Sunday 15 January 2017

ASIAH RATU SYAHADAH DI MAHLIGAI FIRAUN






ASIAH RATU SYAHADAH DI MAHLIGAI FIRAUN








"Engkaulah permaisuri
Di mahligai tirani
Teguh imanmu walau tersembunyi
Istana bukan penjara
Nikmat yang alpa
Sinar imanmu
Tak kelam permata."




Asiah binti Muzahim berasal daripada Bani Israel. Beliau seorang yang baik hati dan suka menolong orang susah. Beliau berakhlak mulia dan sanggup menentang segala kezaliman yang berlaku di hadapannya. Namun, Allah telah mentakdirkan Asiah bertemu jodoh dengan Firaun, seorang raja yang terkenal dengan pemerintahan kuku besinya. Beliau memerintah dengan begitu kejam tanpa mengira penderitaan dan penganiayaan yang dilakukan terhadap rakyatnya. Malah beliau turut mengaku dirinya Tuhan yang berkuasa yang tiada Tuhan selainnya.

     Selepas kematian isterinya, Firaun hidup sendirian. Suatu hari, beliau mendengar berita mengenai seorang gadis jelita keturunan keluarga Imran bernama Asiah. Firaun pun memerintahkan seorang menteri bernama Haman untuk merisik dan meminangnya. Orang tua Asiah bertanya kepada Asiah apakah beliau sudi untuk berkahwin dengan Firaun.

     Asiah menjawab, "Bagaimana saya mahu mengahwini Firaun, sedangkan beliau terkenal sebagai raja yang sombong dan enggan tunduk kepada perintah Allah?" Haman kemudian pulang mengadap Firaun dan menyampaikan jawapan Asiah itu. Firaun begitu marah mendengar berita yang dibawa oleh Haman itu.

     "Sungguh berani keluarga Imran menolak pinanganku. Seret mereka ke mari. Biar aku sendiri memberi hukuman kepada mereka!" bentak Firaun.

     Kedua orang tua Asiah ditangkap dan dimasukkan ke penjara. Mereka diseksa dengan kejam oleh Firaun. Kemudian Firaun memerintahkan supaya Asiah pula ditangkap. Beliau membawa Asiah ke penjara dan ditemukan dengan kedua orang tuanya itu. Firaun berkata: "Wahai Asiah! Jika kamu seorang anak yang baik, kamu tentu kasih terhadap kedua orang tuamu. Oleh itu aku memberi kamu dua pilihan. Kalau kau setuju dengan lamaranku, kau akan hidup mewah bersamaku dan aku akan membebaskan kedua orang tuamu. Tetapi, jika kamu ingkar, kamu akan menerima padahnya."

     Asiah terpaksa bersetuju dengan lamaran itu tetapi dengan beberapa syarat. Pertama, Firaun harus membebaskan kedua orang tuanya dan kedua, Firaun harus mendirikan sebuah rumah dan segala kelengkapannya untuk kedua orang tuanya. Firaun juga harus memastikan kedua orang tuanya dijamin kesihatan dan makan minum mereka. Lalu Asiah sudi menjadi isteri Firaun namun hanya akan menghadirkan diri di dalam acara tertentu tetapi tidak bersedia ditiduri oleh Firaun. Sekiranya Firaun tidak dapat memenuhi semua permintaannya, Asiah lebih rela mati dibunuh bersama kedua orang tuanya.

     Firaun bersetuju dengan semua permintaan Asiah lalu memerintahkan kedua orang tua Asiah dibebaskan. Asiah pun tinggal bersama Firaun di dalam istana. Namun beliau tetap patuh kepada Allah dan beribadah seperti biasa. Setiap malam, Asiah akan bermunajat kepada Allah. Beliau sentiasa memohon perlindungan dari Allah agar dirinya tidak disentuh oleh seorang yang kafir walaupun Firaun itu suaminya. Allah memperkenankan permintaan Asiah dan mencipta wanita iblis menyerupai Asiah. Wanita inilah yang meniduri Firaun setiap malam.

     Asiah cuba juga cuba memperbaiki sikap Firaun yang kejam itu. Beliau cuba mempengaruhi Firaun untuk berlaku adil tetapi tidak berhasil. Begitu keras hati Firaun. Beliau melakukan sesuatu perkara itu mengikut hawa nafsunya saja tanpa sebarang ihsan.

     Sungguhpun begitu, ada suatu perkara yang amat menyentuh hati Asiah. Firaun benar-benar mengasihi dirinya dan melakukan apa saja untuk membahagiakannya. Beliau telah membina sebuah istana besar untuknya diserikan dengan pelbagai keindahan yang tidak dapat digambarkan. Istana itu terbina di atas tebing Sungai Nil. Airnya mengalir masuk ke lorong-lorong yang dibina di dalam istana. Namun, semua itu tidak dapat mententeramkan jiwanya. Beliau sentiasa merasa bimbang dengan sikap Firaun yang tidak putus-putus menyeksa dan membunuh rakyat jelata terutama sekali dari golongan Bani Israel.

     Pada suatu hari, dayang-dayang Asiah sedang mandi di sungai berhampiran istana itu. Tiba-tiba sebuah peti menyusur ke arah mereka. Mereka pun menyampaikan berita itu kepada Asiah. Asiah segera datang melihatnya dan memerintahkan supaya peti itu dibawa kepadanya. Apabila peti itu dibuka, mereka semua terperanjat. Di dalamnya ada seorang bayi yang cukup comel, wajahnya indah dan berseri dengan senyumannya yang manis seolah-olah melambai-lambai mereka. Asiah mengangkatnya dan meletakkan bayi itu ke dalam pangkuannya.

     Pengawal istana segera melaporkan kepada Firaun tentang kehadiran bayi itu. Dengan segera beliau mendatangi Asiah dan berkata, "Siapa anak ini? Pasti dari Bani Israel yang dibuang ke dalam sungai. Panggil tukang pancung!" Sambil meminang anak itu, Asiah berkata, "Nanti dulu! Jangan terburu-buru! Bagaimana Tuanku tahu, anak ini dari Bani Israel?" Anak itu kelihatan tersenyum dan memikat hati orang-orang di sekelilingnya. Firaun turut memerhatikan anak itu. Beliau juga serba salah namun nalurinya kuat untuk membunuh anak itu.

     Asiah teringat anak perempuan Firaun yang seluruh anggota badannya berpenyakit sopak. Ramai yang cuba menyembuhkan penyakitnya namun masih belum berjaya. Seorang ahli nujum mengatakan suatu lembaga yang menyerupai manusia akan datang dari antara air dan pohon melalui arah laut. Hanya air liur lembaga ini sahaja yang boleh menyembuhkan penyakit anak perempuan Firaun ini dengan menyampukannya ke seluruh tempat penyakit itu. Asiah pun mencadangkannya kepada Firaun tetapi Firaun masih tidak pasti. Tanpa membuang masa, Asiah memerintahkan supaya bayi itu diberikan kepadanya dan air liur bayi itu disapu pada tempat yang terkena sopak itu. Ternyata penyakit itu sembuh serta-merta.

     Mereka semua kehairanan. Firaun juga tidak terkecuali. Walau bagaimanapun hatinya tetap mahu membunuh bayi itu. Asiah terus mencari pelbagai helah bagi menyelamatkan bayi itu dari dibunuh oleh Firaun. Asiah merayu supaya beliau dapat memelihara bayi itu memandangkan beliau sangat teringin mempunyai seorang anak. Firman Allah:

     "Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun:
     (Semoga beliau menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu;
     janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan beliau berguna
     kepada kita atau kita jadikan beliau anak. Padahal mereka tidak
     menyedari (kesudahannya)." (Al-Qasas: 9)

Firaun tidak dapat berbuat apa-apa. Beliau tahu apa yang dikatakan oleh isterinya itu memang betul. Akhirnya, Firaun bersetuju bayi itu dijadikan anak angkat. Asiah pun menamakannya Musa.

     Musa tinggal di dalam istana bersama Asiah dan dijaga dengan penuh kasih sayang. Kuasa Allah, Musa disusukan oleh ibunya sendiri iaitu Yukabid binti Qahat selepas Musa menolak susu semua wanita yang datang mencuba di istana itu. Begitulah keadaan Musa yang dipelihara oleh isteri Firaun dan disusukan oleh ibu kandungnya sendiri.

     Hari demi hari Musa membesar di bawah asuhan Asiah. Pelbagai peristiwa berlaku antara Musa dan Firaun. Namun Asiah sentiasa membela anaknya itu dari kemurkaan Firaun yang sentiasa ingin membunuhnya. Pada awalnya, Musa menganggap dirinya salah seorang keluarga Firaun. Tetapi lama kelamaan kaumnya memberitahu, beliau adalah dari Bani Israel. Kini Musa lebih yakin dan ghairah melakukan pemberontakan terhadap Firaun terutama apabila melihat kaumnya diseksa setiap hari. Hatinya meluap-luap untuk membela nasib kaumnya dan melepaskan mereka dari cengkaman Firaun yang kejam.

     Bermulalah misi Musa menyelamatkan kaumnya dan menentang kezaliman Firaun. Musa pasti akan menyebelahi Bani Israel apabila berlaku perbalahan antara orang-orang Firau dan Bani Israel. Ini membuatkan orang-orang Firaun amat marah dengan sikap Musa dan melaporkannya kepada Firaun. Firaun yang memang berdendam dengan Musa memerintahkan supaya Musa ditangkap atau dibunuh saja. Dalam pada itu, Asiah masih mencuba sedaya upaya mengubah perintah Firaun itu namun Firaun tidak mempedulikannya. Asiah amat bimbang sekali. Beliau tahu kali ini beliau tidak mampu menyelamatkan Musa lagi.

     Apabila berita itu sampai ke telinga Musa, beliau terus melarikan diri ke Palestin dan tinggal di sana selama 10 tahun. Suatu hari, beliau merasa ingin pulang ke Mesir menziarahi keluarga dan melihat keadaan Bani Israel. Dalam perjalanan pulang itu, Musa menerima wahyu dari Allah di Bukit Tursina. Allah memerintahkan Musa pergi kepada Firaun dan menyerunya kepada agama Allah. Musa pun kembali ke Mesir dan menunaikan perintah Allah itu. Di sana beliau telah mengajak manusia mengesakan Allah.

     Berita kepulangan Musa ini sampai ke pengetahuan Asiah. Beliau amat gembira mendengar Musa selamat kembali kepada kaumnya. Beliau memang telah menjangkakakn anaknya itu akan membawa suatu berita besar. Namun beliau tidak menyangka, inilah rupanya berita besar yang selama ini dinanti-nantikan. Apabila bertemu dengan Musa, hati Asiah merasa tenang. Asiah juga diberitahu mengenai perutusan Allah yang dibawa oleh Musa itu. Tanpa ragu, Asiah terus mempercayai seruan itu dan beriman kepada Allah.

     Ketika Musa bertemu Firaun untuk menyerunya kepada seruan Allah itu, Asiah sentiasa berada di samping Musa. Beliau tetap memberi sokongan padu kepada Musa dan meyakinkannya untuk terus berdakwah di hadapan Firaun. Firaun amat murka dengan kata-kata Musa itu dan menyuruhnya menarik kembali apa yang disampaikannya. Musa terus mengingatkan Firaun, Tuhan yang sebenar adalah Allah, namun Firaun tetap angkuh dengan mengaku sebagai Tuhan.

     Perutusan yang dibawa oleh Musa akhirnya mendapat sambutan ramai. Semakin lama semakin ramai yang mengikuti seruan suci itu terutama dari Bani Israel. Mereka sudah berani memberontak terhadap kekuasaan Firaun dan bertindak menurut arahan Musa. Firaun begitu kecewa. Apatah lagi isterinya Asiah, menjadi penyokong kuat seruan yang dibawa oleh Musa itu.

     Di antara yang beriman dengan seruan Musa ialah Masyitah dan keluarganya. Masyitah bekerja sebagai penyisir rambut keluarga Firaun. Beliau dan keluarganya telah dibunuh dengan kejam oleh Firaun selepas rahsia keimanan mereka terbongkar. Asiah yang turut menyaksikan kejadian itu melaknati Firaun dengan ucapan yang amat pedas. Beliau tidak mahu lagi diperisterikan oleh Firaun dan lebih rela dibunuh seperti Masyitah dan keluarganya. Kata-kata Asiah itu menimbulkan kemarahan Firaun lalu beliau memerintahkan Haman untuk memenjarakan Asiah dan menyeksanya dengan kejam tanpa diberi makan dan minum. Asiah meninggal dunia di dalam seksaan Haman itu dengan lidahnya tidak berhenti mengagungkan Allah.

     Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Asiah sempat berdoa kepada Allah, seperti yang terkandung di dalam Al-Quran:

     "Dan Allah mengemukakan satu perbandingan (yang menyatakan
     tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung
     rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan
     imannya) iaitu: Perihal isteri Firaun, ketika beliau berkata: 'Wahai
     Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga
     dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya (yang
     kufur dan buas), serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim."
     (At-Tahrim: 11)

Itulah Asiah, ratu syahadah yang terkorban di tangan Firaun, suaminya sendiri demi mempertahankan keimanannya terhadap Allah. Matanya tidak buta oleh kemewahan dunia. Kisahnya menjadi pedoman kepada semua muslim terutamanya wanita untuk tidak gentar menentang kejahilan dan kebatilan apatah lagi di hadapan mata kita sendiri.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

2 comments: