Tuesday 31 January 2017

PUJUKLAH DIRI SENDIRI






PUJUKLAH DIRI SENDIRI








Apabila berasa tertekan, kita mahu orang memujuk kita. Apabila berasa mahu menangis, kita mahukan individu yang memahami kita. Hakikat sebenar, tidak ada siapa pun yang bersama dengan kita. Saya bercakap dalam konteks manusia. Kita mampu berkata, Allah ada. Itu satu kenyataan yang tidak punya penafian. Secara fitrah, manusia perlukan individu lagi bagi menyokongnya. Sekiranya tidak, Allah tidak mengajar kita persaudaraan. Islam mendidik kita untuk bersilaturahim.

     Walaupun kita mempunyai sahabat baik, namun sahabat itu tidak dapat bersama kita dalam tempoh 24 jam. Dalam kalangan manusia, yang bersama kita 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, empat minggu sebulan, 12 bulan setahun, dan bertahun-tahun dalam sepanjang kehidupan kita, adalah diri kita sahaja.

     Belajarlah memujuk diri sendiri. Ini kerana, diri sendiri yang memahami diri kita, selain daripada Allah SWT.


Menyediakan Dasar yang Kuat

Bukan mudah mahu memujuk diri sendiri. Perlukan kekuatan dan tenaga yang besar. Mahu mempunyai fikiran dan rohani yang kekal tenang. Ini bukan perkara semudah satu, dua, dan tiga.

     Justeru, bagi melatih supaya kita berjaya memujuk diri dalam situasi yang menekan, kita perlu ada dasar yang kuat. Ini supaya kita mampu menampung tekanan dan bebanan yang menimpa kita. Apakah dasar itu?

     Keimanan. Secara jujurnya, tidak ada dasar yang lebih utuh daripada dasar ini. Hanya dengan keimanan, kita berjaya memujuk, merasionalkan, dan menenangkan diri. Allah menerangkan dalam surah Ali Imran, ayat 139 yang bermaksud:

          "Janganlah kamu berasa lemah dalam perjuangan mempertahan
          dan menegakkan Islam. Jangan kamu berdukacita terhadap apa
          yang menimpa kamu. Padahal kamu adalah orang-orang yang
          tertinggi mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan.
          Sekiranya kamu orang-orang yang bersungguh-sungguh
          beriman."


Menangis

Kadangkala, pemujuk itu sudah wujud dalam diri kita. Saya jumpa satu penunjuk yang menyeronokkan.

     Ia adalah tangisan.

     Menangis. Menangis. Menangis sepuas-puas hati. Lepaskan segalanya. Hakikatnya, menangis adalah pujukan kepada diri sendiri. Kita melepaskan beban dalam bentuk air, ibarat membuka empangan yang menahan air. Tetapi, jangan menangis seperti orang biasa. Kita orang beriman, adalah manusia luar biasa. Menangis sambil berfikir. Berfikir masalah yang dihadapi, ujian yang sedang ditanggung. Sekiranya adalah masalah yang tersimpan dalam hati, keluarkan semuanya dalam tangisan yang sedang mengalir.

     Kita menangis bagi melapangkan jiwa. Bukan menangis bagi menambahkan kelemahan dan hiba. Di samping air mata yang mengalir itu, ambil peluang untuk berasa kerdil di hadapan Allah SWT. Linangan air mata adalah suatu bentuk kerendahan kita. Betapa kita manusia dan tidak mampu menangani ujian ini. Air mata adalah bukti kelemahan kita di hadapan Allah.

     Semoga dengan terhapusnya ego kita, Allah mendamaikan jiwa, melapangkan hati, dan memberikan kita ketenangan dan jalan keluar kepada masalah kita. Allah menerangkan daam surah Al-Isra, ayat 107 hingga ayat 109 yang bermaksud:

          "Sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila
          dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud
          dalam keadaan hiba dan khusyuk. Mereka menegaskan dalam
          sujud, 'Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya janji Tuhan kami
          tetap terlaksana.' Mereka segera tunduk sujud sambil menangis."

Apabila air mata kita berhenti, kita berasa satu kelapangan yang besar. Insya Allah, ketika itu kita sudah berasa tenang dan kembali menyusun strategi bagi menyelesaikan masalah kita.


Muhasabah

Satu lagi cara memujuk hati adalah dengan bermuhasabah. Kita memandang semula apa yang kita lakukan sehingga Allah menguji kita sebegini rupa. Kita lihat kembali, apakah yang kita lakukan.

     "Oh, saya masih ada tidak tinggal dosa yang ini. Patut Allah tidak bagi saya yang ini."

     "Oh, saya silap di sini. Patutlah..."

     "Memang salah saya."

     "Perkara ini dapat diselesaikan seperti ini. Mengapa saya tidak nampak tadi."

     Dengan bermuhasabah, hati berasa tenang. Kita melihat kembali di mana kesalahan kita. Kita dapat menyusun perancangan yang seterusnya. Allah menegaskan dalam surah Asy-Syura, ayat 30 yang bermaksud:

          "Apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan
          ataupun bala bencana, ia adalah disebabkan apa yang kamu 
          lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa.
          Pada masa yang sama, Allah memaafkan sebahagian besar
          daripada dosa-dosa kamu."

Individu yang hebat akan segera bangun daripada sebarang kejatuhan. Bagaimana? Dia mengambil pengajaran daripada kejatuhan dengan bermuhasabah.


Hadapi Masalah, Jangan Lari

Justeru, pujuk diri. Kuatkan hati, teguhkan jiwa, dan tenangkan kalbu. Jangan lari daripada masalah. Hadapinya. Langkahinya. Kita tidak dapat menyelesaikan masalah sekiranya kita lari daripadanya. Kemungkinan besar apabila kita bersemuka dengan ujian, penyelesaiannya adalah apa yang kita hajatkan. Mungkin apabila tabah menghadapinya, kita pasti bertemu dengan sesuatu yang kita harapkan. Siapa tahu.

     Allah tidak menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Termasuk juga ujian. Pasti ada sesuatu yang Allah mahu berikan dengan hadirnya pelbagai ujian. Hanya kita sahaja tidak memerhati dan memerhatikannya.

     Hadapilah ujian.

     Pujuklah diri. Tenanglah jiwa, damailah hati. Allah menjelaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 155 hingga 156 yang bermaksud:

         "Demi sesungguhnya, Kami menguji kamu dengan sedikit perasaan
         takut kepada musuh, berasa lapar, kurangnya harta benda, dan hasil
         tanaman. Berikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
         Iaitu orang-orang yang ditimpa kesusahan dan berkata, 'Sesungguhnya
         kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah juga kami kembali.'"




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment