Monday 30 January 2017

HINDUN YANG BIJAKSANA






HINDUN YANG BIJAKSANA







"Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata, penawar hati, penenang fikiran
Di rumah dia isteri, di jalanan kawan
Sewaktu kita buntu, dia penunjuk jalan."




Ummi Salamah atau nama sebenarnya Hindu binti Abu Umaiyah bin Al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum ialah puteri seorang terhormat berbangsa Quraisy dari kaum Bani Makhzum. Ayahnya seorang pembesar Quraisy yang terkenal dengan gelaran zadur-Rakb iaitu 'penanggung makanan kafilah yang belayar' kerana gemar membawa bekalan untuk orang-orang yang bersama-samanya di dalam pelayaran. Ibu Ummi Salamah ialah Atikah binti Amir dari suku Bani Firas.

     Sebelum menyertai rumah tangga Rasulullah, beliau berkahwin dengan Abdullah bin Abdul Saad. Mereka adalah orang-orang terawal memeluk agama Islam. Kaum Quraisy cuba melakukan pelbagai seksaan ke atas mereka. Namun tidak sedikit pun mereka menyerah kalah, malah mereka tetap teguh dengan pegangan agama baru mereka ini.

     Setelah ancaman kaum Quraisy ke atas kaum Muslimin semakin menjadi-jadi, Rasulullah telah mengizinkan kaum Muslimin supaya berhijrah ke Habsyah. Ummi Salamah dan suaminya adalah di antara mereka yang telah berhijrah bersama-sama kaum Muslimin sebanyak dua kali, pertama kali ke Habsyah dan yang kedua ke Madinah.

     Suaminya Abdullah telah ikut serta bersama-sama kaum Muslimin ketika perang Badar dan Uhud. Beliau telah meninggal dunia di dalam peperangan kerana kecederaan yang menimpa dirinya. Rasulullah berada di sisinya ketika beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

     Ketika suaminya masih hidup, Ummi Salamah pernah berkata kepada suaminya, seorang wanita apabila kematian suaminya yang menjadi penghuni syurga, kemudian beliau tidak berkahwin lagi akan dikumpulkan Allah kedua mereka di dalam syurga. Beliau telah meminta suaminya berjanji tidak akan berkahwin lagi sekiranya salah seorang daripada mereka meninggal dunia. Tetapi Abdullah tidak mahu berjanji dengannya kerana beliau mahu Ummi Salamah mencari pengganti yang lebih baik darinya, yang akan sentiasa menjaga dan menghiburkan hatinya. Seorang sahabat pernah menyebut, ketika Abdullah hampir menemui ajalnya, beliau telah berdoa, "Ya Allah, Ya Tuhanku! Gantikanlah diriku kepada isteriku seorang yang lebih baik!"

     Selepas iddah, Ummi Salamah dilamar oleh Saidina Abu Bakar As-Shiddiq tetapi beliau menolak. Beliau juga menolak lamaran daripada Saidina Umar Al-Khattab. Apabila Rasulullah menghantar utusan meminangnya, Ummi Salamah memberi alasan beliau telah tua dan uzur dan amat cemburu. Namun, Rasulullah tidak menghiraukannya. Baginda menerimanya dengan ikhlas. Lalu perkahwinan Rasulullah dan Ummi Salamah pun berlangsung.

     Walaupun Ummi Salamah adalah isteri Rasulullah yang paling tua usianya, namun kedatangan Ummi Salamah ke dalam rumah tangga Rasulullah tetap membangkitkan rasa kurang senang di hati Aisyah dan Hafsah. Ini kerana Ummi Salamah adalah seorang wanita terhormat yang mempunyai kepintaran luar biasa dan sangat cantik. Namun, keadaan ini tidak sedikit pun meninggalkan kesan kepada Ummi Salamah. Beliau mempunyai pemikiran yang tepat dan pandai menjaga diri serta tidak mahu merosakkan namanya dengan bersekongkol dengan mana-mana isteri Rasulullah yang mempunyai agenda masing-masing.

     Oleh kerananya sifatnya yang mulia dan mempunyai pemikiran yang tajam ini, Rasulullah selalu meminta pendapat dari Ummi Salamah. Baginda selalu menziarahi isteri-isteri baginda sesudah asar dan tempat pertama yang akan diziarahinya ialah Ummi Salamah. Baginda akan berbincang dengan Ummi Salamah dan mengambil buah fikiran darinya.

     Salah satu pandangan Ummi Salamah yang amat berkesan ialah ketika perdamaian Hudaibiyah. Walaupun kaum Muslimin mendapat kemenangan di dalam perdamaian Hudaibiyah, mereka tidak puas hati dengan syarat-syarat yang dibuat oleh Rasulullah dengan kaum Quraisy. Perkara ini telah menjadikan kaum Muslimin berpecah dua. Apabila Rasulullah memerintahkan mereka menyembelih korban dan mencukur rambut, tiada seorang pun yang menurut perintah itu.

     Rasulullah merasa tertekan memandangkan kaum Muslimin tidak mahu menurut perintahnya sedangkan segala perintah Rasulullah berpandukan petunjuk Allah. Lalu Rasulullah pergi menemui Ummi Salamah dan meminta pendapatnya.

     Ummi Salamah pun berkata: "Wahai Rasulullah! Apakah engkau ingin membiarkan sahaja perkara ini berlaku? Pergilah engkau menyembelih korbanmu dan mencukur rambutmu dan janganlah engkau berkata walau sepatah pun!"

     Rasulullah pun keluar dari khemahnya dan melakukan apa yang dianjurkan oleh Ummi Salamah tadi. Melihatkan apa yang telah dibuat oleh Rasulullah itu, maka kaum Muslimin pun segera melakukannya. Setelah semuanya selesai, Rasulullah merasa amat gembira kerana kaumnya telah menuruti perintahnya semula. Ini semua adalah berkat dari tunjuk ajar Ummi Salamah yang mempunyai pemikiran yang tepat itu.

     Selain mempunyai sifat dan kedudukan yang mulia, Ummi Salamah juga sering menyaksikan saat-saat turunnya wahyu kepada Rasulullah. Walaupun sebelum ini, wahyu sering turun ketika baginda bersama Aisyah, namun setelah Ummi Salamah menjadi isteri baginda, wahyu juga turun ketika baginda berada di rumah Ummi Salamah.

     Di antara ayat-ayat Al-Quran yang turun di rumahnya ialah ayat dari surah At-Taubah:

     "Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa
     mereka, mereka mencampur baurkan pekerjaan yang baik
     dengan pekerjaan yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima
     taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha
     Penyayang." (At-Taubat: 102)

Ayat ini turun ketika berlaku satu peristiwa yang menimpa Abu Lubabah bin Abdul Mundzir Al-Anshari. Abu Lubabah telah mengatakan sesuatu yang salah mengenai Rasulullah kepada suku Bani Quraizhah. Beliau telah mengikat dirinya sendiri di sebatang pohon kurma selama 6 malam sebagai hukuman dan tidak mengizinkan sesiapa pun membuka ikatan itu sehingga Allah mengampunkan dosanya. Apabila wahyu itu turun di rumah Ummi Salamah, beliau telah memberitahu hal ini kepada Abu Lubabah. Lalu Abu Lubabah pun bebas dari hukuman yang di kenakan ke atas dirinya sendiri.

     Apabila Rasulullah wafat, Ummi Salamah telah mengasingkan dirinya dari masyarakat. Beliau tidak seperti Aisyah yang memainkan peranan penting di kalangan masyarakat Islam ketika itu. Pandangan mereka amat berbeza sehingga berlaku pertentangan hebat di antara mereka berdua.

     Peristiwa ini berlaku ketika Saidina Ali diisytiharkan menjadi Khalifah. Oleh kerana mendengar hasutan dari Mu'awiyah bin Abu Sufyan, Aisyah telah mengumpulkan bala tentera dan memerangi Saidina Ali. Ummi Salamah telah berpihak kepada Saidina Ali dan menentang keras tindakan Aisyah itu. Beliau telah mengutus surat kepada Mu'awiyah dan mengutuk hasutannya terhadap Saidina Ali. Beliau juga melahirkan ketaatannya kepada kepimpinan Ali kerana sesunggunya Allah dan RasulNya mencintai Ali.

     Begitulah hebat pendirian dan pegangan yang ditunjukkan oleh Ummi Salamah. Beliau juga telah melihat pembunuhan Saidina Husain bin Ali. Ketika Ummi Salamah mendengar berita pembunuhan itu, beliau merasa amat sedih. Tidak lama kemudian, Ummi Salamah meninggal dunia. Usianya ketika itu menjangkau 84 tahun, Ummi Salamah ialah di antara isteri Rasulullah yang terakhir meninggal dunia.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.





No comments:

Post a Comment