Monday 2 January 2017

HASAN AL-BANNA [ BAB 26 - DIA SEORANG PEMIMPIN ]






DIA SEORANG PEMIMPIN








Kerana berasa rindu kepada Hasan Al-Banna, ayah, ibu dan adik-beradiknya datang ke Ismailiyah. Kebetulan masa itu Hasan Al-Banna sudah menyewa sebuah rumah kedai yang terletak di tengah bandar. Hasan Al-Banna berasa amat gembira dengan kedatangan keluarganya.

     "Sudah sampai masanya kamu mempunyai seorang isteri bagi menjadi teman hidupmu di dunia dan akhirat," kata Fudhla. Dia berasa kasihan melihat anaknya yang tinggal keseorangan di bandar itu.

     Hasan Al-Banna menenangkan ibunya dengan berkata, "Di sini saya ada ramai kawan yang hubungan kami bagaikan saudara. Ibu tidak perlu risaukan saya."

     "Sekiranya kamu mempunyai isteri, hidup kamu akan menjadi lebih sempurna. Makanan kamu ada yang memasaknya. Kain baju kamu ada yang mencucinya. Jika sakit ada yang menjaga," kata Fudhla pula.

     "Saya yakin jodoh itu Tuhan yang menentukannya. Apabila sampai masanya, bertemulah jodoh," kata Hasan Al-Banna.

     "Ibu berdoa semoga kamu mendapat isteri yang solehah, yang dapat membahagiakan hidupmu di dunia dan akhirat," kata ibunya.

     Semasa berada di Ismailiyah, Fudhla sering menziarahi keluarga yang rapat dengan Hasan Al-Banna. Antaranya keluarga Haji Hussin As-Shauli yang begitu rapat dengan Hasan Al-Banna. Keluarga itu juga antara mereka yang menyokong penuh dakwah yang disampaikan Hasan Al-Banna. Kesemua anggota keluarga itu menjadi ahli Ikhwan Muslimin. Semasa berkunjung buat pertama kali ke rumah Haji Hussain As-Shauli, tiba-tiba Fudhla mendengar suara seorang gadis sedang membaca Al-Quran. Suaranya amat merdu.

     "Suara siapa itu?" tanya Fudhla.

     "Anak gadis kami yang bernama Latifah," jawab Fatimah, isteri Haji Hussain As-Shauli.

     Fudhla memuji sambil tersenyum, "Dia pandai mengaji dan suaranya merdu."

     Fatimah membalas senyuman Fudhla lalu berkata, "Sudah menjadi kebiasaannya membaca selepas sembahyang subuh dan selepas asar."

     Fudhla tidak mampu berselindung lagi lalu dia terus bertanya, "Sudahkah dia dilamar sesiapa?"

     "Anak kami itu lebih suka berada di rumah. Kerana itu ramai lelaki di luar sana tidak menyedari wujudnya gadis bernama Latifah di rumah ini," jawab Fatimah.

     "Boleh saya berjumpa dengannya?" tanya Fudhla lagi.

     Dengan senang hati Fatimah memberi keizinan, "Boleh sahaja tetapi jangan mengganggu dia yang sedang membaca Al-Quran."

     Fudhla masuk lalu menghampiri gadis yang sedang membaca Al-Quran itu. Kedatangan Fudhla tidak disedarinya dan Latifah terus membaca Al-Quran. Tidak lama kemudian, Fudhla pulang ke rumah lalu menceritakan perkara itu kepada Hasan Al-Banna. Sejak itu terdetik di hati Hasan Al-Banna untuk mengahwini gadis tersebut.

     "Keluarga itu dermawan dan rumahnya sering dikunjungi tetamu. Setiap tetamu yang datang, dihidangkan dengan makanan. Ibu sudah bertemu dengan gadis itu. Dia seorang yang kuat agama dan baik budi bahasanya," puji Fudhla lalu mencadangkan supaya Hasan Al-Banna melamar gadis itu.

     Hasan Al-Banna tidak membantah, tetapi mohon diberi masa tiga hari bagi memikirkannya. Ayah Latifah juga seorang yang patuh dengan ajaran agama. Pada suatu hari, dia mahu menguji Hasan Al-Banna.

     "Ada seorang pemuda mengajak anak gadis saya menonton wayang. Apa pendapat Tuan?" tanya Haji Hussain As-Shauli.

     "Berdua-duaan antara lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim itu hukumnya haram, apatah lagi di dalam panggung wayang," jawab Hasan Al-Banna.

     "Saya tidak akan nikahkan anak gadis saya dengan pemuda itu," kata Haji Hussain As-Shauli.

     Hasan Al-Banna semakin tertarik dengan anak gadis Haji Hussain As-Shauli yang dipercayainya seorang anak yang solehah. Tambahan pula, ibunya sudah berkenan dengan gadis itu, Hasan Al-Banna menyatakan persetujuannya untuk melamar Latifah.

     Selepas diadakan perbincangan antara keluarga kedua-dua belah pihak, Hasan Al-Banna ditunangkan dengan Latifah pada 1 Ramadhan. Mereka bersetuju tempoh pertunangan itu tidak lama dan kedua-duanya dinikahkan pada 27 Ramadhan. Majlis akad nikah diadakan di dalam masjid Ikhwan Muslimin dengan dihadiri orang ramai yang mahu menyaksikan pernikahan itu. 

     Beberapa bulan selepas perkahwinan itu, Hasan Al-Banna ditukarkan ke Kaherah. Pertukaran itu atas permohonannya sendiri kerana sedar tugasnya di Ismailiyah, sudah selesai. Selama empat tahun di Ismailiyah beliau berjaya membawa perubahan kepada umat Islam melalui gerakan Ikhwan Muslimin. Gerakan dakwah berkembang pesat sehingga berpuluh cawangan telah dibuka, bukan sahaja di Ismailiyah, bahkan di luar. Perkara yang paling menggembirakan Hasan Al-Banna, hampir semua penduduk Ismailiyah menyertai Ikhwan Muslimin.

     Selain kejayaan dakwah Ikhwan Muslimin, Hasan Al-Banna merasakan kehidupannya sudah dilengkapi dengan kehadiran seorang wanita yang menjadi isteri dan teman hidupnya. Kerana itu beliau berpendapat sudah tiba masanya meninggalkan Ismailiyah. Tambahan pula sudah ada pemimpin yang akan meneruskan gerakan dakwah semasa ketiadaannya.

     Hasrat untuk meninggalkan Ismailiyah disampaikan kepada mereka yang rapat dengannya. Kemudian berita itu merebak ke pengetahuan semua ahli Ikhwan Muslimin. Mereka berasa sedih tetapi terpaksa menerima hakikat bahawa sudah sampai masanya Hasan Al-Banna berpisah dengan mereka.

     Keluarga Haji Hussain As-Shauli juga merestui kemahuan Latidah mengikut suaminya ke Kaherah. Latifah mahu berada di samping suaminya serta memberi sokongan terhadap perjuangannya.

     Keputusan untuk berpindah ke Kaherah itu juga dimaklumkan Hasan Al-Banna kepada ayah dan ibunya. Mereka mengucapkan rasa syukur kerana anak kesayangan mereka kembali ke pangkuan keluarga. Hasan Al-Banna juga memaklumkan kepada kawan-kawannya di Kaherah, bahawa beliau mahu menjadikan Kaherah sebagai pusat gerakan Ikhwan Muslimin.

     Kepulangan Hasan Al-Banna ke Kaherah disambut gembira oleh keluarga dan sahabat-sahabatnya. Beliau juga bersyukur kerana mendapat seorang isteri yang kuat semangat, bagi menghadapi halangan dan rintangan dalam berdakwah. Bagi Latifah, sejak awal pernikahannya dia sudah menyedari bahawa suaminya seorang pejuang. Dia sedar dakwah yang dipimpin oleh suaminya banyak menuntut pengorbanan. Kerana itu dia perlu menempatkan dirinya di dalam rumah, menjaga rumah tangga, dan mendidik anak-anak. Jihad utamanya adalah mengurus rumah tangga dan membesarkan anak-anak.

     Latifah tidak pernah mengeluh walaupun suaminya sering berada di luar rumah. Pernah suatu hari anak mereka sakit, tetapi Hasan Al-Banna tetap juga pergi keluar untuk urusan dakwah. Peristiwa itu membuatkan Latifah semakin bergantung pada Allah, bukan kepada suaminya.

     Hasan Al-Banna pula seorang suami yang bertanggungjwab dan menyayangi isterinya dan anak-anaknya. Tidak pernah Hasan Al-Banna mengucapkan kata-kata yang boleh melukakan perasaan isterinya. Dia juga tidak pernah memukul atau merotan anak. Jika mereka nakal, dinasihatkan dengan kata-kata yang baik.

     Seringkali Hasan Al-Banna pulang lewat malam, tetapi Latifah tidak pernah marah walau sering dikejutkan daripada tidur. Kerana tidak mahu mengganggu tidur isterinya, Hasan Al-Banna membawa kunci rumah, dan apabila pulang, beliau membuka pintu dengan perlahan supaya isterinya tidak terkejut dari tidur. Seringkali juga Hasan Al-Banna memasak sendiri makanannya apabila berasa lapar.

     Sokongan padu daripada Latifah membuat Hasan Al-Banna semakin aktif dalam gerakan Ikhwan Muslimin. Tambahan pula, Kaherah bukan tempat asing bagi dirinya. Di Kaherah juga, Hasan Al-Banna menghubungi kawan-kawan lamanya. Mereka semua menjadi ahli Ikhwan Muslimin.

     "Kita berjaya menyedarkan masyarakat mengenai pentingnya agama dalam kehidupan mereka. Tetapi kita belum berjaya dalam bidang politik. Sudah sampai masanya kita bergiat dalam bidang politik," kata Hasan Al-Banna kepada kawan-kawan rapatnya. Mereka bersetuju dan memberi sokongan.

     Keinginan yang datang dari dalam dirinya sendiri, ditambah pula dengan sokongan padu para sahabatnya membuatkan Hasan Al-Banna melibatkan diri dalam politik pada tahun 1935. Semasa memberi ceramah ataupun syarahannya, beliau menyentuh dasar pemerintahan negara. Beliau juga menulis surat yang menyeru pihak pemerintahan agar melaksanakan perubahan menyeluruh dalam bidang pendidikan, ekonomi, masyarat, dan politik agar bertepatan dengan dasar-dasar Islam.

     Hasan Al-Banna pernah berkata, "Ikhwan Muslimin adalah sebuah gerakan keagamaan, kerana ia mempertahankan Al-Quran dan As-Sunnah. Ia bertujuan membentuk masyarakat menurut dasar-dasar Islam dan setiap ahlinya berusaha dengan gigihnya untuk mengikuti sunah Rasulullah SAW. Ikhwan Muslimin juga adalah satu rangkaian tasawuf kerana ia tahu bahawa setiap perkara yang baik itu berdasarkan takwa dan kecintaan kepada Allah. Ikhwan Muslimin juga adalah sebuah pertubuhan politik, kerana ia ingin pembaharuan politik yang berlaku di dalam dan di luar negeri. Ia juga merupakan satu kumpulan latihan jasmani di mana para anggotanya menjalani latihan jasmani secara berpasukan bagi memeliharan kesihatan. Mereka juga mengadakan pertandingan dengan pasukan-pasukan lain. Ikhwan Muslimin juga adalah sebuah pertubuhan yang terlibat dalam pendidikan dan kebudayaan yang sihat. Ikhwan Muslimin merupakan Bank Kerjasama Kewangan kerana Islam juga mampu menyelesaikan masalah kewangan. Al-Ikhwan Muslimin berusaha membuka bank-bank Islam dan mengukuhkan ekonomi negara. Ikhwan Muslimin juga merupakan satu pertubuhan kemasyarakatan, kerana para anggotanya menjalankan usaha mengesan kemungkaran-kemungkaran dalam masyarakat, dan mengemukakan cara-cara bagi menyelesaikan masalah tersebut."

     Usaha gigih yang dilakukan Hasan Al-Banna dari tahun 1939 hingga tahun 1945 menjadikan Ikhwanul Muslimin muncul sebagai pertubuhan yang memainkan peranan penting dalam arena politik negara Mesir. Kegiatannya mendapat sambutan yang begitu luar biasa. Orang ramai yang terdiri daripada penuntut universiti, buruh, saudagar, guru, doktor, dan peguam ramai menyertai gerakan Ikhwan Muslimin. Mereka dapat bergerak dengan begitu berkesan. Ikhwan Muslimin terlibat dalam usaha meningkatkan ekonomi negara. Mereka juga terlibat dalam kegiatan sosial. Semua cawangan Ikhwan Muslimin di Mesir mempunyai jentera pentadbiran yang tersusun rapi dan berjalan lancar.

     Hasan Al-Banna sering memanggil isterinya Latifah dengan panggilan 'Wahai Ummu Wafa' dan Latifah memanggil suaminya 'Wahai Ustaz Hasan'. Sebagai ketua Ikhwanul Muslimin, rumah mereka sering dikunjungi orang ramai, sedangkan rumah mereka kecil sahaja. Pernah Latifah mencadangkan kepada suaminya supaya mencari rumah yang lebih selesa.

     "Wahai Ummu Wafa, istana kita menanti di syurga. Yakinlah bahawa Allah tidak akan mensia-siakan usaha kita di dunia ini," kata Hasan Al-Banna. Latifah akur dengan kata-kata suaminya itu.

     Hasan Al-Banna mengambil berat hal rumah tangga dan anak-anaknya. Setiap anaknya disediakan sebuah fail yang mengandungi perkembangan anak-anaknya, seperti tarikh kelahiran, perkembangan anak semasa kecil, sakit dan pemberian ubat, makanan, kesihatan, serta kemajuan ataupun kemunduran pelajaran mereka di sekolah. Hasan Al-Banna juga mengumpul surat atau resit doktor yang memeriksa anak-anaknya. Jika mereka terkena penyakit yang sama, biasanya Hasan Al-Banna menunjukkan kepada doktor resit yang mengandungi senarai ubat dan tarikhnya.

     Hasan Al-Banna juga amat mencintai keluarga dan anak-anaknya. Semasa kecil, anaknya sering terlupa membawa makanan ke sekolah. Hasan Al-Banna sanggup membawakan makanan itu kepada anaknya di sekolah.

     Apabila ada masa lapang, Hasan Al-Banna membawa anak-anaknya ke tempat permainan. Pernah suatu hari Ahmad Saiful Islam terlupa memakai kasut ketika hendak pergi bermain. Hasan Al-Banna menghukumnya dengan pukulan yang paling ringan dan tidak menyakitkan. Pukulan itu lebih sebagai peringatan.

     Hasan Al-Banna juga terkenal dengan sikap pemurahnya. Pada suatu hari, beliau pergi ke kedai jahit membawa jubahnya bagi dijahit. Tukang jahit meminta upah sebanyak tiga paun. Hasan Al-Banna memberinya lima paun tanpa mengambil baki duitnya.

     Hasan Al-Banna juga bersikap pemurah dengan semua anak-anaknya. Setiap hari wang belanja sekolah diberikan, setiap seorang sebanyak tiga qirsy. Jumlah itu biasanya melebihi belanja sekolah pelajar yang lain.

     Hasan Al-Banna juga melatih anaknya menjadi pemurah dengan memberi mereka duit untuk disedekahkan pada setiap hari selepas sembahyang Jumaat. Ada kalanya Hasan Al-Banna menyuruh kawan-kawannya memastikan anak-anaknya menginfakkan duit pemberiannya itu. Hasan Al-Banna berasa syukur kerana semua anak-anaknya bersikap jujur.

     Pada suatu hari, Tsana melihat kawan-kawannya menyimpan kuku panjang dan mewarnakannya dengan cat merah. Sebagai anak gadis yang sedang meningkat remaja, Tsana juga mahu mengikut kawan-kawannya itu. Dia pun memanjangkan kukunya dan mewarnakannya.

     "Mengapa dengan jarimu, wahai Tsana?" tanya Hasan Al-Banna semasa mereka sedang makan.

     "Saya lihat ramai kawan menyimpan kuku panjang dan mewarnakannya. Saya pun tertarik sama," jawab Tsana dengan jujur.

     "Apakah kamu tahu orang alim mengatakan, jangan engkau makan bersama orang yang memanjangkan kukunya. Kerana orang yang panjang kukunya itu menyimpan kotoran pada kukunya. Sekarang juga kamu potong kuku itu dan bersihkan. Ayah tunggu sehingga kamu datang supaya kita dapat makan bersama," kata Hasan Al-Banna dengan nada suara yang lembut. Sejak itu Tsana tidak lagi mewarnakan kukunya.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment