Sunday 29 January 2017

HARI-HARI SEPERTI TIDAK MEMPUNYAI HARAPAN






HARI-HARI SEPERTI TIDAK MEMPUNYAI HARAPAN








Ada waktu kita pasti berasa tersepit. Berasa begitu susah. Seperti hilang segala harapan, lenyap segala ruang penyelesain. Jauh dalam lubuk hati, kita berasa begitu kecewa. Berasa ditinggalkan. Berasa diasingkan. Keseorangan dalam masalah yang menimpa tanpa ada sesiapa yang mampu menghulurkan bantuan. Kadangkala, ia adalah masalah peribadi yang mahu kita kongsikan.

     Akhirnya, mula timbul dalam jiwa kita perkataan putus asa. Kita berasa segalanya sudah tidak berguna. Segala usaha sudah tidak bermakna. Kita pun bergerak mengikut arus kerosakan. Kita sudah tidak peduli, kerana, tidak ada yang hiraukan kita. Tetapi, kita silap.

     Allah SWT tidak pernah meninggalkan para hamba-Nya.

     Allah SWT menghiraukan kita.


Hilang Sampai ke Benteng Kesabaran

Tujuan ujian adalah bagi menguji. Sekiranya ujian itu datang dalam keadaan mudah dilangkau, tidak dinamakan sebagai ujian. Ujian semestinya menggegarkan, menggoyahkan, meragut ketenteraman, dan menghilangkan kesenangan.

     Dalam keadaan ini, Allah mahu melihat sejauh manakah keyakinan kita kepada-Nya. Daripada ujian, Dia mahu kita buktikan keimanan kita. Saya sering mengulang ayat 2 daripada surah Al-Ankabut, yang bermaksud:

          "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan
          berkata, 'Kami sudah beriman, sedangkan mereka itu belum
          diuji."

Oleh itu, adakah kita mengira, kita masuk syurga Allah dengan lenggang bersahaja tanpa diuji dengan ujian yang hebat? Kadangkala, kita seolah-olah tertolak ke pinggir gaung. Hanya menunggu masa jatuh walaupun sudah berusaha untuk bertahan.

     Kita tertanya-tanya, mengapa kita diuji sedemikian rupa?

     Ketahuilah, itu adalah tapisan kita ke syurga Allah SWT. Allah menegaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 214 yang bermaksud:

          "Apakah kamu mengira, kamu akan dimasukkan ke dalam syurga,
          selagi belum tiba kepada kamu ujian yang didatangkan kepada
          orang-orang sebelum kamu? Mereka diuji dengan kepapan dan
          serangan penyakit dan kegoncangkan. Sehingga berkata rasul
          dan orang yang beriman dengannya, 'Bilakah pertolongan Allah
          hendak sampai?'"

Diuji sehingga ke pinggiran gaung, sehingga tergoncang iman mereka. Allah mahu menolong ataupun tidak? Tetapi, mereka memilih untuk terus percaya.

     Apakah jawapan Allah pada akhir ayat itu?

          "Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat." Maksud
          dalam surah Al-Baqarah, ayat 214.


Mengapa Kita Tidak Memandang Kepada Musa?

Nabi Musa menunjukkan kepada kita contoh yang baik dalam pergantungan kepada Allah SWT. Beliau diarahkan oleh Allah SWT bagi membawa seluruh Bani Israel melarikan diri kepada Firaun pada tengah malam, dan dihalakan oleh Allah SWT ke lautan.

     Pada waktu subuh, mereka tersedar yang sebenarnya mereka tersesat apabila berada di hadapan laut. Di belakang mereka ketika itu adalah Firaun dan bala tenteranya. Mereka tersepit. Melihat keadaan ini, Bani Israel hilang kepercayaan kepada Allah dan Nabi Musa. Dalam kalangan mereka ada yang mahu menyerah diri dan ada yang memaki Musa. Allah menjelaskan dalam surah Asy-Syura, ayat 61 yang bermaksud:

          "Apabila kedua-dua kumpulan itu melihat sesama mereka,
          berkatalah orang-orang Musa, 'Sesungguhnya kita akan
          ditawan.'"

Berada di hadapan laut tanpa dapat merentasinya. Di belakang pula, Firaun sedang siap mahu menebas kepala mereka. Tetapi, apakah reaksi Nabi Musa ketika situasi itu berlaku?

          "Sesekali tidak, sesungguhnya aku bersama Rabbku yang
          memberikan petunjuk." Maksud dalam surah Asy-Syura, ayat 62.

Sesekali tidak. Sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan petunjuk. Mereka tersepit antara lautan dan Firaun yang mengganas. Nabi Musa tidak pula berkata, "Ya Allah, mengapa Engkau perlakukan aku seperti ini? Engkau arahkan aku membawa kaumku keluar, tetapi Engkau halakan aku ke laut. Mengapa?"

     Tidak. Beliau tidak berkata begitu. Beliau memilih untuk terus meyakini. Apakah balasan kepercayaannya terhadap Allah?

     Allah menegaskan dalam surah Asy-Syura, ayat 63 yang bermaksud:

          "Lalu, Kami wahyukan kepada Musa, 'Pukullah tongkatmu itu,
          apabila dipukul, terbelahlah laut.'"

Wahai orang-orang yang mahu berputus asa, adakah di hadapanmu laut dan di belakangmu Firaun yang ingin membunuhmu?

     Kita sentiasa masih ada harapan. Allah bersama-sama kita memberikan petunjuk. Tinggal kita sahaja tidak meyakini-Nya.


Apabila Bergantung Pada-Nya, Tidak Kecewa

Ujian adalah lumrah. Baik diuji dengan bencana ataupun diuji dengan dosa yang tidak mampu ditinggalkan. Sekalipun diuji dengan kesenangan yang melemaskan.

     Jangan berputus asa. Jangan berputus asa bagi melakukan perubahan. Jangan berputus asa bagi terus melakukan kebaikan. Jangan berputus asa bagi menjadi manusia yang baik. Jangan berputus asa bagi meninggalkan keburukan. Usaha dan usaha lagi.

     Yakin kepada Allah SWT. Berputus asa seolah-olah kita tidak lagi meyakini-Nya. Oleh itu, Allah membenci mereka yang berputus asa. Rahmat Allah luas. Justeru, di manakah ruang untuk kita berputus asa kepada-Nya?

     Kita langsung tidak mempunyai alasan untuk berputus asa. 
     
     Walaupun terdorong ke pinggir gaung, kita tetap perlu yakin pada-Nya. Yang terdorong hingga ke pinggir gaung itu adalah ujian.

     Percayalah. Allah menegaskan dalam surah Asy-Syura, ayat 62 yang bermaksud:

          "Sesekali tidak, sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan
          petunjuk."



N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.


No comments:

Post a Comment