Sunday 29 January 2017

KASIH ZAINAB BINTI KHUZAIMAH PADA SI FAKIR






KASIH ZAINAB BINTI KHUZAIMAN PADA SI FAKIR








"Wahai ibu orang-orang miskin
Hatimu dicipta Allah terlalu belas
Kasihmu tertumpah pada yang fakir
Simpatimu terlimpah pada yang dhaif."




Zainab binti Khuzaimah dari suku kaum Hilal mengahwini Rasulullah selepas Hafsah binti Umar. Ketika itu, beliau berumur 30 tahun. Lapan bulan selepas berkahwin, beliau kembali ke rahmatullah. Beliau ialah isteri kedua baginda yang wafat selepas Khadijah semasa baginda masih hidup dan isteri pertama yang dikebumikan di Baqi'.

     Oleh kerana tempoh perkahwinan Zainab dan Rasulullah begitu singkat, tidak banyak kisahnya diriwayatkan. Namun Zainab terkenal dengan sifat murah hatinya dan mempunyai budi pekerti yang tinggi dan mulia. Beliau memiliki sifat belas yang luar biasa terhadap fakir miskin dan biasa memberi makan dan sedekah kepada mereka sehingga digelar Ummul Masaakin iaitu 'ibu orang-orang miskin'.

     Sebelum menjadi isteri Rasulullah, beliau adalah seorang janda namun ahli sejarah berbeza pendapat tentang siapa suaminya yang sebenar. Ada yang mengatakan suami pertamanya ialah At-Tufail bin Al-Haris. Setelah At-Tufail meninggal dunia, Zainab berkahwin dengan saudara suaminya iaitu Ubaidah bin Al-Haris. Setelah Ubaidah syahid di pertempuran Badar, Zainab berkahwin dengan Rasulullah. Ada pula yang mengatakan yang suami pertamanya ialah Abdullah bin Jahsy. Setelah Abdullah mati syahid di dalam peperangan Uhud, Zainab berkahwin dengan Rasulullah.

     Apa yang pasti, Zainab adalah seorang wanita paling lembut di zaman itu. Masa yang begitu singkat bersama Rasulullah telah memberikan Zainab satu kedudukan yang tinggi sebagai isteri Rasulullah yang mulia. Luas belas kasihnya meliputi orang-orang miskin kaum Muslimin dan janda-janda mereka. Memang sesuai sifat dan kemuliaan ini menjadi lambang utama isteri-isteri Rasulullah dan Zainab atau Ummul Masaakin ini telah memperolehi kemuliaan ini.





N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment