Monday 23 January 2017

FATIMAH AZ-ZAHRAA' SI BUNGA SYURGA






FATIMAH AZ-ZAHRAA' SI BUNGA SYURGA








"Beliau bagaikan wangian bunga dari syurga
Mekar di hati ayahanda
Harum di hati umatnya 
Siapa yang menginginkan pasangan
Semulia Ali
Jadilah bunga seindah Fatimah Az-Zahraa."




Fatimah Az-Zahraa' ialah puteri bongsu Rasulullah. Beliau seorang wanita yang tegas, berani dan mempunyai azam yang kuat. Pelbagai peristiwa besar dilalui oleh Fatimah Az-Zahraa' semasa hidupnya dan ia cukup memberi kesan yang mendalam terhadap dirinya.

     Fatimah baru berusia 5 tahun ketika ayahandanya diutus menjadi Rasul bagi umat ini. Sedang kanak-kanak sebayanya hidup dengan bermain-main dan bersenang-lenang, Fatimah melalui zamannya dengan pelbagai cubaan dan dugaan yang penuh dengan onak duri. Semakin hari semakin dasyat cubaan yang ditempuhinya sehingga ia menjadi darah dagingnya. Fatimah bukan sahaja harus mengorbankan zaman kanak-kanaknya malah beliau juga turut terlibat secara langsung di dalam pergolakan hidup yang dilalui oleh ayahnya dengan bersama merasai segala detik-detik pahit getir demi menyebarkan seruan suci yang dipikul oleh ayahnya.

     Perkara ini berterusan sehingga semua kakaknya berumah tangga dan terpaksa meninggalkan ayah mereka untuk tinggal bersama suami masing-masing. Tinggallah Fatimah sendirian bersama ayah dan ibunya. Sejak itu, Fatimah seakan-akan benci dengan perkahwinan. Ini ditambah pula apabila menyaksikan dua orang kakaknya, Ruqaiyah dan Ummi Kaltsum menempuh perceraian.

     Semua peristiwa itu meninggalkan kesan ke atas Fatimah. Batinnya terseksa melihat ayahnya ditindas oleh kaum Quraisy sedangkan Fatimah masih kecil untuk mengerti dan menanggung semua penderitaan itu. Beliau juga menyaksikan penderitaan kaum Muslimin yang kelaparan selama 3 tahun kerana dikepung dan disingkirkan oleh kaum Quraisy.

     Apabila penyiksaan ke atas kaum Muslimin itu berakhir, Fatimah merasa amat gembira. Namun kegembiraan ini tidak kekal lama. Selang beberapa hari selepas pembebasan mereka dari pihak Quraisy, ibunya Khadijah r.a. telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan menyaksikan duka nestapa yang dialami oleh ayahnya kerana pemergian isterinya yang tercinta itu. Kemudian Fatimah menyaksikan pula pemergian satu demi satu kakaknya. Betapa berat penderitaan yang ditanggung oleh Fatimah dan ayahnya ketika itu.

     Segala penderitaan dan keperitan hidup yang dilalui oleh Fatima ditempuh dengan penuh sabar dan tabah. Keteguhan hati dan pendirian yang kuat, tanpa sedar membentuk Fatimah menjadi seorang yang berbudi pekerti mulia dan suci jiwanya. Beliau telah membina satu kekuatan dalaman yang luar biasa.

     Fatimah adalah satu-satunya puteri Rasulullah yang tidak berkahwin sebelum seruan kepada Islam bermula dan tidak berkahwin sewaktu usianya masih kecil. Beliau sentiasa berada di belakang ayahnya, mengikut dan menyertai setiap peristiwa yang bakal mencabar akal dan fikirannya. Beliau juga telah mengambil alih tugas menguruskan rumah tangga untuk meringankan beban ayahnya selepas kewafatnya ibunya Khadijah.

     Sesungguhnya ketabahan dan keteguhan budi pekerti Fatimah ini telah memainkan peranan penting di dalam dirinya. Ini kerana selepas ayahnya diutus oleh Allah SWT untuk menjadi Rasul, Fatimah terkenal sebagai puteri kepada seorang yang mulia, agung lagi suci. Sudah tentu semua kaum Muslimin di mana saja, akan memandang tinggi dan mulianya Puteri Rasulullah ini dan sudah tentu bakal calon suaminya juga adalah di antara orang-orang yang mulia sepertinya.

     Sewaktu di Madinah, Fatimah telah menjangkau usia 18 belas tahun namun beliau masih belum bertemu jodoh. Saidina Abu Bakar iaitu sahabat karib Rasulullah pernah datang untuk melamarnya namun Rasulullah menolaknya dengan lembut. Begitu juga dengan Saidina Umar. Beliau juga telah datang untuk melamar Fatimah namun ditolak juga dengan lembut oleh Rasulullah. Ini kerana Rasulullah telah memilih jodoh yang sangat baik untuk puterinya itu iaitu Ali bin Abu Talib, sepupu Rasulullah sendiri, seorang mujahid kecil, pemberani, pintar dan kuat keazamannya. Beliau juga adalah orang yang pertama beriman kepadanya. Rasulullah SAW sengaja menolak lamaran sahabat-sahabatnya iaitu Abu Bakar dan Umar kerana ingin memberi laluan kepada Ali untuk dijodohkan kepada puterinya.

     Rasulullah pernah berkata kepada Fatimah: "Beliau adalah saiyid (tuan) di dunia ini dan di akhirat pula beliau terkira orang-orang yang salih. Beliau adalah orang yang banyak ilmu di antara para sahabat, orang yang amat tinggi kesantunannya dan orang yang pertama memeluk Islam."

     Usia Ali bukan saja tidak jauh dari Fatimah, namun Ali juga dididik oleh baginda semasa kecilnya. Beliau seorang yang tinggi imannya dan sentiasa berada di samping baginda. Beliau tidak pernah terkecuali dan mana-mana peperangan yang dipimpin oleh baginda dan sentiasa diberikan keutamaan untuk memegang panji-panji Islam di medan perang.

     Ali dan Fatimah adalah saudara dan teman. Fatimah sangat senang kepadanya dan beliau begitu kagum dengan keberanian dan ketangkasan Ali. Fatimah tahu Ali menaruh hati terhadapnya namun Ali tidak mahu meneruskan hajatnya disebabkan kemiskinannya. Beliau sentiasa sibuk dan tidak mempunyai masa untuk kepentingan dirinya sendiri. Oleh itu beliau tidak pernah bekerja atau berniaga seperti pemuda-pemuda lain di zamannya. Lantaran terasa dirinya yang miskin itu, Ali memendamkan saja hasratnya itu. Namun takdir telah menentukannya akan menyertai keluarga Rasulullah sebagai menantu baginda.

     Ketika ini, Rasulullah telah berkahwin dengan Aisyah. Jadi Fatimah bebas daripada segala urusan rumah tangga. Sekarang sudah tiba masanya untuk mencari seorang teman buat Fatimah yang dapat memberikannya sepenuh kasih sayang dan perlindungan. Orang yang dipilih juga bukanlah orang sebarangan. Beliau adalah seorang yang mulia, setaraf dengan Fatimah, puteri dan kekasih Rasulullah.

     Apabila Ali datang meminang Fatimah, Rasulullah terus menerimanya. Namun, Ali tidak memiliki apa-apa. Lalu beliau menjual satu-satunya barang yang dimilikinya iaitu baju besinya dan memberikan wang jualan itu kepada Fatimah sebagai mas kahwinnya. Perkahwinan mereka diraikan secara kecil-kecilan dengan setalam kurma dan air sebagai hidangan. Tetapi sesudah itu, bapa saudara Rasulullah iaitu Hamzah telah membuat walimatul urus mengundang orang ramai bagi meraikan perkahwinan mereka itu.

     Selepas majlis perkahwinan itu selesai, Rasulullah telah pergi bersama isterinya iaitu Ummu Salamah ke rumah Ali dan meminta segelas air lantas dibacakan surah Al-Quran dan menyuruh Ali dan Fatimah meminumnya. Selepas itu, Rasulullah mengambil wudhu' dari air lebihan itu dan merenjiskannya ke atas kepala suami isteri itu sambil berdoa: "Ya Allah! Berkatilah mereka dan turunkan keberkatan ke atas mereka dan tingkatkanlah keberkatan kepada keturunan mereka!"

     Kehidupan Ali dan Fatimah selepas itu penuh dengan dugaan. Ali tidak mampu memberikan kemewahan kepada Fatimah. Beliau juga tidak mampu menghalang Fatimah daripada melakukan kerja-kerja berat. Pada tahun ketiga dan keempat hijrah, Fatimah melahirkan dua orang putera iaitu Al-Hasan dan Al-Husain. Ketika itu Rasulullah berusia 57 tahun. Dengan kelahiran dua orang cucunya, hati Rasulullah terasa begitu aman dan bahagia. Ini kerana selepas 17 tahun pemergian Khadijah, tidak seorang pun dari isteri-isteri baginda yang dapat memberikan zuriat kepada baginda.

     Kebahagiaan dan keriangan terpancar di dalam diri Rasulullah. Baginda menganggap kedua cucunya itu sebagai anak-anak baginda sendiri. Apabila keduanya datang kepada baginda, baginda akan memeluk dan mencium mereka. Baginda sangat mencintai mereka sehingga baginda pernah menyebut: "Kedua-dua anak ini adalah anak-anakku dan anak-anak puteriku! Ya Allah! Sesungguhnya aku mencintai mereka, cintailah mereka dan cintailah siapa yang mencintai mereka!"

     Pada tahun kelima hijrah, Fatimah melahirkan seorang anak perempuan bernama Zainab. Pada tahun ketujuh pula, Fatimah melahirkan seorang lagi anak perempuan bernama Ummi Kaltsum. Keluarga Rasulullah dipenuhi semula dengan keceriaan dan tawa riang kanak-kanak.

     Kaum Muslimin ketika ini telah mencapai kejayaan demi kejayaan. Tentera-tentera Islam kini lebih kuat dan yakin menentang musuh. Mereka mula berkumpul untuk menakluki kota Makkah. Satu impian yang selama ini diharapkan menjadi kenyataan oleh setiap umat Islam di Madinah termasuk Fatimah. Beliau juga mempersiapkan dirinya untuk bersama-sama ayahnya dan kaum Muslimin yang lain kembali ke Makkah. Beliau tidak sabar lagi pulang ke Makkah kerana di situlah ibunya disemadikan. Beliau rindu untuk menziarahi kubur ibunya secepat mungkin. Selepas menetap di Makkah selama dua bulan, Fatimah, ayah dan suaminya telah kembali semula ke Madinah. Mereka terus menetap di Madinah dan Fatimah terus sibuk dengan kerja-kerja harian menguruskan anak-anaknya.

     Tidak lama selepas itu, suasana riang itu menjadi kelam seketika. Suatu hari ketika Fatimah menziarahi ayahnya, Rasulullah menyambutnya dengan penuh mesra. Diciumnya Fatimah lalu membisikkan kepada puterinya, baginda akan menemui ajal tidak lama lagi. Air mata Fatimah terus mengalir. Bagi menenangkan hati puterinya itu, baginda mengatakan Fatimah akan menjadi orang pertama yang akan menyusul baginda. Selepas mendengar kata-kata ayahnya itu, Fatimah tersenyum riang.

     Beberapa hari selepas itu, tersebar berita Rasulullah mengadu kurang sihat. Berita itu sampai ke pengetahuan Fatimah. Beliau teringat kata-kata ayahnya tempoh hari. Tanpa membuang masa, Fatimah terus ke rumah ayahnya. Beliau terus menetap di situ bagi membantu Aisyah menguruskan segala keperluan ayahnya. Tidak lama selepas itu, Rasulullah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

     Kewafatan Rasulullah memberi tamparan hebat kepada Fatimah. Beliau menjadi semakin sedih apabila mengenangkan ibu dan kakak-kakaknya yang semua telah terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi. Kini ayahnya pula meninggalkannya buat selama-lamanya. Kepiluan yang dirasakna begitu hebat hingga tidak tertanggung olehnya.

     Selepas beberapa hari kewafatan Rasulullah, orang ramai telah mengangkat Abu Bakar As-Shiddiq menjadi khalifah. Ketika berita itu sampai ke telinga Fatimah, beliau amat sedih. Dengan segera beliau pergi ke makam ayahnya sambil menangis tersedu-sedu. Selepas Abu Bakar diangkat menjadi khalifah, ramai mengatakan Ali yang seharusnya menjadi khalifah kerana beliau adalah sepupu baginda Rasulullah dan suami puterinya, Fatimah. Rasulullah juga pernah menyanjungi Ali dengan kata-katanya:

     "Engkau dan aku, sama seperti Harun dan Musa!"

     "Engkau daripadaku dan aku daripadamu!"

     "Engkau wali (penguasa) setiap mu'min sesudah aku!"

     "Sesiapa yang menjadikan aku penguasanya, maka Ali juga penguasanya!"

     "Tiada seorang pun yang mencintainya melainkan beliau sebenarnya mu'min dan tiada sesiapa pun yang membencinya, melainkan beliau sebenarnya munafik."

     Fatimah turut terlibat dalam pergolakan politik ini kerana ingin membela suami dan warisan ayahnya. Namun kaum Muslimin telah membenarkan Abu Bakar terlebih dahulu dna mereka tidak mahu berganjak dari keputusan itu. Jadi Fatimah dan keluarganya menerimanya dengan penuh kepiluan.

     Selepas enam bulan kewafatan Rasulullah, Fatimah meninggal dunia. Benarlah apa yang dikatakan oleh ayahnya, beliau akan menjadi orang pertama yang menyusuli ayahnya dari keluarga mereka. Dengan kewafatan Fatimah, bersatulah ahli keluarga yang mulia ini di syurga yang tertinggi sekali.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment