Saturday 7 January 2017

KERANA KITA JAUH






KERANA KITA JAUH








Ramai orang bertanya kepada saya berkaitan masalah mereka. Muncul perasaan resah dan risau dengan perjalanan hidup mereka. Kadangkala, saya melihat seolah-olah terdapat sekelompok manusia tersekat dalam satu penjara ghaib yang mengikat ketenangan hidup mereka.

     Saya berfikir sendirian. Saya juga pernah menjadi seperti mereka. Saya yakin, pembaca juga pernah mengalami perkara yang sama. Sekiranya kita tidak pernah melaluinya, mungkin kita pasti merasakan kelak. Ini kerana, perkara ini adalah lumrah dalam kehidupan manusia.

     Mereka yang selamat adalah golongan yang berusaha mencari penyelesaian. Oleh itu, kita perlu mencari punca utama dan jalan penyelesaiannya. Adakah kita perlu meneliti setiap masalah dan mencari puncanya? Bukankah ramai manusia di dunia ini, yang mempunyai pelbagai masalah dan berlainan situasinya? Mustahil kita mampu meneliti dan mengkaji semua masalah ini.

     Tidak. Apa yang saya maksudkan adalah punca utama yang kita kongsi bersama.

     Kunci utama itu adalah kita jauh daripada Allah SWT.

     Ya. Sebab kita jauh.


Keseimbangan Jiwa

Saya percaya bahawa ketenangan jiwa hanya mampu diperoleh dengan merapati sumbernya. Pencipta kepada ketenangan dan Pencipta kepada jiwa. Satu kelebihan kepada kita, Pencipta kepada kedua-dua elemen itu adalah sama, iaitu Allah SWT.

     Allah menjelaskan dalam surah At-Taubah, ayat 26 yang bermaksud:

          "Allah menurunkan semangat dan ketenangan kepada rasul-
          Nya dan kepada golongan yang beriman. Allah menurunkan
          bala tentera dan menyeksa golongan kafir itu dengan kekalahan
          yang membawa kehancuran. Ini antara balasan kepada 
          golongan derhaka."

Allah menerangkan dalam surah Ar-Ra'd, ayat 16 yang bermaksud:

          "Allah yang menciptakan setiap sesuatu. Dia yang Maha Esa, lagi
          Maha Kuasa."

Kunci kepada kehidupan yang lapang dan ketenangan diri dalam menghadapi musibah adalah dengan mendekati Allah SWT.

     Jawapan ini nampak remeh. Ada segolongan manusia menyindir, "Sekiranya menghadapi masalah, asyik-asyik kita perlu mengingati Allah."

     Manusia yang mendekati Allah dengan sepenuh hati, sudah tentu tidak mengubah pandangannya dan meyakini bahawa ini adalah jalan penyelesaian yang sebenar. Mereka impikan satu kehidupan yang tenteram dan bermakna.


Khasiat Mendekati Allah

Golongan yang selalu mengingati serta mendekati Allah SWT mereka tidak tenggelam dalam kegelapan apabila ditimpa musibah, kesukaran, dan pelbagai cabaran dan masalah.

Pertama: Orang yang beriman percaya bahawa Allah menurunkan musibah sebagai ujian. Justeru, mereka tidak melihat musibah sebagai perkara yang buruk, tetapi sebagai peluang bagi meningkatkan darjat di sisi Allah SWT. Contoh mudah, sekiranya kita tidak mengambil peperiksaan. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kita tidak dapat memasuki universiti. Sekiranya kita tidak mendapat ijazah, sudah pasti tidak dapat mengambil master ataupun PhD. Ujian itu sukar dan memeningkan kepala. Namun, tanpa ujian, kita tidak mampu naik ke darjat lebih tinggi. Allah menerangkan dalam surah Al-Baqarah, ayat 214 yang bermaksud:

          "Adakah kamu yakin syurga Allah adalah milik kamu?
          Padahal, kamu belum diuji dengan pelbagai ujian dan cubaan
          seperti yang berlaku kepada orang-orang yang terdahulu.
          Mereka ditimpa kemusnahan harta benda, serangan
          penyakit, dan digoncang oleh ancaman bahaya musuh.
          Sehingga berkata rasul dan golongan yang beriman, 'Bilakah
          datangnya pertolongan Allah?' Sesungguhnya pertolongan
          Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh
          pada agama Allah."

Kedua: Orang yang beriman percaya bahawa segala bentuk musibah yang Allah turunkan masih dalam batas kemampuan manusia. Ini kerana, Allah sudah berjanji sedemikian rupa. Manusia hanya perlu memilih sama ada mahu bertahan ataupun tidak. Tidak ada seorang manusia pun dapat mengetahui ketahanan dirinya. Justeru, orang beriman pasti bertahan semampu-mampunya, kerana dia percaya Allah menguji dalam kadar kemampuannya. Mereka tidak mahu tergugur, lalu menjadi manusia yang gagal.

          "Allah tidak membebankan seseorang melainkan yang
          terdaya olehnya. Mereka mendapat pahala atas kebaikan
          yang dilakukan. Mereka juga menanggung dosa atas
          kejahatan yang dilakukan." Maksud dalam surah 
          Al-Baqarah, ayat 286.

Ketiga: Orang yang beriman percaya bahawa Allah tidak memungkiri janji-Nya. Pertolongan Allah pasti tiba. Kejayaan pasti milik kita. Sekiranya bukan di dunia, pasti di akhirat sana. Keyakinan ini yang menyuntik semangat orang-orang beriman. Mereka tenang dan sabar dalam menghadapi masalah dan dugaannya.

          "Mereka yang bertakwa kepada Allah dengan mengerjakan
          suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya, dibina untuk 
          mereka mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat.
          Di bawahnya mengalir beberapa sungai. Itu janji Allah. Allah
          tidak sesekali mengubah janji-Nya." Maksud dalam surah
          Az-Zumar ayat 20.

Tiga perkara ini mampu dicapai dengan mendekati Allah SWT. Pernahkah kita mendekati Allah SWT?


Mendekati dalam Erti Kata Sebenar

Ada orang berkata, "Saya mendirikan solat, saya membaca Al-Quran, tetapi mengapa hati tidak tenang?"

     Kita tahu melakukan solat dan membaca Al-Quran adalah antara jalan mendekati Allah SWT. Tetapi, adakah kita mengenali Allah SWT? Sekiranya kita tidak kenal, mampukah kita mencari Allah SWT walaupun kita berusaha mendekatinya?

     Di sini persoalannya. Oleh itu, saya timbulkan isu berkaitan solat dan membaca Al-Quran yang dianggap sebagai adat. Apabila kita melakukannya hanya kerana amalan nenek moyang ataupu orang di sekeliling, maka ia tidak bermakna. Ia berlainan dengan mereka yang melakukannya bertujuan mahu mengenali Allah dan mencari redha-Nya.

     Kita perlu sedar, perkara penting dalam hidup adalah hubungan kita dengan Allah SWT. Apakah kaitan antara kita dan Allah? Kita adalah hamba-Nya. Kita perlu tunduk kepada-Nya. Kita akan dikembalikan kepada-Nya. Justeru, apakah ada tujuan lain dalam kehidupan ini selain daripada mengabdikan diri kepada-Nya?

     Selepas mengetahui kekerdilan kita, kebesaran Allah, dan merasa perlunya tunduk, taat, dan mengabdikan diri kepada-Nya, kita perlu perhatikan pula tuntutan Allah SWT kepada kita? Apakah yang Allah mahu kita lakukan? Bagaimana Allah mahu kita lakukan? Apakah yang Allah larang dan benci? Apakah yang Allah minta supaya kita jauhkan? Kita langsaikan segala arahan-Nya. Kita perbanyakan perkara yang disukai-Nya. Kita tinggalkan perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan-Nya.

     Ini adalah makna mendekati Allah SWT.

     Tetapi, jangan salah sangka. Ada orang beranggapan, selagi tidak mengenali Allah, selagi itu kita tidak perlu beramal. Salah. Antara cara mengenali Allah adalah dengan memenuhi perintah-Nya. Ilmu tambahan penting bagi mengenali Allah, terutamanya dalam setiap perjalanan kita di dunia ini.

     Allah tidak mampu kita dekati dengan cara ikut-ikutan. Kita sendiri perlu mengenali Allah dan merasai kebesaran-Nya, sekali gus mengerdilkan diri dan mempersiapkan diri mengerjakan arahan-Nya. Kita pasti sedar, solat menghidupkan jiwa, membaca Al-Quran adalah nikmat, zikir adalah kerehatan, dan dosa adalah perkara yang menjijikkan.

     Tidak bermakna sekiranya kita sekadar melakukan rukuk, sujud, bertakbir, membaca Al-Quran, dan berzikir tanpa wujud perhubungan yang rapat dengan Allah. Ibarat tin kosong yang berdenting kosong tanpa membawa manfaat.


Kita Faham Sekiranya Kita Mendekati-Nya

Kita tidak mungkin faham sekiranya kita tidak mencuba. Tetapi, saya yakin bahawa orang yang mendekati Allah dengan penuh keikhlasan, beliau tentu memahami apa yang saya bicarakan.

     Ini adalah ubat yang hakiki. Ini adalah ubat yang terbukti mujarab bagi semua masalah, kemudian diikuti ubat-ubat yang lain. Mengapa tidak ada sahabat Rasulullah SAW yang membunuh diri kerana tertekan? Mengapa Nabi Nuh sanggup berdakwah sehingga mencapai 950 tahun? Mengapa Nabi Musa kekal tenang dan tidak menggelabah walaupun tersepit antara lautan dan Firaun? Mengapa Ribi bin Amir berani berdiri di hadapan Rustum walaupun dia bersendirian di singgahsana raja itu? Kerana mereka mendekati Allah.

     Kita? Kita perlu berusaha mendekati Allah.

     Sekiranya kita memperolehnya, saya yakin segala masalah menjadi mudah dan lancar. 

     Kita tidak rugi. Allah menerangkan dalam surah Ali Imran, ayat 139 yang bermaksud:

          "Jangan kamu berasa lemah dalam perjuangan bagi mempertahan dan
          menegakkan agama Islam. Jangan kamu berdukacita terhadap apa
          sahaja yang menimpa kamu. Kamu adalah golongan yang tertinggi
          sekiranya kamu golongan yang sungguh-sungguh beriman."

Kita adalah yang tertinggi. Sekiranya kita beriman.

     Kadangkala, kita berasa diri ini dicemari kehinaan, dicengkam kegelisahan, tenggelam dalam kegelapan, dan sebagainya. Ini kerana, kita jauh tidak mengenali Allah, tidak merapati Allah, tidak berasa hidup dengan Allah.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.    

No comments:

Post a Comment