Sunday 15 January 2017

BERUBAH MENJADI BAIK ADALAH HIPOKRIT






BERUBAH MENJADI BAIK ADALAH HIPOKRIT








Pada suatu ketika dahulu, saya membaca sebuah blog milik seorang saya, Faiq Zaini, berkenaan perkara ini. Kemudian, tidak lama selepas itu, seorang daripada pembaca blog Langit Ilahi bertanya kepada saya berkenaan ketakutannya bergerak ke arah kebaikan kerana rakan-rakannya mencerca dan mengkritiknya sebagai hipokrit.

     Ya, ada segelintir manusia berasa takut melakukan perubahan kepada kebaikan. Kadangkala, bukan kerana risaukan kutukan orang, tetapi diri kita sendiri turut mempersoalkan, tidak hipokritkah sekiranya aku berubah?

     Ayat-ayat racun seperti, "Aku perlu menjadi diri sendiri," menyebabkan jiwa kita menjadi lebih rosak.

     Hipokritkah kita sekiranya menjadi baik? Adakah dengan kebaikan, menyebabkan kita tidak menjadi diri sendiri? Siapa pula yang pandai membuat peraturan seperti ini?


Hipokrit, Sekiranya Tidak Menjadi Diri Sendiri dan Melakukan Perkara-Perkara yang Tidak Baik

Mengapa tidak mahu berubah? Mereka menjawab, "Tidak mahu menjadi hipokrit." Dirinya suka semua perkara yang Allah larang, suka merokok, suka ponteng kelas, suka mencarut, suka berpasangan, dan sebagainya. Sekiranya melakukan perubahan, mereka merasakan itu adalah sifat hipokrit. "Bukan diri kami," katanya. Mana kita tahu sikap jahat, nakal, kurang sopan, dan tidak bagus itu adalah diri kita yang sebenar?

     Siapakah diri kita yang sebenar?

     Saya sertakan satu hadith dan satu ayat Al-Quran. Rasulullah SAW menyatakan yang bermaksud, "Setiap bayi itu lahirnya di atas fitrah. Ibu bapanya dan suasana pembesarannya yang menjadikannya sebagai seorang Yahudi, Nasrani, dan Majusi." Hadith ini dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim.

     Mengapa Rasulullah SAW tidak menyatakan, "Ibu bapanya dan suasana pembesarannya yang menjadikannya Islam, Yahudi, Nasrani, dan Majusi?" Mengapa? Ini kerana bayi itu dilahirkan atas fitrah.

     Fitrah = Islam. Islam = baik.

     Oleh itu, siapakah yang berkata menjadi baik adalah hipokrit? Sebenarnya, menjadi jahat adalah hipokrit. Sifat jahat, nakal, dan segala perbuatan negatif adalah bukan diri kita. Allah SWT menjelaskan dalam surah Al-A'raf, ayat 172 yang bermaksud:

          "Ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak
          Adam daripada belakang mereka. Dia jadikan mereka saksi
          terhadap diri mereka sendiri. Allah menerangkan, 'Bukankah
          Aku ini Tuhan kamu?' Mereka semua menjawab, 'Benar, kami
          menjadi saksi mengakuinya."

Sebelum  kita dilahirkan lagi, fitrah kita adalah beriman. Fitrah kita adalah Islam. Fitrah kita adalah taat kepada Allah SWT. Adakah kita pernah mendengar kata-kata, "Bayi itu suci daripada segala dosa"?

     Justeru, sekiranya kita mahu kembali kepada kebaikan dan bergerak menjadi hamba-Nya yang taat, di manakah hipokritnya?


Manusia yang Sempit Akalnya

Masalah bagi segelintir manusia adalah, apabila terdapat rakan mereka yang mahukan perubahan, pasti mereka mengutuk, mengejek, dan mencerca. Berikut adalah kata-kata yang biasanya keluar daripada mulut golongan ini.

     "Tidak perlu menjadi baik. Lagipun, kamu sudah tidak mempunyai harapan bagi turut serta bersama golongan yang baik ini."

     "Kamu jangan tunjuk bagus sangat. Dunia belum terbalik lagi."

     "Kamu ini hipokrit. Sekiranya jahat, jahat juga. Mengapa pula perlu menjadi baik?"

     Ini adalah penyakit kronik yang ada dalam masyarakat kita. Apabila melihat sahabat menjadi baik, mereka tidak senang, berasa sempit, dan gusar. Mereka mewarisi setiap makhluk ini. Makhluk apa?

     Iblis. Iblis, syaitan, dan konco-konconya berasa sempit hati apabila ternampak manusia bergerak ke arah kebaikan. Mereka berasa bengang, marah, dan bengkeng apabila melihat manusia berbuat kebaikan. Tujuan mereka wujud atas muka bumi ini menjadi semakin terganggu. Semasa mereka dicampak keluar dari syurga, mereka bersumpah kepada Allah SWT. Allah menjelaskan dalam surah Al-A'raf, ayat 16 hingga ayat 17 yang bermaksud:

          "Iblis berkata, 'Oleh kerana Engkau menyebabkan aku tersesat,
          sesungguhnya aku mengambil tempat menjadi penghalang
          mereka daripada jalan-Mu yang lurus. Kemudian, aku datangi
          mereka dari hadapan serta belakang mereka dan dari kanan
          serta kiri mereka. Engkau pasti mendapati tidak ramai daripada 
          mereka yang bersyukur."

Tetapi, mereka tidak faham sekiranya kita bercakap dan menerangkan kepada pengutuk dan orang yang mengeji itu.

     Jadikan ini sebagai inspirasi dan kekuatan kepada yang mahukan perubahan pada diri sendiri, supaya terus bersabar dan tabah. Mahu kembali kepada fitrah, adalah tidak hipokrit.


Tidak Mungkin Menjadi Seperti Malaikat

Kepada yang mahu membuat perubahan, jangan berasa susah hati sekiranya ada masanya kita jauh semula. Ini adalah resmi kehidupan manusia. Iman selalu turun dan naik. Tidak ada manusia yang baru menyedari kesalahannya, terus menjadi baik seperti malaikat.

     Tidak ada. Melainkan kita menonton situasi itu dalam drama dan novel-novel sahaja.

     Manusia biasa, paling kurang tetap mempunyai sisa-sisa jahiliahnya. Kita lambat membuang semuanya.

     Tetapi, ini bukan alasan bagi berputus asa.

     Suka saya ceritakan kepada pembaca, berkenaan kisah pembunuh kepada 100 orang. Dia membunuh 100 orang, tetapi dia masih berusaha bertaubat kepada Allah. Akhirnya, Allah memasukkannya ke dalam syurga Allah, tanpa sempat bertaubat. Dia meninggal dunia, ketika bergerak menuju ke tempat taubat. Jelas menunjukkan, keampunan Allah melebihi kemarahan-Nya.

     Ketahuilah, kepada orang yang hendak berubah, Allah begitu mencintai kalian. Allah SWT menjelaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 222 yang bermaksud:

          "Sesungguhnya Allah mencintai mereka yang sering bertaubat
          dan membersihkan diri."

Jangan diendahkan semua kritikan apabila kita mahukan perubahan pada diri sendiri. Kritikan hanya melemahkan kita, sekiranya dibandingkan dengan kasih sayang Allah kepada semua manusia.


Usah Peduli Orang Lain Terus Bergerak ke Arah Perubahan

Apabila mahu berubah, jangan teragak-agak. Niat melakukan perubahan perlu jelas dan menuju hanya kepada Allah. Tidak berubah kerana perempuan, tidak berubah kerana kawan, dan tidak berubah kerana yang lain-lain. Berubah hanya kerana Allah SWT.

     Sekiranya satu dunia menyisihkan kita kerana perubahan kita, kita perlu tenang, sabar, teguh, dan tabah.

     Bergeraklah terus ke arah perubahan.

     Insya Allah, Allah SWT tidak sesekali mengecewakan para hamba-Nya yang mendekati-Nya.

     Saya tutup artikel ini dengan surah penenang jiwa.

          "Bukankah kami sudah melapangkan dadamu? Kami meringankan
          bebanmu yang memberati tanggunganmu? Kami meninggikan sebutan
          namamu? Oleh itu, tetapkan kepercayaanmu bahawa setiap kesukaran
          disertai kemudahan. Sekali lagi ditegaskan bahawa setiap kesukaran
          disertai kemudahan. Apabila engkau selesai daripada sesuatu amal
          soleh, justeru bersungguh-sungguhlah engkau berusaha mengerjakan
          amal soleh yang lain. Kepada Tuhanmu sahaja engkau memohon apa
          yang engkau gemar dan ingini." Maksud dalam surah Asy-Syarh,
          ayat 1 hingga 8.




N / F : DARIPADA "UNTUK PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.





No comments:

Post a Comment