Thursday 5 January 2017

EFEK DOSA PADA HATI






EFEK DOSA PADA HATI








Dalam bab ini dan seterusnya, saya akan mengulang satu hadith yang masyur, iaitu "Orang yang beriman melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli maksiat pula melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung." Hadith ini direkodkan oleh Bukhari.

     Ini kerana, kita hendak membicarakan berkenaan efek dosa.

     Saya mulakan dengan efek dosa pada hati. Hati adalah raja kepada segala anggota.

     Selepas kita mengetahui efeknya, kita perlu melihat semula diri kita. Sejauh mana kita umpamakan dosa kita itu. Adakah seperti gunung? Ataupun lalat yang dikuis kemudian hilang?

     Kita perlu padamkan dosa, sekiranya kita benar-benar mahu menyelamatkan diri kita.


Dosa Menggelapkan Jiwa

Rasulullah SAW pernah menyatakan yang bermaksud, "Sesungguhnya orang Mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam dalam hatinya. Apabila dia bertaubat lalu berhenti melakukan dosa dan beristighfar, dia bersih daripada bintik hitam itu. Apabila dia tetap melakukan dosa, semakin bertambah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutup seluruh hatinya. Itu adalah karat yang disebut oleh Allah dalam surah Al-Mutoffifin, ayat 14 yang bermaksud, 'Sebenarnya apa yang mereka lakukan, mengaratkan dan menutup hati mereka sendiri.'." Hadith ini direkodkan oleh Al-Baihaqi.

     Hati yang gelap menjadikan pandangan jiwa kita semakin terpadam.

     Hubungan kita dengan Allah terputus, malah kita gemar melakukan maksiat tanpa ada perasaan bersalah. Sebab itu, saya suka mengulang pesanan Rasulullah SAW yang menyatakan, "Tidak mencuri seorang pencuri, sekiranya ketika dia mencuri, dia beriman. Tidak berzina seorang penzina, sekiranya ketika dia berzina, dia beriman. Tidak meminum arak seorang peminum arak, sekiranya ketika dia meminum arak, dia beriman." Hadith ini direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

     Sekiranya dia beriman, dia tidak melakukan dosa.

     Ini kerana, dosa dan keimanan adalah dua dunia yang berbeza. Tidak akan bersatu dalam satu masa. Hati yang gelap pula sudah pasti memadamkan keimanan ini, sekali gus membuatkan kita lemah dan terjerumus dalam dosa.


Hati adalah Raja

Nukman bin Basyir melaporkan, Rasulullah SAW menyatakan, "Dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila daging itu baik, baiklah seluruh jasad. Apabila daging itu buruk, buruklah seluruh jasad. Daging itu adalah hati." Hadith ini direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

     Kita tidak sedar perkara ini. Kadangkala, kita menyangka dosa itu satu perkara yang berbeza-beza dan berlainan mengikut kesalahan yang kita lakukan. Ia masuk ke dalam satu 'akaun bank' yang lain. Iaitu terpisah.

     Dosa ini masuk ke dalam 'akaun bank' yang sama. Ibarat virus. Menjalar dan memusnahkan, memadamkan pahala-pahala, dan menggelapkan jiwa. Sekiranya kita tidak menghalangnya, tidak dicuci dan dibersihkan, bukan sahaja ia merosakkan hati, tetapi juga sikap, akhlak, dan peribadi kita.

     Ini kerana, amalan adalah penterjemah kepada hati.

     Kita menjadi malas beribadah. Kita mula berasa jauh daripada Allah SWT. Seolah-olah Allah tidak melihat kerja-kerja kita. Kita mula berasa cepat penat melakukan kebaikan. Kita berasa cepat amrah, berputus asa, dan kecewa. Ini kerana, dosa sudah menutup kita daripada mengingati Allah SWT.


Kita Perlu Peka

Justeru, dalam perkara ini kita perlu peka dan sensitif. Kita perlu memandang dosa sebagai yang lebih kotor daripada najis.

     Sekiranya najis terlekat pada tangan, kita tentu berasa geli. Kita mencuci najis itu. Bagaimana pula dosa yang menggelapkan hati dan menjauhkan kita daripada Allah? Tidakkah sepatutnya kita berasa lebih geli?

     Kesimpulannya, orang yang benar-benar sensitif dengan dosa hanya pada orang yang beriman kepada Allah SWT.

     Ada kalanya iman itu naik dan turun. Tetapi, keimanan yang bergetar, menyedarkan kita supaya segera mencuci dosa sekiranya melakukan kemungkaran. Tidak berlama-lama dan menangguh untuk bertaubat. Penyesalan mereka bersungguh-sungguh dan berusaha tidak mengulanginya. Orang yang beriman melihat dosa ibarat gunung yang pasti menghempapnya.

     Orang yang tidak beriman dan tidak mempunyai keimanan yang tetap pula, memandang dosa seperti lalat yang hinggap pada hidung. Mereka menyangka dengan menguis lalat itu, dosa hilang begitu sahaja. Mereka tidak mengambil peduli pada dosa.

     Sebab itu mereka berterusan bergelumang dalam dosa.

     Siapakah yang berusaha dan mencuci hatinya? Ataupun kita sekadar membiarkan hati itu terus lemah dan dimamah dosa?




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment