Thursday 12 January 2017

SEGERA KEMBALI KEPADA ALLAH SWT






SEGERA KEMBALI KEPADA ALLAH SWT








Semua manusia berdosa. Tidak ada seorang manusia pun terlepas daripada dosa. Kecuali, Allah SWT mengurniakannya sifat maksum, iaitu terpelihara daripada sebarang dosa seperti Allah SAW.

     Tetapi, terdapat perbezaan antara manusia yang beriman dan manusia yang tidak beriman dalam melakukan dosa. Sekiranya kita mahu melihat sejauh mana keimanan kita, kita dapat mengukurnya dari segi layanan kita kepada dosa.

     Orang yang beriman pasti bersegera kembali kepada Allah SWT selepas menyedari bahawa dia menjauhi-Nya. Sedangkan orang yang lemah iman, mempunyai penyakit hati, ataupun tidak beriman kepada Allah, terus-terusan berasa seronok bergelumang dengan dosa. Mereka gembar melambat-lambatkan urusan mereka untuk kembali kepada Pencipta.

     Adakah kita tergolong dalam kumpulan yang sama?


Jahiliah adalah Musuh dalam Kehidupan dan Najis kepada Mereka yang Beriman

Jahiliah adalah perkara yang tidak diredhai oleh Allah. Apabila kita tidak mendapat keredhaan Allah, pasti neraka tempat kita. 

     Saya menganalogikan jahiliah itu sebagai najis. Apabila kita melihat najis melekat pada tubuh kita, kita pasti segera menyucikannya. Apabila kita melihat sifat jahiliah pada manusia lain, lantas kita berfikir bagaimana mahu membersihkan mereka daripada sifat jahiliah itu.

     Apakah tindakan yang kita ambil apabila najis melekat pada pakaian ataupun pada tubuh badan kita?

     Kita pasti segera mencucinya, bukan? Ini kerana, najis mudah dicuci dengan menggunakan air?

     Bagaimana pula dengan dosa?

     Sepatutnya kita lebih bersegera dalam mengikis dosa, bukan?

     Ia hanya dapat dihilangkan dengan keampunan daripada Allah SWT. Persoalannya, siapakah yang bersegera kembali kepada-Nya?

     Kepantasan kita dalam bertaubat, hakikatnya adalah kayu ukur hubungan kita dengan-Nya. Ia juga menjadi kayu ukur kebencian dan kesukaan kita terhadap dosa. Kayu ukur terhadap keimanan kita.

     Dosa menjembut azab daripada Allah SWT.

     Golongan yang beriman, pasti berasa takut apabila melakukan dosa. Seolah-olah terdapat gunung yang mahu menghempapnya. Sekiranya kita benar-benar beriman, kemudian kita sedar kita banyak melakukan dosa, kita pasti berlari mendapatkan-Nya?

     Ataupun kita hanya membiarkan sahaja?

     Ini adalah asasnya. Sekiranya kita benar-benar mahu menjadi hamba Allah SWT.


Segera Kembali kepada Allah, Itu adalah Tanda Iman yang Sihat

Dalam satu khutbah Jumaat, Dr. Abdullah Juyushi sekali lagi menjadi khatib. Tajuk khutbahnya pada kali ini adalah anab dalam perkataan bahasa Arab. Sekiranya diterjemahkan, membawa maksud kembali, iaitu bertaubat.

     Namun, Dr. Abdullah Juyushi menerangkan anab bukan bermaksud kembali yang biasa. Hakikatnya anab membawa maksud segera kembali. Orang-orang yang mempunyai sifat anab, mereka pasti segera kembali kepada Allah SWT.

     Allah SWT menerangkan dalam surah Saba', ayat 9 yang bermaksud:

          "Apabila mereka mengejek-ejek dan membuat pelbagai tuduhan,
          adakah mereka tidak melihat apa yang ada di hadapan dan
          di belakang mereka dari langit dan bumi dan adakah mereka
          dapat melarikan diri? Sekiranya Kami kehendaki sudah pasti
          Kami timbus mereka di bumi ataupun Kami gugurkan kepada
          mereka ketulan serta serpihan dari langit yang membinasakan
          mereka. Sesungguhnya kejadian itu mengandungi satu tanda
          yang memberi keinsafan kepada setiap hamba Allah yang mahu
          kembali kepada-Nya."

Allah menerangkan dalam surah Ghaafir, ayat 13 yang bermaksud:

          "Dia adalah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-
          tanda keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya untuk kehidupan rohani
          dan jasmani kamu. Dan tidak ada yang ingat serta mengambil
          pengajaran melainkan orang-orang yang sentiasa bersegera
          kembali kepada Allah."

Bahkan, para nabi juga bersegera kembali kepada Allah SWT. Allah menjelaskan dalam surah Hud, ayat 75 yang bermaksud:

          "Nabi Ibrahim bersifat penyabar, lembut hati, bertimbang rasa,
          dan bersegera kembali kepada Allah."

Allah menegaskan dalam surah Saad, ayat 44 yang bermaksud:

          "Kami mendapati Nabi Ayub seorang yang penyabar. Ia adalah
          sebaik-baik hamba. Ia sentiasa segera merujuk kembali kepada
          Kami dengan ibadahnya."

Bersegera kembali kepada Allah SWT adalah arahan dan tuntutan daripada Allah kepada kita. Allah menyatakan dalam surah Ar-Rum, ayat 31 yang bermaksud:

          "Kamu wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu perlu
          bersegera merujuk kembali kepada Allah serta bertakwalah
          kamu kepada-Nya. Tunaikan solat dengan sempurna dan
          jauhkan diri kamu daripada tergolong dalam golongan musyrik."

Arahan itu jelas menunjukkan betapa orang yang beriman tidak sesekali menjadikan jahiliah sebagai kroni. Mereka tidak sesekali berkompromi dengan jahiliah. Sekiranya keimanan kita adalah benar, adalah mustahil untuk kita menyenangi kewujudan jahiliah dalam kehidupan kita.

     Allah menerangkan dengan jelas dalam surah Qaff, ayat 31 hingga ayat 33, ciri-ciri mereka yang berjaya di akhirat kelak, adalah mereka yang bersegera kembali kepada Allah SWT:

          "Didekatkan syurga kepada orang-orang yang bertakwa, di
          tempat yang tidak jauh daripada mereka. Ini yang dijanjikan
          kepada kamu, kepada setiap hamba yang sentiasa segera kembali
          kepada Allah dengan mengerjakan ibadat, dan memelihara
          segala hukum serta peraturan Allah. Mereka adalah orang yang
          takut melanggar perintah Allah yang Maha Pemurah. Mereka
          kembali kepada Allah dengan hati yang tunduk taat."


Bagaimana Hubungan Kita dengan Allah SWT?

Suka saya mengulang kata-kata guru saya, Dr. Samirah Tohir, berkenaan bagaimana kita hendak mengetahui keadaan kita di sisi Allah SWT.

     "Saudara ingin mengetahui bagaimana keadaan saudara di sisi Allah SWT? Justeru, di manakah saudara meletakkan Allah dalam hati saudara."

     Ya. Bersegera kembali kepada Allah SWT dapat menjadi kayu ukur untuk kita menilai dan melihat, di manakah sebenarnya kita meletakkan Allah SWT dalam kehidupan di dunia ini.


Kekuatan Hadir daripada Ini

Manusia yang selalu menyatakan kelemahannya, sering berputus asa, dan berasa lemah serta tidak kuat, adalah manusia  yang kehilangan sifat anab ini.

     Hakikatnya, dia tidak kembali kepada Allah SWT. Sekiranya kita merasakan diri kita lemah, cuba perhatikan dalam kehidupan kita seharian. Adakah amal soleh kita berkurangan? Apakah dosa yang kita lakukan? Kemudian, fikirkan pula, adakah kita bersegera memperbaiki keadaan? Sekiranya amal soleh kita berkurang, adakah kita segera menambahnya? Sekiranya dosa kita semakin bertambah, adakah kita berusaha menyekatnya?

     Terus-terusan berada dalam kelemahan bererti kita tidak bergerak bagi membaikinya. Apabila kita sentiasa bersegera kembali kepada-Nya, kita pasti berjaya mengekalkan kekuatan yang ada. Ini kerana, lebih lama kita berada dalam jahiliah, lebih reput jiwa raga kita dan semakin lama jiwa menjadi semakin lemah.

     Hanya ada satu cara sahaja. Kita perlu pantas bergerak kembali kepada-Nya. Jangan berlengah-lengah!


Manusia Ada Ketika di Atas, dan Ada Ketika di Bawah

Kita arif sekali bahawa manusia ada ketika di atas, ada ketika di bawah.

     Tetapi, sebaik-baik manusia adalah apabila mereka berada di bawah, mereka bersegera untuk naik semula ke atas.

     Kita faham bahawa manusia semuanya mempunyai dosa.

     Tetapi, sebaik-baik pendosa adalah mereka yang bersegera dalam taubatnya.

     Siapakah kita?

     Adakah kita berusaha menjadi yang terbaik?

     Menjadi hamba Allah SWT yang terbaik?

     Ataupun kita merasakan semua ini tidak penting?

     Sama-sama kita melihat kembali diri kita.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.



No comments:

Post a Comment