Monday 23 January 2017

BELUM CUKUP KESUNGGUHAN KITA






BELUM CUKUP KESUNGGUHAN KITA








Hidup kita adalah mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Ini bukan bermakna kita hanya duduk di masjid bagi mendirikan solat, berzikir, dan membaca Al-Quran sepanjang masa. Makna pengabdian itu adalah menjadikan kehidupan, pekerjaan, pelajaran, dan sistem hidup kita bergerak dan berjalan seperti yang dikehendaki Allah SWT. Allah menjelaskan dalam surah Adz-Dzariyat, ayat 56 yang bermaksud:

          "Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan bagi
          mengabdikan diri kepada-Ku."

Kita faham bahawa kita datang daripada Allah SWT dan pulang juga kepada-Nya. Kita faham, setiap amalan kita pasti dikira oleh Allah SWT. Kita juga tahu, kebahagiaan kita di akhirat bergantung pada rahmat dan kasih sayang Allah. Matlamat keberadaan kita di dunia ini adalah hanya bagi mendapat keredhaan Allah SWT. Namun, sejauh mana kita bersungguh-sungguh dalam mencapai matlamat kehidupan kita di dunia ini?


Sejenak Mengimbau Perjalanan Lalu

Semasa saya bertolak dari Mudzalifah ke Makkah, saya sering memandang ke luar bas. Di kiri dan kanan jalan raya ada tanah gersang serta penuh dengan batu. Kepanasan suhu di sana terasa, walaupun saya berada dalam bas yang mempunyai penghawa dingin.

     Saya dalam perjalanan hendak mengerjakan umrah ketika itu, tiba-tiba terfikir perihal Rasulullah SAW dan para sahabat. "Aku sekarang sedang berada di tengah-tengah perjalanan mereka." Kata-kata itu menusuk kalbu saya. Saya seakan-akan melihat betapa Rasulullah SAW dan para sahabat, melalui tanah-tanah gersang ini dalam keadaan suhu yang begitu panas, bagi menyebarkan Islam dan menjaga agama Allah SWT.

     Dari Madinah ke Makkah, mengambil masa lapan jam perjalanan dengan menaiki bas. Saya tersenguk-senguk dan kebanyakan masa dihabiskan dengan tidur kerana keletihan. Saya teringat pada Rasulullah SAW yang berhijrah melalui arah yang bertentanga, dari Makkah ke Madinah, dengan sahabat setianya Abu Bakar. Mereka berdua melalui tanah gersang yang sama, tetapi mereka tidak mempunyai penghawa dingin seperti saya.


Berfikir Perihal Kesungguhan Baginda

Kita manusia yang hidup dalam kesenangan dan penuh dengan kemudahan. Tetapi, sejauh manakah kita menggunakan kesenangan dan kemudahan kita itu untuk taat kepada Allah SWT? Sejauh mana kita menggunakan kesenangan dan kemudahan yang ada itu bagi menyebarkan agama Allah SWT? Sejauh manakah kita menggunakan nikmat yang ada pada kita bagi mencapai makna kejadian di atas muka bumi ini?

     Apabila saya fikir-fikirkan semula, saya berasa malu dengan Rasulullah SAW dan para sahabat seangkatan dengan Baginda. Kita semua tahu peristiwa hijrah, saban tahun kita menyambut awal Muharam, tetapi sejauh manakah kita bersungguh-sungguh mengamalkan ajaran Rasulullah SAW dalam kehidupan kita? Sejauh manakah kita mengenali Allah dalam kehidupan kita? Sejauh manakah hubungan kita dengan Allah SWT?

     Begitu dalam kesungguhan Rasulullah SAW sehingga sanggup merentas padang pasir gersang nan panas. Adakah ketika peristiwa hijrah itu, Baginda semata-mata mahu menyelamatkan dirinya sendiri?

     Tidak. Sama sekali tidak. Rasulullah SAW ketika itu mahu menyelamatkan Islam daripada terus ditindas. Baginda mahu menyelamatkan Islam daripada terus disekat. Hajat Baginda yang menginginkan lebih ramai manusia merasai keindahan Islam, iaitu hidup dalam keadilan Islam, hidup dalam keluasan Islam, dan hidup dalam kebahagiaan ketundukan seorang hamba kepada Penciptanya.

     Atas dasar cintakan umat, inginkan umatnya supaya bersama kebahagiaan sebenar dalam kehidupan, Baginda merentas padang pasir gersang lagi panas bersama sahabatnya, Abu Bakar. Baginda tidak bergegas ke Madinah, tetapi bergerak ke arah Yaman terlebih dahulu. Selepas itu, Baginda bersembunyi di Gua Tsur selama tiga hari. Kemudian, bergerak ke Utara menuju ke arah Madinah.

     Adakah ada kipas di sisi Baginda? Adakah ada penghawa dingin bersama Baginda? Tidak. Malah, nyawa Baginda menjadi taruhan apabila Quraisy Makkah menawarkan 100 ekor unta kepada sesiapa yang berjaya membawa pulang Rasulullah SAW dalam keadaan hidup ataupun mati. Tetapi, kesungguhan Baginda yang tinggi bagi mencapai erti perutusannya, membuatkan Baginda tabah, tenang, dan sabar dalam menempuh dugaan. Padang pasir yang gersang panas itu, Baginda merentasi dengan kekuatan.


Berfikir Perihal Kesungguhan Para Sahabat

Insan-insan yang bersama Baginda juga mempunyai rasa yang sama seperti Baginda. Mereka bersungguh-sungguh mentaati Allah. Apabila mereka diarahkan berhijrah, mereka beramai-ramai merentas padang pasir panas tanpa rungutan. Apabila arahan perang keluar, mereka keluar merentas padang pasir panas tanpa sebarang alasan.

     Malah, dalam peperangan Zatu Riqa', dilaporkan bahawa kaki-kaki para sahabat ketika itu pecah sehingga perang itu sendiri dinamakan Zatu Riqa', iaitu kain perca kerana sahabat membalut kaki-kaki mereka yang pecah dengan kain perca.


Bagaimana Pula Kita?

Bagaimana pula kita dalam mencapai makna kejadian di atas muka bumi ini?

     Adakah kita sudah cukup bersungguh-sungguh menjadi hamba Allah SWT?

     Adakah kita sudah cukup bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasan sebagai khalifah di atas muka bumi ini?

     Adakah kita sudah cukup bersungguh-sungguh dalam menyebarkan agama Allah SWT?

     Kadangkala, dalam kelas pun kita tidur. Ada masa, sehari suntuk kita tidak menyentuh Al-Quran. Solat kita, sengaja dilewat-lewatkan, malah ada yang tinggal terus. Ada waktu, kita sengaja melalaikan diri daripada Allah SWT. Ada ketika, kita lakukan kerja di pejabat sambil lewa. Malah, ada insan yang menjalani kehidupannya seolah-olah kehidupannya itu tidak bermakna langsung untuk akhiratnya.

     Nyata, sekiranya kita bandingkan diri kita dengan Rasulullah SAW dan para sahabat yang merentas padang pasir gersang lagi panas itu, kita hanya kelihatan seperti anak-anak yang bermain-main dalam kehidupan ini.

     Malunya...

     Sebenarnya, kita belum cukup bersungguh-sungguh.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment