Saturday 7 January 2017

HASAN AL-BANNA [ BAB 30 (AKHIR) - SELEPAS HASAN AL-BANNA ]






SELEPAS HASAN AL-BANNA








Langit Mesir diselubungi kesedihan. Umat Islam yang simpati menangis pilu meratapi pemergian seorang pejuang Islam yang agung. Penduduk Mesir terutama ahli Ikhwan Muslimin berasa amat sedih dengan pemergian pemimpin tersohor itu. Mereka yang kematiannya itu satu pembunuhan terancang atas perintah Raja Farouk dan Perdana Menteri Ibrahim Abdul Hadi. Mereka amat percaya pihak British mendalangi pembunuhan itu. Rakyat Mesir terus mengutuk pembunuhan itu dan mendesak mereka yang terlibat ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

     Tindakan pemerintah Mesir yang keterlaluan itu sudah cukup menimbulkan syak wasangka orang ramai. Semasa pengebumian Hasan Al-Banna, perintah darurat dikenakan ke atas penduduk Kaherah. Tiada seorang pun dibenarkan keluar dari kediaman. Tiada seorang pun yang tahu apa yang sedang berlaku kerana ketatnya kawalan polis dan tentera. Selepas beberapa hari perintah darurat ditarik balik, barulah orang ramai mengetahui apa yang berlaku. Mereka sedih, kecewa, dan marah apabila mendapat tahu Hasan Al-Banna meninggal dunia akibat ditembak.

     Orang ramai berarak di jalan-jalan raya sambil memegang sepanduk berteriak meminta pembunuhan pejuang Islam itu diadili. Mereka ditangkap dan disumbat ke dalam penjara. Perintah juga dikeluarkan melarang orang ramai berdoa kepada Hasan Al-Banna. Semua masjid dijaga anggota polis. Selepas sembahyang, orang ramai disuruh keluar segera kerana bimbang mereka mengadakan bacaan doa untuk Hasan Al-Banna.

     Namun tindakan itu tidak dapat memadamkan kemarahan orang ramai terhadap pemerintah. Terutama dalam kalangan anggota Ikhwan Muslimin. Kematian pemimpin mereka tidak dapat dimaafkan. Mereka mahu menuntut bela, tetapi Syeikh Saleh Ashmawi, timbalan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin menyuruh mereka bersabar dan jangan bertindak terburu-buru.

     "Siapa yang menembak Hasan Al-Banna? Mengapa pembunuh itu masih belum ditangkap sedangkan nombor kereta yang dinaiki pembunuh sudah diketahui?" Ahmad Jelani mempersoalkan dalam satu mesyuarat.

     Fuad Ibrahim menyampaikan maklumatnya, "Saya sudah pergi ke tempat kejadian, menyiasat apa yang berlaku. Menurut maklumat yang diterima, ketika kejadian itu berlaku, kawasan yang sentiasa sibuk itu tiba-tiba menjadi sunyi. Kedai ditutup dan lampu dipadamkan. Inilah yang mencurigakan kita. Sudah tentu ada konspirasi dalam pembunuhan Imam Hasan. Ia dirancang dengan rapi bagi menutup kejahatan mereka."

     "Kita perlu mendesak kerajaan menangkap mereka yang membunuh Hasan Al-Banna. Kita perlu bersuara dan tidak boleh berdiam diri. Kita akan adakan perhimpunan mendesak kerajaan bertanggungjawab atas kejadian yang berlaku," kata Fuad Ibrahim.

     Efendi Ahmad menggeleng lalu berkata, "Pihak polis dan tentera tidak akan membiarkan perkara itu berlaku. Mereka akan menangkap sesiapa yang menunjuk perasaan kerana Hasan Al-Banna."

     Selepas mesyuarat, Abdul Sa'ud, Fuad Ibrahim, Abdul Rahman Hasbullah, dan Abdul Syukur nekad menziarahi keluarga Hasan Al-Banna. Mereka pergi dengan menaiki kereta. Dari jauh sudah kelihatan sepasukan anggota polis mundar-mandir mengawal rumah tersebut. Mereka nekad mahu menghampiri rumah itu, walaupun Abdul Rahman Al-Banna sudah menyatakan rumah itu dikawal ketat dan tiada seorang pun dibenarkan menghampiri rumah itu.

     Sebaik sahaja empat sahabat itu tiba, anggota polis lengkap bersenjata menahan mereka. Tetapi mereka berempat bertegas mahu memasuki rumah itu. Anggota polis mengacukan senjata sambil mengugut akan menembak sesiapa yang cuba masuk ke rumah itu. Dengan perasaan penuh kehampaan, mereka pulang. Sejak itu mereka tidak lagi datang ke rumah itu.

     Orang yang paling gembira dengan kematian Hasan Al-Banna adalah Raja Farouk, Ibrahim Abdul Hadi dan Jeneral Muhammad Al-Jazzar. Mereka menyambut kejayaan itu dengan bersuka ria di istana Raja Farouk. Turut berada di istana itu adalah Koperal Ahmad Husin Jad dan Sarjan Muhammad Mahfuz Muhammad.

     "Saya gembira kerana kamu berdua sudah jalankan tugas itu dengan baik sekali. Akhirnya musuh kita dapat dihapuskan," kata Jenerah Muhammad Al-Jazzar gembira.

     "Tetapi Tuan, orang ramai dan pengikut Hasan Al-Banna melancarkan bantahan dan menuntut pembunuh pemimpin itu ditangkap. Bagaimana dengan nasib kami berdua?" tanya Koperal Ahmad Husin Jad.

     Jeneral Muhammad Al-Jazzar tersenyum lalu berkata, "Jangan bimbang kerana kamu berdua adalah wira. Tanpa kalian berdua, misi penting ini tidak akan berhasil. Oleh itu, pihak atasan menghargai jasa kamu berdua dan kamu akan menerima penghormatan."

     "Benarkah, Tuan?" tanya Sarjan Muhammad Mahfuz pula. Raut wajah yang murah menjadi girang.

     "Sudah tentu. Kamu tunggu sahaja berita baik. Buat masa ini, kamu berdua berhati-hati," pesan Jeneral Muhammad Al-Jazzar. Mereka berbincang agak lama sebelum beredar dari kediaman Raja Farouk.

     Atas desakan orang ramai, akhirnya pihak pemerintah berjanji untuk menyiasat kes pembunuhan itu, namun anggota Ikhwan Muslimin masih ragu-ragu. Mereka tahu janji itu hanya semata-mata mahu mengaburi mata rakyat khususnya pertubuhan Ikhwan Muslimin.

     Selepas ketiadaan Hasan Al-Banna, tugas Mursyidul Am Ikhwan Muslimin dipangku oleh timbalannya iaitu Syeikh Saleh Ashmawi. Beliau terpaksa memperkuatkan jentera bagi menongkah arus yang teramat hebat melanda pertubuhan itu. Pada saat itu, pergerakan Ikhwan Muslimin cukup terbatas. Ramai anggota ditangkap dan merengkok di dalam penjara tanpa dibicarakan dengan adil.

     Ketokohan Syeikh Saleh Ashmawi menyebabkan anggota Ikhwa beranggapan beliau orang paling berkelayakan sebagai pengganti Hasan Al-Banna. Pelantikan itu tidak disenangi pihak pemerintah yang mahu Ikhwan Muslimin turut berkubur selepas ketiadaan Hasan Al-Banna. Syeikh Saleh Ashmawi turut dikaitkan dengan Tanzim As-Sirri, iaitu pertubuhan yang mencetuskan keganasan di Mesir.

     Beberapa hari kemudian, pihak polis dan tentera membuat serbuan ke sekolah Ikhwan Muslimin dengan tuduhan sekolah itu digunakan bagi melatih pelajar membenci pemerintah. Ramai guru ditangkap dan sekolah dipaksa tutup.

     Pada 4 Julai 1949 iaitu lima bulan selepas pembunuhan Hasan Al-Banna, tiba-tiba pihak kerajaan membuat pengumuman secara terbuka memberikan anugerah khas kepada ketua di jabatan siasatan jenayah Kementerian Dalam Negeri, Amir Mahmud Bek Abdul Majid, dan pemandu serta pemilik teksi berkenaan yang menjadi saksi pembunuhan Hasan Al-Banna. Malah pihak pemerintah memberi elaun khas di atas jasa dan kesungguhan mereka berkhidmat bagi memastikan keamanan negara. Anugerah itu amat menjengkelkan orang ramai, kerana mereka dipercayai antara pihak yang terlibat merancang pembunuhan Hasan Al-Banna.

     Sudah terang lagi bersuluh. Semua itu hanya sandiwara pemerintah kononnya mahu menyiasat kes Hasan Al-Banna, tetapi pada masa yang sama memberi penganugerahan kepada mereka yang kononnya berjasa atas kematian Hasan Al-Banna.

     Pada 26 Julai 1949, berlaku satu lagi kejutan apabila Ibrahim Abdul Hadi mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri. Peletakan jawapan itu dipercayai kerana desakan orang ramai, dan beliau tidak berjaya menghadapi rasuah yang berleluasa serta keganasan dan pengkhianatan.

     Jawatan perdana menteri itu diambil alih oleh Hussein Sirri Pasha, seorang ahli politik Mesir terkemuka. Beliau pernah berkhidmat sebagai menteri luar. Raja Farouk melantik beliau mengisi kekosongan jawatan itu.

     Peletakan jawatan Ibrahim Abdul Hadi tidak dapat meredakan kemarahan orang ramai terhadap pemerintah, terutamanya penduduk Ismailiyah. Beberapa orang daripada mereka berani mengadakan komplot bagi membalas dendam.

     "Kita perlu melakukan sesuatu. Sekiranya tidak, kita akan terus ditindas dan kematian Imam Hasan hanya menjadi sia-sia," kata Efendy Ahmad yang mengetuai kumpulan itu.

     "Yang mengeluarkan perintah adalah Raja Farouk. Dia yang bertanggungjawab kepada semua yang berlaku. Kerana itu kita bunuh Raja Farouk," usul seorang daripada mereka.

     "Sekiranya Raja Farouk dibunuh, seluruh rakyat dan negara luar akan menuntut bela. Lebih baik kita serang dalangnya, iaitu pihak British. Mereka adalah penyebab semua ini berlaku. Mereka yang menghasut Raja Farouk supaya mengharamkan Ikhwan Muslimin. Mereka yang menghasut supaya pemimpin kita ditangkap dan dibunuh. British juga menjadi dalang pembunuhan ke atas Hasan Al-Banna. Kerana itu British yang perlu kita serang, bukan rakyat Mesir," kata Efendy Ahmad dengan penuh semangat.

     "Saya setuju tetapi kita tidak mempunyai kelengkapan senjata. Bagaimana kita mahu menentang tentera British yang begitu ramai dan lengkap dengan senjata. Kita tidak boleh menyerang mereka dengan pisau sahaja," kata yang lain pula.

     Efendy Ahmad memberi usulnya, "Ada antara saudara mara dan sahabat kita yang menjadi anggota polis. Mereka juga bersimpati dengan perjuangan kita ini. Mari kita dekati mereka dan pujuk supaya membantu kita."

     Akhirnya mereka mendapat kerjasama daripada anggota polis yang bersimpati dengan perjuangan itu. Mereka sanggup membekalkan senjata secara rahsia. Mereka pun mengatur rancangan bagi menyerang tentera British. Beberapa markas tentera British sudah dikenal pasti bagi dijadikan sasaran. Maka serangan demi serangan dilancarkan. Beberapa orang askar British dapat dibunuh. Ada yang ditembak dari jarak dekat dengan pistol.

     Keadaan menjadi huru-hara. Tentera British yang berada di Ismailiyah tidak lagi selamat kerana sering diserang. Mereka segera menjalankan siasatan. Akhirnya mereka mendapat maklumat bahawa beberapa orang anggota polis di ibu pejabat polis Ismailiyah yang membekalkan senjata kepada pejuang. Pihak tentera British segera mengepung balai polis Ismailiyah bagi menangkap mereka yang terlibat.

     Tentera British menyuruh semua anggota polis itu menyerah diri. Namun 70 orang anggota polis di dalam balai polis itu bertekad tidak mahu menyerah. Mereka benar-benar bersemangat mahu menentang tentera British yang menjajah negara mereka. Darah pewira anggota polis mula membuak-buak. Tiada ketakutan menguasai diri mereka untuk berjuang.

     Tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan yang mula dilepaskan oleh pihak tentera British. Pihak Mesir pun membalas tembakan itu. Kedua-dua belah pihak pun membalas tembakan dan akhirnya menjadi pertempuran yang hebat. Ternyata kekuatan kedua-dua belah pihak tidak seimbang kerana tentera British mempunyai kelengkapan senjata yang lebih hebat. Anggota polis cuma bersenjatakan senapang dan pistol. Namun mereka tetap berjuang dengan penuh semangat.

     Selepas beberapa jam bertempur, akhirnya ramai polis Mesir yang gugur. Mereka yang masih hidup terus berjuang membela rakan yang terkorban. Akhirnya balai polis itu bermandikan darah. Anggota polis Mesir sudah kehabisan peluru. Namun mereka terus menyerang tentera British menggunakan pisau.

     Abdul Rahman Al-Banna, Syeikh Saleh Ashmawi, Hasan Al-Baquri, dan pemimpin Ikhwan Muslimin terkejut dengan tragedi itu. Tindakan anggota polis itu dilakukan tanpa pengetahuan mereka.

     Peristiwa itu mencetuskan kemarahan rakyat Mesir. Mereka marah terhadap tentera British yang menyerang balai polis di Ismailiyah. Orang ramai mula bertindak. Rusuhan demi rusuhan berlaku di Kaherah, Ismailiyah, Iskandariyah, dan beberapa bandar lagi.

     Anggota Ikhwan Muslimin turut serta dalam rusuhan itu. Ini membangkitkan mimpi ngeri kepada pemerintah Mesir. Buruan secara besar-besaran telah dilakukan oleh pihak polis Mesir dengan kerjasama pasukan tentera British. Mereka memburu pejuang-pejuang Ikhwan Muslimin yang dianggap menjadi dalang. Akibatnya ramai anggota Ikhwan Muslimin yang ditangkap.

     Pada suatu malam bertempat di kediaman Munir Al-Dillah, berlangsung satu mesyuarat bagi melantik pemimpin Ikhwan Muslimin. Ada beberapa calon yang dianggap berkelayakan. Antaranya Syeikh Saleh Ashmawi, Abdul Rahman Al-Banna, adik kepada Hasan Al-Banna, Abdul Hakim Abidin setiausaha agung, Hassan Al-Baquri, dan Mustafa Mukmin.

     Afandi Abdul Sa'ud, Fuad Ibrahim, Abdul Rahman Hasbullah, dan Afandi Abdul Syukur turut hadir. Mereka antara orang terawal penggerak organisasi Ikhwan Muslimin. Dua puluh tahun dahulu, wajah itu berseri-seri menunjukkan keazaman mendaulatkan syiar Islam. Mata yang bulat dan bersinar-sinar serta suara mereka bertenaga sekali. Kini wajah masing-masing kelihatan agak sugul. Ada suara kehibaan.

     "Siapakah antara calon yang hendak kita pilih? Adakah orang itu hendak kita tentukan mengikut pengaruh, kekayaan ataupun keperibadiannya?" tanya Fuad Ibrahim.

     "Saya dapati tiada seorang punya yang sama hebat seperti Hasan Al-Banna. Kerana itu beliau dibunuh supaya berlaku perpecahan dalam Ikhwan Muslimin," kata Abdul Rahman Hasbullah.

     Kemudian katanya lagi, "Imam Hasan Al-Banna pernah menjawab soalan apabila ditanya siapakah yang paling layak menggantikannya apabila beliau tiada? Jawabnya, lantik pemimpin yang paling lemah dalam kalangan kamu, kemudian kamu dengar dan taatlah perintahnya. Ia akan menjadi orang yang paling kuat dalam kalangan kamu."

     "Bagaimana pula pandangan kalian tentang cadangan Munir Al-Dillah mengusulkan Hassan al-Hudhaibi sebagai calon?" Afandi Abdul Syukur yang daripada tadi hanya mendengar perbualan sahabatnya, mencelah.

     "Siapa pun beliau, tiada masalah asalkan beliau menerajui gerakan ini ke landasan yang betul. Tetapi ramai menyokong Syeikh Saleh Ashmawi sebagai pengganti. Saya sendiri menyokong beliau yang cukup dikenali dan disenangi dalam kalangan anggota jemaah." Abdul Rahman menyatakan pendapat jujurnya.

     Celah seorang sahabat, "Hassan Al-Hudhaibi, bukan tergolong daripada pemimpin organisasi, malah masih baru dalam Ikhwan Muslimin, sudah pasti akan timbul pertikaian dalam kalangan pucuk pimpinan."

     "Tetapi sumbangan Hassan Al-Hudhaibi tidak kurang besarnya. Keikhlasannya tidak dapat dinafikan. Semasa organisasi kita diharamkan, beliau antara yang banyak menghulurkan sumbangan seperti wang dan jawatan semata-mata untuk terus berdakwah," kata Afandi Abdul Syukur.

     Kemudian katanya lagi, "Imam Hasan tidak meninggalkan siapa penggantinya, tetapi kita jadikan jawapannya dalam mencari pemimpin sebagai panduan. Siapa pun pemimpin, asalkan beliau meneruskan perjuangan Imam Hasan ke jalan yang benar, ia sudah memadai."

     "Saya setuju dengan kata-katamu itu, wahai sahabat. Dalam kalangan pemimpin atasan sendiri, mempunyai calon-calon mereka. Tiada kesepakatan. Siapa pun beliau, kita terima dengan lapang hati. Semoga beliau dapat menyatukan semua jemaah tanpa sebarang persengketaan," ujar Afandi Abdul Sa'ud mengharap.

     Kemudian Munir Al-Dillah bangun memberi cadangan, "Apakah pendapat kamu semua sekiranya saya mengesyorkan Hassan Al-Hudhaibi? Walaupun beliau agak baru terlibat dalam Ikhwan, tetapi sejak awal lagi, beliau telah memberi bantuan kebendaan tanpa berkira. Beliau adalah seorang yang benar, bertakwa, dan berharta. Bahkan beliau seorang hakim yang berpengaruh di Mesir."

     Munir Al-Dillah cuba meyakinkan mereka lagi dengan berkata, "Proses musyawarah dalam keadaan seperti ini begitu terbatas. Sukar bagi menentukan siapa bakal pemimpin. Kita juga memerlukan pendapat dan pandangan seluas mungkin berkenaan anggota yang ada di dalam dan di luar penjara. Kita tidak boleh tersilap melantik pemimpin untuk jawatan mursyidul am yang boleh menimbulkan perpecahan dalam saf Ikhwan Muslimin sendiri."

     Tambahannya lagi, "Jadi pada pendapat saya, pengganti Imam Hassan hendaklah digantikan buat sementara waktu dengan seorang muka baru. Selepas keadaan beransur pulih dan pada masa yang sesuai, seorang mursyidul am dilantik. Buat masa ini, Hassan Al-Hudhaibi adalah calon terbaik memandangkan kedudukannya yang dihormati pada kaca mata masyarakat Mesir. Sebagai seorang hakim yang berkhidmat dan berpengalaman lebih daripada 20 tahun, beliau dapat membantu Ikhwan Muslimin dalam kemelut yang sedang berlaku ketika ini."

     Munir Al-Dillah berhujah lagi, "Jangan kita lupa jasa beliau, di mana semasa kepulangan pejuang Ikhwan dari Palestin, mereka ditangkap oleh Raja Farouk. Tidak kurang daripada 10,000 orang pejuang Ikhwan dipenjarakan, dan beliau yang cukup sibuk berurusan dengan pemerintah bagi membela dan melepaskan anggota-anggota Ikhwan melalui proses undang-undang. Sikapnya sebagai seorang pemimpin sudah cukup terserlah. Beliau juga turut menggerakkan Ikhwan dengan mewujudkan sistem sokongan bagi membantu anak-anak dan keluarga tahanan yang merengkok di dalam penjara. Beliau seorang tokoh yang tiada tolok tanding dalam membantu Ikhwan Muslimin semasa susah dan senang.

     Munir Al-Dillah menamatkan hujahnya, namun jelas masih ramai pemimpin agak keberatan menerima usul Munir Al-Dillah kerana mereka berpendapat lelaki itu masih baru dan bukannya terdiri daripada kalangan pucuk pimpinan yang sudah arif dengan perjalanan Ikhwan Muslimin. Kemudian Syeikh Saleh Ashmawi bersuara memberi pandangan.

     "Dalam masa terdekat, sukar kita mencari pengganti pemimpin seperti mana Hasan Al-Banna yang memperjuangkan gerakan ini dengan seluruh jiwa dan raganya. Ini berikutan tiada penyediaan pelapis yang berwibawa kerana kedudukan beliau tidak pernah dicabar. Beliau bijak mengatur organisasi. Selama 20 tahun, Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat. Pertama, memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Keduanya, membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad, serta melaksanakan cita-cita perjuangan dengan tegas."

     "Bagi meneruskan gerakan ini, kita memerlukan seorang pejuang jihad sejati. Selepas ini saya yakin tekanan yang kita terima akan bertambah hebat dan berat daripada pihak musuh yang mahu menghapuskan kita sehingga ke akar umbi, dan mereka mampu melakukannya. Adakah bakal pemimpin baru nanti dapat menongkah arus yang deras tanpa tenggelam di pertengahan jalan?"

     Kemudian Syeikh Saleh Ashmawi bersetuju dan memberi sokongan atas pelantikan Hassan Al-Hudhaibi. Akhirnya mesyuarat itu mencapai kata sepakat dan mereka bersetuju melantik Hassan Al-Hudhaibi sebagai pemimpin Ikhwan Muslimin buat sementara waktu kerana pertubuhan itu berada dalam keadaan darurat. Mereka berharap Hassan Al-Hudhaibi dapat menggerakkan pertubuhan itu ke landasan yang lurus.

     Negara Mesir terus berada dalam keadaan yang tidak stabil. Perdana menteri silih berganti dan Hussein Sirri berkuasa tidak sampai setahun. Dia juga gagal menyekat masalah rasuah yang berleluasa dan gagal membentuk kerajaan baru yang berkesan.

     Akhirnya pada tahun 1950, pilihan raya diadakan dan Parti Al-Wafd menang. Apabila Mustafa El-Nahhas Pasha berkuasa, beliau bersikap toleransi dan mengizinkan Ikhwan Muslimin dihidupkan semula. Malah beliau juga berjanji akan mengendalikan kes pembunuhan Hasan Al-Banna yang masih belum selesai. Dewan Tertinggi Ikhwan Muslimin meminta Hassan Al-Hudhaibi bertemu perdana menteri. Tetapi beliau dengan tegas menolak.

     "Ini peluang yang baik untuk Ikhwan Muslimin kembali dalam arena politik dan membersihkan pertubuhan ini daripada tuduhan liar dan jahat," kata Fuad Ibrahim.

     Hassan Al-Hudhaibi menolak dengan sopan. "Saya terpaksa menolak atas alasan keputusan tersebut dibuat oleh Dewan Tertinggi. Sekiranya saya berbuat demikian, pasti akan menimbulkan salah sangka kerana saya masih lagi belum disahkan menjadi Mursyidul Am Ikhwan Muslimin. Saya masih lagi menjawat jawatan sebagai hakim."

     Keengganan Hassan Al-Hudhaibi itu telah menimbulkan fitnah liar bahawa beliau dituduh menghina jemaah, kerana lambat mengaku beliau sebagai Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, dan lambat meletak jawatan sebagai hakim. Hassan Al-Hudhaibi menolak jawatan mursyidul am namun beliau terus didesak.

     Rumah Hassan Al-Hudhaibi tidak putus-putus dikunjungi utusan-utusan dari seluruh wilayah Mesir yang bergilir-gilir datang ke rumah beliau yang mendesak beliau supaya menerima jawatan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin.

     "Saya boleh menerima pelantikan itu, tetapi ada syaratnya." Hassan Al-Hudhaibi membuat pemintaan.

     "Cuba nyatakan syarat tuan itu kepada kami," kata Fuad Ibrahim.

     "Sekiranya saya menjawat mursyidul am, saya mahu Abdul Kadir Audah dilantik sebagai timbalan," kata Hassan Al-Hudhaibi sambil melihat Abdul Kadir Audah. Beliau juga seorang hakim yang kuat agama dan layak menjadi pemimpin Ikhwan Muslimin.

     "Mengapa beliau? Mengapa tidak Syeikh Saleh Ashmawi, Syed Abdul Rahman Al-Banna ataupun Ahmad Hassan Al-Baquri?" tanya Fuad Hasan pula.

     "Abdul Kadir Audah seorang yang dicintai Imam Hasan Al-Banna dan menjadi orang kanannya serta sentiasa mendampingi pemimpin itu. Beliau juga seorang pakar undang-undang dan hakim yang mahir dalam bidang fiqh. Kelebihannya itu amat berguna dan besar faedahnya kepada masyarakat dan pemahaman pada syariat Islam, dan ketelusan undang-undang ciptaan manusia. Malah beliau memiliki kedudukan istimewa dalam kalangan jemaah Ikhwan Muslimin," terang Hassan Al-Hudhaibi.

     Fuad Ibrahim mengurut dagunya sambil berkata, "Saya bimbang ramai yang tidak bersetuju kerana pemimpin lebih senior daripada Abdul Kadir Audah. Saya bimbang ia akan memberi kesan kepada anggota baru pertubuhan kita."

     Hassan Al-Hudhaibi menjawab, "Ketika Imam Hasan Al-Banna mencari penolong, beliau berkata, 'Andai diumpamakan Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, aku akan berjalan ke seluruh pelosok dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tetapi aku mahukan hati yang ikhlas membantuk dan bersama membina kembali membina bangunan yang usang itu, menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah'."

     Kemudian Hassan Al-Hudhaibi bertegas dengan permintaannya supaya Abdul Kadir Audah menjadi timbalannya. Akhirnya pemintaannya itu terpaksa dituruti.

     Setahun selepas memegang jawatan sementara sebagai Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, akhirnya Hassan Al-Hudhaibi secara rasmi dilantik sebagai mursyidul am. Beliau merombak dewan tertinggi dengan melantik anggota kabinet yang baru dengan generasi baru yang sealiran dengan beliau. Tindakannya itu membuatkan ramai yang tidak berpuas hati.

     Hassan Al-Hudhaibi tetap tenang menerima kritikan dan tohmahan. Saat-saat yang dilaluinya semakin sukar. Rombakan kabinet yang dilakukannya benar-benar ditentang hebat oleh pucuk pimpinan veteran. Tetapi Hassan Al-Hudhaibi tetap dengan keputusannya. Baginya dengan adanya pasukan pembantu yang kuat dan sealiran dengan beliau, memudahkan beliau menerajui pertubuhan itu tanpa sebarang perbalahan. Antara kejayaan awal Hassan Al-Hudhaibi adalah membawa Syed Qutb menyertai Ikhwan Muslimin.

     "Bagi saya, tempoh ini sangat penting. Saya menganggap tahun ini sebagai tahun kelahiran semula yang mana selama ini saya sudah bazirkan masa dengan berkhidmat kepada negara," ujar Syed Qutb dengan senyumsn gembira.

     "Saya gembira mendengar berita baik ini. Saya amat berharap dengan adanya Tuan, organisasi ini akan menjadi lebih kukuh dan berpengaruh," kata Hasan Al-Hudhaibi.

     "Saya terkilan kerana menyertai Ikhwan Muslimin selepas dua tahun kematian Imam Hasan Al-Banna. Kami berdua tidak pernah bertemu walaupun dilahirkan dalam tahun yang sama 1906, dan dididik di tempat yang sama iaitu Darul Ulum. Namun yang nyata, kami mempunyai kesatuan jiwa dan wahdatul-fikr," kata Syed Qutb.

     Kemudian Munir Al-Dillah mencelah, "Imam Hasan Al-Banna ada membaca buku Al-'Adalah Al-Ijtima'iyyah Fil Islam, karangan Tuan Syed Qutb. Selepas membacanya beliau menganggap Tuan adalah sebahagian daripada kami. Kemudian beliau berkata dan meyakinkan kepada para pemuda Ikhwan bahawa Tuan akan menyertai Ikhwan Muslimin tidak lama lagi."

     "Saya juga mempunyai perasaan yang sama terhadap beliau. Malah kematian beliau sangat dirasai walaupun saya belum pernah bersua muka dengannya."

     Menurutnya lagi, kematian Hasan Al-Banna diterimanya dengan perasaan tragis sewaktu berada di sebuah hospital di Amerika Syarikat. Tragedi itu memberi kesan mendalam padanya. Rakyat Amerika bagaikan berpesta menyambut kematian Hasan Al-Banna. Apabila pulang ke tanah air, Syed Qutb terus mengkaji kehidupan pemimpin agung itu dengan membaca seluruh risalahnya.

     Dalam pencarian itu, akhirnya beliau menemui suatu kebenaran yang wajib diperjuangkan. Seterusnya beliau berjanji dengan Allah bagi memikul amanah perjuangan Hasan Al-Banna. Pada tahun 1951, Syed Qutb dengan rasminya menyertai Ikhwan Muslimin. Dengan saf kepimpinan yang baru itu, Ikhwan Muslimin semakin bertenaga dan berwibawa bagi meneruskan perjuangan yang belum selesai.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", ABDUL LATIP TALIB.






No comments:

Post a Comment