Saturday 21 January 2017

LAGENDA CINTA KHADIJAH






LAGENDA CINTA KHADIJAH








"Ketika dia keseorangan, engkau menjadi teman
Ketika dia disisihkan, engkau setia di sisinya
Ketika dia terbuang, engkau tetap
menyayanginya
Ketika dia kebuntuan, engkau menjadi
penunjuk jalan
Wahai Khadijah
Cintamu menjadi lagenda."




Itulah Khadijah r.a. Salah satu nikmat terbesar yang dikurniakan Allah kepada Muhammad sejak baginda belum menjadi Rasul. Walaupun seluruh cinta wanita di dunia ini dihimpunkan, belum tentu dapat mengatasi lagenda cinta Khadijah terhadap Muhammad.

     Khadijah r.a. binti Khuwailid ialah seorang wanita kaya, cantik, berasal dari golongan terhormat di Mekah dan terkenal dengan kecekapan dan ketegasannya. Beliau lahir pada tahun 68 sebelum Hijrah iaitu 15 tahun sebelum Tahun Gajah. Walaupun beliau hanya seorang wanita namun beliau mampu berdikari. Ramai golongan terhormat di Mekar ingin melamarnya, namun ditolak. Tetapi apabila bertemu Muhammad, beliau mula berasa kenikmatan cinta kerana tertarik dengan perwatakan baginda. Ada riwayat mengatakan, Muhammad SAW ketika itu ialah pekerjanya. Kejujuran, ketaatan dan ketinggian pekerti Muhammad sepanjang menguruskan perniagaan telah memikat hati Khadijah.

     Suatu hari, Khadijah r.a. menghantar salah seorang pembantunya menyertai rombongan perdagangan Muhammad SAW ke Syam. Apabila pulang dari Syam, pembantu itu memuji-muji. Akhlaknya yang indah, kecerdikan, kecekapan dan perwatakannya yang lemah-lembut itu menghasilkan keuntungan yang cukup lumayan untuk Khadijah r.a. Apabila Muhammad SAW tiba di rumahnya, Khadijah r.a. menyambutnya dengan gembira. Bukan kerana Muhammad SAW telah membawa pulang keuntungan yang besar, tetapi ia adalah penzahiran rasa cintanya yang tersembunyi.

     Cinta Khadijah r.a. terhadap Muhammad SAW semakin mendalam. Namun beliau masih ragu-ragu. Hatinya tertanya-tanya, apakah Muhammad SAW yang baru berusia 25 tahun itu sudi menerima dirinya yang sudah berusia 40 tahun itu sebagai teman hidup? Rupa-rupanya, jarak usia yang jauh itu bukan penghalang penyatuan cinta yang sejati. Apabila hasratnya terhadap Muhammad SAW itu disampaikan oleh Nafisah binti Munyah, baginda SAW bersetuju lalu mereka berkahwin. Bapa saudara Muhammad SAW iaitu Abu Talib melakukan adat peminangan dan majlis perkahwinan itu diraikan dengan begitu meriah.

     Bermulalah kehidupan Khadijah r.a. bersama Muhammad SAW sebagai pasangan suami isteri. Selama 25 tahun membina mahliga bersama Muhammad SAW, beliau tidak pernah lalai menjalankan tanggungjawab menguruskan rumah tangga. Beliau juga tidak pernah mempunyai madu sepanjang hayatnya. Kehidupan rumah tangganya bersama Muhammad SAW tambah berseri dengan kehadiran 6 orang cahaya mata iaitu Al-Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqaiyah, Ummi Kaltsum dan Fatimah r.a. Namun, Allah telah menjemput dua orang puteranya itu terlebih dahulu. Tinggallah empat orang puteri mereka sebagai penyeri.

     Khadijah r.a. adalah orang yang paling awal memeluk Islam. Ketika suaminya menerima wahyu yang pertama di gua Hira', baginda pulang ke rumah dalam keadaan menggigil. Suaranya hampir hilang ketika memberitahu peristiwa yang baru saja berlaku. Khadijah r.a. terus memeluk Rasulullah SAW dengan penuh kasih sayang dan menenangkan baginda. Beliau berkata, "Demi jiwa Khadijah r.a. yang ada di dalam genggamanNya, saya berharap engkau akan menjadi Nabi umat ini!" Mendengar kata-kata Khadijah r.a. itu, baru baginda merasa tenang dan yakin semula.

     Khadijah r.a. menjadi muslimah pertama di sisi RasulNya dan sentiasa bersama baginda menyebarkan dakwah. Beliau sentiasa membantu Rasulullah SAW dengan penuh sabar. Setiap pahit dan diharungi bersama. Sewaktu kaum Muslimin dipulaukan dan diusir oleh kaum Quraisy, beliau sanggup meninggalkan rumahnya untuk bersama Rasulullah SAW. Khadijah r.a. terus berkorban sehingga bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abu Talib, meninggal dunia.

     Belum sempat kepiluan Rasulullah SAW terhadap pemergian Abu Talib reda, baginda ditimpa pula dengan satu lagi peristiwa sedih. Khadijah r.a. jatuh sakit. Beliau tidak dapat bergerak dan terus terlantar di atas katilnya. Keadaannya nazak. Sepanjang sakit, Rasulullah SAW tidak pernah membiarkan Khadijah r.a. keseorangan. Baginda tetap berada di sisinya, mengatur segala keperluannya dan menggembirakan hatinya sehingga Khadijah r.a. menghembuskan nafas yang terakhir dalam pelukan suaminya itu. Beliau meninggal dunia hanya selepas tiga hari jatuh sakit.

     Pengorbanan Khadijah r.a. bukan sekadar satu bukti cinta kepada suaminya, malah adalah satu manifestasi ketaqwaannya terhadap Allah SWT. Segala pengorbanan ikhlas yang dilakukan terhadap suaminya adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT. Allah SWT pernah menyampaikan salam khusus untuk Khadijah r.a. melalui Jibril a.s. kepada Rasulullah SAW disertai khabar gembira, "Aku telah menyediakan rumah untuknya di syurga dan tiada kesusahan atau kepayahan baginya."

     Rasulullah SAW tidak pernah melupakan pengorbanan Khadijah r.a. Baginda sentiasa menyebut-nyebut kebaikan dan pengorbanan Khadijah r.a. walaupun beliau sudah lama meninggalkannya. Baginda sentiasa mengingati Khadijah r.a. sehingga ramai isteri baginda berasa cemburu. Rasulullah SAW pernah bersabda, "Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari beliau, yang beriman kepadaku ketika semua orang ingkar, percaya kepadaku ketika semua menafikan, mengorbankan semua hartanya ketika semua berusaha mempertahankannya dan melaluinya aku mendapat keturunan.

     Sebagai isterinya RasulNya, Khadijah r.a. telah memainkan peranannya sebagai pendorong utama kepada Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalah Allah. Beliau banyak menderita di awal penyebaran Islam. Banyak perkara yang dilakukan bagi meringankan beban suaminya. Pernah suatu hari, ketika Rasulullah SAW pulang semula ke kampung halamannya selepas baginda dapat menawan semula kota Mekah, baginda telah dipelawa oleh penduduk Mekah untuk menginap di rumah-rumah mereka. Namun baginda menolak dengan baik dan mencadangkan supaya dibina sebuah khemah berhampiran kubur Khadijah r.a. Baginda menyeru, "Dirikanlah bagiku khemah di muka kubur Khadijah r.a."

     Begitulah dalamnya cinta Rasulullah SAW terhadap Khadijah r.a. Walaupun isteri-isterinya yang lain turut dicintai, namun tidak setanding cinta yang diberikannya kepada Khadijah r.a. Beliau lambang kewujudan terawal Islam dan menjadi tulang belakang penyebaran Islam sehingga dapat dikecapi sampai hari ini. Bersamanya, Rasulullah SAW dapat merealisasikan agama Islam yang suci ini.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment