Saturday 14 January 2017

HARUMAN MASYITAH






HARUMAN MASYITAH








"Siapa yang dapat melupakan haruman
Masyitah?
Minyak yang panas mendidih
Bertukar menjadi wangian
Menyambut pengorbanan Masyitah dan
keluarganya
Sebelum disambut oleh wangian Syurga."




Di antara mereka yang beriman dengan seruan Nabi Musa ialah keluarga Masyitah dan suaminya Hazaqil. Hazaqil adalah salah seorang pegawai yang amat dipercayai oleh Fir'aun dan Masyitah pula ialah seorang penyisir rambut anak Fir'aun. Mereka amat taat dan beriman kepada Allah namun mereka berjaya merahsiakan ketaatan mereka terhadap Allah dari pengetahuan Fir'aun.

     Suatu hari telah berlaku satu perdebatan hebat di antara Fir'aun dan Hazaqil. Ketika itu Fir'aun sedang menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ahli sihir yang menyatakan keimanannya terhadap ajaran Nabi Musa dan Hazaqil telah menentang hukuman itu dengan keras. Fir'aun lantas menjatuhkan hukuman mati ke atas Hazaqil. Hazaqil menemui ajalnya dengan tangan terikat pada pohon kurma dan tubuhnya penuh ditembusi anak panah. Isterinya, Masyitah, amat sedih di atas kematian suami yang amat dicintainya itu.

     Setelah kematian suaminya, Masyitah selalu dirundung kesedihan. Tiada lagi tempat untuk dia mengadu nasib kecuali kepada anak-anaknya yang masih kecil. Suatu hari, Masyitah mengadukan nasibnya kepada Asiah. Di akhir perbualan mereka, Asiah menceritakan keadaan dirinya yang sebenar, bahawa diapun menyembunyikan ketaatannya dari Fir'aun. Barulah keduanya menyedari bahawa mereka sama-sama beriman kepada Allah dan Nabi Musa. 

     Pada suatu hari, ketika Masyitah sedang menyisir rambut puteri Fir'aun tanpa sengaja sisirnya jatuh ke lantai. Tanpa disangka-sangka, saat memungutnya Masyitah berkata: "Dengan nama Allah binasalah Fir'aun."

     Mendengar ucapan Masyitah itu, Puteri Fir'aun merasa amat marah lalu mengancam akan melaporkannya kepada ayahandanya. Masyitah sedikit pun tidak merasa gentar dengan ancaman itu. Akhirnya Masyitah dipanggil oleh Fir'aun. Saat Masyitah menghadap Fir'aun, pertanyaan pertama yang diajukan kepadanya adalah: "Apa betul kau telah mengucapkan kata-kata penghinaan terhadapku, sebagaimana yang disampaikan oleh anakku? Dan siapakah Tuhan yang engkau selama ini?" "Betul, Baginda Raja yang zalim. Dan Tiada Tuhan selain Allah yang sesungguhnya menguasai segala alam dan isinya." Jawab Masyitah dengan berani.

     Fir'aun menjadi murka. Dia memerintahkan pengawal-pengawalnya untuk memanaskan minyak sekuali besar. Ketika minyak itu mendidih, pengawal kerajaan memanggil orang ramai untuk menyaksikan hukuman yang telah dijatuhkan kepada Masyitah. Sekali lagi Masyitah dipanggil untuk mengadap Fir'aun. Kemudian Masyitah diberi pilihan. Jika dia ingat selamat bersama kedua-dua anaknya itu dia harus mengingkari Allah dan mengaku bahawa Fir'aun adalah Tuhan yang patut disembah. Jika Masyitah ingar dengan suruhan Fir'aun itu, maka Masyitah dan kedua-dua anaknya akan dimasukkan ke dalam kuali yang sedang mendidih minyaknya.

     Masyitah tidak mahu menyerah kalah. Dia tidak akan sekali-kali tunduk di bawah perintah Fir'aun dan tetap akan mempertahankan imannya. Kemudian Masyitah membawa kedua-dua anaknya menuju ke kuali yang panas itu namun dia kelihatan agak ragu apabila melihat kedua-dua anaknya. Takdir Allah yang Maha Kuasa, anak yang masih menyusu itu pun berkata, "Jangan bimbang dan ragu wahai ibuku. Ini kerana kematian kita semua akan beroleh ganjaran yang hebat dari Allah. Pintu syurga akan terbuka luas menunggu kedatangan kita."

     Lantas, tanpa sedikit pun rasa takut, Masyitah terjun ke dalam kuali berisikan minyak yang sedang mendidih itu bersama kedua-dua anaknya. Tiada sebarang tangisan atau jeritan yang keluar dari mulut mereka. Tiba-tiba satu keajaiban telah  berlaku. Minyak yang sedang mendidih itu telah mengeluarkan haruman yang semerbak.

     Demikianlah kisah Masyitah. Semoga muslimah sekalian mengambil hikmah dan mengikuti jejak keduanya, meninggal di dalam keadaan teguh menggenggam kalimah Tauhid.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.









No comments:

Post a Comment