Monday 16 January 2017

MENGHIDUPKAN HATI






MENGHIDUPKAN HATI








Menghidupkan hati tidak semudah menghidupkan api dengan menggunakan pemetik api. Semestinya hendak menghidupkan hati memerlukan usaha dan pengorbanan yang sistematik.

     Hati adalah milik Allah SWT. Hati yang mati adalah perkara menakutkan untuk golongan yang bergerak mencari keredhaan Allah dalam hidupnya. Mungkin ramai tercari-cari, bagaimana hendak melepaskan diri ke tahap yang lebih baik. Saya mempunyai beberapa langkah seperti resipi. Sekadar berkongsi bersama para pembaca. Semoga diberikan semangat dan kekuatan kepada yang mencari redha Allah SWT.


Jangan Tinggal Perkara Asas

Resipi pertama dalam menghidupkan hati adalah dengan menjaga perkara-perkara asas. Dalam rutin seharian kita sebagai manusia yang beriman, apakah perkara-perkara itu?

     1. Mendirikan solat fardhu.
     2. Membaca Al-Quran.

Amalkan dua perkara ini dan jangan sesekali meninggalkannya.

     Dalam kehidupan harian, solat fardhu menjadi keutamaan wajib dan prioriti kepada kita. Kita dibenarkan solat pada akhir waktu. Tetapi, apabila kita memanjakan diri dengan meringankan urusan kita dengan Allah, syaitan pasti menyusup ke dalam hati.

     Cantikkan solat fardhu kita. Dirikan solat dengan tertib, mempertingkatkan kualiti khusyuk, dan kita pasti merasai nikmat bersolat dalam segenap pergerakan. Jangan segerakan solat dengan cepat ataupun laju-laju. Kita digalakkan bersolat dengan tertib.

     Membaca Al-Quran. Al-Quran adalah kalam Allah. Ia juga mukjizat kepada umat manusia. Dalam Al-Quran, terdapat penawar-penawar hati, bahkan lenggok ayatnya sahaja sudah mendamaikan jiwa. Tetapkan dalam masa sehari, waktu membaca Al-Quran. Miminum, dua muka surat sehari. Sekiranya kita beristiqamah, dalam masa dua minggu kita dapat menamatkan satu juzuk.

     Amalan mendirikan solat dan membaca Al-Quran, kedua-duanya datang dari langit. Ia adalah makanan utama kepada roh yang juga berasal dari langit yang tinggi.


Jangan Tinggalkan Senjata Kita

Biasanya, manusia memandang remeh pada perkara ini. Apakah perkara itu?

     Doa.

     Mahu tidak mahu, sekiranya kita mahu menghidupkan jiwa kita dan menyalurkan kekuatan ke dalam hati, kita perlu berdoa kepada Allah. Jangan sesekali meninggalkan amalan berdoa kepada-Nya setiap kali usai solat. Tidak kisah dalam apa pun bahasa. Kita perlu berdoa dan meminta kepada Allah. Sesungguhnya dengan meminta kepada-Nya, adalah tanda kerendahan hati kita.

     Mengadu kepada Allah perihal kelemahan diri. Meminta kepada Allah segala yang dihajati. Kemudian, mendoakan kepada sesiapa yang kita sayang dalam kehidupan ini.


Berikan Tambahan-Tambahan yang Ringan

Ibarat benteng pertahanan. Sekiranya hendak bertahan lebih lama, bentengnya perlu lebih tebal. Dalam dunia yang serba mengasak ini, tiga perkara tadi iaitu solat, membaca Al-Quran, dan berdoa sahaja tidak mencukupi.

     Berikan tambahan-tambahan yang ringan pada hati kita. Contoh mudah adalah melakukan solat sunat dhuha dan solat dua rakaat sebelum tidur. Ini bertujuan bagi memohon keampunan kepada Allah dan menyuarakan hajat diri kepada-Nya. Perkara lain adalah sedekah. Mungkin kita perlu disiplinkan diri dengan menderma seminggu sebanyak seringgit dan sebagainya.

     Begitulah. Ringan-ringan.


Booster bagi Menghidupkan Hati

Sesungguhnya, kambing yang keluar daripada kumpulannya lebih mudah dibaham serigala. Begitu juga dengan manusia yang bersendiri, dia lebih mudah sujud kepada berhala.

     Berhala apa? Berhala nafsu dan duniawi.

     Ini adalah saranan yang mahu saya tekankan. Luangkan masa kita untuk bersama orang-orang yang soleh. Cari rakan-rakan yang baik. Apabila kita bersamanya, dia membawa kita kepada Allah SWT. Banyakkan waktu bersama mereka. Banyakkan perkongsian bersama mereka. Sekiranya ada program-program yang mereka anjurkan, usahakan diri bagi menyertainya, dia pasti menambah kekuatan hati dan memperkuatkan perlindungan di sekeliling diri kita.


Insya Allah, Sekiranya Melazimkan, Kita Dilindungi

Itu adalah perkara-perkara asas. Asas dalam menjaga kesihatan jiwa dan menghidupkan hati. Dalam apa juga peringkat umur, perkara-perkara ini yang perlu kita perhati.

     Mulakan dengan perkara utama yang saya ceritakan tadi. Kemudian, tambah dan tambah. Perlahan-lahan.

     Sekiranya kita gandingkan artikel ini, dengan artikel Cara Efektif Meninggalkan Dosa, kita pasti dapat memerhatikan sinerginya. Percaya kepada Allah. Berusaha meninggalkan dosa semata-mata tidak membawa kita ke mana-mana.

     Tetapi, kita mendapat tolakan yang luar biasa apabila kita meninggalkan dosa dan pada masa yang sama, kita berusaha melaksanakan perkara-perkara yang dinyatakan tadi.

     Apabila kita melazimkan perkara asas ini, kita pasti terasa seperti diri dilindungi.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment