Thursday 5 January 2017

HASAN AL-BANNA [ BAB 28 - PERGINYA SEORANG PEJUANG ]






PERGINYA SEORANG PEJUANG








Hampir dinihari barulah Hasan Al-Banna dapat melelapkan mata kerana banyak perkara yang difikirkannya. Ramai anggota Ikhwan Muslimin ditangkap, malah ada yang dibunuh. Keluarga mereka perlu dibantu kerana kehilangan tempat bergantung. Keadaan menjadi lebih sulit apabila orang ramai dilarang memberi bantuan. Sesiapa yang memberi bantuan kepada keluarga tersebut, ditangkap dengan tuduhan membantu pemberontak.

     Sejak Ikhwan Muslimin diharamkan, semua aktiviti Hasan Al-Banna disekat sehingga beliau tidak dibenarkan pergi ke masjid untuk sembahyang berjemaah. Rumah Hasan Al-Banna sentiasa diawasi dan pergerakannya diperhatikan. Kerana itu dia terpaksa sembahyang di rumah sahaja.

     Seperti biasa selepas sembahyang subuh, Hasan Al-Banna membaca Al-Quran dan kitab-kitab agama. Itu rutin hariannya sejak Ikhwan Muslimin diharamkan, kerana beliau tidak dibenarkan lagi memberi ceramah. Ke mana sahaja beliau pergi, beliau akan diekori oleh orang yang tidak dikenali.

     "Ada tetamu datang," beritahu Latifah.

     "Siapa?" tanya Hasan Al-Banna.

     "Muhammad Al-Naghi...," jawab Latifah.

     Hasan Al-Banna menghentikan bacaannya, lalu pergi ke ruang tamu rumahnya bagi bertemu dengan tetamu yang baru datang, dan mereka berdua bersalaman.

     Hasan Al-Banna lantas bertanya, "Apakah kamu tidak tahu pemerintah melarang sesiapa sahaja datang ke rumah saya?"

     "Saya datang dengan arahan pemerintah," jawab Muhammad Al-Naghi sambil tersenyum.

     "Maksud kamu?" tanya Hasan Al-Banna dengan rasa hairan.

     "Perdana Menteri baru, Ibrahim Abdul Hadi Basya itu adalah sepupu saya. Dia yang menyuruh saya datang ke sini," jawab Muhammad Al-Naghi.

     Hasan Al-Banna terus bertanya, "Apa tujuannya?"

     "Dia mahu meredakan ketegangan antara Ikhwan Muslimin dengan pemerintah. Saya disuruh menjadi orang tengah bagi mengatur pertemuan antara Tuan dengan pihak pemerintah," jawab Muhammad Al-Naghi.

     Hasan Al-Banna berkata, "Bagi meredakannya mudah sahaja. Semua anggota Ikhwan Muslimin yang ditangkap hendaklah dibebaskan, harta kami dipulangkan semula, dan kami dibenarkan menjalankan aktiviti dakwah."

     Dengan bersahaja Muhammad Al-Naghi berkata, "Kamu boleh kemukakan permintaan itu semasa pertemuan dengan Menteri Zaki Ali Basya nanti."

     Hasan Al-Banna semakin keliru. Beliau bertanya, "Mengapa saya ditemukan dengan Menteri Zaki Ali Basya? Mengapa tidak ditemukan dengan Perdana Menteri, Ibrahim Abdul Hadi Basya?" tanya Hasan Al-Banna.

     "Pertemuan pertama ini sebagai permulaan dan akan ada lagi pertemuan selanjutnya. Kerana itu pertemuan pertama dengan wakil perdana menteri. Selepas itu nanti, baru bertemu terus dengan perdana menteri," jawab Muhammad Al-Naghi.

     "Sejak hari pertama Ikhwan Muslimin diharamkan dan dibubarkan, tidak ada tanda-tanda pemerintah mahu berlembut dengan kami. Malah tindakan mereka terhadap kami semakin hari semakin ganas. Mengapa dengan tiba-tiba sahaja mereka mahu mengadakan pertemuan bagi meredakan ketegangan?" tanya Hasan Al-Banna.

     Muhammad Al-Naghi berkata, "Saya tidak dapat menjawab soalan itu kerana tidak terlibat dengan apa yang mereka lakukan terhadap kamu. Saya bersimpati kepada kamu, kerana itu saya memujuk sepupu saya itu, yang juga perdana menteri supaya mengadakan perbincangan bagi meredakan ketegangan ini. Dia setuju melantik saya menjadi orang tengah. Saya harap tugas ini berjaya."

     "Jika orang lain yang datang membawa berita ini, nescaya saya tidak percaya. Tetapi kamu kawan lamaku, kita sudah lama kenal, kerana itu saya terpaksa mempercayainya. Saya percaya kamu tidak akan mengkhianati saya," kata Hasan Al-Banna.

     Serta-merta wajah Muhammad Al-Naghi tersenyum gembira. Dia terus berkata, "Terima kasih kerana kamu bersetuju. Sekarang kamu boleh cadangkan tarikh, tempat, dan masa perjumpaan itu."

     "Kerana perkara ini amat penting, pertemuan itu elok diadakan segera. Jangan ditangguhkan kerana bimbang nanti ada yang berubah fikiran," kata Hasan Al-Banna pula.

     "Saya cadangkan pertemuan itu diadakan pada 12 Februari ini bersamaan hari Sabtu pada jam 5 petang, tempatnya di pejabat Jam'iyyah Al-Syubban Al-Muslimin," kata Muhammad Al-Naghi mencadangkan.

     Hasan Al-Banna tidak bersetuju dengan tarikh itu. Lantas beliau mencadangkan, "Saya pula mencadangkan pertemuan itu diadakan lebih cepat iaitu pada hari Jumaat 11 Februari, di tempat yang lebih selasa iaitu di Masjid Ikhwan, dan pada waktu yang lebih berkat iaitu selepas sembahyang Jumaat."

     Muhammad Al-Naghi kelihatan serba salah lalu akhirnya berkata, "Tarikh, masa, dan tempat itu sudah ditetapkan oleh pihak atasan. Saya tidak berani mengubahnya. Nasihat saya, kamu setuju dengan cadangan ini. Semoga membawa kebaikan bukan sahaja kepada diri, kamu malah kepada negara kita."

     Akhirnya Hasan Al-Banna bersetuju, Muhammad Al-Naghi meminta supaya perkara itu dirahsiakan. Pada hari yang dijanjikan, selepas sembahyang asar, Hasan Al-Banna pun bersiap untuk keluar rumah. Latifah berasa berat hati mahu melepaskan suaminya pergi. Dia memujuk supaya terus berada di rumah.

     "Sebaiknya hari ini abang berehat sahaja di rumah dan jangan ke mana-mana," pujuk Latifah.

     "Abang sudah berjanji dengan Muhammad Al-Naghi dan abang tidak boleh mungkir janji. Tambahan pula perkara ini ada kaitan dengan Ikhwan Muslimin dan pemerintah. Bukankah kamu juga mendengar perbualan abang dengan Muhammad Al-Naghi?" pujuk Hasan Al-Banna.

     Latifah terus meluahkan rasa bimbang dalam hatinya.

     Hasan Al-Banna menenangkan isterinya. "Apakah kamu tidak percaya dengan apa yang ditakdirkan Tuhan? Sekiranya abang dibunuh pada hari ini yakinlah bahawa itu sudah ditakdirkan. Jangan dikesalkan kerana apa yang berlaku ada hikmahnya. Tuhan tidak jadikan sesuatu itu dengan sia-sia."

     "Adakah abang pergi sendirian?" tanya Latifah lagi.

     "Abang ditemani Abdul Karim Mansor," jawab Hasan Al-Banna.

     Baru senang hati Latifah mendengarnya kerana Abdul Karim Mansor itu adiknya. Dia tidak bimbang lagi dan berserah kepada yang Maha Berkuasa.

     Hasan Al-Banna dan Abdul Karim Mansor menaiki teksi ke Pejabat Jam'iyyah Al-Syubban Al-Muslimin kerana keretanya dirampas pemerintah. Mereka sampai tepat pada jam lima petang. Tidak lama kemudian, Muhammad Al-Naghi pula sampai.

     Sementara menunggu kedatangan Zaki Ali Basya, Hasan Al-Banna berbual dengan Muhammad Al-Naghi mengenai apa yang sedang berlaku.

     "Lebih 4000 orang ahli Ikhwan Muslimin ditangkap, dan lebih 4000 keluarga menderita kerana dipulaukan. Sesiapa yang membantu keluarga yang malang itu ditangkap dengan tuduhan membantu pemberontak. Sedangkan mereka bukan pemberontak, malah rakyat yang tidak pernah melanggar undang-undang negara," kata Hasan Al-Banna meluahkan perasaan kesalnya.

     Wajah Muhammad Al-Naghi menunjukkan rasa simpati. "Saya tahu dan saya bersimpati. Semoga keadaan ini dapat dipulihkan semula."

     "Mereka menuduh Ikhwan Muslimin terlibat dengan pembunuhan Perdana Menteri Nuqrasyi Pasya, sedangkan tindakan itu dilakukan secara sendirian oleh seorang lelaki yang baru menjadi ahli Ikhwan Muslimin. Saya sendiri tidak bersetuju dengan tindakan itu dan mahu orang yang melakukannya dihadapkan ke mahkamah," kata Hasan Al-Banna lagi.

     Mereka terus berbual, dan apabila masuk waktu solat maghrib, mereka sembahyang berjemaah di dalam pejabat itu. Sehingga selepas sembahyang isyak, Zaki Ali Pasya masih belum datang.

     "Mungkin ada suatu halangan yang menyebabkan lelaki itu tidak datang. Kerana itu saya akan pergi ke rumah perdana menteri mahu bertanya sebabnya," kata Muhammad Al-Naghi lalu keluar dari pejabat Jam'iyyah Al-Syubban Al-Muslimin. Hasan Al-Banna dan Abdul Karim Mansor terus terus menunggu sehingga pukul 10 malam.

     Abdul Karim Mansor mula kelihatan resah. Dia bertanya kepada Hasan Al-Banna, "Kita sudah menunggu selama lima jam, tetapi mereka masih belum datang. Apa yang perlu kita buat sekarang?"

     "Saya harap mereka tidak mungkir janji. Sekiranya hari ini mereka ada halangan, semoga esok pertemuan dapat diadakan. Mari kita pulang kerana keluarga kita tentu risau menunggu kepulangan kita," jawab Hasan Al-Banna.

     Hasan Al-Banna keluar dahulu dan Abdul Karim Mansor menutup pintu dan tingkap Pejabat Jam'iyyah Al-Syubban Al-Muslimin. Kemudian mereka terus berjalan hingga sampai ke pintu gerbang.

     "Jam baru pukul 10, tetapi jalan raya sudah lengang, dan semua kedai sudah tutup, sedangkan malam ini malam minggu," kata Abdul Karim Mansor.

     Hasan Al-Banna mengangguk setuju seraya berkata, "Saya juga sedang memikirkannya. Seperti ada sesuatu yang luar biasa."

     Mereka berjalan keluar dari pintu gerbang Jam'iyyah Al-Syubban Al-Muslimin. Udara malam itu ada sejuk dan suasana yang lengang itu agak menyeramkan. Tiba-tiba kelihatan sebuah kereta bergerak perlahan seperti sedang mencari penumpang. Hasan Al-Banna segera memanggil teksi itu. Apabila teksi berhenti, Abdul Karim Mansor duduk di depan sebelah pemandu. Hasan Al-Banna duduk di belakang.

     Tiba-tiba muncul dua orang lelaki yang bersenjatakan pistol, seorang daripadanya melepaskan tembakan ke arah Hasan Al-Banna. Tembakan pertama dan tembakan kedua menembusi dadanya. Lima tembakan lagi ditujukan ke bahagian rusuk dan paha. Selepas melepaskan tujuh das tembakan dan memastikan mangsanya terkena tembakan itu, lelaki pembunuh itu segera berlari ke arah sebuah kereta hitam di seberang jalan. Kereta bernombor 9979 itu segera memecut laju meninggalkan kawasan tersebut.

     Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata. Hasan Al-Banna yang terkena tembakan tidak mengaduh kesakitan tetapi mengucapkan "Allahu Akbar" pada setiap kali peluru mengenai tubuhnya.

     Abdul Karim Mansor juga terkena serpihan peluru tetapi keadaannya tidak parah. Pemandu teksi tidak terkena tembakan tetapi terkejut dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu. Dia terus memandu teksinya ke hospital Qasratul Aini.

     Sebelum itu, Mahmud Abdul Majid, pengawal Raja Faruq mengarahkan orang-orangnya supaya membunuh Hasan Al-Banna. Dua lelaki yang mahir menembak ditugaskan membunuh Hasan Al-Banna. Jeneral Muhammad Al-Jazzar dan orang-orangnya disuruh berkawal di hospital. Apabila teksi sampai di hospital, pemandu teksi memanggil petugas untuk membawa Hasan Al-Banna ke bilik rawatan.

     "Ini ketua pemberontak. Dia tidak layak mendapat rawatan di hospital ini," kata Jeneral Muhammad Al-Nazzar yang berkawal dengan orang-orangnya di pintu masuk hospital itu.

     "Dia pesakit dan saya berhak merawatnya," kata Dr. Ahmad Syakib yang bertugas pada malam itu.

     "Ini adalah perintah atasan. Kamu perlu mematuhinya," marah Jeneral Muhammad Al-Nazzar.

     Hasan Al-Banna terus dikawal beberapa orang polis dan membiarkannya tanpa memberi rawatan. Hasan Al-Banna kedengaran mengucap syahadah sambil jari telunjuknya tegak ke atas. Akhirnya beliau meninggal dunia.

     Menurut Dr. Ahmad Syakib yang memeriksa mayat Hasan Al-Banna, Hasan Al-Banna meninggal dunia akibat tumpahan darah yang banyak. Sekiranya segera diber rawatan, mungkin nyawanya dapat diselamatkan.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment