Saturday 21 January 2017

MENJEMPUT KEKUATAN






MENJEMPUT KEKUATAN








Siapakah yang menciptakan kekuatan? Semestinya Allah. Allah menjelaskan dalam surah Az-Zumar, ayat 62 yang bermaksud:

          "Allah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia yang
          mentadbir serta menguasai segala-galanya."

Kekuatan ini juga Allah yang ciptakan. Daripada-Nya datang kekuatan. Dia juga yang menghilangkan kekuatan. Lihat sahaja betapa Firaun yang gagah dengan bala tenteranya, dihapuskan sekelip mata oleh Allah SWT hanya dengan air, manakala Namrud dan tenteranya yang hebat dimusnahkan oleh Allah hanya dengan nyamuk. Juga bagaimana Allah menyatakan bahawa Dia menghapuskan satu kaum hanya dengan satu teriakan sahaja. Allah menerangkan dalam surah Hud, ayat 67 hingga 68 yang bermaksud:

          "Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara
          yang menggempakan bumi, dan menjadilah mereka mayat-mayat
          yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing. Mereka punah-
          ranah seolah-olah tidak pernah tinggal di situ."

Jelas, betapa Allah adalah pemilik kekuatan yang hakiki. Pada-Nya sendiri ada kekuatan yang tidak tertanding.


Adakah Kita Meminta Kepada-Nya?

Persoalan penting yang patut disoal, adakah kita meminta kekuatan daripada Allah SWT? Ini adalah satu poin yang penting. Kadangkala, kita terlupa bersimpuh mengerdilkan diri. Hakikatnya, bukannya berdiri atas kaki sendiri. Kekuatan yang hadir sebelum ini adalah milik Allah SWT.

     Justeru, apabila kekuatan itu menyusut, mengapa pula kita tidak mengengsot kepada Allah SWT dan meminta? "Apabila engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan daripada Allah." Hadith ini dilaporkan oleh Tirmizi. 

     Tetapi, ketika keletihan ataupun kepenatan, adakah kita meminta kekuatan kepada-Nya bagi meneruskan kerja-kerja?

     Kadang-kadang kita tidak meminta.

     "Hmm, sudahlah. Aku sudah letih."


Adakah Meminta Itu dengan Mengucap Sahaja?

Adakah meminta kekuatan cukup hanya dengan berkata, "Ya Allah, berikan aku kekuatan!" Betul meminta perlu dengan mulut. Tetapi, dengan mulut sahaja tidak mencukupi.

     Kekuatan itu perlu dituntut dengan amalan. Logiknya, sekiranya penat, kita perlu berehat. Tetapi, bagaimanakah rehat mewujudkan semula untuk bergerak dan bekerja di atas jalan Allah?

     Dengan amalan.

     Ketika Rasulullah SAW keletihan selepas Perang Uhud, ditambah pula dengan kehilangan tentera yang banyak, letihnya bukan sekadar fizikal, tetapi juga rohani dan mental. Apakah yang diseru baginda ketika itu?

     "Wahai Bilal, rehatkanlah kami dengan solat!" Hadith ini dilaporkan oleh Ahmad. Apakah gelaran untuk Ramadhan. Ramadhan terkenal dengan gelaran, 'Musim Bunga Orang Beriman'.

     Apakah yang biasa dilakukan ketika musim bunga?

     Pada saat-saat bunga indah lagi cantik mekar menghiasi taman, biasanya banyak keluarga keluar berkelah dan menikmati keindahannya. Mereka berehat dan menikmati kecantikan panorama.

     Rehat. Tetapi, adakah kita berehat dalam bulan Ramadhan?

     Tidak. Ramadhan bulan untuk kita melakukan amal. Ia memberikan kita tenaga.

     Kadangkala, ada veteran-veteran dalam kehidupan yang pernah saya lalui. Apabila mereka bekerja letih sepanjang hari, mereka tidak terus berbaring dan melelapkan mata begitu sahaja. Mereka pasti menunaikan solat dua rakaat dan berdoa. Selepas itu, hanya sinar ketenangan sahaja yang muncul pada wajah mereka.


Jangan Berasa Lemah dengan Dosa, Cari Kekuatan

Jangan sesekali kita berasa lemah dengan bertimbunnya dosa kita. Berasa lemah tidak mengurangkan dosa-dosa kita.

     Kita perlu mencari kekuatan ini. Iaitu dengan bergerak dan beramal bagi mencuci kekotoran yang wujud dalam jiwa kita.

     Jangan berdiam diri semata-mata.

     Mengengsot, merangkak, dan bergerak menuju Allah SWT.


Satu Pencarian

Sekiranya mahu membeli motor, mestilah kita pergi pada penjual motor ataupun pemilik motor yang mahu menjual motornya.

     Sekiranya kita mahukan kekuata, kita pergi kepada Tuan Punya Kekuatan. Bukannya kita pergi kepada yang lain. Lebih buruk lagi, kita tidak pergi ke mana-mana.

     Sahabat saya pernah berkata, "Kita dapat beramal ini pun, rezeki daripada Allah. Kita bersyukur kepada Allah itu pun, dengan izin-Nya. Kita tidak layak berbangga diri.

     Tetapi, siapakah yang mendekati Allah dan memohon kekuatan kepada-Nya? Semasa kita mempunyai kekuatan, adakah kita bersyukur kepada-Nya?

     Sama-sama kita muhasabah.

     Sama-sama kita menjadi hamba Ilahi.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment