Sunday 8 January 2017

LARIAN KASIH HAJAH R.A.






LARIAN KASIH HAJAH R.A.








"Ketika anak meraungkan tangisan
Hati ibu tidak keruan
Berlarilah Hajar dari Safa ke Marwah
Mencari petunjuk bantuan Allah
Hentakan kaki menerbitkan air
Penghilang dahaga dan kering di bibir
Hajar... hikayatmu merentas kurun
Menjadi ingatan turun temurun"




Kisah perjalanan Hajar, isteri Nabi Ibrahim sewaktu ditinggalkan bersendirian bersama anaknya, Ismail di tengah padang pasir yang kering kontang bukan sahaja diceritakan di dalam Al-Quran tetapi turut disebut di dalam Taurat.

     Kisahnya bermula apabila Nabi Ibrahim mengahwini Hajar sebagai isteri kedua. Perkahwinan itu adalah atas cadangan Sarah kerana merasakan dirinya sudah tua dan tidak mampu memberikan zuriat kepada Nabi Ibrahim. Pada mulanya Nabi Ibrahim keberatan menerima cadangan itu. Namun Sarah terus memujuk sehingga akhirnya Nabi Ibrahim bersetuju. Tidak lama selepas berkahwin, Hajar hamil. Sebagai wanita biasa, Sarah mula cemburu dan cemburunya semakin bertambah selepas Hajar melahirkan seorang bayi lelaki bernama Ismail. Lalu Sarah meminta Nabi Ibrahim membawa Hajar dan anaknya pergi jauh dari pandangannya.

     Melalui petunjuk Allah, Nabi Ibrahim membawa Hajar dan anaknya ke satu kawasan padang pasir yang jauh dari Mesir. Ada pendapat mengatakan, sepanjang perjalanan itu, Hajar telah melabuhkan pakaiannya bagi melindungi kesan tapak kakinya dari dijejaki oleh Sarah. Selepas jauh berjalan, akhirnya baginda meninggalkan Hajar dan anaknya, Ismail di bawah sebatang pohon di tengah sebuah lembah padang pasir yang kering kontang dan tidak berpenghuni. Lembah itu kemudiannya dikenali sebagai Mekah. Di sini Allah menguji sejauh mana mereka patuh dan taat menerima qada' dan qadar. Nabi Ibrahim hanya meninggalkan sebungkus kurma dan satu pundi berisi air sebagai bekalan mereka.

     Hajar berasa amat sedih dan hampa ketika melihat suaminya mula meninggalkan mereka sendirian. Hajar merayu Nabi Ibrahim supaya tidak meninggalkannya. Luluh hati Nabi Ibrahim ketika mendengar rayuan isterinya itu namun tiada daya menentang perintah Allah. Nabi Ibrahim yakin, Allah telah menetapkan hikmah yang besar di sebalik peristiwa itu.

     Ketika Nabi Ibrahim hampir tiba di hujung lembah, Hajar bertanya dengan lantang, adakah itu perintah Allah? Nabi Ibrahim menoleh dan menjawab, "Ya, benar." Baru Hajar berasa tenang setelah mendengar jawapan itu lalu berkata, "Kalau begitu, sudah tentu Allah tidak akan mensia-siakan kami. Aku redha." Kemudian Nabi Ibrahim memohon kepada Allah seperti terkandung di dalam Al-Quran:

     "Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian
     keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanaman,
     berhampiran rumahMu (Baitullah) yang dihormati. Ya Tuhan kami,
     jadikan mereka mendirikan solat, jadikan hati sebahagian manusia
     cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-
     buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur." (Ibrahim: 37)

     "Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang
     kami sembunyikan dan apa yang kami lahirkan; dan tidak ada
     sesuatupun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi
     ataupun yang ada di langit." (Ibrahim: 38)

Selesai berdoa, Nabi Ibrahim meneruskan perjalanannya ke Mesir sementara Hajar tinggal keseorangan di situ bersama Ismail. Lama kelamaan Hajar terbiasa dengan kehidupannya di lembah itu. Namun suatu hari, bekalannya kehabisan, Ismail menangis tidak berhenti kerana kehausan. Hajar sendiri berasa amat lapar dan dahaga. Air susunya pun sudah kering. Hajar mula menyedari bahaya yang sedang dihadapi oleh mereka. Namun beliau bertekad tidak mahu mati kelaparan di situ tanpa berusaha. Tangisannya anaknya yang semakin menjadi-jadi itu tambah menguatkan semangatnya.

     Lalu Hajar pun berlari-lari anak menuju ke Bukit Safa dengan harapan menemui sedikit makanan atau sekurang-kurangnya kafilah yang mungkin berada di situ. Namun hampa. Beliau pun turun dari bukit itu dan berlari-lari anak pula menuju ke bukit Marwah dengan harapan yang sama. Sekali lagi beliau kecewa. Namun beliau tidak berputus asa. Perbuatan itu diulang sebanyak tujuh kali sehingga akhirnya beliau keletihan. Peristiwa ini telah dijadikan rukun haji dan umrah oleh Allah bagi mengenang kembali pengorbanan Hajar. Akhirnya beliau mendekati Ismail yang sedang menangis dan sama-sama menangis mengenangkan nasib mereka.

     Ismail menghentak-hentakkan kakinya. Tidak lama kemudian, muncul mata air di bawah hentakan kaki Ismail itu. Hajar sangat gembira lalu bersyukur kepada Allah. Benar. Allah tidak pernah mengabaikan hamba-hambaNya yang beriman malah sentiasa memelihara mereka. Hajar pun terus memberikan Ismail minum dari air mata air itu. Tidak lama selepas itu, muncul sekawan burung berterbangan di situ.

     Dalam masa yang sama, sekumpulan kaum Badwi dari suku Jurhum yang sedang dalam perjalanan menuju ke Syam telah melalui kawasan itu. Mereka hairan melihat sekawan burung terbang mengelilingi tempat itu. Mereka meneka, pasti tempat itu ada air lalu menuju ke situ bagi memastikannya. Setibanya mereka di situ, mereka melihat Hajar dan anaknya, Ismail. Lantas mereka pun meminta izin untuk tinggal di situ. Hajar pun mengizinkannya. Suku Jurhum itu pun mengajak seluruh kaumnya berpindah ke kawasan itu. Ismail membesar bersama mereka dan berkahwin dengan puteri mereka.

     Begitulah peristiwa yang berlaku kepada Hajar. Sesungguhnya kesabaran dan keredhaan Hajar di dalam menerima qada' dan qadar Allah harus dijadikan teladan oleh semua wanita di dunia ini.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.






No comments:

Post a Comment