Friday 5 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 10 - PERANG UHUD ]






PERANG UHUD








Sabtu 11 Syawal tahun ke 3 Hijrah / 30 Mac 625 Masihi.

Pagi pun menjelang. Matahari memancarkan sinarnya ke atas Gunung Uhud yang nampak kemerahan kerana diseliputi batu-batu kerikil merah. Dinamakan Gunung Uhud kerana tidak bersambung dengan gunung-gunung lain. Kedudukannya yang tunggal itu dinamakan Gunung Uhud atau Gunung Tunggal. Sekian lama gunung itu tidak dipedulikan kerana tidak ada yang menarik berkenaan gunung itu selain batu-batu kerikil merah yang tidak sesuai untuk bercucuk tanam. Tetapi hari itu, Sabtu 11 Syawal tahun ke-3 hijrah bersamaan 30 Mac 625 Masihi, gunung itu melakar sejarah yang tidak dapat dilupakan umat Islam.

     Selepas sampai di lereng Gunung Uhud, Nabi Muhammad segera meninjau ke kawasan sekitarnya. Berhampiran dengan Gunung Uhud terdapat sebuah bukit dikenali dengan nama Bukit Rumat. Di bawah bukit itu terdapat satu rabung yang dinamakan lembah Qanat. Rasulullah menempatkan 50 orang pemanah di atas Bukit Rumat. Mereka diketuai Abdullah bin Jubair.

     "Seranglah musuh yang menyerang kami dengan panahmu. Jangan biarkan kami diserang dari arah belakang. Tetaplah kamu berada di tempatmu, baik ketika kita menang ataupun ketika kita kalah agar musuh tidak menyerang dari arah belakang. Jika kalian melihat kami binasa direnggut musuh jangan meninggalkan tempat itu sehingga aku mengirimkan utusan kepada kalian," pesan Nabi Muhammad kepada pasukan pemanah itu.

     "Baiklah wahai Rasulullah," kata Abdullah bin Jubair lalu membawa pasukan pemanahnya berkubu di puncak Bukit Rumat.

     Dari puncak bukit itu, mereka dapat memerhatikan kawasan sekitar hadapan Gunung Uhud. Jika musuh cuba menyerang pasukan Islam dari arah kiri ataupun kanan, mudah menjadi sasaran anak panah mereka. Tambahan pula mereka yang ditempatkan di atas bukit itu adalah pemanah yang mahir.

     Kemudian Rasulullah menempatkan pasukannya di hadapan Gunung Uhud dengan menghadap ke arah musuh serta membelakangkan gunung itu. Kemudian baginda mengatur kedudukan pasukannya yang berjumlah 650 orang. Baginda meletakkan Al-Mundzir di sayap kanan bagi mengetuai pasukan penggempur seramai 100 orang dan Zubiar bin Awwam diletakkan di sebelah kiri bagi mengetuai seramai 100 orang lagi. Al-Miqdad bin Al-Aswad pula diberi tugas memimpin 200 orang tentera bagi melumpuhkan tentera berkuda Quraisy yang diketuai Khalid Al-Walid. Manakala 250 orang lagi diletakkan di barisan hadapan. Mereka terdiri daripada pahlawan yang terkenal seperti Hamzah bin Abdul Mutalib. Umar al-Khattab, Ali bin Abi Talib, Sa'ad bin Abi Waqas, Abu Ubaidah al-Jarrah dan lain-lain.

     Ramai yang memuji strategi perang Rasulullah itu. Beliau memilih lokasi yang paling baik bagi menempatkan pasukan tenteranya. Dengan adanya pasukan pemanah di puncak Bukit Ramat pasukan Quraisy yang menyerang pasti menjadi sasaran mereka. Dengan menjadikan Gunung Uhud seperti benteng pertahanan belakang menyebabkan musuh tidak boleh mengepung mereka dan tidak boleh menyerang dari arah belakang. Mereka juga boleh menjadikan lereng bukit dan batu-batu besar yang terdapat di depan gunung itu sebagai tempat berlindung daripada serangan musuh dan kemudiannya melancarkan serangan.

     Nabi Muhammad turut berpesan agar mereka jangan menyerang musuh terlebih dahulu tetapi membiarkan musuh mara dan serangan hanya boleh dilakukan selepas mendapat perintah daripadanya.

     Kemudian Nabi Muhammad mencabut pedangnya lalu berkata, "Siapakah yang sanggup memenuhi hak pedang ini?"

     Abu Dujanah Simak bin Kharsah segera menyahut, "Apakah hak pedang itu wahai Rasulullah?"

     "Engkau gunakan untuk memukul musuh sampai di tanduk," jawab Rasulullah.

     "Aku sanggup memenuhi haknya, wahai Rasulullah," kata Abu Dujanah lalu Rasulullah menyerahkan pedang itu kepadanya.

     Selepas menerima pedang daripada Rasulullah maka Abu Dujanah pun mengikat kepalanya dengan tali merah menandakan dia sudah bersiap sedia untuk bertempur. Kemudian dengan gaya yang megah dia berjalan di hadapan sekali sambil mengembangkan dirinya dengan penuh keberanian.

     "Sesungguhnya perbuatan seperti itu adalah perbuatan yang dibenci Allah kecuali di tempat ini," kata Nabi Muhammad.

     Maka tampil beberapa orang lagi kawan-kawan Abu Dujanah yang meniru gayanya. Mereka begitu bersemangat tinggi untuk bertempur dengan musuh. Namun mereka patuh kepada pesan Rasulullah supaya menunggu kedatangan musuh, bukan mereka yang marah ke arah musuh.

     Pasukan Quraisy yang mengintip apa yang dilakukan pasukan tentera Islam. Apabila Abu Sufian mendapat tahu Nabi Muhammad menyusun pasukannya maka dia juga melakukan perkara yang sama. Abu Sufian meletakkan Khalid Al-Walid dan pasukan berkudanya di sayap sebelah kanan. Ikramah bin Abu Jahal berada di sayap sebelah kiri. Abdullah bin Abi Rabi'ah mengetuai pasukan infantri di bahagian tengah, manakala Abu Sufian sendiri sebagai pemimpin tertinggi pasukan Quraisy.

     Bendera pasukan tentera Quraisy diserahkan kepada Bani Abdul Dar.

     Abu Sufian mencabar mereka dengan berkata, "Wahai Bani Abdul Dar, kamu sudah diberi amanah untuk membawa bendera ketika perang Badar. Tetapi kita mengalami kekalahan yang teruk. Sesungguhnya apabila berlaku pertempuran, musuh akan menuju ke arah bendera kita. Jika bendera lenyap maka pasukan kita juga akan lenyap. Oleh itu, kamu boleh buat pilihan sama ada kamu pertahankan bendera itu hingga titisan darah terakhir ataupun kamu serahkan kepada orang lain untuk menjaga haknya," kata Abu Sufian.

     "Tidak, kami tidak akan serahkan bendera ini kepada orang lain. Apabila berlaku pertempuran nanti engkau akan melihat apa yang akan kami lakukan terhadap musuh," teriak Thalhah bin Abi Thalhah sambil memegang bendera itu. Dia ketua kabilah Bani Abdul Dar.

     "Kami akan pertahankan bendera ini dengan nyawa kami. Muhammad dan pengikutnya tidak akan dapat menghampiri bendera ini," teriak adiknya Abu Syaibah Usman bin Abi Thalhah.

     "Kami sepuluh orang pahlawan Bani Abdul Dar akan mempertahankan bendera ini hingga ke hujung nyawa," teriak Abu Said bin Abi Thalhah.

     Turut berikrar mempertahankan bendera itu ialah Musafi Thalhah bin Abi Thalhah, Kilab bin Thalhah bin Abi Thalhah, Al-Jallas bin Thalhah bin Abi Thalhah, Artha'ah bin Syurahbil dan Syuraih bin Qarizh dan Syurahbil bin Hasyim. Abu Sufian senang hati mendengar ikrar pahlawan-pahlawan Bani Abdul Dar.

     "Wahai Abu Sufian, Muhammad dan pasukannya menunggu di tempat mereka. Petanda mereka takut untuk menyerang kita. Mari kita tunjukkan keberanian dengan menyerang mereka," teriak Safwan yang seolah-olah tidak sabar lagi untuk berperang. Dia ingin menuntut bela di atas kematian bapanya Umaiyah dalam perang Badar.

     "Aku juga tidak sabar menuntut bela kematian bapaku," teriak Ikramah bin Abu Jahal pula.

     Masih terbayang di matanya bagaimana bapanya terbunuh dalam Perang Badar. Ketika pertempuran hebat sedang berlaku antara pasukan Quraisy dengan pengikut Nabi Muhammad, tiba-tiba muncul dua orang remaja yang bersenjatakan pedang lalu menerpa ke arah ayahnya yang sedang berada di atas kuda sambil memberi perintah kepada pasukan Quraisy. Remaja itu bernama Muaz dan Muawwiz.

     Dia melihat Muaz menetak kaki kuda yang ditunggang ayahnya menyebabkan Abu Jahal terjatuh ke tanah. Ketika hendak bangun kaki kanan ayahnya ditetak Muaz hingga hampir putus. Ikramah menerkam Muaz lalu menetak tangan kiri hingga hampir putus. Kemudian dia melihat Muawwiz pula menetak bapanya dengan pedang. Ikramah menyerang Muawwiz hingga berjaya membunuhnya. Tidak lama kemudian datang pula Abdullah bin Mas'ud lalu menikam dada Abu Jahal dengan pedang kemudian memenggal kepalanya lalu dibawa kepada Nabi Muhammad.

     Kematian Abu Jahal itu menyebabkan Ikramah mahu membalas dendam kepada Nabi Muhammad dan mereka yang terlibat dengan kematian bapanya. Dia tidak sabar lagi untuk terjun ke medan perang.

     "Sabar dulu wahai Ikramah dan Safwan. Tidakkah kamu mahu melihat Muhammad ditinggalkan oleh orang Yathrib? Abdullah bin Ubai dan kawan-kawannya daripada Bani Khazraj sudah meninggalkan Muhammad. Tinggal Bani Aus saja yang masih bersama-samanya. Aku mahu lihat mereka juga meninggalkan Muhammad. Dengan itu tidak siapa lagi dapat mempertahankannya," kata Abu Sufian.

     "Apa rancangan kamu?" tanya Ikramah.

     "Aku akan memujuk orang Bani Aus meninggalkan Muhammad," jawab Abu Sufian.

     "Bagaimana caranya?" tanya Ikramah lagi.

     "Aku akan menulis surat kepada mereka," jawab Abu Sufian.

     Pada masa itu pasukan Muslimin sedang bersiap sedia menunggu pasukan Quraisy menyerang. Tiba-tiba muncul seorang tentera Quraisy menunggang kuda menghampiri pasukan Muslimin.

     "Aku utusan Abu Sufian mahu menyampaikan surat ini kepada Bani Aus," teriak pembawa surat itu.

     Nabi Muhammad membenarkan pembawa surat itu menghantarnya kepada ketua Bani Aus.

     Kandungan surat itu berbunyi...

     Wahai saudaraku daripada Bani Aus. Kami datang hanya untuk memerangi Muhammad dan beberapa orang sahabatnya dari Mekah. Kami tidak bermaksud mahu berperang dengan kamu. Tinggalkan Muhammad dan kamu pulanglah ke pangkuan keluarga kamu.

     Tetapi orang Bani Aus tidak terpengaruh dengan hasutan itu. Mereka mengoyakkan surat itu di hadapan utusan Abu Sufian kemudian menyuruhnya pulang untuk memberitahu Abu Sufian mereka menolaknya. Abu Sufian berasa agak kecewa kerana usahanya tidak berjaya.

     "Wahai Abu Sufian, izinkan aku menemui orang Bani Aus. Aku yakin mereka masih menghormati aku kerana pernah menjadi pendeta mereka," kata Abdu Amr bin Shaifi yang digelar Ar-Rahib oleh orang Aus.

     Sebelum kedatangan Islam di Madinah, Abdu Amr begitu dihormati kerana dia seorang pendeta Bani Aus. Tetapi selepas Islam datang ke Madinah dan setelah Nabi Muhammad dan para sahabatnya berhijrah ke Madinah maka pendeta itu berasa tertekan lalu melarikan diri ke Mekah untuk bergabung dengan orang Quraisy bagi memerangi Nabi Muhammad.

     Pada saat genting itu, Abdu Amr menawarkan diri memujuk orang Aus supaya meninggalkan Nabi Muhammad. Abu Sufian membenarkan Abdu Amr menjalankan peranannya.

     Dia pergi kepada pasukan Muhammad lalu berseru, "Wahai orang Aus. Aku pernah menjadi pendeta kamu suatu ketika dahulu. Aku memberi amaran lebih baik kamu pulang menjaga keluarga kamu kerana mereka lebih penting daripada Muhammad. Biarkan Muhammad dan para sahabatnya disembelih oleh keluarga mereka sendiri."

     Orang Aus berasa marah lalu melontar Abdu Amr dengan batu.

     "Jika engkau tidak pergi dari sini kami bunuh!" teriak orang-orang Aus.

     Abdu Amr pulang ke pasukan Quraisy dengan rasa kecewa.

     Kemudian tampil pula Hindun bersama kawan-kawannya memukul gendang memberi semangat kepada pasukan Quraisy supaya tidak gentar untuk berperang. Hindun membacakan sebuah syair.

     Jika kalian maju ke medan perang
     Kami peluk
     Kami siapkan tilam yang empuk
     Jika kalian berundur
     Kami menjauhkan diri
     Kita akan berpisah
     Perpisahan yang tidak kenal ramah.

Mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Hindun bin Urbah itu, maka Thalhah bin Abi Thalhah ketua Bani Abdul Dar diberi tanggungjawab membawa bendera pasukan Quraisy menunjukkan keberaniannya dengan tampil ke hadapan sambil menunggang untanya yang dihiasi kain merah.

     "Aku singa Bani Abdul Dar. Aku tampil ke hadapan wahai pasukan kambing!" teriak Thalhah.

     "Wahai Rasulullah, izinkan aku menyahut cabarannya," pinta Zubair bin Awwam yang mengetuai pasukan di sayap kiri.

     Selepas mendapat izin daripada Rasulullah maka Zubair bin Awwam pun melompat maju ke hadapan dan berdepan dengan ketua Bani Abdul Dar itu.

     "Siapa kamu yang berani mencabar aku?" tanya Thalhah.

     "Akulah Zubair bin Awwam yang akan membunuh kamu wahai celaka," teriak Zubair.

     Maka kedua-dua orang pahlawan yang berani itu mula bertarung bagi menunjukkan kehandalan masing-masing. Ketika itu Thalhah menunggang unta tetapi Zubair hanya berjalan kaki. Oleh sebab berasa yakin dapat membunuh lawannya dengan mudah maka Thalhah memacu untanya ke arah lawannya lalu menetak pedangnya ke arah Zubair. Tetapi tidak mengenai sasaran. Dengan pantas Zubair mengejar lawannya dari arah belakang lalu menikam belakang Thalhah menyebabkan lawannya tersungkur ke tanah. Thalhah cuba bangun tetapi Zubair tidak memberi peluang lantas membunuhnya.

     Rasulullah bertakbir apabila melihat Zubair berjaya menewaskan lawannya dengan mudah. Kaum muslimin yang lain ikut bertakbir sehingga suara mereka bergema ke angkasa menggentarkan hati-hati orang Quraisy.

     "Setiap nabi mempunyai pengikut-pengikut yang setia, dan pengikutku yang setia Az-Zubair," kata Rasulullah.

     Apabila melihat ketua mereka terbunuh, pahlawan-pahlawan Bani Abdu Dar menjadi marah lalu menyerbu ke arah tentera Islam sambil membawa bendera. Mula-mula bendera itu dipegang oleh Thalhah bin Abi Thalhah.

     Selepas Thalhah terbunuh maka adiknya Abu Syaibah Usman bin Abi Thalhah membawa bendera pasukan Quraisy lalu berteriak, "Akulah pembawa bendera Quraisy. Aku sanggup mempertahankannya hingga tewas."

     Mendengar teriakan itu maka Hamzah bin Abu Talib maju ke depan lalu menyerangnya. Pada waktu itu tangan kiri Abu Syaibah memegang bendera dan tangan kanannya menghunus pedang. Maka terjadi pertarungan antara Hamzah dengan Abu Syaibah. Hamzah berjaya menetak tangan kanan lawannya hingga putus. Namun Abu Syaibah terus menjulang bendera dengan tangan kirinya. Dengan pantas Hamzah menetak bahu kiri Abu Syaibah hingga terbelah rusuknya.

     Melihat Abu Syaibah tewas maka Abu Said bin Abi Thalhah merebut bendera itu daripada abangnya. Dia cuba membawa bendera itu ke tengah pasukan Quraisy tetapi denga pantas dipanah oleh Sa'ad bin Abi Waqqas, tepat mengenai lehernya.

     Kemudian bendera Quraisy itu direbut oleh Musafi Thalhah bin Abi Thalhah lalu cuba dibawanya lari ke tempat selamat namun dengan pantas dapat dibunuh oleh Ashim bin Tsabit dengan anak panahnya. Kemudian datang pula Kilab bin Thalhah lalu mengambil bendera itu daripada mayat Musafi Thalhah tetapi dia dibunuh oleh Zubair bin Awwam. Akhirnya Al-Jallas bin Thalhah bin Abi Thalhah cuba menyelamatkan bendera itu tetapi dapat dibunuh oleh Ashim bin Tsabit dengan anak panahnya.

     Apabila melihat seorang demi seorang pahlawan Bani Abdul Dar terbunuh maka tampil pula Artha'ah bin Syurahbil menyelamatkan bendera Quraisy tetapi dengan pantas Ali bin Abi Talib membunuhnya. Kemudian datang pula Syuraih bin Qarizh cuba menyelamatkan bendera tetapi dibunuh oleh Qazman.

     Pada waktu yang sama, datang pula Abu Zaid Amr bin Abdi Manaf cuba memegang bendera itu tetapi dapat dibunuh oleh Qazman. Akhirnya datang pula Syurahbil bin Hasyim cuba mengambil bendera itu tetapi dibunuh oleh Qazman juga.

     Apabila melihat sepuluh orang pembawa bendera terbunuh maka tidak siapa yang berani tampil untuk mengambil bendera itu.

     Apabila melihat situasi itu maka Abu Sufian pun berteriak, "Tidak ada lagikah pahlawan yang sanggup membawa bendera kita?"

     Tiba-tiba muncul Shawab, seorang hamba milik keluarga Bani Abdul Dar yang turut menyertai perang Uhud. Dia menunjukkan keberaniannya kepada Abu Sufian dengan membawa bendera Quraisy. Dia bertempur bermati-matian sambil cuba menyelamatkan bendera itu.

     Ali bin Abi Talib menyerang Shawab. Dia berjaya menetak tangan kanan Shawab hingga putus maka bendera itu dipegangnya dengan tangan kiri pula. Apabila tangan kirinya putus Shawab mengepit bendera itu dengan lehernya dirapatkan ke dada. Tidak lama kemudian Shawab terbunuh dan bendera itu jatuh ke tanah kerana tidak siapa lagi yang berani mengambilnya.

     Dalam pusingan pertama pertempuran di Uhud, ia berlaku di sekitar pembawa bendera. Seramai 11 orang berjaya ditewaskan oleh pahlawan-pahlawan Islam yang berada di barisan hadapan. Tidak ada seorang pun pahlawan Islam yang syahid. Melihat situasi itu, Abu Sufian yang memimpin di barisan hadapan memerintahkan pasukan tenteranya menyerang. Maka terjadi pertempuran yang hebat antara kedua-dua belah pihak.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment