Sunday 8 January 2017

HIKAYAT ADAM DAN HAWA






HIKAYAT ADAM DAN HAWA









"Daripada segumpal tanah 
Menjadi seketul daging
Daripada sebatang rusuk
Menjadi sesusuk tubuh
Adam dan Hawa bersatu di syurga
Terpisah di dunia
Walau berabad di jarak waktu
Dengan izinNya pasti kembali bertemu"




Selepas Allah mencipta bumi, langit dan para malaikatNya; Allah mahu mencipta makhluk sebagai khalifah di bumi. Namun para malaikat bimbang makhluk itu akan merosakkan bumi dan mengakibatkan pertumpahan darah. Tetapi Allah berfirman:

     "Dan ketika Tuhanmu berkata kepada malaikat, 'Sesungguhnya
     Aku mahu mencipta seorang khalifah di bumi.' Mereka bertanya, 
     'Adakah Engkau mahu mencipta makhluk yang akan membuat
     bencana dan menumpahkan darah di bumi itu, padahal
     kami sentiasa bertasbih memuji dan mensucikanMu?' Tuhan
     menjawab, 'Sesungguhnya Aku tahu apa yang tidak kamu tahu.'"
     (Al-Bqarah: 30)

Adam dicipta daripada segumpal tanah seperti firman Allah SWT:

     "(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat,
     'Sesungguhnya Aku mahu menciptakan manusia, Adam daripada
     tanah.'" (Shad: 71)

Selepas bentuknya sempurna, Allah meniupkan roh ke dalam jasad Adam. Adam pun berdiri dan menjadi manusia pertama. Selepas itu Allah memerintahkan para malaikat tunduk kepadanya. Semua malaikat mentaati perintah itu kecuali iblis. Iblis enggan bersujud di hadapan Adam kerana merasa dirinya lebih mulia daripada Adam. Ini kerana Allah menciptanya daripada api sedangkan Adam dicipta daripada tanah dan lumpur.

     Kesombongan dan keangkuhannya menyebabkan Allah mengusirnya dari syurga dan mengeluarkannya dari barisan malaikat. Tidak cukup dengan itu, ia telah dilaknat dan dikutuk oleh Allah, para malaikat dan seluruh alam sehingga kiamat. Allah juga telah menetapkan tempatnya di neraka.

     Namun, iblis masih sombong dan menerima hukuman itu. Tetapi ia meminta kekal hidup sehingga tiba hari kiamat. Allah mengabulkannya tetapi tanpa mengucapkan terima kasih, iblis terus mengancam akan menyesatkan Adam dan keturunannya. Ini diceritakan di dalam Al-Quran, surah Al-A'raf, ayat 11 sehingga 18.

     Allah mengajar nama-nama benda yang ada di alam semesta kepada Adam supaya baginda layak menjadi khalifah di bumi. Selepas itu, Allah meminta para malaikat menyebut nama-nama benda itu. Namun para malaikat tidak mampu melakukannya lalu berkata, "Maha Agung Engkau! Sesungguhnya kami tidak tahu mengenai sesuatu kecuali apa yang telah Kau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana." Lalu Allah memerintahkan Adam menyebut nama benda-benda itu. Selepas itu, Allah berfirman:

     "Bukankah Aku telah katakan kepadamu, Aku mengetahui rahsia
     langit dan bumi, apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu
     sembunyikan."

Ketika Adam bersendirian di dalam syurga, baginda kesunyian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Ketika Adam tertidur, Allah memerintahkan Jibril mencabut salah satu tulang rusuk Adam dan disalutkan dengan daging. Lalu Hawa pun tercipta sebagai manusia kedua yang menghuni syurga. Ketika Adam terjaga dari tidur, baginda melihat seorang wanita jelita di hadapannya dan ingin menghampirinya. Tiba-tiba terdengar satu suara ghaib:

     "Hai Adam! Tahanlah dirimu. Pergaulanmu dengan Hawa tidak
     halal kecuali dengan mahar dan nikah!"

Lalu Allah memerintahkan para bidadari syurga menghias Hawa dan membawakan perhiasan-perhiasan syurga kepadanya sebagai hantaran. Allah juga memerintahkan semua malaikat langit untuk berkumpul di bawah pohon Syajarah Thuba dan menjadi saksi pernikahan mereka. Dikatakan ketika pernikahan itu Allah berfirman:

     "Segala puji adalah kepunyaanku, segala kebesaran adalah
     pakaianku, segala kemegahan adalah hiasanKu dan segala 
     makhluk adalah hambaKu dan di bawah kekuasaanKu. Bersaksilah
     kamu, wahai para malaikat dan para penghuni langit dan syurga,
     Aku menikahkan Hawa dengan Adam, kedua-dua ciptaanKu,
     dengan mahar dan hendaklah keduanya bertahlil dan bertahmid
     kepadaKu!"

Ketika Adam menghampiri Hawa, Hawa telah menuntut maharnya. Adam kebingungan. Apakah mahar yang harus diberikannya? Lalu Adam berseru kepada Allah, "Ya Allah, apakah mahar yang haru ku berikan kepada Hawa? Apakah mahar itu adalah pertama?"

     "Bukan!" jawab Allah.

     "Adakah puasa, solat dan tasbih untukMu?" tanya Adam.

     "Bukan!" tegas Allah lagi.

     "Kalau begitu, tunjukkanlah aku, ya Allah!"

     Lalu Allah berfirman, "Mahar Hawa ialah selawat sepuluh kali ke atas NabiKu, Muhammad, Nabi yang akan Ku bangkitkan, permata para anbiya' dan penutup serta penghulu segala Rasul."

     Adam pun mengucapkan sepuluh kali selawat ke atas Nabi Muhammad dan Hawa menerimanya sebagai mahar. Allah pun berfirman kepada mereka:

     "Hai Adam, tinggallah bersama isterimu di dalam syurga dan 
     makanlah (serta nikmatilah) apa sahaja yang kamu berdua ingini,
     dan jangan dekati pohon ini kerana (apabila mendekatinya) kamu
     berdua akan menjadi zalim." (Al-A'raaf: 19)

Adam dan Hawa memulakan kehidupan mereka di syurga dengan aman dan bahagia. Iblis yang dengki terhadap Adam mula merancang menyesatkan mereka. Ia pun membisikkan keharuman dan kelazatan buah pada pohon yang menjadi larangan Allah kepada mereka dan memujuk mereka menghampirinya. Lalu Hawa pun menghampiri pohon terlarang itu. Beliau melihat buah itu amat baik dan tertarik melihat warnanya. Beliau memetik buah itu dan diberikan kepada suaminya lalu mereka berdua memakannya.

     Tiba-tiba Aurat mereka terbuka. Mereka segera mencapai daun-daun pohon Tin lalu dijahit untuk dijadikan pakaian. Apabila mereka terdengar kehadiran Tuhannya, mereka segera bersembunyi. Mereka malu menghadap Allah kerana telah melanggar perintah Allah dan menzalimi diri mereka sendiri. 

     Allah mencela perbuatan mereka dan menghukum mereka seperti yang terkandung di dalam Al-Quran:

     "Lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga, dan
     dikeluarkan daripada keadaan asal, dan Kami telah berfirman:
     'Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain,
     dan bagi kamu ada kediaman di bumi, dan kesenangan hidup
     sampai waktu yang ditentukan.'" (Al-Baqarah: 36)

Adam dan Hawa menyesali perbuatan mereka itu dan bertaubat. Allah menerima taubat Adam di dalam firmanNya:

     "Kemudian Adam memenerima beberapa kalimah dari Tuhannya, lalu
     Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima
     Taubat lagi Maha Penyayang." (Al-Baqarah: 37)

     Wahb bin Munabbih berkata, Adam AS dimurka Allah selama tujuh hari. Dalam tempoh itu, Adam sentiasa menangis dan memohon ampun dari Allah serta menyesali perbuatannya. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Pada hari ketujuh, Allah memanggil Adam dan menerima taubatnya. Allah juga telah mengajar Adam mengucapkan:

     Laa ilaaha illaa anta subhaanaka Allahumma wabihamdika
     dzalamtu nafsil wa'amiltus suu'a fatub 'alayya inna antat-
     tawwabur rahim.

Maksudnya:

     Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau ya Allah, dengan
     segala puji ke atasMu, aku telah menganiaya diriku sendiri dan
     aku telah melakukan kejahatan, maka terimalah taubatku.
     Sesungguhnya Engkau yang Maha Penerima taubat lagi Maha
     Pengasih.

Penerimaan taubat dari Allah itu telah menenangkan hati mereka. Hilang segala keresahan yang membelenggu jiwa selama ini. Walaupun Allah telah mengampunkan mereka, hasrat untuk kekal di dalam syurga telah dilarang oleh Allah. Allah berfirman:

     "Turunlah kamu semua dari syurga ini! Kemudian sesiapa yang
     mengikuti petunjukKu, pasti tidak ada kebimbangan ke atas
     mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (Al-Baqarah: 38)

Adam dan Hawa pun turun ke bumi dan menjalani kehidupan baru yang belum pernah mereka rasai. Mereka harus melalui pelbagai cabaran dan dugaan sebagaimana pesan Allah kepada mereka, bumi ini akan didiami oleh penduduknya yang akan menjadi musuh di antara satu sama lain.

     Selepas Adam dan Hawa diturunkan ke bumi, mereka terpisah selama berabad-abad. Ada pendapat mengatakan berpuluh-puluh tahun. Ada juga yang mengatakan selama 100 tahun. Tempat turunnya mereka di bumi juga mempunyai pendapat yang berbeza. Ada yang mengatakan Adam turun di Bukit Safa dan Hawa turun di Bukit Marwah. Ada juga yang mengatakan Adam diturunkan di antara Thaif dan Mekah sementara Hawa pun diturunkan di Jeddah. Namun akhirnya Allah menemukan mereka kembali. Kebanyakan kita mengatakan mereka kembali di Jabal Rahmah di Padang Arafah. Wallahu'alam.

     Selepas berada di bumi buat beberapa waktu, Adam dan Hawa telah bersatu. Hasil penyatuan itu melahirkan sepasang kembar perempuan dan lelaki. Tidak lama selepas itu, mereka mendapat sepasang kembar kedua, lelaki dan perempuan. Apabila anak-anak mereka itu dewasa, Adam berhasrat mahu mengahwinkan mereka. Anak lelaki dari pasangan kembar pertama dikahwinkan dengan anak perempuan dari pasangan kembar kedua. Begitu juga anak perempuan dari pasangan kembar pertama dikahwinkan dengan anak lelaki dari pasangan kembar kedua. Namun hasratnya ditentang oleh kedua-dua anak lelakinya, Habil dan Qabil. Mereka tidak setuju dijodohkan seperti itu kerana salah seorang kembar perempuan itu lebih cantik.

     Oleh kerana tidak tahu apa yang harus dilakukannya, Adam meminta mereka menyembahkan satu korban. Siapa yang korbannya diterima Allah, akan dikahwinkan dengan kembar perempuan yang menjadi rebutan itu. Lalu Habil dan Qabil pun berusaha menyembahkan korban mereka masing-masing kepada ayah mereka. Apabila Qabil mengetahui saudaranya Habil twlah berjaya, Qabil pun memberontak dan berazam membunuh Habil. Berlakulah pembunuhan pertama di bumi ini.

     Ternyata apa yang telah difirmankan oleh Allah benar belaka. Keluarga Adam adalah penghuni pertama yang diturunkan ke muka bumi ini dan menjadi keluarga pertama memusuhi satu sama lain. Hawa adalah wanita pertama yang diciptakan Allah dan tinggal di syurga. Hawa juga adalah wanita pertama di dunia yang ditimpa musibah dan meratapi kematian manusia yang pertama di muka bumi ini.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment