Tuesday 24 January 2017

KEIMANAN YANG TIDAK BEROPERASI






KEIMANAN YANG TIDAK BEROPERASI








                            "Apakah petanda keimanan yang tidak beroperasi?"
"Ada beberapa."
"Mengapa penting untuk kita mengetahuinya?"
"Bagi mengukur diri kita."
"Bagi melihat keadaan sebenar kita."
"Bagi memerhatikan apakah yang patut kita lakukan pada diri kita?"
"Sekiranya tidak mahu ambil peduli?"
"Terpulang. Tetapi, selagi saya masih hidup, saya berusaha
membangkitkan hal-hal ini bagi peringatan diri dan juga orang lain."




Keimanan yang tidak beroperasi hanya melahirkan peribadi yang tidak berkualiti, hilang kekuatan sebenar, dan mudah tersungkur dalam kegelapan.

     Hari ini keimanan yang tidak beroperasi itu tidak semata-mata disebabkan oleh diri sendiri yang tidak mengambil peduli. Pada zaman ini ada musuh yang berusaha mematikan operasi keimanan dalma diri Mukmin. Mereka juga berusaha menambah kealpaan Muslim terhadap keimanan mereka.


Tidak Membuahkan Amal

Satu petanda bahawa iman kita tidak beroperasi adalah kita tidak mampu melakukan amal kebaikan. Kita merasakan, keluar daripada kesenangan dunia adalah kepayahan, menyebabkan kita berada tidak perlu kepada amalan tambahan.

     Akhirnya, kita duduk atas dunia ini tanpa melakukan kerja-kerja kebaikan, sama ada untuk diri sendiri, mahupun masyarakat. Tolakan keimanan adalah perkara yang diperlukan, kerana melakukan amalan bermakna pasti berlakunya pengorbanan masa. Kemungkinan melibatkan pengorbanan harta, bahkan ada yang beramal sehingga mengorbankan nyawa, iaitu jihad di jalan Allah. Ini kerana, keimanan adalah keyakinan bahawa semua pengorbanan itu ada ganjarannya. Semua amalan itu ada kebaikannya. Hilang iman, menyebabkan kita tidak lagi bersemangat dalam melaksanakan perkara-perkara kebaikan. Kita berasa berat, kita berasa lemah. Lebih buruk, kita berasa semua itu membazir masa kita.

     Keimanan tidak terus lenyap begitu sahaja. Kita melihat penurunannya terlebih dahulu. Kita sepatutnya peka dan sensitif dalam perkara ini. Mungkin dahulu kita suka membaca Al-Quran sehari 10 muka surat, tetapi sekarang membaca Al-Quran pun sukar. Dahulu, kita selalu ke masjid, sekarang tidak lagi. Dahulu kita selalu bangun subuh tepat pada waktu, sekarang tidak lagi. Ini adalah petanda bahawa iman kita mengalami penurunan. Kata-kata Tabi'in yang popular berbunyi begini, "Iman itu bukan sekadar bicara, bukan juga sekadar cita-cita, tetapi iman itu adalah apa yang tersemat dalam hati dan dibuktikan dengan amal."

     Mukmin yang memahami kepentingan iman dan mengetahui betapa iman adalah sumber tenaganya untuk terus menjadi hamba Allah SWT pasti peka dan sensitif pada perkara ini. Sekiranya melihat penurunan, mereka segera bermuhasabah diri dan menolak diri supaya dapat naik semula.


Tidak Berasa Benci dengan Dosa

Antara petanda iman sudah mula tidak beroperasi adalah, hilangnya perasaan benci kepada dosa. Orang-orang yang beriman melihat keredhaan Allah adalah utama. Dosa pula adalah musuh pertama.

     Namun, apabila diri sudah biasa dengan dosa, melihat kemungkaran itu sebagai adat, merasakan bahawa maksiat itu adalah tidak mengapa, menganggap mengambil sistem selain sistema Allah itu adalah normal, modenisasi, dan sebagainya, itu adalah tanda bahawa keimanan kita mengalami penurunan dan mula tidak beroperasi.

     Apabila iman tidak beroperasi, kita tidak merasakan mungkar itu perkara biasa. Normalnya, orang beriman melihat hubungannya dengan Allah adalah perkara yang besar. Apa-apa yang memutuskan hubungannya kepada Allah, adalah penting dielakkan. Tetapi, apabila kebencian terhadap dosa itu hilang, nyata kita tidak lagi menganggap bahawa hubungan kita dengan Allah itu penting. Ataupun dalam erti kata lain, iman kita tidak mampu lagi memproses dosa. Ia berlawanan dengan apa yang Allah SWT redhai.

     Abu Hurairah melaporkan bahawa Rasulullah SAW menyatakan, "Tidak berzina seorang penzina, sekiranya ketika itu dia sedang beriman. Orang yang meminum arak, tidak meminumnya sekiranya ketika itu dia sedang beriman." Hadith ini direkodkan oleh Bukhari.

     Hadith itu jelas menyatakan bahawa iman tidak wujud semasa wujudnya dosa. Bagaimana pula orang yang menganggap dosa adalah normal?


Apabila Keimanan Tidak Beroperasi

Tidak mampu melakukan amal kebaikan dan tidak mampu menentang keburukan. Apakah yang ada di tangan kita?

     Tidak ada apa-apa. Di sini jahiliah pasti merayap dan melilit ummah. Ketika kita semua terbelenggu kerana tidak beroperasinya iman. Akhirnya, hanya kekalahan yang menanti, hanya kemusnahan yang menunggu, dan hanya kehancuran yang ada di penghujung.

     Itu bahananya apabila iman kita tidak lagi beroperasi.

     Deria orang beriman, adalah keimanannya.

     Keimanan adalah deria utama bagi mengesan kebaikan dan keburukan, deria utama bagi menggerakkan segala pancaindera supaya tunduk dan taat kepada Allah SWT.

     Tidak beroperasinya keimanan, bermakna lumpuh seorang Mukmin. Lebih dasyat lagi, ia memberikan kekalahan abadi kepada kita di neraka nanti. Nauzubillah.


Apa Khabar Iman?

Dahulu, saya ada ramai senior yang memulakan pertanyaan khabar dengan berkata, "Apa khabar iman?" Sehingga hari ini, saya masih teringat senyuman mereka ketika bertanyakan perkara itu.

     Terasa hidup dengan soalan yang automatik membuatkan diri bermuhasabah dan bergerak bagi meningkatkan iman.

     Di sini saya ingin bertanya.

     "Apa khabar iman kita?"

     Kita jawablah dengan amalan.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.










No comments:

Post a Comment