Friday 19 January 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 4 - AIR MATA RAJI' ]






AIR MATA RAJI'








Selepas Perang Uhud

"Beberapa hari yang lalu saudara kita Sufyan bin Khalid telah dibunuh oleh seorang pengintip yang dihantar oleh Muhammad. Apakah kita hendak berdiam diri sahaja ataupun mahu menuntut bela?" tanya Huzail, ketua Bani Lihyan dan baru dilantik. Dia segera mengadakan mesyuarat tergempar dengan ketua-ketua suku Huzail.

     "Kita perlu menuntut bela. Hutang darah perlu dibayar dengan darah. Hutang nyawa perlu dibayar dengan nyawa," teriak Basyar, seorang pahlawan suku Huzail.

     "Aku bersumpah tidak meniduri isteriku dan menyikat rambutku selagi Muhammad tidak dibunuh," teriak Jamsari pula.

     "Kita perlu menuntut bela!" teriak yang lain dengan penuh kemarahan.

     "Sekiranya sudah mendapat kata sepakat, marilah kita berusaha bagi menuntut bela di atas kematian saudara kita itu," kata Huzail dengan rasa gembira kerana cadangannya hendak membalas dendam mendapat sokongan ramai.

     "Muhammad menghantar seorang pengintip bagi membunuh Sufian. Giliran kita pula menghantar seorang pengintip ke Madinah bagi membunuh Muhammad," kata Basyar mencadangkan.

     "Kerja itu sangat bahaya kerana Muhammad dan para pengikutnya pasti berjaga-jaga. Lagipun siapa antara kita yang sanggup melakukannya?" tanya Jamsari pula.

     "Sekiranya begitu mari kita fikirkan cara yang lebih baik dan selamat," kata Huzail lalu mengajak semua yang hadir memikirkannya.

     "Cadangan saya kita kumpulkan semua lelaki dewasa suku Huzail Bani dan orang Habsyi menyerang Madinah. Bukankah itu juga rancangan Sufyan supaya dibunuh? Kita teruskan rancangan itu," kata seorang lelaki yang paling muda antara mereka memberi cadangan.

     "Kita belum bersedia bagi berperang dengan penduduk Madinah. Kerana itu mari kita fikirkan dahulu cara menuntut bela kematian Sufyan. Selepas Muhammad dibunuh barulah mudah kita menyerang Madinah," bantah Huzail pula.

     "Muhammad tentu dikawal ketat oleh orangnya. Sekiranya kita tidak dapat membunuh Muhammad kita dapat membunuh para pengikutnya," sokong Basyar.

     "Kematian Sufyan perlu kita tebus dengan seratus nyawa pengikut Muhammad. Baru setimpal balasannya," kata Jamsari pula.

     "Persoalannya bagaimana caranya kita hendak mendapatkan seratus orang pengikut Muhammad itu?" tanya Huzail pula.

     "Tentulah dengan tipu muslihat. Sekiranya mereka memperdayakan kita dengan tipu muslihat, maka kita perdayakan mereka pula dengan cara yang sama," jawab Basyar. Kemudian dia menyambung percakapannya, "Kita hantar wakil menemui Muhammad minta dia dan pengikutnya seramai seratus orang datang ke sini bagi mengajar Islam kepada kita. Kemudian kita bunuh mereka. Bukankah itu cara yang paling baik?"

     "Aku setuju!" sokong Jamsari.

     "Aku juga setuju," balas Huzail pula sambil tersenyum kerana yakin rancangan itu pasti berjaya.

     Perbincangan mereka terhenti apabila didatangi seorang tetamu wanita. Huzail menyambut kedatangan wanita itu dengan ramah kerana mereka memang kenal rapat.

     "Wahai Sulafah binti Saad, seorang wanita kaya dari Mekah. Kamu tidak akan datang bertemu dengan saya di sini sekiranya bukan perkara yang penting," kata Huzail.

     "Wahai pahlawan-pahlawan Bani Lihyan. Saya mendapat tahu ketua kamu Sufyan bin Khalid dibunuh oleh pengikut Muhammad. Anak saya Musafi' bin Talhah juga telah dibunuh oleh seorang pengikut Muhammad bernama Asyim bin Thabit ketika Perang Uhud dan Badar. Saya bersumpah mahu menuntut bela di atas kematian anakku itu. Saya datang menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat membawa kepala Asyim kerana saya sudah bernazar hendak meminum arak dari tengkorak pembunuh anakku," kata Sulafah sambil meluahkan rasa marahnya terhadap Asyim.

     "Saya tertarik dengan hadiah yang kamu tawarkan itu. Aku sanggup membawa kepala Asyim kepadamu." Tiba-tiba bersuara seorang lelaki bernama Khalid bin Sufian.

     "Segera lakukan wahai Khalid. Seratus ekor unta akan saya berikan kepada kamu sekiranya dapat membawa kepala Asyim kepadaku," kata Salafah dengan hati yang gembira kerana yakin dendamnya akan berbalas tidak lama lagi.

     "Wahai Khalid, bagaimana kamu akan melakukannya?" tanya Huzail pula yang berasa agak ragu-ragu.

     "Saya akan upah orang Bani Udhal dan Bani Qarah melakukannya. Mereka sanggup berbuat apa sahaja jika diberi upah yang banyak," jawab Khalid. Kemudian dia pergi ke perkampungan Bani Udhal dan Bani Qarah.

     "Pergilah ke Yathrib dan pujuk Muhammad supaya menghantar Asyim ke sini bagi mengajar Al-Quran. Sekiranya kamu berjaya membawa Asyim, saya memberi hadiah sepuluh ekor unta," pujuk Khalid.

     "Baiklah," kata Amer, ketua Bani Udhal.

     Kemudian Khalid menemui Abdullah, ketua Bani Qarah juga dengan tawaran yang sama.

     "Selepas saya berjaya membawa Asyim ke sini, apa yang akan kamu lakukan kepadanya?" tanya Abdullah pula.

     "Saya akan bunuh dia dan ambil kepalanya bagi diberikan kepada seorang saudagar di Mekah," jawab Khalid.

     "Baiklah saya setuju kerana saya juga memang berdendam kepada Muhammad dan pengikutnya," kata Abdullah memberi persetujuan.

     Keesokan harinya, Amer dan Abdullah berangkat ke Madinah lalu menghadap Nabi Muhammad.

     "Wahai Muhammad, kami orang Bani Udhal sudah memeluk Islam. Kirimlah pendakwah ke kampung kami bagi mengajar Islam dan membaca Al-Quran," kata Amer dengan bersungguh-sungguh.

     "Kami orang Bani Qarah juga sudah memeluk agama Islam. Hantarlah pendakwah ke kampung kami juga," kata Abdullah pula. Kemudian katanya lagi, "Kami begitu tertarik dengan seorang lelaki bernama Asyim bin Thabit. Dalam perang Badar dan Uhud dia menunjukkan keberanian yang luar biasa sehingga berjaya membunuh beberapa orang musuh. Kerana itu kami memohon dihantar Asyim ke tempat kami. Selain mengajar Al-Quran dia juga dapat mengajar anak-anak kami ilmu peperangan."

     Melihat kesungguhan mereka, akhirnya Nabi Muhammad bersetuju bagi menghantar pendakwah ke perkampungan Bani Udhal dan Bani Qarah. Ramai sahabat yang menawarkan diri tetapi Nabi Muhammad hanya memilih enam orang. Mereka adalah sahabat baginda yang berani dan setia yang juga pernah berperang dalam Perang Badar dan Perang Uhud. Mereka ialah Asyim bin Thabit, Abdullah bin Tariq, Khalid bin Al-Bukhair, Zaid bin Dasinah, Khubaib bin Adi dan Murthid bin Abu Murthid.

     Selepas menyiapkan barang-barang keperluan maka ke enam pendakwah itu pun meninggalkan Kota Madinah berangkat menuju ke perkampungan Bani Udhal dan Bani Qarah yang terletak tidak jauh dari Kota Mekah. Mereka diiringi Amer, Abdullah dan dua orang lagi pembantunya.

     Semasa dalam perjalanan itu ada sesuatu yang menimbulkan rasa curiga di hati Murthid bin Abu Murthid terhadap mereka yang mengiringi perjalanan itu.

     "Menurut ketua Bani Udhal dan Bani Qarah itu, mereka sudah memeluk Islam tetapi mengapa mereka tidak bersembahyang bersama kita? Kelakuan mereka juga amat mencurigakan," bisik Murthid kepada Khubaib bin Adi.

     "Mereka baru sahaja memeluk Islam. Sebab itu masih dalam keadaan jahil. Kerana itu Rasulullah menghantar kita ke perkampungan mereka bagi mengajar Islam dan Al-Quran," kata Khubaib pula.

     "Walaupun begitu ada baiknya kita berwaspada kerana musuh sentiasa mahu melihat kita binasa," pesan Murthid.

     Pesanan itu juga disampaikannya kepada kawan-kawannya yang lain. Kerana itu mereka tidak pernah berpecah dan sentiasa berwaspada menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang perjalanan.

     "Tidak lama lagi kita akan sampai ke suatu tempat bernama Raji'. Di situ ada mata air membolehkan kita berehat bagi mendapatkan bekalan air serta membersihkan diri," beritahu Abdullah.

     "Saya akan menyuruh dua orang pembantu pergi ke sana terlebih dahulu bagi memastikan keadaan tempat itu selamat," kata Amer pula lalu menyuruh dua orang yang mengiringinya pergi dahulu ke tempat itu.

     Dua orang lelaki itu memecut kudanya kononnya bagi memastikan keadaan di mata air Raji' itu selamat. Tetapi yang sebenarnya mereka memberitahu Khalid dan orangnya supaya bersiap sedia menyerang pendakwah itu. Maka berkumpullah dua ratus orang pahlawan Bani Udhal dan Bani Qarah. Mereka bersembunyi di celah batu dan lereng bukit di sekitar Raji'. Apabila Asyim dan kawan-kawannya sampai di situ tiba-tiba mereka diserang oleh sekumpulan lelaki yang diketuai oleh Khalid bin Sufian.

     "Engkau menipu Rasulullah dan mengkhianati kami," marah Asyim.

     Abdullah dan Amer tidak menjawab. Keduanya bergabung dengan pihak musuh.

     "Allahu akbar!" teriak Asyim diikuti sahabat-sahabatnya. Mereka bertekad tidak akan menyerah.

     "Aku tidak mahu membunuh kamu. Aku hanya mahukan Asyim kerana Salapah mahukan kepalanya. Sekiranya kamu serahkan Asyim maka kamu tidak kami bunuh!" teriak Khalid.

     "Mereka mengkhianati kita. Lebih baik kita mati syahid daripada menyerah," kata Asyim kepada kawan-kawannya.

     "Nabi Muhammad juga berpesan supaya kita jangan tunduk kepada sesiapa," kata kawan-kawannya. Mereka bertekad menentang hingga ke hujung nyawa.

     Murthid bin Abu Murthid pernah bertempur di Badar dan Uhud, kini sekali lagi berdepan dengan musuh Allah dan Rasul-Nya. Dengan beraninya dia berkata, "Saya mahukan syahid di Badar dan Uhud namun Allah belum mengizinkannya. Mungkin sudah ditakdirkan saya syahid di Raji'."

     "Kami akan bersamamu wahai sahabatku," kata Khalid bin Al-Bukhair pula.

     Kata-kata ketua rombongan dan pahlawan Perang Badar itu menaikkan lagi semangat Asyim dan yang lainnya. Mereka berenam bertekad mahu menentang musuh hingga syahid. Asyim membaca sajaknya bagi menaikkan semangatnya.

     Tidak ada alasan untuk menyerah
     Aku ini panah beripuh
     Aku adalah busur sakti
     Yang bertalikan benang keramat
     Kita adalah lembing-lembing bermata dua
     Meluncur dari pelepasannya
     Kematian adalah hakikat kebenaran
     Sedangkan kehidupan hanyalah bayang-bayang
     Segala yang ditakdir Ilahi
     Kepada manusia pasti berlaku
     Dan semua makluk ini 
     Kepadanya akan kembali
     Jika aku tidak menentang mereka
     Berhak atasku ketukan ibu...

Enam pendakwah yang juga pahlawan Islam itu semakin bersemangat menentang musuh. Mereka bersiap sedia bertempur. Melihat keadaan itu Khalid berasa agak gentar lalu membuat tawaran.

     "Kami cuma mahukan Asyim. Sekiranya kamu serahkan dia kepada kami maka yang lain boleh pulang dengan selamat," kata Khalid mengulangi sekali lagi tawarannya.

     "Aku adalah ketua rombongan ini. Aku tidak akan serahkan Asyim kepada kamu!" balas Murthid.

     "Aku kira sehingga seratus. Sekiranya kamu masih tidak mahu menyerahkan Asyim maka kami serang dan bunuh kamu semua," gertak Khalid pula lalu membuat kiraan.

     "Wahai Asyim, saya tidak menyertai Perang Badar. Ceritakan kepadaku bagaimana kamu bertempur di Badar?" tanya Zaid bin Dasinah.

     "Apabila keadaan musuh berada dalam jarak dua ratus kaki, saya bidik dengan anak panah. Apabila mereka berada lebih dekat lagi saya gunakan tombak. Apabila berada lebih dekat lagi saya cincang dengan pedang," jawab Asyim.

     "Saya akan ikut cara tuan berperang," kata Khalid bin Al-Bukhair.

     "Saya juga," balas Murthid pula.

     Tiga pahlawan Badar itu bersiap sedia dengan senjata masing-masing. Orang Bani Udhal dan Bani Qarah juga bersiap sedia bertempur hanya menunggu perintah daripada ketua mereka Khalid bin Sufian. Selesai sahaja kiraan seratus, maka Khalid bin Sufian memerintahkan pasukannya menyerang. Maka berlaku pertempuran yang hebat. Khalid menyuruh orangnya membunuh Asyim. Mereka menumpukan perhatian kepada Asyim yang bernilai seratus ekor unta itu. Asyim pula seorang yang mahir memanah. Namun bagi tugas itu beliau cuma membawa dua belas batang anak panah. Beliau melepaskan satu demi satu anak panahnya tepat dan mengenai sasaran.

     Melihat kehebatan Asyim memanah dan apabila melihat ramai pengikutnya yang gugur di tangan Asyim maka Khalid menyuruh pasukan pemanah menumpukan Asyim. Namun Asyim bukan mudah dikalahkan. Selepas kehabisan anak panah, beliau menyerbu musuh dengan menggunakan tombaknya sehingga senjata itu patah. Kemudian Asyim menggunakan pedangnya. Selepas lebih sepuluh orang musuh ditewaskannya barulah gilirannya menemui syahid. Asyim gugur sebagai syuhada. Sebelum meninggal dunia, Asyim sempat berdoa, "Wahai Tuhan, sampaikan berita ini kepada Nabi Muhammad," kemudian dia berdoa lagi, "Wahai Tuhan, aku telah mengorbankan nyawaku pada jalan yang benar. Selamatkan kepalaku dari tangan orang-orang yang jahat itu."

     Doa Asyim dimakbulkan Allah Taala. Malaikat Jibril datang kepada Nabi Muhammad lalu mengkhabarkan berkenaan syahidnya Asyim. Permintaan kedua Asyim juga dimakbulkan Tuhan. Sewaktu Khalid mahu mendekati mayat Asyim, tiba-tiba datang sekumpulan lebah lalu menghurung mayat Asyim. Khalid terpaksa menunggu dengan harapan lebah-lebah itu akan lari. Tetapi tidak lama kemudian, hujan turun dengan lebat. Mayat Asyim dihanyutkan air. Asyim kecewa kerana tidak dapat memenggal kepala Asyim. Sekaligus gagal mendapat hadiah yang ditawarkan.

     Serangan pertama pahlawan-pahlawan Bani Udhal dan Bani Qarah menyebabkan Asyim gugur syahid. Kini mereka menumpukan perhatian pula kepada Murthid dan Khalid bin Al-Bukhair. Kedua-dua pahlawan itu juga meniru cara Asyim bertempur. Mula-mula mereka gunakan panah, kemudian tombak diikuti dengan pedang. Selepas berjaya menewaskan beberapa orang musuh akhirnya mereka gugur syahid.

     "Tiga rakan kamu sudah mati. Lebih baik menyerah," teriak Khalid.

     "Kami tidak akan menyerah," balas Khubaib pula.

     Khalid berasa marah lalu menyuruh orangnya meneruskan pertempuran. Kerana kuatkan asakan musuh maka Khubaib mengajak mereka bertahan di puncak sebuah bukit yang tidak jauh dari situ. Apabila musuh cuba memanjat bukit itu maka dapat ditewaskan oleh Zaid, Khubaib dan Abdullah. Melihat situasi itu maka Khalid membuat helah. Dia menyuruh orangnya menghentikan serangan lalu berundur di kaki bukit.

     "Mari kita berdamai. Turunlah bukit itu dan kami tidak akan mengapa-apakan kamu!" teriak Khalid.

     "Mereka meminta perdamaian. Apa pendapat kamu?" tanya Khubaib kepada kawan-kawannya.

     "Sekiranya benar mereka mahu berdamai kita terima. Tetapi sekiranya mereka khianati kita, maka kita tentang mereka semula," jawab Zaid.
  
     "Saya yakin ini perangkap. Sebaiknya kita terus berada di sini," kata Abdullah pula ragu-ragu.

     "Mereka mengepong kita dari semua penjuru. Di puncak bukit ini tidak ada makanan dan air. Sekiranya keadaan ini berterusan, akhirnya kita akan tewas juga. Kita cuba terima tawaran mereka. Tetapi sekiranya ia tipu helah maka kita akan menentang mereka sehingga syahid," kata Khubaib lalu memujuk kawan-kawannya menerima tawaran itu.

     Akhirnya Abdullah bersetuju. Mereka bertiga pun turun dari puncak bukit itu. Khalid dan kawan-kawannya menyambut mereka dengan berpura-pura menunjukkan sikap yang baik.

     "Berikan mereka makanan dan minuman serta layan dengan baik," kata Khalid.

     Setiap orang pendakwah itu didatangi lima orang pengikut Khalid dengan berpura-pura menunjukkan sikap yang baik. Tetapi kemudiannya mereka diberkas.

     "Saya sudah kata mereka menipu kita!" teriak Abdullah dengan rasa marah. Tetapi apakan daya kerana mereka sudah diberkas.

     "Kita gagal mendapatkan kepala Asyim tetapi kita masih ada lagi tiga orang tawanan bagi dibawa ke Mekah," kata Khalid. Dia membawa Abdullah, Zaid dan Khubaib ke Mekah bagi dijual di pasar Ukhaz.

     "Saya tidak sanggup dihina oleh musuh Allah dan Rasul-Nya," tekad Abdullah lalu berusaha melepaskan dirinya. 

     Apabila mereka sampai di Marra Zahran yang terletak tidak jauh dari Kota Mekah, Abdullah berjaya membuka ikatan tangannya lalu berteriak, "Demi Allah, aku akan mengikut jejak tiga orang sahabatku yang syahid!"

     Kemudian Abdullah merampas pedang salah seorang pahlawan Bani Qarah lalu membunuhnya. Abdullah yang pernah bertempur di Badar dan Uhud itu dengan nekad terus menyerang yang lain dan berjaya membunuh beberapa orang lagi.

     "Bunuh dia," teriak Khalid lalu menyuruh orangnya mengepung Abdullah. Selepas berlaku pertempuran yang sengit akhirnya Abdullah menemui syahid.

     Kerana terlalu marah kepada Abdullah yang sudah membunuh dan mencederakan ramai orangnya maka Khalid menikam mayat Abdullah bertubi-tubi.

     "Tanam mayat itu di sini," perintah Khalid lalu menyuruh orangnya menanam mayat Abdullah di Marra Zahran. Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke Mekah lalu dibawa ke pasar menjual hamba.

     "Aku mahukan kepala Asyim. Bukan dua orang lelaki ini," marah Salapah apabila melihat Khubaib dan Zaid yang dibawa ke situ.

     "Kami sudah membunuh Asyim tetapi mayatnya dihanyutkan air hujan. Kami tidak dapat mencarinya," jawab Khalid dengan rasa kecewa.

     "Kamu tidak akan mendapat apa-apa hadiah daripada aku," kata Salapah dengan rasa kecewa.

     "Tetapi kami sudah dapat membunuh Asyim. Berilah kami hadiah walaupun hanya seekor unta," rayu Khalid.

     "Aku telah bersumpah mahu meminum arak dari tengkorak Asyim yang membunuh dua orang anak aku. Apabila engkau gagal membawa kepala Asyim, maka engkau gagal mendapat hadiah walau hanya seekor unta," kata Salapah lalu pergi dari situ.

     Namun Khalid masih tidak berputus asa. Dia berharap orang Quraisy akan membeli Habib dan Zaid bagi dijadikan tempat membalas dendam di atas kematian keluarga mereka di Badar dan Uhud. Namun selepas agak lama menunggu masih belum ada yang tertarik membeli tawanan itu.

     "Hei Zuhair, ambillah tawanan ini dan juallah berapa sahaja yang kamu mahu," kata Khalid kepada sahabatnya.

     "Baiklah dan saya tidak akan pulang selagi dua tawanan ini belum dapat dijual," kata Zuhair dengan gembira.

     Zuhair seorang peniaga yang pandai memujuk pelanggan itu didatangi seorang Quraisy bernama Hajar bin Abu Ahad At-Tamimi.

     "Wahai sahabatku Hajar, inilah pembunuh saudara kamu di Badar dan Uhud. Apakah kamu tidak mahu membelinya bagi membalas dendam?" tanya Zuhair yang sengaja mencabarnya.

     "Saya tidak ada kepentingan dengan lelaki berdua ini kerana tidak ada keluargaku yang dibunuhnya," jawab Hajar pula seolah tidak berminta membelinya.

     "Mungkin adalah sahabatmu atau kenalanmu yang dibunuh lelaki ini. Kamu boleh beli dan jualkan kepada mereka," pujuk Zuhair lagi.

     "Tidakkah kamu tahu bahawa lelaki ini yang membunuh sahabatmu Al-Haris bin Amir di Uhud. Beli lelaki ini dan jualkan kepada anaknya," kata Khalid pula yang turut memujuk Hajar membelinya.

     "Memang benar sahabatku Al-Haris terbunuh dalam Perang Uhud tetapi aku tidak tahu siapa yang membunuhnya," kata Hajar pula.

     "Al-Haris dibunuh oleh Khubaib bin Adi. Inilah orangnya," kata Khalid.

     "Baiklah aku akan membelinya," akhirnya Hajar termakan pujukan Khalid dan Zuhair lalu membelinya dengan harga 20 ekor unta. Kemudian Hajar membawa Khubaib kepada Uqbah bin Al-Haris.

     "Wahai Uqbah, inilah lelaki yang membunuh ayahmu di Uhud. Saya membelinya di pasar dengan harga yang tinggi. Apakah kamu tidak mahu membelinya dariku bagi membalas dendam di atas kematian ayahmu?" kata Hajar.

     "Demi latta dan uzza, saya sanggup membelinya dengan harga seratus ekor bagi mendapatkan lelaki yang membunuh ayah saya ini," kata Uqbah lalu membelinya dengan Hajar.

     "Wahai Safwan, inilah Zaid yang membunuh ayah kamu di Badar. Apakah kamu tidak mahu membelinya bagi membalas dendam di atas kematian ayah kamu?" tanya Zuhair kepada Safwan yang datang ke pasar Ukkaz.

     "Ayahku dibunuh oleh Bilal bin Rabah, bukan lelaki ini," jawab Safwan bin Umaiyah.

     "Tidakkah kamu tahu yang lelaki ini yang membantu Bilal membunuh ayahmu? Tanpa bantuan lelaki ini ayahmu tidak dapat dibunuh oleh Bilal bin Rabah," pujuk Zuhair.

     "Wahai Safwan, ayahmu tidak akan tenang dalam kuburnya selagi kamu tidak membalas dendam kepada mereka yang membunuhnya. Lelaki ini terlibat kerana membantu Bilal membunuh Bilal membunuh ayahmu. Kamu perlu membalas dendam kepadanya," pujuk Khalid pula.

     "Baiklah, saya akan membeli pembunuh ayah saya ini. Saya tidak akan berasa tenang selagi pembunuh ayah saya belum dapat dibunuh. Saya akan membunuhnya dengan tangan saya sendiri," kata Safwan sambil menunjukkan kebenciannya kepada Zaid.

     "Saya hanya akan menjualnya sekiranya kamu sanggup memberikan saya seratus ekor unta. Harga itu berpatutan kerana saya sudah kehilangan beberapa orang pengikut saya bagi mendapatkan lelaki ini," kata Khalid pula.

     "Saya hanya sanggup memberikan kamu lima puluh ekor unta. Sekiranya kamu tidak mahu, tidak mengapa. Jualkan kepada orang lain tetapi saya percaya tidak siapa yang mahu membelinya melainkan saya," kata Safwan yang terkenal sebagai seorang peniaga yang licik dan pandai menipu.

     Akhirnya Khalid bersetuju dengan permintaan Safwan lalu menjualkan Zaid dengan harga lima puluh ekor unta. Sementara menunggu hari dibunuh maka Khubaib dan Zaid dikurung. Khubaib dikurung oleh Uqbah di rumah pengasuh anaknya yang bernama Mu'awiyah. Zaid pula dikurung di rumah Safwan. Setiap hari orang ramai datang melihat kedua-dua lelaki itu sambil menunjukkan rasa benci. Ada yang meludah dan ada yang memaki hamun. Namun kedua lelaki sahabat Rasulullah SAW itu kelihatan tenang sahaja.

     "Wahai Safwan, adakah kamu tahu pengikut Muhammad hanya memakan daging yang disembelih dengan menyebut nama Allah?" tanya Abu Sufian bin Harb.

     "Saya tahu," jawab Safwan.

     "Biarkan Zaid lapar, kemudian beri makan daging yang tidak disembelih. Dia tentu memakannya," cadang Abu Sufian.
   
     "Baiklah," kata Safwan.

     Dia membiarkan Zaid tidak makan selama beberapa hari kemudian dihidangkan dengan daging panggang yang kelihatan enak. Namun Zaid langsung tidak menyentuhnya. Dia sanggup kelaparan dari memakan daging yang haram itu.

     Keesokan harinya, Safwan membawa Zaid ke luar kawasan Masjidil Haram bagi dibunuh. Orang ramai berkumpul bagi menyaksikan pembunuhan membalas dendam itu. Safwan membawa sebilah lembing yang akan digunakan bagi membunuh Zaid. Turut hadir adalah Abu Sufian bin Harb dan Abu Sufian bin Harith.

     "Wahai Zaid, sukakah kamu sekiranya Muhammad menggantikan tempat kamu dan kamu dibebaskan bagi hidup bersama keluarga kamu?" tanya Abu Sufian bin Harb.

     "Demi Allah, saya tidak akan berasa bahagia hidup bersama keluarga sekiranya Nabi Muhammad disakiti walau dicucuk dengan duri," jawab Zaid dengan berani walau dia tahu jawapannya itu mengundang padah.

     Orang ramai tercengang mendengar jawapan Zaid. Sekiranya mereka berada di pihak Zaid, sudah tentu dia menerima tawaran itu. Tetapi tidak dengan Zaid. Dia lebih rela mati syahid daripada membiarkan mereka menghina Nabi Muhammad.

     "Sesungguhnya kasih sayang yang ditunjukkan oleh sahabat Nabi Muhammad ini tiada tolok bandingnya. Dia pemimpin sejati kerana pengikutnya sanggup berkorban nyawa untuknya," puji Abu Sufian bin Harith.

     Safwan berasa sangat marah mendengar jawapan Zaid dan kata-kata Abu Sufian bin Harith. Lalu ditikamnya Zaid dengan lembing yang berada di tangannya. Akhirnya Zaid menghembuskan nafas terakhirnya di situ juga.

     "Wahai Uqbah, Safwan sudah membalas dendam ke atas lelaki yang membunuh bapanya. Bilakah giliran kamu pula melakukannya?" tanya Abu Sufian bin Harb. Dia seperti tidak sabar melihat Khubaib dibunuh.

     "Saya sengaja tidak mahu membunuh Habib dengan cepat kerana mahu dia terseksa dulu," jawab Uqbah.

     "Apa yang kamu lakukan kepadanya?" tanya Abu Sufian.

     "Saya kurung dia tanpa memberi makanan dan minuman. Saya mahu dia berasa lapar dan dahaga," jawab Uqbah.

     "Apa tujuan kamu lakukan itu?" tanya Abu Sufian lagi.

     "Saya mahu dia kembali ke agama nenek moyang kita," jawab Uqbah.

     "Sekiranya Habib setuju, apakah kamu akan membebaskan dia?" tanya Abu Sufian lagi.

     "Oh tidak, saya tetap akan membunuhnya. Saya tidak mahu dia mati dengan menganut agama yang dibawa Muhammad. Saya mahu Khubaib mati dengan menganut agama kita," jawapan Uqbah itu menggembirakan hati Abu Sufian. Dia yakin apabila Khubaib berasa lapar dan dahaga, dia terpaksa tunduk dengan kehendak Uqbah.

     Pada suatu hari, Uqbah menyuruh Mu'awiyah melihat keadaan Habib yang berada di dalam kurungan. Dia berharap Khubaib akan merayu meminta makanan dan air selepas beberapa hari tidak mendapatnya. Mu'awiyah terkejut apabila melihat Khubaib sedang memakan sebiji buah anggur sebesar kepala. Dia melaporkan apa yang dilihatnya itu kepada Uqbah.

     "Muhammad mengajar ilmu sihir kepada lelaki itu. Oleh itu, sia-sia sahaja saya membiarkannya hidup. Esok pagi dia akan dibunuh," kata Uqbah dengan rasa marah dan kecewa.

     Keesokan harinya, sekali lagi Mu'awiyah melihat Khubaib di tempat kurungannya.

     "Hari ini kamu akan dihukum bunuh. Apakah ada apa-apa permintaan kamu yang dapat aku tunaikan?" tanya perempuan itu.

     "Saya hanya mahukan sebelah pisau bagi mencukur rambutku," jawab Khubaib.

     Mu'awiyah berasa hairan lalu bertanya, "Apakah itu sahaja permintaan kamu?"

     "Itu sahaja," jawab Khubaib.

     "Apakah kamu tidak berasa takut kerana pada hari ini akan dibunuh?" tanya Mu'awiyah kerana menyangka Khubaib akan merayu-rayu apabila tahu akan dibunuh.

     "Saya tidak sabar menemui rakan-rakanku yang sudah syahid. Di akhirat kelak kami akan duduk bersama Nabi Muhammad." Jawapan Khubaib itu membuatkan Mu'awiyah semakin kagum.

     "Baiklah saya akan memenuhi permintaan kamu itu," kata Mu'awiyah lalu mengambil sebilah pisau cukur lalu diberikannya kepada Abdullah anak lelaki Uqbah.

     "Berikan pisau cukur ini kepada lelaki di dalam kurungan itu," pesan Mu'awiyah kepada budak lelaki itu.

     Budak lelaki itu memberikan pisau cukur itu kepada Khubaib kemudian Khubaib menyuruh duduk di pangkuannya lalu berkata, "Sesungguhnya pengasuh kamu itu langsung tidak bimbang sekiranya aku menipunya."

     Barulah Mu'awiyah sedar kesilapannya menyuruh budak lelaki itu memberikan sebilah pisau cukur kepada seorang lelaki yang akan dihukum mati. Pada sangkaannya tentulah Khubaib akan membunuh anak Uqbah sebagai membalas dendam. Senjata tajam itu juga dapat digunakan bagi melepaskan diri. Dengan perasaan yang cemas Mu'awiyah segera mendapatkan Khubaib. Dilihatnya lelaki itu sedang memegang pisau cukur dan anak Uqbah sedang dipangkunya.

     "Barangkali kamu menyangka saya akan membunuh anak kecil ini? Sesungguhnya agamaku melarang penipuan dan pengkhianatan," kata Khubaib.

     Mu'awiyah berasa sungguh insaf dan terharu melihat betapa mulianya hati Khubaib.

     "Saya pernah melihat kamu memakan buah anggur yang besar. Siapakah yang memberikan buah anggur itu? Sekarang bukan musim anggur berbuah," tanya Mu'awiyah.

     "Apakah kamu menyangka buah anggur itu diberikan oleh lata dan uzza?" tanya Khubaib pula.

     Mu'awiyah berasa semakin kagum mendengar kata-kata Khubaib itu. Wanita itu akhirnya mendapat hidayah.

     Tidak lama kemudian Uqbah dan Hajar datang lalu membawa Khubaib ke tempat dia akan dibunuh. Orang ramai sudah berkumpul di situ bagi melihat Uqbah membalas dendam kepada pembunuh bapanya.

     "Sebelum saya bunuh kamu, apakah permintaan kamu yang terakhir?" tanya Uqbah sambil menghunus pedangnya.

     "Izinkan saya mendirikan solat sunat dua rakaat kerana tidak lama lagi saya akan pergi menghadap tuhanku," jawab Khubaib dengan wajah yang tenang.

     Uqbah membenarkan permintaan Khubaib. Dia pun mengerjakan solat sunat dua rakaat.

     Selesai sembahyang sunat dan berdoa, maka Habib pun berkata, "Demi Allah, inilah sembahyang sunat yang paling aku suka. Sekiranya dapat aku mahu menambah lagi beberapa rakaat lagi tetapi aku bimbang kamu menyangka aku takut dan sengaja mahu melambatkan hukuman terhadap aku."

     Kemudian kaki dan tangan Habib diikat lalu ditambatkan pada sebatang tiang. Uqbah mendekati Khubaib lalu berbisik ke telinganya.

     "Wahai Khubaib, aku boleh membebaskan kamu sekiranya kamu berjanji mahu membawa Muhammad ke sini bagi menggantikan tempatmu," bisik Uqbah.

     Khubaib marah lalu berkata, "Demi Allah aku tidak rela Muhammad dicucuk kakinya dengan duri, apatah lagi menggantikan tempat aku."

     Uqbah berasa sangat kagum dengan kecintaan Khubaib kepada Nabi Muhammad. Kemudian dia membuat tawaran kedua.

     "Wahai Khubaib, aku akan lepaskan kamu daripada hukum bunuh sekiranya kamu tinggalkan Muhammad dan kembali ke agama asal kita," kata Uqbah.

     "Demi Allah, aku tidak akan tinggalkan agama Islam walaupun seluruh isi dunia ini diserahkan kepada aku," jawab Khubaib dengan tegas.

     "Hei Khubaib, tinggalkan Islam ataupun engkau aku bunuh," teriak Uqbah dengan rasa marah.

     "Tidak sekali-kali tidak. Aku rela mati dalam Islam," balas Khubaib kemudian dia menghalakan mukanya ke arah Kaabah.

     "Palingkan muka ke arah lain. Aku tidak mahu dia mati mukanya menghadap kaabah," kata Uqbah lalu menyuruh pembantunya memalingkan muka Khubaib ke arah lain.

     "Tidak ada gunanya kamu memalingkan mukaku dari arah kiblat," kata Khubaib lalu membacakan ayat Al-Quran yang bermaksud.

     "Ke mana sahaja kamu menghadapkan muka kamu, di sana terdapat wajah Allah."

     Kemudian Khubaib pun berdoa, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya di kelilingku ini semuanya musuh-Mu. Tidak ada seorang pun di sisi orang yang dapat aku sampaikan salam kepada Rasul Engkau. Kerana itu sampaikan salam aku kepadanya wahai Tuhan."

     Uqbah dan Hajar berasa marah lalu mengumpulkan empat belas orang anak yang ayah mereka mati dalam Perang Uhud. Mereka diberikan seorang sebilah tombak.

     "Inilah dia pembunuh bapa-bapa kamu di Uhud dahulu. Kamu boleh membalas dendam kepadanya," kata Uqbah.

     Menyedari saat ajalnya sudah hampir maka Khubaib pun berdoa, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya kami sudah menyampaikan risalah rasul-Mu. Tolonglah Engkau sampaikan peristiwa yang telah berlaku ke atas kami ini kepadanya.

     "Wahai Tuhanku, mereka yang di kelilingku ini orang yang zalim. Lemparlah mereka dengan batu-batu beracun. Bunuhlah mereka semuanya dan jangan ada yang tertinggal seorang jua pun."

     Apabila mendengar doa Khubaib itu ramai yang berasa takut sehingga gementarlah hati mereka. Muawiyah bin Abu Sufian dan ayahnya Abu Sufian bin Harb lari lintang pukang bagaikan takutkan singa sehingga jatuh terguling di atas pasir. Hakim bin Hizam dan Jubair bin Mut'aim melarikan diri lalu bersembunyi di dalam lubang.

     Namun empat belas orang anak muda yang bapa mereka terbunuh dalam Perang Uhud tidak menghiraukan doa yang dibacakan oleh Khubaib. Tambahan pula apabila Uqbah menyuruh mereka membunuh lelaki yang beriman itu. Mereka serentak menikamkan tombak ke tubuh Khubaib menyebabkan tubuhnya berpusing dan mukanya menghadap semula ke arah kiblat.

     "Segala puji bagi Allah yang menghadapkan semula mukaku ke arah kiblat," kata Khubaib.

     Uqbah dan empat belas orang pemuda itu berasa sangat marah lalu menikam tubuh Khubaib sehingga berkecai. Kemudian mayat Khubaib ditinggalkan di situ.

     Di Madinah pula ketika itu Nabi Muhammad sedang dikelilingi para sahabatnya. Tiba-tiba baginda didatangi Malaikat Jibril.

     "Ini Malaikat Jibril datang menyampaikan salam Khubaib kepada aku," kata Nabi Muhammad lalu memberitahu mereka apa yang berlaku kepada enam pendakwah itu.

     Kemudian Nabi Muhammad menyuruh seorang lelaki bernama Amru bin Umayyah Ad-Dhamiri pergi ke Mekah bagi menyelamatkan mayat Khubaib yang masih dibiarkan terikat pada tiang.

     Amru sampai di Kota Mekah selepas empat puluh hari mayat Khubaib dibiarkan di situ. Namun mayatnya tidak busuk malah darah merah masih kelihatan mengalir dari tubuh Khubaib. Pada suatu pagi, Amru mengambil mayat Khubaib lalu dibawa lari.

     Perbuatan Amru itu dilihat oleh seorang lelaki lalu memberitahu orang ramai. Mereka mengejarnya bagi membunuh Amru dan merebut semula mayat Khubaib. Kerana Amru datang hanya dengan berjalan kaki, dia cuba memikul mayat Khubaib sambil berlari.

     Orang ramai yang mengejarnya semakin menghampiri Amru. Beliau tidak ada pilihan selain meletakkan mayat Khubaib di atas tanah bagi membolehkan dia menyelamatkan diri dengan maksud akan berusaha mengambilnya semula.

     Sambil berlari menyelamatkan diri, Amru sempat berpaling ke belakang bagi melihat mayat yang terpaksa ditinggalkan itu. Ketika itu orang ramai yang mengejarnya sudah menghampiri mayat itu. Tiba-tiba berlaku sesuatu yang luar biasa dengan izin Allah. Bumi terbelah dan mayat Khubaib ditelan bumi.

     "Khubaib juga disyahidkan oleh orang Quraisy," kata Nabi Muhammad lalu menceritakan apa yang berlaku kepada Khubaib.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment