Wednesday 25 January 2017

PENGORBANAN SAUDAH






PENGORBANAN SAUDAH








"Wahai Saudah
Kau utamakan yang lebih utama di hati baginda
Walau dirimu berendam air mata
'Wahai Rasulullah...
Biarkanlah aku terus menjadi isterimu
Kerana kedudukan itu lebih mulia
Daripada menjadi seorang janda.'"




Saudah binti Zam'ah lahir dari suku keluarga Amir yang terhormat. Ayahnya Zam'ah bin Abi Syams dan ibunya As-Syumus binti Qais. Walaupun berasal dari keluarga yang kaya raya namun Saudah suka berbuat baik dan selalu berkata benar. Orangnya amat sederhana tetapi wajahnya itu dihiasi dengan keperibadian yang tinggi. Saudah telah berkahwin dengan As-Sakran bin Amru.

     Dia dan keluarganya adalah di antara mereka yang terawal memeluk Islam. Sewaktu kaum Muslimin menerima banyak ancaman dan seksaan dari kaum Quraisy di Makkah, Rasulullah telah mengarahkan mereka berhijrah. Lalu Saudah dan keluarganya serta kaum muslimin yang lain meredah padang pasir yang luas itu semata-mata untuk menyelamatkan jiwa dan agama yang baru mereka anuti. Semasa penghijrahan pertama inilah, suami Saudah, As-Sakran telah meninggal dunia lalu Saudah diletakkan di bawah jagaan ayahnya Zam'ah bin Qais bersama semua anaknya.

     Ketika Saudah menjadi janda, Rasulullah juga kehilangan Khadijah dan hidup keseorangan. Semua sahabatnya merasa kasihan melihat baginda namun tiada seorang pun yang berani menyarankan supaya baginda mencari pengganti Khadijah. Akhirnya Khaulah binti Hakim mencadangkan baginda berkahwin sekali lagi. Rasulullah bertanya siapakah yang menggantikan tempat Khadijah pada mulanya Khaulah mengesyorkan Aisyah binti Abu Bakar namun Aisyah masih terlalu kecil untuk bergelar isteri. Lalu Khaulah mencadangkan Saudah untuknya. Khaulah pun pergi menemui Saudah untuk memberi khabar gembira ini. Saudah sungguh terharu mendengarnya lantas mengutuskan Khaulah untuk memberitahukan hal ini kepada ayahnya.

     Apabila orang ramai mengetahui berita peminangan ini, mereka hampir-hampir tidak percaya. Ini kerana Saudah adalah seorang janda tua yang tidak rupawan dan sudah mempunyai beberapa orang anak. Namun tujuan Rasulullah mengahwini Saudah bukanlah kerana pangkat atau rupa. Baginda ingin memperisterikan Saudah bagi menghapuskan kesunyian yang selama ini dirasai oleh Saudah selepas kehilangan suaminya. Setiap kali Rasulullah teringat penderitaan Saudah yang tinggal seorang diri di Habsyah, baginda merasa begitu kasihan. Jadi apabila Khaulah menyebut nama Saudah, baginda tidak teragak-agak menerimanya. Ramai kaum Saudah yang memeluk Islam kerana terharu dengan kemuliaan hati Rasulullah mengahwini Saudah yang dianggap telah lanjut usia.

     Selepas berkahwin dengan Rasulullah Saudah merasakan seolah-olah ada benteng yang sukar ditembusi di antara hati Rasulullah dan dirinya. Dia sedar dirinya tidak sehebat Khadijah dan Rasulullah mengahwininya atas rasa kasihan terhadapnya. Walaupun hatinya agak terguris tetapi dia tetap menerima hakikatnya. Menjadi isteri seorang Rasul sudah memadai baginya kerana kedudukan itu sudah cukup mulia berbanding kedudukan sebagai janda. Oleh kerana itulah apabila Rasulullah berhasrat ingin mengahwini Aisyah, Saudah menerimanya dengan hati terbuka dan penuh kerelaan. Dia memberi separuh keutamaan kepada Aisyah dan menyediakan segala keperluannya dengan penuh kasih dan sayang. Saudah ingin mewujudkan kemesraan di antara mereka berdua supaya Aisyah menerimanya. Walaupun sesudah itu, rumahtangga Rasulullah didatangi dengan isteri-isteri baginda yang lain, Saudah tetap memberi keutamaan kepada Aisyah dengan penuh kasih sayang.

     Begitulah sifat Saudah. Hatinya suci dan jiwanya murni. Bukan sahaja dia begitu baik dengan madu-madunya malah dia melayan dan menjaga semua puteri-puteri Rasulullah dengan mesra sehingga Rasulullah amat senang terhadapnya. Rasulullah juga berusaha untuk membuka hatinya terhadap Saudah namun baginda tidak berjaya melakukannya. Rasulullah merasa amat sukar sekali. Ini kerana di dalam persoalan hati, manusia tidak punya kuasa untuk mengendalinya. Dalam masa yang sama, baginda juga amat kasihankan Saudah yang sentiasa merasa dirinya kurang jika dibandingkan dengan isteri-isteri Rasulullah yang lain. Rasulullah ingin Saudah merdeka dan bebas dari perasaan yang menyiksa batinnya selama ini.

     Maka apabila tiba giliran Rasulullah berada di rumah Saudah, baginda telah menyatakan hasratnya untuk mentalakkan Saudah dan melepaskan Saudah dari kesengsaraan ini. Saudah begitu sedih mendengar kata-kata Rasulullah itu. Hatinya hancur dan pedih. Dia sedar keadaan dirinya yang sebenar. Sudah tentu dalam keadaan diri yang sudah tua dan lemah ini tiada lagi yang dapat diberikan kepada Rasulullah. Alangkah baiknya jika gilirannya diberikan kepada isteri-isteri yang lain yang memerlukan perhatian dan kasih sayang baginda.

     Namun setelah dia mula tenang dan tenteram, tiba-tiba keluar ucapan dari bibir Saudah memujuk Rasulullah, "Wahai Rasulullah, biarlah aku terus menjadi isterimu. Aku tidak lagi mempunyai keinginan seperti wanita-wanita lain. Biarlah aku berikan giliranku kepada Aisyah."

     Mendengarkan ini Rasulullah merasa begitu terharu dan timbul perasaan serba salah terhadap Saudah. Dia telah datang untuk mentalakkan Saudah namun Saudah tidak sedikit pun merasa marah malah berlapang dada dan sangat rasional. Saudah telah menunjukkan sifat sabar seorang isteri kepada suami. Rasulullah amat terharu dengan sikap Saudah yang mulia ini. Lantara itu, Rasulullah tidak mentalakkan Saudah dan dia terus berada di dalam rumahtangga Rasulullah. Namun seperti telah dijanjikan, gilirannya itu diserahkan kepada Aisyah.

     Itulah Saudah. Dia telah menjadi isteri yang baik kepada seorang Rasul dan berkhidmat kepada puteri-puteri baginda. Dia juga telah bergaul dengan madu-madunya dengan begitu baik dengan sikapnya yang suka mengalah dan sentiasa menunjukkan akhlaknya yang mulia. Aisyah tidak pernah melupai jasa-jasanya dan sentiasa menghormati Sauda. Aisyah pernah berkata: "Tiada wanita yang sangat ku kasihi, sehingga sanggup mengizinkan aku mengambil gilirannya melainkan Saudah bin Zam'ah."




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment