Tuesday 17 January 2017

MARYAM SI PERAWAN SUCI






MARYAM SI PERAWAN SUCI








"Akan tumbuhkah benih
Tanpa air yang menyiram?
Akan mekarkah bunga
Tanpa cahaya suria?
Maryam...
Engkau jadi pilihan Allah
Membuktikan kudratNya yang Maha Kuasa."




Sudah lama Imran bin Matsan dan Khannah binti Faqudz berkahwin. Tetapi Allah masih belum mengurniakan cahaya mata kepada mereka. Khannah hampir putus asa. Usianya pula semakin meningkat. Namun imannya yang kukuh sentiasa mengingatkan dirinya terhadap kuasa Allah yang besar dan luas.

     Suatu hari, Khannah melihat seekor memberi makanan kepada anaknya. Tiba-tiba beliau merasa cemburu. Beliau pun bernazar, jika Allah mengurniakan cahaya mata kepadanya, beliau akan menyerahkan anak itu kepada Baitul Maqdis. Peristiwa ini disebut di dalam Al-Quran:

     "(Ingatlah) ketika isteri 'Imran berkata, 'Ya Tuhanku, sesungguhnya
     aku menazarkan anak di dalam kandunganku kepadaMu, menjadi
     hamba yang soleh dan berkhidmat (di Baitul Maqdis). Terimalah
     (nazar). Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha 
     Mengetahui!'" (Ali 'Imran: 35)

Tidak lama selepas itu, Khannah mengandung. Beliau dan suaminya begitu gembira. Namun Imran meninggal dunia. Khannah seorang diri bersedihan sambil menghitung hari melahirkan anaknya itu. Khannah dijaga oleh adiknya, Hanna bersama iparnya, Nabi Zakaria. Akhirnya Khannah melahirkan seorang bayi perempuan. Bayi itu dinamakan Maryam. Beliau lantas berkata seperti yang telah difirmankan oleh Allah di dalam Al-Quran:

     "Apabila beliau melahirkannya, beliau berkata, 'Wahai
     Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak
     perempuan (sedangkan aku mengharapkan anak lelaki) dan
     Allah Mengetahuinya, dan aku telah menamakannya Maryam,
     aku serahkan beliau di bawah peliharaanMu, begitu juga dengan
     keturunannya daripada godaan syaitan yang direjam (yang dikutuk
     dan disingkirkan).'" (Ali 'Imran: 36)

Ketika Khannah menyerahkan Maryam kepada Baitul Maqdis, pendeta-pendeta di situ berebut mahu menjaganya. Melihat keadaan itu, Nabi Zakaria dan isterinya mengambil keputusan untuk menjaga Maryam. Beliau berkata, mereka lebih layak kerana mereka adalah saudara Maryam. Lalu mereka membuat undian dengan mencampakkan pen yang digunakan bagi menulis Kitab Taurat ke dalam Sungai Urdun. Atas takdir Allah, hanya pen Nabi Zakaria sahaja yang timbul. Ini bermaksud, Allah telah memilih Nabi Zakaria dan isterinya menjaga dan memelihara Maryam. Nabi Zakaria membina sebuah bilik khas untuk Maryam beribadat dan membesar. Setiap kali beliau masuk ke dalam bilik itu, beliau pasti melihat sebakul buah-buahan di sisi Maryam. Ini turut diceritakan oleh Allah di dalam Al-Quran:

     "Beliau (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima dengan
     baik oleh Tuhannya dan dibesarkan dengan didikan yang baik,
     serta dipelihara oleh Zakaria. Setiap kali Zakaria masuk menemui
     Maryam di mihrabnya (bilik ibadatnya), beliau melihat ada
     rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisi Maryam. Zakaria pun
     bertanya, 'Wahai Maryam, bila masa engkau mengambil buah-
     buahan ini?' Maryam menjawab, 'Ia dari Allah, sesungguhnya
     Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya.'"
     (Ali 'Imran: 37)

Tahun demi tahun berlalu. Suatu hari, Nabi Zakaria berkata kepada kaumnya, 'Hai Bani Israel, sesungguhnya aku semakin tua untuk terus menjaga dan menanggung anak perempuan Imran (Maryam). Sepanjang peninggalanku nanti, siapakah di antara kamu yang sudi menjaga, menanggung dan memastikan keselamatan serta makan minumnya mencukupi sehingga ibadatnya selesa seperti yang dinazarkan oleh ibunya?" Bani Israel pun membuat undian. Takdir Allah, undian itu jatuh kepada seseorang soleh di kalangan mereka iaitu Yusof, seorang tukang kayu dan sepupu Maryam. Mereka semua menerima keputusan itu dengan senang hati dan Yusuf sendiri menerima amanah itu dengan hati yang redha.

     Sepanjang mengambil alih tugas Nabi Zakaria, Allah mengurniakan pelbagai berkat dan nikmat kepadanya. Seperti pengalaman Nabi Zakaria, setiap kali Yusuf masuk ke mihrab Maryam untuk menghantar makanan, beliau melihat sudah ada buah-buahan di tepi Maryam. Beliau pun bertanya kepada Maryam dan Maryam menjawab, "Ia adalah rezeki dari Allah."

     Maryam menjadi pilihan Allah untuk mengandungkan seorang bayi lelaki. Berita ini disampaikan oleh Jibril kepadanya. Jika diikutkan logik akal, ini sangat mustahil memandangkan Maryam tidak pernah disentuh apatah lagi menjalinkan hubungan kelamin dengan sesiapa. Namun itulah kehendak Allah. Mendengar utusan itu, Maryam bermunajat kepada Allah:

     "Maryam berkata, 'Bagaimana aku akan melahirkan seorang
     anak lelaki, sedangkan tidak pernah ada seorang lelaki pun
     menyentuhku dan aku bukan penzina!' Jibril menjawab, 'Tuhanmu
     berfirman, 'Itu mudah bagiKu; dan Kami dapat menjadikannya
     suatu tanda untuk manusia dan sebagai rahmat dari Kami; dan itu
     diputuskan.''" (Maryam: 20-21)

Yusuf yang menjaga Maryam merasa curiga melihat tanda-tanda kehamilan pada Maryam, Namun beliau juga tahu, Maryam sangat taat beribadah kepada Allah dan tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki. Beliau tidak dapat lagi menahan dirinya lalu berkata, "Wahai Maryam. Aku terfikir ada sesuatu yang terjadi kepadamu. Izinkan aku membicarakannya denganmu."

     "Silakan," ujar Maryam.

     "Adakah pokok boleh tumbuh tanpa air?" Tanya Yusuf.

     "Ya," jawab Maryam.

     "Adakah boleh lahir seorang bayi dari rahim seorang perempuan tanpa melibatkan seorang lelaki?" Tanyanya lagi.

     Lalu Maryam menjawab, "Adakah kamu meragui kuasa Allah? Bukankah Dia yang mencipta pokok tanpa benih sedangkan benih itu datang dari sebatang pokok yang sudah tumbuh? Bukankah Dia yang telah mencipta air dan menjadikannya salah satu sumber yang menumbuhkan pepohon? Adakah maksudmu Allah tidak berkuasa menumbuhkan pepohon tanpa air?"

     "Tidak! Tidak! Sesungguhnya aku berlindung dari mengatakan sesuatu seperti itu. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa. Dia hanya perlu berkata 'Jadi!' akan tertunailah segala kehendakNya," ujar Yusuf.

     "Bukankah kamu tahu, Adam dijadikan tanpa seorang lelaki dan perempuan seperti kamu katakan tadi? Engkau juga tahu, Hawa dijadikan dari tulang rusuk Adam sendiri. Adakah Allah tidak mampu melakukan semua itu sedangkan Dia Maha Berkuasa malah Dia juga yang mencipta seorang lelaki dan seorang perempuan itu?" Maryam berhujah lagi.

     Yusuf terdiam. Jelas di fikirannya, Allah telah menunjukkan mukjizatnya melalui Maryam. Beliau juga yakin anak yang dikandung oleh Maryam itu pasti membawa hikmah besar yang disembunyikan oleh Allah daripada pengetahuan hamba-hambaNya sehingga tiba waktunya.

     Ketika bayinya hampir lahir, Allah memerintah Maryam ke Baitulhem. Firman Allah di dalam Al-Quran:

     "Sewaktu Maryam hampir bersalin, beliau amat sakit sehingga
     terdampar di pohon kurma. Beliau berkata: 'Alangkah baiknya aku
     mati sebelum ini dan dilupakan.' Lalu Jibril memujuknya, 'Jangan
     bersedih, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai
     di bawahmu.'" (Maryam: 23-24)

Di situ, Maryam melahirkan seorang bayi lelaki. Bayi itu dinamakan Isa. Yusuf sentiasa menemaninya sepanjang kelahiran Isa. Sebagai manusia biasa, Maryam tidak dapat lari daripada rasa sedih dan bimbang kerana khuatir dengan penerimaan masyarakat terhadapnya dan bayinya itu. Namun beliau yakin dengan kasih sayang Allah dan hatinya terpujuk dengan keyakinan itu.

     Tidak lama selepas itu, terdengar satu suara ghaib menyuruhnya menggoyangkan pohon kurma yang menjadi teduhannya. Maryam pun melakukannya lalu buah-buah kurma yang segar dan ranum pun gugur. Sungguh, Allah tidak pernah membiarkan hamba-hambaNya menderita sendiri. Allah juga memerintahkan Maryam supaya tidak berkata apa-apa kepada kaumnya jika mereka bertanya mengenai anak itu. Firmannya:

     "Jika kamu melihat sesiapa katakan, 'Aku bernazar berpuasa
     untuk Tuhan yang Maha Pemurah, aku tidak akan berbicara
     dengan sesiapa pun hari ini." (Maryam: 26)

Ketika itu, Bani Israel tidak akan berkata apa-apa kepada sesiapa pun jika sedang berpuasa. Maryam, bayinya dan Yusuf berlindung di dalam sebuah gua selama tempoh nifas Maryam. Selepas itu, mereka kembali kepada keluarga mereka. Melihat Maryam bersama anaknya itu, keluarganya menangis dan berkata, "Wahai Maryam! Mengapa kamu sanggup melakukan perkara yang mungkar? Kamu bukan perempuan jahat dan ibu bapamu juga bukan orang kafir." Pelbagai fitnah dilemparkan kepada Maryam. Atas kuasa Allah, anak kecil itu pun berkata:

     "Sesungguhnya aku ini hamba Allah. Dia memberiku Al-Kitab
     (Injil), menjadikan aku seorang nabi dan diberkati di mana saja
     aku berada, dan Dia memerintahkan aku (mendirikan) solat dan
     (menunaikan) zakat selama aku hidup; dan berbakti kepada ibuku,
     dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong dan celaka
     dan melimpahkan kesejahteraan kepadaku, ketika aku dilahirkan,
     meninggal dunia dan dihidupkan kembali." (Maryam: 30-33)

     "Allah tidak layak mempunyai anak, Maha Suci Allah. Apabila
     Dia menetapkan sesuatu, Dia hanya berkata, 'Jadilah', jadilah ia.
     Sesungguhnya Allah itu Tuhanku dan Tuhanmu, sembahlah Dia. Ini
     adalah jalan yang lurus." (Maryam: 35-36)

Suatu hari, Yusuf mendapat tahu Kaisar Agustus memerintahkan supaya Isa dibunuh. Ini kerana ahli nujumnya meramalkan seorang bayi lelaki akan lahir dan menghancurkan kuasanya. Yusuf membawa Isa dan Maryam melarikan diri ke sebuah tempat di Mesir. Di sana mereka tinggal dengan aman sehingga Isa berumur 12 tahun. Maryam terus memelihara dan mendidik Isa. Beliau mengajarnya membaca kitab-kitab para Nabi sebelumnya dan membiasakan anaknya dengan ayat-ayat wahyu sehingga tiada lain yang diucapkan melainkan kandungan-kandungan dari kita-kitab suci. Walaupun Maryam terpaksa menanggung pelbagai fitnah dan penganiayaan, beliau berjaya membesarkan Isa dengan penuh adab dan kasih sayang.

     Sewaktu Isa berusia 30 tahun, Maryam membawanya ke Jerusalem untuk beribadat mengikut syariat Nabi Musa. Ketika mereka mendaki Gunung Zaitun di Nazeret, terpancar suatu pandangan kepada Isa bahawa beliau adalah seorang Nabi yang diutus kepada Bani Israel. Tanpa berlengah, beliau memberitahu ibunya. Maryam pun berkata kepada Isa: "Wahai anakku! Sesungguhnya aku sudah tahu mengenainya sebelum kamu lahir lagi. Muliakanlah nama Allah yang Maha Suci."

     Allah mengurniakan pelbagai mukjizat kepada Isa bagi membantu dakwahnya. Antaranya memulihkan orang gila, kusta dan menghidupkan orang mati. Akhirnya pengikut semakn ramai sehingga membimbangkan para pendeta yang jahat. Mereka memaksa hakim Romawi mengisytiharkan Isa melakukan penentangan. Namun hakim menolak tuduhan itu selepas mendapati Isa tidak melakukannya. Lalu mereka mengugut keselamatan hakim itu melalui pembesar negeri itu. Hakim itu terpaksa menurut perintah mereka. Beliau akhirnya mengarahkan Isa disalib.

     Namun Allah menjadikan wajah salah seorang pengikut Isa yang jahat menyerupai wajah Isa. Pengikut itulah yang sebenarnya disalib oleh mereka. Maryam yang menyangka Isa disalib menjadi terlalu sedih. Tiba-tiba Isa muncul dan berkata, "Allah menyelamatkanku. Dia mengangkatku ke langit. Orang yang disalib itu diserupakan wajahnya denganku." Lega Maryam mendengarnya. Beliau redha dengan ketentuan Allah terhadap Isa. Maryam dijaga oleh dua orang pembantu Isa yang setia serta amanah dan meneruskan dakwah bersama mereka. Maryam meninggal dunia selepas enam tahun Isa diangkat ke langit.

     Begitulah sejarah Maryam, si perawan suci bergelar ibu yang telah dipilih oleh Allah untuk melahirkan salah seorang Nabi umat Islam. Firman Allah:

     "Dan (ingatlah kisah) Maryam yang memelihara kehormatannya,
     lalu Kami tiupkan (tubuh) ruh dari Kami dan Kami jadikan beliau
     dan anaknya tanda (kuasa Allah) yang besar bagi semesta alam."
     (Al-Anbiyaa': 91)




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment