Saturday 28 January 2017

TERUS MENJADI HEBAT






TERUS MENJADI HEBAT








"Saya sudah berusaha mencontohi dia, tetapi saya masih macam dahulu."




Kita merungut apabila kita tidak berjaya mencontohi seseorang yang cemerlang dalam medan kehidupan. Akhirnya, kita disapa rasa lemah dan berputus asa. Kita berada diri kita memang ditakdirkan untuk tidak cemerlang dan tidak mampu melakukan apa-apa. Sedangkan, kita baru sahaja hendak mencontohinya. Di memakan selama setahun untuk cemerlang, kita hendak cemerlang sepertinya dalam masa sebulan sahaja. Kejayaan memakan masa 10 tahun, kita hendak cemerlang sepertinya dalam masa setahun sahaja.

     Sememangnya apabila kita tidak berjaya, kita pasti berasa kecewa. Dalam dunia ini, memang tidak ada manusia yang terus menjadi hebat.


Kejayaan Perlukan Usaha, Usaha Perlukan Masa

Kita melihat penulis hebat seperti A. Samad Said dan kita ingin mencontohinya. Kita pun berusaha pergi ke bengkel-bengkel bagi mencari tip-tip penulisan supaya kita mampu cemerlang sepertinya.

     Selepas kita berusaha, kita pun menulis satu karya dan meminta rakan kita membacanya. Rakan memberikan komentar, "Apa yang kamu tulis?" "Macam budak tadika."

     Kita terus berasa lemah. Kita berasa, kita memang tidak mampu berjaya. Usaha banyak mana pun, kita berasa kita tidak sesekali mengecap kecemerlangan. 

     Di sini masalah kita. Kita hanya faham, kejayaan perlukan usaha. Tetapi, kita terlupa, usaha memerlukan masa. Sekali gagal, 10 kali dikritik, bukan petanda kita tewas selama-lamanya. Hakikatnya, kegagalan, kritikan, dan hinaan dalam perjalanan ke arah kecemerlangan adalah ujian daripada Allah SWT bagi melihat kesungguhan kita. Malah, itu adalah latihan berharga daripada Allah, supaya kita belajar daripada pengalaman hidup.

     Tidak ada manusia mampu terus berjaya dan terus hebat. Semuanya mengalami ujian dan halangan. Kadangkala, beberapa kejatuhan sebelum berjaya seperti apa yang kita lihat dia berjaya hari ini.


Usaha Itu Perlu Berkali-Kali

Rasulullah SAW tidak berdakwah sekali sahaja kepada orang yang tertentu. Baginda berdakwah berkali-kali kepada manusia yang sama. Contohnya, musyrikin Makkah. Baginda tidak pernah bosan, tidak pernah berasa kecewa dengan hinaan dan seksaan mereka.

     Hari pertama baginda memulakan dakwah secara terang, baginda mengumpulkan semua ahli Makkah di Bukit Safa. Baginda bertanya secara terang perihal kepercayaan mereka kepada baginda. Mereka semua menyatakan, mereka mempercayai baginda. Baginda menyeru kepada mereka supaya beriman kepada Tuhan yang satu.

     Ketika itu Abu Lahab berteriak, "Celaka tangan Muhammad. Adakah kamu mengumpulkan kami hanya kerana ini?"

     Seruan baginda tidak diendahkan. Adakah baginda berhenti daripada dakwahnya dan berkata, "Aku sudah ada wahyu dari langit." Begitukah?

     Tidak. Baginda terus berusaha dengan pelbagai lagi teknik. Pelbagai cara dan pengajaran, dan akhirnya selepas 13 tahun, baginda berjaya membina satu negara sendiri di bawah bendera Islam. 10 tahun selepas itu, seluruh kaum Musyrikin Makkah, beriman kepada Allah SWT dalam peristiwa Fathu Makkah, iaitu pembukaan Kota Makkah.

     Siapa kata gagal itu adalah kegagalan?

     Gagal itu adalah pengajaran.

     Apakah gagal yang sebenar?

     Putus asa. Itu adalah kegagalan yang sebenar.


Samalah dalam Usaha Mencuci Dosa

Begitu juga dalam usaha mencuci dosa kita. Jangan kita berasa lemah apabila kita berusaha dan berusaha. Kemudian, kita melakukan dosa yang sama kembali. Jangan membuatkan kita berputus asa. Jangan dan jangan.

     Kuatkan semangat. Usaha lagi. Usaha lagi dan lagi. Biar apa yang mulut manusia mahu berkata, pentingnya apa yang Allah SWT katakan. Jangan berasa sedih dengan apa yang manusia lihat, fikirlah apa yang Allah lihat. Sepatutnya kita mencontohi kisah pembunuh yang membunuh 100 orang. Kisah ini sudah saya nyatakan, namun saya suka mengulangi versi yang lebih panjang.

     Abu Said Al-Khudriy melaporkan bahawa Rasulullah SAW menyatakan yang bermaksud, "Seorang lelaki daripada kalangan umat sebelum kamu membunuh seramai 99 orang manusia. Lalu, dia mencari orang alim. Apabila ditunjukkan kepadanya seorang rahib, dia terus berjumpa rahib itu, kemudian berkata, 'Aku sudah membunuh seramai 99 orang manusia, adakah taubatku masih diterima?' Pendeta menjawab, 'Tidak.' Mendengar jawapan itu, dia terus membunuh rahib itu dan genaplah 100 orang manusia yang dibunuhnya. Tanpa putus asa dia mencari lagi seseorang yang alim. Apabila ditunjukkan kepadanya seorang ulama, dia terus berjumpa ulama tersebut dan berkata, 'Aku sudah membunuh seramai 100 orang manusia. Adakah taubatku masih diterima?' Ulama menjawab, 'Ya! Siapakah yang dapat menghalang kamu dari bertaubat? Pergilah ke negeri si fulan, kerana di sana ramai orang yang beribadat kepada Allah. Kamu beribadatlah kepada Allah SWT bersama mereka dan jangan pulang ke negerimu, kerana negerimu adalah negeri yang hina.' Lelaki itu beredar menuju ke tempat yang dinyatakan. Namun, dalam pertengahan jalan, lelaki itu meninggal dunia. Ini menyebabkan malaikat rahmat dan malaikat azab bertelingkah kerananya. Malaikat rahmat berkata, 'Dia datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada Allah SWT.' Manakala malaikat azab pula berkata, 'Dia tidak pernah melakukan kebaikan.' Malaikat yang lain datang dalam keadaan berupa manusia dan cuba menghakimi dua malaikat itu sambil berkata, 'Ukur jarak di antara dua tempat. Mana yang lebih hampir, itu adalah tempatnya.' Lantas, dua malaikat itu mengukurnya. Nyata, didapati lelaki itu lebih hampir kepada negeri yang ditujunya. Akhirnya, dia diambil oleh malaikat rahmat." Hadith ini dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim.

     Apakah pengajaran yang dapat diambil daripada hadith itu?

     Usaha yang tidak kenal putus asa. Walaupun bertimbun dosanya, dia tetap mencari rahmat Allah SWT. Tidakkah kita melihat bagaimana Allah SWT membuktikan keluasan rahmat-Nya?

     Jangan berputus asa. Jangan sesekali berputus asa sekiranya kita tidak mampu menjadi sebaik orang-orang baik yang kita ingin dicontohi. Tetapi, terus berusaha. Usaha dan usaha. Tanda kita percaya kepada-Nya.


Teruskan Usaha, Itu adalah Kehebatan

Kesilapan kita apabila mencontohi seseorang adalah kita berhajatkan diri kita benar-benar menjadi seperti orang itu. Sedangkan, kita dengan dia adalah dua manusia yang berbeza. Kita tidak mampu menjadi seperti seseorang.

     Apabila kita mencontohinya, kita sebenarnya mengekstrak apa yang ada pada dia dan menjanakannya pada tubuh kita. Adalah perkara biasa sekiranya kejayaan yang dicapainya, kita beroleh dalam tempoh yang lebih lewat. Ini kerana, kita bukan dia.

     Adalah menjadi luar biasa, lagi mengagumkan, sekiranya perkara yang dia berjaya capai, kita dapat capai lebih awal. Saya katakan luar biasa lagi mengagumkan, namun perkara ini bukan mustahil. Ini terjadi kepada Dr. Zaki Naik yang berjaya melakukan sesuatu yang lebih hebat daripada Ahmad Deedat rahimahullah. Almarhum Ahmad Deedat pernah menyatakan, "Kamu berjaya mencapai apa yang aku usaha dalam 40 tahun ini, dengan hanya empat tahun."

     Tetapi, pokoknya kembali kepada usaha yang tidak kenal putus asa.

     Terus berusaha, usaha, usaha, dan usaha. Usaha itu sendiri adalah satu kehebatan sebenarnya.

     Adakah Nabi Saleh seorang yang gagal apabila seluruh kaumnya diazab? Adakah Nabi Lut seorang yang gagal apabila seluruh kaumnya diterbalikkan? Adakah Nabi Nuh seorang yang gagal apabila hanya 83 orang daripada kaumnya terselamat? Adakah Nabi Yahya seorang yang gagal, apabila kepadanya dipenggal?

     Sesekali tidak. Bahkan, mereka adalah manusia yang hebat yang pernah berjalan di atas muka bumi ini, kerana kegigihan usaha mereka yang tidak kenal lelah dan putus asa.

     Bagaimana pula dengan kita, wahai manusia yang ingin menjadi hebat?




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.


No comments:

Post a Comment