Monday 9 January 2017

PESONA ZULAIKHA






PESONA ZULAIKHA








"Rayuan Zulaikha pada Yusof
Beralih pada yang Maha Satu
Kerinduan kepada dambaan hatinya
Bertukar kepada yang Maha Qudus
Wahai Zulaikha...
Kau temui Cinta Khaliqmu
Ketika mengejar cinta Yusuf"




Zulaikha adalah seorang wanita yang jelita dan gemar menghias diri dan memakai wangi-wangian. Beliau tinggal bersama suaminya di sebuah istana yang terletak di Sungai Nil. Walaupun mewah, Zulaikha tidak pernah merasa tenang dan selalu kesunyian. INi kerana walaupun telah lama berkahwin, mereka masih belum dikurniakan cahayamata.

     Suaminya, Al-Aziz bertugas sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab ke atas perbendaharaan negara Mesir. Beliau sentiasa sibuk menjalankan tugasnya dan selalu meninggalkan Zulaikha keseorangan bersama dayang-dayangnya. Namun, Al-Aziz turut runsing memikirkan keadaan isterinya itu yang kesunyian dan sentiasa cuba mencari jalan untuk mengubat hati isterinya.

     Suatu hari, seorang kafilah dagang tiba di kota itu dan ramai yang hadir untuk membeli barangan dari pedagang itu. Di antaranya ialah seorang kanak-kanak lelaki comel yang dikatakan oleh ketua kafilah itu sebagai hamba. Wajahnya yang bercahaya membuatkan Al-Aziz tertarik hati kepadanya. Beliau lalu bertanya nama kanak-kanak itu dan kanak-kanak itu menjawab, "Yusuf." Tanpa membuang masa, Al-Aziz terus membeli Yusuf dan membawanya pulang ke rumah lalu menunjukkan kepada Zulaikha. Zulaikha begitu terkejut. Al-Aziz kemudiannya berkata seperti yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:

     "Telah ku beli beliau dari kafilah yang mendapatinya di sebuah
     telaga di padang pasir. Berikanlah beliau tempat (dan layanan)
     yang baik, boleh jadi beliau bermanfaat kepada kita atau kita
     pungut beliau sebagai anak." (Yusuf: 21)

Zulaikha begitu gembira dengan saranan suaminya itu. Sejak itu, beliau memelihara Yusuf dengan penuh kasih sayang. Namun, Yusuf tahu membawa diri dan sedar dirinya hanya menumpang kasih di situ. Beliau rajin membantu dan tidak suka berdiam diri tanpa melakukan apa-apa yang perlu di rumah itu. Semua orang di sekelilingnya amat menyayangi Yusuf kerana sifatnya yang suka merendah diri.

     Selepas remaja, Yusuf semakin tampan, kacak dan menjadi seorang lelaki yang gagah dan memikat hati setiap wanita yang memandangnya. Yusuf diibaratkan sebagai malaikat yang menjelma sebagai manusia. Lama kelamaan, Zulaikha sendiri mula merasakan perubahan perasaan terhadap Yusuf, anak angkatnya itu. Beliau merasa amat bahagia ketika di samping Yusuf dan menjadi terlalu rindu apabila berjauhan darinya. Beliau mula sedar bahawa perasaan itu bukanlah perasaan ibu terhadap anaknya.

     Suatu hari, telah nekad memiliki Yusuf. Lalu beliau mendandan dan menghiaskan dirinya untuk menampilkan kecantikan paras rupanya sekaligus untuk menggoda Yusuf. Kemudian beliau memakai wangi wangian yang akan membangkitkan keghairahan terhadap dirinya. Beliau menyuruh seorang dayang memanggil Yusuf supaya datang ke biliknya kerana ada perkara penting yang mahu disampaikannya. Dayang-dayang pun tergesa-gesa mendapatkan Yusuf dan menyampaikan suruhan Zulaikha itu. Yusuf menerima arahan itu dengan kehairanan. Kebiasaannya, ibu angkatnya itu akan datang sendiri memanggilnya, Tetapi mengapa kali ini ibu angkatnya itu menyuruh dayang-dayang yang memanggilnya? Yusuf tambah hairan apabila dayang-dayang itu menyuruh Yusuf menemui Zulaikha di bilik tidurnya.

     Namun Yusuf tidak mahu berburuk sangka dan segera menurut perintah itu. Apabila Yusuf membuka pintu bilik tidur Zulaikha, sekali lagi beliau merasa hairan. Bilik itu sungguh harum, tingkap-tingkap pula satu pun tidak dibuka, malah Zulaikha juga dengan segera menutup pintu bilik itu.

     Yusuf pun membuka pintu bilik Puannya. Serta merta beliau merasakan bilik itu sungguh aneh. Tiada satu tingkap pun yang terbuka. Pintu bilik itu pula segera ditutup oleh Puannya. Dilihatnya Zulaikha dengan pakaian yang cantik dan menghairahkan. Keharuman baunya pasti dapat memikat sesiapa saja yang menciumnya. Yusuf kehairanan. Beliau merasa terkejut dan gerun melihat apa yang ada di depannya.

     Zulaikha seperti kehilangan akal. Beliau tidak dapat membendung nafsunya lagi. Dengan segera beliau cuba menangkap Yusuf. Namun, sedaya upaya Yusuf cuba mengelakkan dirinya dari mendekati Zulaikha. Tetapi Zulaikha cuba mendekati Yusuf lagi. Yusuf menggeletar ketakutan lalu berkata seperti firman Allah:

     "Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah
     memperlakukan aku dengan baik." (Yusuf: 23)

Kemudian Yusuf menolaknya. Zulaikha sedikit pun tidak mahu mendengar segala ucapan Yusuf itu. Kali ini beliau mencuba secara paksa. Ketika Yusuf hendak lari daripadanya, Zulaikha terus mengejar Yusuf. Dipegangnya bahagian belakang baju Yusuf dan ditarik sekuat hatinya. Akhirnya, koyaklah bahagian belakang baju Yusuf. Tiba-tiba pintu pun terbuka. Pada saat itu, Al-Aziz sudah berada di hadapan mereka berdua bersama saudara sepupu Zulaikha dengan wajahnya yang masam dan terperanjat sedikit.

     "Apa yang kamu lakukan?" tanya Al-Aziz dengan suara yang marah. Zulaikha ketakutan dan tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Beliau tidak sanggup berterus terang dengan suaminya. Maka dengan pantas beliau melemparkan tuduhan ke atas Yusuf seperti firman Allah:

     "Apakah balasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong
     dengan isterimu selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab
     yang pedih." (Yusuf: 25)

Zulaikha pura-pura sedih. Al-Aziz sangat marah dengan peristiwa itu. Beliau tidak menduga hal itu dilakukan oleh Yusuf, seorang anak terlantar yang dibelinya, dipelihara dan dikasihinya seperti kasih sayang seorang ayah kepada puteranya sendiri. Tidak mungkin hal itu boleh terjadi?

     Yusuf terperanjat mendengar kata-kata Zulaikha itu. Namun wajahnya tidak sedikit pun mencerminkan rasa ragu dan gentar. Beliau hanya memikirkan apa yang seharusnya beliau lakukan untuk menghadapi tuduhan ini. Apakah beliau harus mendiamkan dirinya sahaja dan menutup segala keaiban Puannya atau memberitahu perkara yang sebenar. Tetapi beliau sedar bahawa beliau tidak mampu menerima tuduhan yang pahit untuk ditelannya begitu sahaja. Lalu Yusuf berkara seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran:

     "Beliau menggodaku untuk menundukkan diriku (kepadanya)". 
     dan seorang saksi dari keluarga wanita itu memberikan
     kesaksiannya: "Jika baju gamisnya koyak di muka, maka wanita
     itu benar dan Yusuf termasuk orang-orang yang dusta. Dan
     jika baju gamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah
     yang dusta dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar."
     (Yusuf: 26-27)

Allah ternyata mengkehendaki bebasnya Yusuf dari tuduhan Zulaikha. Apabila Al-Aziz mendengarnya, beliau segera menghampiri Yusuf dan memeriksa bajunya. Didapatinya baju Yusuf koyak di bahagian belakang disebabkan oleh tarikan isterinya itu. Kini mengertilah Al-Aziz akan pengkhianatan isterinya dan bersihnya Yusuf dari tuduhan itu. Lalu beliau berkata kepada Zulaikha:

     "Sesungguhnya (kejadian) itu adalah di antara tipu daya kamu,
     sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar." (Yusuf: 28)

Selepas itu beliau memandang Yusuf lalu berkata:

     "Hai, Yusuf, berpalinglah dari ini, dan kamu hai isteriku mohon
     ampunlah atas dosamu itu kerana kamu sesungguhnya termasuk
     orang-orang yang berbuat salah." (Yusuf: 29)

Apa yang dimaksudkan oleh Al-Aziz itu ialah Yusuf tidak menceritakan tentang keaiban yang berlaku ke atas isterinya itu, sehingga tidak seorang pun yang dapat mengetahui perkara ini terjadi. Tidak lama kemudian, berita mengenai peristiwa itu telah sampai kepada pengetahuan isteri-isteri pembesar di kota itu. Mereka mengatakan:

     "Isteri Al-Aziz menggoda bujangnya untuk menundukkan diri
     (kepadanya), sesungguhnya cintanya kepada bujangnya itu adalah
     sangat mendalam. Sesungguhnya kami memandangnya dalam
     kesesatan yang nyata." (Yusuf: 30)

Apabila mendengar cercaan mereka, Zulaikha mengundang wanita-wanita itu ke rumahnya. Beliau menyediakan tempat duduk untuk mereka dan memberikan sebilah pisau (untuk memotong buah) kemudian berkata kepada Yusuf, "Keluarlah (nampakkanlah dirimu) kepada mereka." Maka tatkala wanita-wanita itu melihatnya, mereka sangat kagum (keelokan rupanya) sehingga melukai (jari) tangannya dan berkata:

     "Maha Sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini
     tidak lain hanyalah malaikat yang mulia." (Yusuf: 31)

Melihat kejadian itu, Zulaikha merasa lega lantas berkata:

     "Itulah beliau orang yang kamu cela aku kerana (tertarik)
     kepadanya dan sesungguhnya aku telah menggoda beliau
     untuk menundukkan diri (kepadaku) tetapi beliau menolak.
     Dan sesungguhnya jika beliau tidak mentaati apa yang aku
     perintahkan kepadanya, nescaya beliau akan dipenjarakan
     dan beliau akan termasuk golongan orang-orang yang hina."
     (Yusuf: 32)

Yusuf tidak sanggup melihat perkara yang berlaku di hadapan matanya itu. Semua wanita di sekelilingnya melihatnya dengan penuh pesona. Mereka tenggelam di dalam khayalan sehingga tidak menyedari darah yang meleleh dari jari-jemari mereka yang telah luka. Yusuf terus meninggalkan tempat itu. Beliau merasakan dirinya telah menimbulkan suatu fitnah yang besar disebabkan oleh perbuatan Zulaikha. Lalu Yusuf pun berkata:

     "Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi
     ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan
     daripadaku tipu daya mereka tentu aku akan cenderung untuk
     (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang
     orang yang bodoh." (Yusuf: 33)

Suatu hari, Zulaikha memberitahu suaminya, jika Yusuf tidak disembuyikan dari seisi istana dan kota, beliau akan memburukkannya. Jadi, beliau mencadangkan Al-Aziz memenjarakan Yusuf. Al-Aziz bersetuju dengan cadangan itu. Beberapa pengawal istana disuruh membawa Yusuf ke penjara. Ketika Yusuf keluar dari pintu istana, Zulaikha berdiri di belakang jendela biliknya sambil memandang pemergian Yusuf. Beliau merasa seolah-olah sebahagian hatinya tercabut, meskipun dialah yang mendesak suaminya agar memasukkan Yusuf ke dalam penjara.

     Yusuf pun dipenjarakan tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan dan Zulaikha pun terus mendiami istananya sehingga lenyap segala peristiwa yang berlaku ke atas dirinya dari perbualan manusia. Dalam pada itu, banyak perubahan yang telah berlaku ke atas negeri Mesir, semasa Yusuf di dalam penjara. Suami Zulaikha telah meninggal dunia dan Zulaikha sedang menitis usianya yang telah senja itu.

     Suatu hari, Raja Mesir telah bermimpi dan mimpinya amat sukar ditafsirkan. Hampir semua ahli nujumnya tidak berjaya untuk ditafsirkannya. Tanpa disangka-sangka salah seorang dari pelayan Raja yang pernah dipenjarakan bersama-sama Yusuf dahulu, ada di sisi Raja yang sedang di dalam kesedihan kerana memikirkan tentang ta'bir mimpinya itu. Pelayan itu pun memberitahu Raja mengenai Yusuf yang pandai mentafsir mimpi. Lalu diperintahkan pelayan itu memberitahu mimpinya itu kepada Yusuf.

     Yusuf pun mentafsir mimpi itu. Raja merasa amat takjub dengan kepandaian Yusuf lantas membebaskan Yusuf dari penjara. Namun Yusuf enggan keluar dari penjara sebelum peristiwa yang berlaku ke atasnya dan Zulaikha dibicarakan semula. Raja pun bersetuju dan semua saksi dipanggil semula untuk memulakan perbicaraan. Maka mereka pun datang untuk memberi keternagan termasuklah Zulaikha, orang yang menimbulkan angkara itu. Zulaikha sudah tidak berdaya untuk meneruskan pembohongannya maka beliau pun memberi keterangan yang benar dan menarik kembali semua tuduhan yang pernah dilemparkan ke atas Yusuf.

     Yusuf akhirnya dibebaskan dari penjara dan dilantik sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas Perbendaharaan Negara, jawatan yang suatu ketika dulu disandang oleh bapa angkatnya, Al-Aziz.

     Zulaikha pun telah bertaubat kepada Allah SWT. Ketika Yusuf diutus menjadi Rasul, beliau telah bertemu Zulaikha yang ketika itu sudah tua. Dengan izin Allah SWT, Zulaikha telah dikibas oleh sayap malaikat dan kembali menjadi muda. Beliau akhirnya berkahwin dengan Nabi Yusuf. Walaupun Yusuf berada di sisinya, namun Allah tetap bertakhta di hatinya. Maka jadilah Zulaikha sebagai seorang wanita yang solehah yang sentiasa beramal kepada Allah. Kini seluruh hidupnya hanya untuk Allah semata. Akhirnya, Zulaikha bertemu cintanya yang hakiki, iaitu Cinta Rabbnya.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.  

No comments:

Post a Comment