Thursday 19 January 2017

HANCURKAN DINDING ITU






HANCURKAN DINDING ITU








Kita meneruskan lagi lembaran, Untuk Kita Pendosa, supaya kita mampu bersama-sama muhasabah diri dan bergerak mencuci dosa-dosa kita. Saya melakarkan artikel ini kerana pada suatu ketika dahulu, ada orang datang mengadu kepada saya. Dia dihantui kisah silmamnya. Katanya, dia mahu berubah. Tetapi, tidak mampu kerana sering teringat kepada keburukan-keburukan yang dilakukannya pada masa lepas.

     Lebih memburukkan keadaan, selepas melihat dia berubah, manusia di sekelilingnya mencemuh dan mengeluarkan ayat, "Sudah jahat mahu berbuat baik pula." "Awak fikir, saya mahu ampunkan segala kesilapan awak dahulu?"

     Dia mengalami kesukaran. Seolah-olah laluannya menjadi hamba Allah yang terbaik, tersekat kerana dihalang oleh dinding besar yang maha tebal. Dia tidak mampu bergerak untuk berubah, kerana langkahnya terhenti di lorong yang disangkanya jalan mati.

     Saya melihat. Saya mendengar. Saya meneliti. Dia berkata, dia tidak mempunyai harapan lagi, Tetapi, saya nampak cahaya sakti yang mampu menembusi dinding itu. Jadi, saya bertanya kepadanya satu soalan, iaitu kepada manusia yang ingin berubah.

     Mengapa kamu mahu berubah?"


Niat dan Matlamat Perlu Jelas

Apakah yang memberikan kekuatan kepada seorang pelari pelari pecut 100 meter? Mengapa kita tidak pernah melihat ada pelari pecut 100 meter dalam kejohanan Olimpik dan sebagainya berlari dengan perlahan?

     Ini kerana, niatnya jelas. Dia berlari untuk menang. Matlamatnya jelas. Dia mesti melakukan yang terbaik bagi menggapai pingat. Mahu ataupun tidak, apabila dia mempunyai niat dan matlamat sedemikian, dia perlu berlari sepantasnya. Walaupun dia sedar ada orang yang lebih pantas daripadanya di trek itu.

     Begitu juga pada mereka yang ingin berubah dan melakukan perubahan pada diri. Perkara-perkara pertama yang perlu dihiraukan adalah, "Mampukah aku berubah? Sekiranya aku berubah, adakah orang lain terima?"

     Perkara yang perlu dilihat oleh manusia yang ingin berubah adalah, "Mengapa aku berubah?"

     Niat dan matlamat perlu jelas dalam hal ini. Ini kerana, niat dan matlamat yang membekalkan peratus kekuatan terbesar, bagi membantu kita dalam perubahan. Jangan berubah kerana manusia, jangan berubah kerana keadaan, jangan berubah kerana berasa mampu berubah, dan jangan berubah kerana berasa dapat istiqamah dengan perubahan. Kita berubah kerana kita mahu menjadi hamba yang Allah redha. Itu matlamat kita. Niat kita berubah adalah kerana Allah. Kita mahu Allah kira kita sebagai hamba-Nya yang terbaik yang diredhai-Nya.

     Matlamat kita perlu jelas. Ini disertai dengan keyakinan dan keimanan yang kental bagi melakukan perubahan, walaupun dikutuk dan dikeji orang. Niat dan matlamat kita hanya untuk Allah semata-mata dan bukan kerana mana-mana makhluk-Nya.


Bermulalah

Cabaran untuk manusia adalah permulaan. Sebelum manusia melangkah, mereka sudah menyibukkan diri dengan pelbagai soalan yang menyekat diri daripada berubah. Malah, mereka tetap tidak bergerak lagi. Pelumba lari yang tidak berlari, adakah dia mempunyai peluang untuk menang?

     Tidak. Kerana dia tidak berlari. Tetapi, sekiranya dia mula berlari, walaupun saingannya adalah pelari terpantas di dunia, peratus kemungkinan untuk menang tidak menjadi 0 peratus. Mungkin meningkat kepada 0.0001 peratus. Semua itu tidak diketahui, melainkan kita memulakannya.

     Begitu juga dengan manusia yang inginkan perubahan, tetapi tidak memulakan langkah untuk berubah.


Siapakah yang Bergerak kepada Allah

"Saya sudah bergerak untuk berubah, tetapi saya tertekan dengan suasana. Masyarakat mengutuk saya dan tidak menerima perubahan saya. Mereka masih tidak mempercayai saya dan sering mengungkit keburukan lampau."

     Perkara ini kemungkinan berlaku kepada sesiapa yang Allah pilih untuk dia lalui. Ketahui itu adalah ujian daripada Allah SWT. Tambahan kasih sayang-Nya, supaya kita lebih rapat dan lebih berharap kepada-Nya. Niat perubahan perlu bersih. Seperti yang saya katakan, kita berubah kerana Allah. Jangan kita peduli dengan kata-kata manusia lain. Kita bergerak ke arah Allah SWT bukan ke arah manusia. Allah SWT itu maha besar kasih sayang-Nya.

     Sekiranya kita cekal mengharungi ujian dan bersangka baik kepada Allah SWT yang menurunkan segala dugaan, saya yakin 500 peratus, hanya kebahagiaan sahaja yang menanti kita. Mengapa saya begitu yakin? Ini kerana, Allah SWT tidak memungkiri janji-Nya. Allah menjelaskan dalam surah Ar-Rum, ayat 6 yang bermaksud:

          "Allah tidak pernah mengubah janji-Nya, tetapi kebanyakan
          manusia tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya."


Berubah Bukan Paksaan

Akhir sekali, sedikit perkongsian apabila kita berubah. Orang selalu berkata, membazir sahaja sekiranya mahu berubah, tetapi kita tidak mampu beristiqamah dengan perubahan.

     Benar. Namun, perkara yang manusia perlu faham adalah, perubahan itu bukan dengan cara paksaan. Tidak ada orang yang membaca buku motivasi pada hari ini, terus menjadi malaikat keesokan harinya. Penulis-penulis di Langit Ilahi.com dan saya sendiri, masih berusaha mempertingkatkan diri. Sekali sekala terjatuh dan mendaki kembali daripada kejatuhan.

     Berubahlah sedikit demi sedikit, secara berterusan. Manusia tidak berubah seperti plastisin. Ketuk sekali berubah terus bentuknya. Manusia berubah dengan proses yang teratur. Kita susun jadual. Mulakan dengan solat fardhu dahulu. Daripada tidak bersolat kepada bersolat. Apabila sudah mampu beristiqamah dan tidak meninggalkan solat, kita tingkatkan solat pada awal waktu pula. Ketahuilah, hati kita pasti dahagakan 'tambahan'. Tanpa disuruh, hati sendiri berkata, "Saya mahu melakukan solat sunat."

     Ada orang mempertikaikan teknik di atas sebagai lambat. Sekiranya manusia membuat perubahan. Apa masalahnya? Jangan nampak solat sahaja yang hadir daripada teknik ini. Insya Allah, dengan memperbaiki solat, bahasanya menjadi lembut dan akhlaknya menjadi sopan sedikit demi sedikit. Ini adalah tarbiah. Bukan menyondol, tetapi dengan seni yang cantik dan teratur. Semuanya datang bersama pakej. Pokoknya, perubahan itu perlu berterusan.

     Jangan risau dengan sedikit perubahan yang kita lakukan hari ini. Sekiranya kita beristiqamah, seterusnya kita berusaha mempertingkatkan diri kita, berubah sedikit demi sedikit, pasti perubahan besar berlaku kepada diri kita. Allah itu maha penyayang. Sesiapa yang mendekati-Nya selangkah, Allah akan dekatinya 1000 langkah. Kita perlu yakin. Mulakan perubahan, walaupun sedikit, tetapi beristiqamah.


Hancurkan Dinding Itu

Kita mampu berubah. Jangan sesekali memberi alasan menyatakan tidak mampu. Allah tidak memungkiri janjinya. Dia tidak menguji manusia dengan sesuatu yang tidak mampu manusia laluinya dan selesaikannya.

     Cuma mampu ataupun tidak terpulang pada diri manusia itu sendiri. Mahu ataupun tidak mahu berubah? Individu itu sendiri perlu menjawabnya. Allah tidak zalim kepada manusia. Sebenarnya yang zalim adalah diri manusia sendiri.

     Mulakan perubahan, jangan ditangguhkan lagi. Mulakan dengan niat dan matlamat yang jelas. Seterusnya lakukan perubahan, walaupun sedikit. Pastikan ia dalam keadaan istiqamah. Berusaha mentarbiahkan diri. Kita bina suasana perubahan itu dengan bergaul bersama orang-orang baik. Sebenarnya kita mampu berubah. Yakin bahawa Allah SWT membantu kita dalam perubahan ini. Selangkah kita mendekati Dia, seribu langkah Dia dekati kita.

     Hancurkan dinding penghalang di hadapan kita. Sesungguhnya, dinding itu tidak wujud. Ia hanya ilusi kita yang lama.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.


No comments:

Post a Comment