Tuesday 9 May 2017

PERANG UHUD [ [ BAB 7 - PERSIAPAN UNTUK BERPERANG ]






PERSIAPAN UNTUK BERPERANG








15 Sya'ban 3 Hijrah / Februari 625 Masihi

Suasana di sekeliling Kaabah hening seketika. Orang ramai menumpukan perhatian kepada para pemimpin mereka yang berdiri di hadapan Kaabah. Masing-masing begitu berminat mendengar apa yang diucapkan oleh Abu Sufian bin Harb, Abdullah bin Abi Rabiah, Ikramah bin Abu Jahal, Safwan bin Umaiyah, Khalid Al-Walid dan Abbas bin Abdul Mutalib.

     "Wahai orang Quraisy, Muhammad dan para pengikutnya sudah membuat angkara terhadap kita. Mereka menyekat semua laluan ke Syam menyebabkan kafilah dagang kita tidak dapat lagi melaluinya. Beberapa percubaan dilakukan oleh mereka sehingga berani untuk melepasi sekatan itu. Tetapi mereka diserang dan barang-barang dagangan mereka habis dirampas. Jika keadaan ini berterusan kita tidak dapat berniaga ke Syam. Barang-barang kita tidak boleh dijual dan barang-barang dari luar tidak boleh dibawa masuk. Akhirnya kita akan mati kebuluran. Sanggupkah kamu menghadapinya?" kata Abu Sufian dengan penuh semangat.

     "Kami tidak sanggup!" teriak orang ramai.

     "Bunuh Muhammad!" teriak mereka lagi.

     "Kita serang Madinah!" teriakan itu bergema ke angkasa.

     Abu Sufian kelihatan gembira kerana orang ramai memberi sokongan pada ucapannya.

     Kemudian dia memandang ke arah Abbas bin Abdul Mutalib lalu berkata, "Ketika aku sedang bercakap, Abbas seolah-olah tidak mendengarnya. Kemudian, sewaktu orang ramai berteriak memberi sokongan dia berdiam diri. Apakah dia tidak setuju? Aku memberi peluang untuk dia berkata-kata."

     Orang ramai menumpukan perhatian pada Abbas bin Abdul Mutalib. Walaupun orang ramai kurang senang dengan keluarga Bani Hasyim yang sering menyebelahi Nabi Muhammad, namun Abbas tetap diperlukan kerana dia mewakili keluarga Abdul Mutalib. Tambahan pula Abu Lahab sudah meninggal dunia. Di kalangan keturunan Abdul Mutalib, Abbas yang paling bijak dan mempunyai bakat sebagai pemimpin.

     "Wahai kaum Quraisy, Abu Sufian menuduh Muhammad telah menganiaya kamu. Siapakah sebenarnya yang membuat aniaya kepada Muhammad dan para pengikutnya sehingga mereka terpaksa berhijrah ke Yahtrib? Kamu marah apabila Muhamamd dan para pengikutnya menyekat laluan ke Syam. Tetapi apakah kamu sudah lupa yang kamu pernah menyekat Muhammad dan para pengikutnya selama bertahun-tahun sehingga mereka terpaksa memakan daun-daun kayu kerana tiada makanan. Anak-anak kecil mereka kelaparan kerana ibu-ibu mereka kurus kering hingga tubuh mereka tidak lagi mengeluarkan susu? Kamu yang telah menganiaya Muhamamd dan para pengikutnya selama 15 tahun," kata Abbas dengan panjang lebar. Orang ramai terdiam mendengar kata-kata Abbas. Abbas ingin menyambung lagi percakapannya tetapi segera dipotong oleh Safwan bin Umaiyah.

     "Apa yang kita lakukan terhadap Muhammad itu bukan satu penganiyaan tetapi satu hukuman kerana dia mempersendakan agama nenek moyang kita. Menghina tuhan-tuhan kita dengan menyeru manusia menyembah selain Al-Latta- dan Al-Uzza. Muhammad menjadi degil dan keras kepala kerana dia dilindungi pemimpin Bani Hasyim. Dahulu dia dilindungi Abu Talib, sekarang dilindungi Abbas bin Abdul Mutalib. Sebab itu sudah sampai masanya kita atasi masalah ini dengan berperang. Kita pernah berperang dengan mereka di Badar. Kita mengalami kekalahan kerana kesilapan kita sendiri. Oleh sebab itu, kita mesti menebus semula kekalahan itu dengan berperang sekali lagi dengan mereka. Jika kita berdiam diri, kita akan mati kebuluran sebab mereka sudah menyekat laluan keluar dan masuk. Kita berkumpul pada hari ini untuk mendapat kata sepakat bagi berperang sekali lagi dengan Muhammad. Jika ada yang tidak setuju, dia boleh pergi dan keluar dari tempat ini kerana kehadirannya tidak diperlukan," kata Safwan yang menujukan kata-katanya terhadap Abbas.

     "Aku memang tidak setuju kamu berperang dengan Muhammad. Aku akan keluar dari sini. Aku tidak akan menyertai kamu lagi," kata Abbas lalu keluar dari Masjidil Haram terus pulang ke rumahnya.

     Dia tahu dirinya tidak disenangi orang ramai kerana sering membela Nabi Muhammad. Mereka mahu dia mencontohi Abu Lahab yang memusuhi Muhammad. Tetapi dia tidak sanggup melakukannya. Tambahan pula ayahnya dulu Abdul Mutalib juga menyayangi Muhammad. Begitu juga abangnya Abu Talib yang sanggup melindungi Nabi Muhammad walau nyawanya sendiri sering terancam.

     Dalam perjalanan pulang ke rumah, Abbas bertemu dengan Umair bin Wahab Al-Jumahi yang suatu ketika dulu amat memusuhi Nabi Muhammad sehingga sanggup pergi ke Madinah bagi membunuhnya. Tetapi akhirnya dia mendapat hidayah lalu masuk Islam. Walaupun sudah menjadi pengikut Muhammad. Umair tetap berada di Mekah dan orang-orang Quraisy tidak berani menyakitinya kerana bimbang tindak balas Umair yang terkenal sebagai seorang yang gagah dan berani.

     "Orang ramai sedang berkumpul di depan Kaabah. Mereka sedang dihasut oleh pemimpin-pemimpin Quraisy untuk menyerang Madinah. Aku cuba membantah tetapi dihalau keluar dari situ," kata Abbas sambil melahirkan rasa kesalnya.

     "Perkara ini adalah serius. Mengapa engkau keluar dari situ? Jangan keluar dari situ supaya kita dapat tahu apa yang mereka rancang. Dengan itu kita boleh melaporkannya kepada Nabi Muhammad," marah Umair.

     "Aku bimbang tentang keselamatanku. Tambahan pula mereka berjaya menghasut orang ramai membenci kita," kata Abbas dengan rasa sedih.

     "Aku akan pergi ke sana. Mari temani aku. Jika mereka berani menyakiti engkau nescaya aku gunakan senjataku ini," kata Umair sambil menunjukkan pedangnya.

     Beberapa bulan yang lalu pedang itu pernah cuba digunakan untuk membunuh Nabi Muhammad. Umair mengasah mata pedang itu hingga tajam berkilat. Kemudian menyapunya dengan racun yang paling bisa supaya apabila Nabi Muhammad terluka sedikit sahaja pun akan membawa maut. Tetapi pedang itu tidak jadi digunakan untuk membunuh Muhammad. Jika perlu, Umair segera menggunakan pedang itu untuk membunuh para pemimpin Quraisy terutama Abu Sufian bin Harb.

     Abbas bersetuju dengan permintaan Umair lalu mengikutinya masuk semula ke dalam Masjidil Haram. Orang ramai tidak menghiraukan kedatangan Abbas bersama Umair. Mereka lebih berminat mendengar ucapan pemimpin mereka.

     "Ayahku dibunuh dalam perang Badar. Dia mati sebagai pahlawan Quraisy kerana membela agama nenek moyang kita. Ayahmu memusuhi Muhammad sejak dia diutus menjadi pesuruh Allah. Ayahku terus memusuhinya sehingga terbunuh dalam perang Badar. Jika semua orang Quraisy bersatu sudah tentu ayahku tidak terbunuh dan pasukan Quraisy tidak dapat dikalahkan oleh pasukan Muhammad. Aku bersumpah akan menuntut bela di atas kematian ayahku," kata Ikramah bin Abu Jahal. Dia kelihatan begitu bersemangat.

     Kemudian giliran Hindu binti Uthbah pula berucap, "Ayahku Uthbah bin Rabiah dibunuh oleh Hamzah bin Abdul Mutalib. Aku bersumpah akan membalas dendam di atas kematian ayahku. Aku sanggup mengupah sesiapa saja yang sanggup membunuh Hamzah. Aku juga akan menyeru kaum ibu menyerahkan barang-barang perhiasan mereka untuk membiayai peperangan ini," kata Hindun juga dengan penuh bersemangat. Orang ramai memberi tepuk sorak sebagai tanda sokongan.

     Kemudian, giliran Khalid Al-Walid pula yang berucap. Ketika itu beliau belum masuk Islam. Kebenciannya terhadap Nabi Muhammad menyamai kebencian Abu Sufian dan Ikramah.

     "Aku tidak ada di sini ketika berlakunya Perang Badar. Jika aku ada, pasti aku juga menyertai pasukan Quraisy Mekah dan akan terlibat dalam pertempuran di Badar. Kerana itu peperangan kali ini aku akan turut serta. Aku akan pastikan kemenangan kali ini milik orang Quraisy Mekah," kata Khalid Al-Walid.

     Ucapannya juga membakar semangat orang ramai. Mereka menyatakan sokongan terhaap Khalid Al-Walid.

     Selepas habis para pemimpin Quraisy berucap maka orang ramai sebulat suara menyokong dibentuk pasukan tentera bagi menyerang Madinah. Abu Sufian masih itdak berpuas hati. Dia mengajak semua pemimpin Quraisy dan orang ramai menjalankan kempen untuk berperang dengan Nabi Muhammad. Dia mengadakan perjumpaan dengan semua anggota kafilah dagang Quraisy yang pernah diselamatkannya.

     "Tuan-tuan semua adalah anggota kafilah dagang yang pernah aku selamatkan dari dirompak oleh Muhammad dan pengikutnya. Tetapi pada masa akan datang aku tidak dapat lagi menyelamatkan kamu lagi kerana Muhammad dan para pengikutnya berkuasa di Madinah. Mereka semakin berani bertindak ganas terhadap kita. Oleh itu kami memerlukan bantuan kamu semua untuk menyerang Madinah dan membunuh mereka," kata Abu Sufian dalam satu perjumpaan dengan anggota kafilah dagang Quraisy yang pernah diselamatkannya.

     "Kami sanggup membantu kamu dengan tenaga, harta dan jiwa raga kami. Segeralah memerangi Muhammad dan kami akan bersama kamu," kata salah seorang daripada mereka.

     Hasil daripada kempen itu Abu Sufian dapat mengumpulan 1000 ekor kuda dan 50,000 dirham. Dia masih belum berpuas hati lalu mengadakan pertemuan dengan anggota kafilah dagang yang barag-barang mereka sudah dirampas oleh pasukan tentera Islam dalam peristiwa Sawiq dan Bahran. Mereka mendermakan 1000 ekor unta untuk dijadikan makanan tentera yang akan berperang. Kemudian Abu Sufian menemui kabilah-kabilah Arab dan Badwi yang belum mengikat perjanjian dengan Nabi Muhammad.

     Hindun binti Uthbah, isteri Abu Sufian pula menemui keluarga mereka yang terbunuh dalam perang Badar. Dia meminta balu-balu mereka yang terkorban itu memberi bantuan. Seruan itu juga mendapat sambutan sehingga mereka sanggup mendermakan barang-barang kemas untuk membiayai pasukan perang Quraisy.

     Hasil daripada kempen itu juga seramai 150 wanita menyatakan kesanggupan mereka bagi mengiringi angkatan perang Quraisy nanti. Lima belas orang antara mereka adalah isteri pemimpin dan hartawan Quraisy.

     Safwan bin Umaiyah pula memujuk Abu Izzah seorang penyair Arab yang terkenal supaya menulis puisi yang boleh menambahkan lagi kebencian orang ramai terhadap Nabi Muhammad serta menaikkan semangat mereka untuk berperang.

     "Kamu bantu kami dengan lidah dan puisi-puisi kamu. Kami sangat menghargainya," pujuk Safwan.

     "Aku pernah menyertai pasukan Quraisy di dalam Perang Badar. Ternyata aku bukan seorang pahlawan sehingga dijadikan tawanan perang. Aku seorang penyair yang terkenal maka aku dibebaskan tanpa membayar apa-apa tebusan. Tetapi mereka telah memberi amaran jika aku ditangkap sekali lagi dan aku tidak akan dimaafkan lagi," kata Abu Izzah yang berasa keberatan menurut kehendak Abu Sufian.

     "Walaupun engkau bukan seorang pahlawan tetapi engkau bijak mencipta puisi. Tulislah puisi yang menambahkan lagi rasa benci orang ramai terhadap Muhammad. Naikkan semangat mereka untuk berperang. Engkau akan mengiringi angkatan perang Quraisy bagi membaca puisi-puisi perang kepada mereka," pujuk Safwan.

     "Bagaimana jika aku tertangkap dan dijadikan tawanan perang lagi? Sudah tentu aku dibunuh," kata Abu Izzah.

     "Kali ini orang Quraisy telah bersatu untuk memerangi Muhammad. Kami juga mendapat bantuan daripada kabilah-kabilah Arab dan Badwi. Aku yakin kami akan menang dan Muhammad akan kalah," kata Safwan bersungguh-sungguh.

     "Dalam setiap peperangan pasti ada yang terbunuh dan cedera. Bagaimana jika aku terbunuh?" tanya Abu Izzah lagi.

     "Wahai Abu Izzah, jika kamu masih hidup nescaya kamu akan menjadi kaya raya. Jika kamu terbunuh keluarga kamu akan aku bela nasibnya," janji Safwan sambil bersumpah dia tidak mungkir janji.

     Akhirnya, Abu Izzah dapat dipengaruhi Safwan. Dia pun menulis puisi yang boleh menambahkan lagi rasa benci orang ramai kepada Nabi Muhammad. Dia juga menulis puisi yang membangkitkan semangat orang ramai untuk berperang. Puisi-puisi tulisan Abu Izzah itu digantungkan pada dinding Kaabah dan kemudian dibacakan kepada orang ramai.

     Seorang lagi penyair bernama Musafi' bin Abdi Manaf al-Jumahi yang pada mulanya tidak terkenal. Dia juga turut menulis puisi seperti Abu Izzah. Tidak lama kemudian namanya menjadi terkenal dan disanjung orang ramai.

     Ikramah bin Abu Jahal dan Khalid Al-Walid pula menjalankan kempen mengajak kaum lelaki menyertai pasukan perang Quraisy. Oleh sebab, kedua-duanya pahlawan Quraisy yang terkenal, maka dengan mudah mereka dapat menarik orang ramai mendaftarkan diri menyertainya.

     Hasil kempen secara besar-besaran itu mereka berjaya mendapatkan seramai 3,000 orang lelaki yang sanggup pergi berperang. Mereka terdiri daripada orang Quraisy Mekah, Arab Kinanah dan Arab Tuhamah daripada Bani Al-Harith dan dan Bani Al-Mustalig daripada suku Khuza'ah.

     Di kalangan mereka terdapat seorang pendeta Bani Aus bernama Abu Amer Al-Rahib Al-Ausi. Beliau berasal dari Madinah dan berpindah ke Mekah kerana hendak bergabung dengan orang Quraisy memerangi Nabi Muhammad. Pendeta itu juga membawa bersama para pengikutnya.

     Juber bin Muth'im pula menyuruh hambanya bernama Wahsyi yang berasal dari Habsyah menyertai pasukan Quraisy.

     "Kamu mahir membaling tombak. Aku mahu kamu membunuh Hamzah kerana dia telah membunuh bapa saudaraku Thu'aimah bin Adi dalam Perang Badar," pesan Juber kepada Wahsyi.

     "Baik tuan," kata Wahsyi dengan senang hati.

     "Jika kamu berjaya membunuh Hamzah maka aku memerdekakan kamu. Selain aku, maka indun juga mahu Hamzah dibunuh. Kamu pergi temui Hindun," kata Juber lagi.

     Wahsyi segera menemui Hindun lalu berkata, "Khabarnya puan mencari seseorang untuk membunuh Hamzah bin Abdul Mutalib."

     "Memang benar kerana Hamzah telah membunuh bapaku Uthbah dalam Perang Badar. Apakah kamu sanggup membunuhnya?" tanya Hindun pula.

     "Saya seorang yang mahir membaling tombak. Saya akan gunakan tombak itu untuk membunuh Hamzah," jawab Wahsyi.

     "Jika kamu dapat membunuh Hamzah aku merdekakan kamu daripada Juber dan memberi hadiah sebanyak satu ribu dirham," janji Hindun.

     Hindun pula dapat mengumpulkan 150 orang perempuan yang sanggup mengiringi pasukan perang itu hingga sampai ke Madinah. Abu Sufian yakin dengan adanya kaum wanita itu pemimpin-pemimpin Arab yang bersamanya tidak akan lari dari medan perang. Kaum wanita itu juga ditugaskan menghiburkan anggota pasukan Quraisy dengan nyanyian dan tarian sepanjang perjalanan serta merawat mereka yang cedera dalam pertempuran.

     Mereka melantik Abu Sufian bin Harb menjadi pemimpin tertinggi pasukan tentera Quraisy. Panglima Khalid Al-Walid mengetuai pasukan tentera berkuda seramai 200 orang. Ikramah bin Abu Jahal mengetuai pasukan tentera berjalan kaki yang memakai baju besi berjumlah 700 orang. 1,000 orang tentera yang terdiri dari hamba yang dipaksa pergi berperang diketuai Abu Amir bin Al-Rahib. Manakala selebihnya di bawah perintah panglima tertinggi Abu Sufian. Bendera pasukan Quraisy dipegang oleh Abdul Al-Dar. 150 orang kaum wanita pula diketuai oleh Hindun bin Uthbah.

     Kemudian mereka berangkat menuju ke Madinah. Sepanjang perjalan kaum wanita yang diketuai Hindun menghiburkan angkatan perang Quraisy dengan tarian dan nyanyian. Mereka juga memukul gendang perang bagi menaikkan semnagat pasukan Quraisy untuk berperang.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment