bila-bila masa. Kerana itu Nabi Muhammad menyuruh mereka sembahyang asar secara sembahyang khauf. Inilah sembahyang khauf yang pertama dilakukan dalam Islam.

     Cara sembahyang Khauf yang diajar seperti berikut. Tentera Islam seramai 400 orang itu dibahagikan kepada dua kumpulan yang mengandungi 200 orang setiap kumpulan. Kumpulan pertama di saf hadapan dan kumpulan kedua di saf belakang. Nabi Muhammad menjadi imam bersama kumpulan di saf pertama. Apabila saf di hadapan rukuk dan sujud, kumpulan kedua berdiri sambil bersiap sedia sekiranya msuuh menyerang. Selepas saf di hadapan selesai rakaat pertama dan kedua barulah giliran saf di belakang pula rukuk dan sujud. Sembahyang khauf dilakukan dua rakaat sahaja.

     Perlakuan Nabi Muhammad bersembahyang asar secara sembahyang khauf itu terus diintip oleh Ghauras dan pasukan tenteranya. Mereka berasa kagum bagaimana Nabi Muhammad dan pasukannya tetap mengerjakan sembahyang walau pada saat yang genting. Walaupun sedang bersembahyang mereka tetap berwaspada menghadapi serangan musuh.

     "Undurkan separuh pasukan tentera kita ke perkampungan Bani Tha'labah," kata Ghauras memberi perintah.

     "Mengapa berundur? Sepatutnya kita lakukan serangan," kata Huyay tidak berpuas hati.

     "Muhammad dan pasukannya tidak menyerang serta tidak memusnahkan perkampungan Bani Qais. Kerana itu kita tidak boleh menyerang mereka," jawab Ghauras.

     "Apakah kamu menyangka mereka akan pulang ke Madinah?" tanya Huyay pula.

     "Mungkin mereka akan pergi ke perkampungan Bani Tha'labah. Kerana itu saya mahu sebahagian tentera kita berada di sana. Saya akan terus berada di sini mengintip pergerakan mereka," jawab Ghauras.

     Kerana berasa kecewa, maka Huyay membawa orangnya pulang ke Khaibar. Ghauras dan pasukan tenteranya terus berada di situ bagi mengintip pergerakan tentera Islam.

     "Wahai Rasulullah, sebahagian daripada pasukan musuh sudah berundur ke perkampungan Bani Tha'labah. Cuma tinggal separuh lagi yang sedang mengintip pergerakan kita," lapor Abu Ubaidah yang ditugaskan mengintip pergerakan musuh.

     "Izinkan kami menyerang mereka," pinta Umar Al-Khattab pula.

     Nabi Muhammad tidak membenarkannya selagi musuh tidak menyerang. Malah beliau menyuruh mereka berehat di kawasan itu. Mereka mencari tempat bagi berehat. Rasulullah berteduh di bawah sebatang pokok yang rendang. Selepas menyangkutkan pedangnya pada dahan pokok itu maka baginda pun berehat di bawahnya. Ghauras yang mengintip pergerakan nabi secara senyap pergi mendapatkannya lalu mengambil pedang yang tersangkut pada dahan pokok lalu menghunuskannya kepada Nabi Muhammad.

     "Hei Muhammad, di tanganku ada sebilah pedang yang pada bila-bila masa boleh memenggal lehermu. Apakah engkau tidak takut kepada aku?" tanya Ghauras sambil mengacukan pedang di tangannya ke leher Nabi Muhammad.

     "Saya tidak takut kepada kamu," jawab Nabi Muhammad dengan wajah yang tenang.

     "Sekiranya begitu siapa yang dapat meyelamatkan engkau daripada pedangku ini?" tanya Ghauras lagi.

     "Allah yang akan menolong saya," jawab Nabi Muhammad.

     Tiba-tiba tubuh Ghauras gementar dan pedang terlucut dari pegangannya. Nabi Muhammad mengambil pedang itu lalu diacukannya ke leher Ghauras.

     "Sekarang siapa pula yang dapat menolong engkau daripada aku?" tanya Nabi Muhammad pula.

     "Tidak ada sesiapa. Harap tuan maafkan saya ataupun hukum saya dengan adil." Ghauras merayu.

     "Sekiranya begitu ucapkan tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah," kata Nabi Muhammad.

     Tetapi Ghauras enggan mengucapkannya sebaliknya berkata, "Sesungguhnya saya berjanji tidak akan memerangi tuan dan tidak bergabung dengan mereka yang memerangi tuan."

     Nabi Muhammad menerima pengakuan Ghauras itu. Dia dimaafkan.

     "Pergilah kamu menguruskan pekerjaanmu," kata Nabi Muhammad lalu membebaskan Ghauras.

     Para sahabat tidak sedar apa yang berlaku antara Nabi Muhammad dengan Ghauras. Selepas diceritakan oleh Nabi Muhammad baru mereka terkejut dan berasa kesal kerana tidak mengawalnya.

     Kemudian Nabi Muhammad pulang ke Madinah selepas keluar dari Madinah selama 15 hari. Kepulangan mereka disambut dengan rasa syukur dan gembira. Mereka menamakan Perang Zatur Riqa' kerana bendera pasukan Islam yang dipegang Ali bin Abi Talib koyak rabak akibat terkena pokok-pokok berduri. Ada pula yang dikoyakkan bagi membalut kaki mereka yang terluka akibat terpijak batu kerikil dan duri.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment