Wednesday 25 January 2017

IMAN YANG MENURUN BUKAN ALASAN






IMAN YANG MENURUN BUKAN ALASAN








Iman sifatnya yazid wa yanqus. Yazid berasal daripada perkataan zada bermaksud tambah. Yanqus berasal daripada perkataan naqasa bermaksud berkurang. Iman itu sifatnya bertambah dan berkurang, naik dan turun. Itu adalah resminya. Hamba Allah SWT.

     Ada masa terjatuh juga. Ada masa tersungkur juga. Apabila jatuh dan tersungkur, jiwa pasti sedih meronta-ronta.

     "Mengapa begini? Mengapa begini?" Kita tertanya-tanya. Seakan-akan kita merasakan betapa amal kebaikan kita tidak bermakna. Amal, amal, amal kemudian berdosa semula. Berbuat baik, berbuat baik, berbuat baik, nanti tersungkur juga.

     Akhirnya, kita memilih meninggalkan kebaikan. Katanya sudah tidak ada harapan. Sebenarnya, kita tidak mengerti bahawa ada hikmah besar yang tersembunyi di sebalik menurunnya iman.


Orang-Orang yang Beriman Tidak Sempurna

Orang yang beriman itu tidak sempurna. Walaupun dia beriman kepada Allah SWT tepat pada waktunya dia jatuh tersungkur melakukan kesilapan. Adakala kesilapannya besar, adakala kesilappnya kecil. Hatta, orang-orang yang alim dan kelihatan seperti malaikat juga ada walau berkurang imannya, hanya terzahir ataupun tidak sahaja.

     Ini dibuktikan dalam kisah Abu Dzar dan Bilal bin Rabah. Apabila suatu ketika, Abu Dzar memanggil Bilal, "Hoi anak hitam", dan kemudian Rasulullah SAW menegur, "Wahai Abu Dzar, sesungguhnya pada dirimu masih ada jahiliah."

     Ada kalanya kita berasa sudah stabil, rasa iman kita meninggi, ada kalanya kita terleka dan terlalai. Lantas, alpa menolak kita ke gaung kesilapan.

     Ketahuilah, kesilapan itu sendiri adalah ujian. Dalam ujian, ada hikmah yang besar daripada Ar-Rahman.


Hikmah Kejatuhan

Ada kata-kata hikmah berbunyi, "Hanya si buta mengetahui nikmatnya melihat, hanya si mati mengetahui nikmatnya kehidupan."

     Di sini tersembunyi hikmah yang besar mengapa Allah SWT menjadikan iman manusia itu berbentuk naik dan turun. Ia adalah supaya manusia belajar menghargai iman mereka. Manusia yang menyentuh kelazatan iman, apabila mereka tersasar daripada landasan iman itu, mereka berasa kosong, berasa kekurangan. Di sinilah bagi insan yang berjiwa sensitif, pasti bangkit dan segera memperbaiki diri. Apabila mereka bangkit, mereka bangkit dengan lebih tinggi daripada sebelum kejatuhan mereka.

     Allah mencipta kitaran iman sedemikian rupa, supaya mampu menghasilkan yang terbaik. Oleh itu, bumi ini tidak diberikan kepada malaikat bagi mentadbirnya. Tetapi, Allah berikan kepada manusia yang pasti melakukan kesilapan, tertarik-tarik antara kebaikan dan keburukan bagi mentadbir dunia. Hanya manusia yang pernah jatuh, mengetahui kepentingan berada di tempat yang tinggi.

     Justeru, manusia yang beriman apabila mereka jatuh, mereka berasa sebahagian besar nikmat hidup mereka tertarik keluar. Di sini, Allah menguji mereka. Allah menapis mereka. Siapakah antara hamba Allah yang terbaik dalam melangkah ujian ini?

     Orang yang benar keimanannya, pasti bangkit. Bergerak. Memperbaiki diri dan meningkat lebih tinggi.

     Hanya orang yang palsu imannya, terus tunduk dan berputus asa. Jatuh lebih ke bawah daripada yang sebelumnya.


Lihatlah Mereka Itu

Kembali kepada kisah Abu Dzar, apabila beliau ditegur oleh Rasulullah SAW beliau bingkas meletakkan wajahnya ke tanah. Menjerit meminta Bilal memijaknya. Hatinya gentar dengan keimannya yang menurun. Lantas, gerak memperbaiki dirinya. Kita mengetahui bahawa Dzar adalah antara sahabat yang termulia di sisi Rasulullah SAW.

     Lihat pula kepada Kaab bin Malik, apabila beliau leka hingga meninggalkan Perang Tabuk. Lantas dia sedar kesilapannya, tidak pula dia berputus asa bagi menjadi baik apabila Rasulullah SAW menghukumnya. Bahkan, beliau menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya sehingga Allah menurunkan ayat Al-Quran secara terus mengampunkannya.

     Lihat pula kepada Umar Al-Khattab. Pada suatu hari, beliau membawa Taurat untuk dijadikan rujukan dan Rasulullah SAW marah kepadanya. Selepas itu, lihatlah tindakan Umar bagaimana dia bergerak menjadi seorang yang tegas berpegang pada Al-Quran dan sunnah. Menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

     Lihat pula kepada Handzalah dan Abu Bakar. Apabila mereka merasakan diri mereka terlalai daripada mengingati Allah SWT. Lantas, mereka mengumumkan diri mereka menjadi munafik dan menangis kecewa. Rasulullah SAW menegur bahawa perkara itu adalah biasa, sekiranya ia tidak berpanjangan. Kemudian, lihat di mana tempat mereka dalam tingkatan iman. Naik lebih tinggi daripada sebelumnya.

     Apakah orang-orang yang jatuh itu tidak melihat kejatuhan mereka itu hakikatnya adalah pengajaran halus daripada Allah SWT?


Apabila Jatuh, Jangan Kecewa Cepat Naik Semula, Jangan Banyak Bicara

Justeru, apabila jatuh, apabila melakukan kesilapan, apabila melakukan dosa, jangan pula berasa kecewa sehingga menyangka tidak ada harapan untuk kita.

     Lihat betapa hakikatnya, kejatuhan itu adalah bagi mengajar diri kita, mendidik jiwa kita supaya lebih menghargai iman, menghargai hubungan kita dengan Allah SWT.

     Kejatuhan itu sendiri adalah antara bentuk kasih sayang Allah SWT kepada para hamba-Nya dan memberikan peluang kepada mereka terhadap lebih tinggi.

     Jangan banyak bicara, jangan berduka terlalu lama, bangkitlah dengan mengambil pengajaran tatkala jatuh.

     Bangkit dengan lebih tinggi daripada kebangkitan sebelumnya.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment