Saturday 28 January 2017

HAFSAH BINTI UMAR MENYATUKAN HELAIAN WAHYU






HAFSAH BINTI UMAR MENYATUKAN HELAIAN WAHYU








"Hafsah
Dalam kelemahan yang sarat sebagai manusia
Masih ada ruang untuk memohon
keampunanNya
Kau satukan helaian wahyu kalimah yang agung
Menjadi lembar pedoman turun temurun."




Hafsah binti Umar ialah puteri Saidina Umar Al-Khattab. Beliau terkenal sebagai isteri Rasulullah yang menghafal Mushhaf Syarif. Saidina Abu Bakar memilih Hafsah bagi mengumpulkan semua mushhaf Al-Quran dengan segera kerana bimbang tulisan-tulisan Al-Quran yang terkumpul di antara para sahabat ini hilang atau lenyap begitu sahaja.

     Namun sebenarnya pendapat ini lahir daripada minda Saidina Umar Al-Khattab yang merasakan kepentingannya sebelum mushhaf-mushhaf ini hilang dari muka bumi memandangkan ramai Huffaz Al-Quran yang telah gugur di dalam peperangan. Pada mulanya, Saidina Abu Bakar agak keberatan untuk melakukannya kerana semasa hayat baginda, Rasulullah tidak pernah memerintahkan supaya berbuat demikian. Tetapi setelah diamat-amatinya, Saidina Abu Bakar merasa lega kerana telah berjaya melakukan perkara ini. Maka itu, Hafsah telah dipilih untuk melaksanakan tugas yang amat berat ini. Hafsah telah berjaya mengumpulkan dan menyemak Al-Quran tahap demi tahap sehingga selesai menyempurnakannya ketika pemerintahan Khalifah Umar bin Affan.

     Hafsah adalah seorang wanita yang rupawan dan berpelajaran tinggi. Beliau pernah berkahwin tetapi menjadi janda ketika usianya 18 tahun. Saidina Umar ingin benar menghapuskan kesedihan dan kedukaan puterinya itu lantas beliau telah mengusulkan kepada Saidina Abu Bakar jika beliau ingin memperisterikan Hafsah. Abu Bakar menolaknya. Kemudian Saidina Umar bertanyakan pula hal yang sama kepada Saidina Uthman bin Affan. Namun Saidina Uthman juga menolaknya. Umar merasa amat dukacita di atas penolakan kedua-dua sahabatnya tadi. Beliau cuba memikirkan apa sebenarnya kekurangan pada diri puterinya itu. Lantas beliau pergi menemui Rasulullah dan mengadukan hal ini kepada baginda.

     Rasulullah cuba menenangkan Umar lalu baginda berkata, "Hafsah akan berkahwin dengan seorang lelaki yang baik dari Uthman dan Uthman pula akan mengahwini seorang wanita yang lebih baik dari Hafsah." Umar begitu hairan mendengar ucapan itu. Namun setelah itu barulah beliau faham bahawa Rasulullah sebenarnya adalah orang yang akan meminang Hafsah. Tampak jelas keceriaan di wajah Umar ketika itu.

     Umar pun terus pulang. Dia tidak sabar-sabar untuk memberitahu perkara ini kepada puterinya. Di dalam perjalanan pulang beliau telah bertemu dengan Saidina Abu Bakar dan menyampaikan berita gembira itu kepadanya. Saidina Abu Bakar hanya tersenyum. Beliau kemudian meminta maaf kepada Umar di atas penolakannya dan memberitahu kepada Umar bahawa beliau sedia maklum Rasulullah pernah menyebut-menyebut nama Hafsah dan beliau tidak tergamak untuk membocorkan rahsia Rasulullah ini kepada Umar. Umar bertambah gembira mendengar ucapan Abu Bakar ini. Tidak lama kemudian, Rasulullah berkahwin dengan Hafsah dan Saidina Uthman berkahwin dengan Ummi Kaltsum binti Rasulullah.

     Selepas berkahwin, Hafsah berpindah ke rumah Rasulullah dan menetap bersama isteri-isteri baginda yang lain. Suatu hari berlaku perang mulut di antara madu-madu baginda sehingga mereka menjadi dua puak. Hafsah telah berpihak kepada puak Aisyah. Berita peperangan madu ini telah sampai ke pengatahuan Saidina Umar. Beliau merasa kurang senang terhadap puterinya dan menegur sikapnya. Beliau mengingatkan puterinya supaya tidak terikut-ikut dengan agenda isteri-isteri baginda yang lain.

     Hafsah memang sedia memaklumi hal ini namun beliau tidak dapat mengawal perasaannya itu. Satu hari ketika Hafsah tiada di rumah, Rasulullah telah menjemput Mariah, isteri baginda yang tidak tinggal ke rumah, masuk ke bilik Hafsah. Ketika Maria keluar meninggalkan bilik itu, Hafsah telah terserempak dengannya. Hafsah yang merasa marah telah membentak Rasulullah dan mengatakan Rasulullah tidak mempedulikannya lagi. Beliau pun menangis. Melihat Hafsah yang sedang kesedihan itu, Rasulullah pun memujuknya. Baginda telah membisikkan kepada Hafsah bahawa baginda sebenarnya telah mengharamkan Maria kepada diri baginda dan memintanya untuk merahsiakan perkara ini. Hafsah merasa tenang setelah mendengar penjelasan Rasulullah ini.

     Namun sikap bangga diri ini telah menguasai dirinya. Beliau lupa akan janjinya kepada Rasulullah lalu membocorkan rahsia itu kepada Aisyah. Mereka kemudian berpura-pura menyimpan rahsia itu. Maka turunlah ayat-ayat Al-Quran untuk menjelaskan peristiwa ini.

     Allah berfirman:

     "Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan
     bagimu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? Dan Allah
     Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Af-Tahriim: 1)

     "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepada kamu sekalian 
     untuk membebaskan diri dari sumpahmu dan Allah adalah
     Pelindungmu dan Beliau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."
     (At-Tahriim: 2)

     "Dan ingatlah ketika Nabi membicarakan secara rahsia kepada
     salah seorang dari isteri-isterinya (Hafsah) suatu peristiwa. Maka
     tatkala (Hafsah) menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah)
     dan Allah memberitahukan hal itu (semua perbicaraan antara
     Hafsah dengan Aisyah) kepada Muhammad lalu Muhammad
     memberitahukan sebahagian (yang diberitakan Allah kepadanya)
     dan menyembunyikan sebahagian yang lain (kepada Hafsah).
     Maka tatkala (Muhammad) memberitahu perbicaraan (antara
     Hafsah dan Aisyah) lalu Hafsah bertanya: Siapakah yang
     telah memberitahu hal ini kepadamu? Nabi Menjawab: "Telah
     diberitahukan kepadaku oleh Allah Yang Maha Mengetahui lagi
     Maha Mengenal." (At-Tahriim: 3)

     "Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya
     hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebaikan);
     dan jika kamu berdua bantu membantu menyusahkan Nabi, maka
     sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril 
     dan orang-orang mu'min yang baik; dan selain dari itu malaikat-
     malaikat adalah penolongnya pula." (At-Tahriim: 4)

     "Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi
     ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada
     kamu, yang patuh, yang beriman, yang ta'at, yang bertaubat,
     yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang
     perawan." (At-Tahriim: 5)

Rasulullah mentalakkan Hafsah kerana membocorkan rahsia itu. Sesetengah riwayat mengatakan Jibril telah datang kepada Rasulullah dan menasihati baginda supaya rujuk kembali kepada Hafsah kerana beliau seorang wanita yang sentiasa berpuasa dan bersembahyang di waktu malam dan beliau juga akan menjadi isteri baginda di syurga. Saidina Umar yang merasa amat kecewa dengan sikap puterinya itu lalu menaburkan tanah ke atas kepalanya untuk menunjukkan kekesalannya.

     Sesudah peristiwa itu, Hafsah menyedari kesilapannya. Beliau telah sungguh-sungguh bertaubat dan tidak mahu berpuak-puak lagi dengan isteri-isteri baginda yang lain. Kali ini beliau amat berhati-hati untuk tidak melukai hati baginda lagi. Hafsah terus menerus menunjukkan ketaatannya kepada suaminya sehinggalah Rasulullah wafat.

     Di dalam hidupnya, Hafsah telah banyak menyaksikan pelbagai kejayaan yang dijulang oleh kaum Muslimin sehingga Islam tersebar luas, terutama sekali ketika Islam berada di bawah pemerintahan ayahnya Saidina Umar Al Khattab. Setelah ayahnya wafat kerana dibunuh oleh Abu Lu'luah Al-Majusi, Hafsah terus menetap di Madinah. Sisa-sisa hidupnya banyak dihabiskan dengan melakukan ibadat-ibadat dan menyembah Allah yang Maha Esa.

     Hafsah terus-menerus berada di dalam ketaatannya kepada Allah sehingga beliau meninggal dunia ketika di zaman pemerintahan Mu'awiyah bin Abu Sufyan.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment