Sunday 22 January 2017

ZAINAB BINTI MUHAMMAD DI ANTARA DUA CINTA






ZAINAB BINTI MUHAMMAD DI ANTARA DUA CINTA








"Di kiri kekufuran di kanannya iman
Di sisi suami di hati seorang ayah
Di antara hukum dan di antara cinta
Berdirinya dikau di tengah-tengahnya
Bukan mudah menjadi puteri Rasulullah
Ketika suaminya masih jahiliah."




Zainab binti Muhammad begitulah nama yang mencerminkan keutuhan jiwa puteri sulung Rasulullah ini. Zainab adalah puteri Rasulullah hasil perkahwinan baginda dengan Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Zainab lahir lebih kurang 12 tahun sebelum Rasulullah diangkat menjadi Rasul. Sewaktu berusia 10 tahun, Zainab telah menjadi perhatian ramai anak-anak muda di kalangan kaum Quraisy yang mulia itu. Namun perasaan yang suci itu hanyalah untuk kedua orang tuanya yang telah memberikan seluruh kasih sayang kepadanya.

     Tidak berapa lama kemudian, tanpa disedari oleh Zainab, hatinya telah mula terpaut kepada Abul Ash bin Ar'Rabi', anak ibu saudaranya dari sebelah ibu yang bernama Halah binti Khuwailid. Sejak kecil lagi, Zainab sentiasa di bawah perhatian Abul Ash. Abul Ash kerap menziarahi ibu saudaranya, Khadijah. Abul Ash juga amat tertarik kepada Zainab disebabkan kecantikan rupa parasnya, keadaan dirinya yang penuh dengan kelembutan, kemanisan dan kebijaksanaan.

     Setiap kali pulang dari pelayaran, Abul Ash akan berbual dengan Zainab dan menceritakan pengalamannya di dalam urusan perniagaan. Zainab merasa dirinya terpikat dengan Abul Ash dan suka sekali mendengar kisah-kisahnya yang mencuit hati. Zainab mula memerhatikan diri Abul Ash yang dianggapnya bijak, tinggi peribadi, mudah diajak berbual dan pengalamannya yang luas di dalam perniagaan. Hari demi hari, perasaannya terhadap Abul Ash bertambah subur.

     Khadijah r.a. selalu memerhatikan keadaan puterinya ini. Beliau memang amat menyukai anak saudaranya ini dan berharap agar Abul Ash akan menjadi jodoh kepada puterinya Zainab. Ini kerana Khadijah r.a. memang sedia maklum dengan keperibadian dan akhlak Abul Ash yang tinggi. Khadijah r.a. juga berturut kongsi perasaannya dengan Rasulullah. Tanpa disangka-sangka Rasulullah juga mempunyai keinginan dan hasrat yang sama. Mereka berdua hanya menunggu saat yang baik untuk mengumumkan perkara ini kepada kedua anak muda ini.

     Maka datanglah rombongan peminangan dari Abul Ash kepada Zainab. Tidak berapa lama kemudian berlangsunglah perkahwinan kedua mempelai ini. Malamnya telah diraikan dengan penyembelihan beberapa ekor unta. Suatu jamuan besar telah diadakan untuk menjamu semua pembesar-pembesar Mekah yang telah dijemput untuk meraikan bersama. Majlis pernikahan ini telah disambut selama beberapa hari.

     Selepas berumah tangga, Zainab berpindah ke rumahnya sendiri. Seperti suri rumah yang lain, Zainab menguruskan sendiri segala kerja-kerja di rumah. Namun, apabila ada kelapangan, beliau akan menziarahi kedua ibu bapanya, lebih-lebih lagi ketika suaminya pergi meninggalkannya untuk urusan perniagaan.

     Hasil perkahwinan mereka, Zainab dan Abul Ash telah dikurniakan dua orang cahaya mata oleh Allah. Mereka ialah Umamah dan Ali. Zainab dan keluarganya hidup di dalam rumah tangga yang cukup tenang dan damai. Kebahagiaan mereka tambah berseri dengan kehadiran dua cahaya mata ini. Nmaun, kebahagiaan yang mereka kecapi tidak kekal lama. Cubaan yang berat telah menimpa keluarga ini.

     Pada suatu hari, Zainab telah berkunjung ke rumah ibu bapanya. Ketika itu, suaminya berada di luar kota Mekah kerana urusan perniagaan. Ibu dan semua adik beradiknya kelihatan cemas. Ibunya kemudian menceritakan apa yang telah berlaku ke atas ayahandanya ketika berada di gua Hira'. Ibunya juga memberitahu tentang Jibril yang telah datang untuk mengutuskan wahyu Allah SWT kepada ayahnya. Zainab percaya dengan apa yang diterangkan oleh ibunya itu dan yakin bahawa ayahnya itu adalah Rasul yang akan memimpin umat manusia.

     Tanpa memikirkan lebih lama lagi, Zainab telah beriman kepada Allah dan RasulNya sebagaimana yang dilakukan oleh ibu dan adik-beradiknya yang lain. Beliau juga menangis terharu apabila Waraqah bin Naufal memberitahu bahawa RasulNya dan sesiapa saja yang beriman kepadaNya akan dimusuhi dan akan mendapat tentangan yang hebat dari kaum Musyrikin di kota Mekah itu. Zainab menerimanya dengan penuh tabah dan sabar.

     Zainab pun pulang ke rumahnya dengan perasaan aman dan tenteram. Beliau tidak sabar memberitahu suaminya tentang berita ini. Apabila Abul Ash pulang dari bermusafir, Zainab telah menceritakan berita yang sedang diperkatakan oleh orang ramai pada waktu itu iaitu suatu perutusan yang dibawa oleh Muhammad bin Abdullah itu. Namun beliau masih merahsiakan tentang dirinya yang sudah memeluk agama baru itu daripada suaminya.

     Kemudian Zainab pun cuba menerangkan kepada suaminya duduk perkara yang sebenar. Dengan ceria, Zainab menjelaskan bahawa ayahnya telah diangkat oleh Allah untuk menjadi Rasul umat ini dan cuba meyakinkan kepada Abul Ash tentang kesucian agama baru ini dengan harapan Abul Ash dapat mempercayai seruan suci ini. Lalu Zainab pun mengaku di hadapan suaminya bahawa beliau sebenarnya telah beriman kepada Allah dan RasulNya. Abul Ash tidak sedikit pun membantah keputusan yang telah dibuat oleh isterinya itu.

     Namun apabila ditanya adakah Abul Ash mahu beriman dengan agama baru ini, Abul Ash merasa ragu-ragu. Perasaan serba-salah jelas diwajahnya. Beliau tidak dapat menyembunyikan lagi bahawa beliau sebenarnya memang mempercayai apa yang diseru oleh ayah Zainab, namun beliau tidak sanggup dianggap derhaka oleh orang tuanya yang masih belum mempercayai agama baru ini. Beliau juga turut bimbang akan dituduh membuang agama nenek moyangnya hanya kerana ingin mengikut kehendak isterinya dan menawan hati bapa mertuanya.

     Zainab tidak dapat berbuat apa-apa. Beliau tahu itu adalah suatu alasan yang lemah dan beliau juga tahu Abul Ash bukanlah seorang lelaki yang tidak mempunyai pendirian. Namun beliau tidak tahu apa sebenarnya yang difikirkan oleh Abul Ash. Maka berlakulah pertingkaran di antara kedua suami isteri ini. Pelbagai peristiwa berlaku dan semakin hari semakin besar jurang perbezaan di antara mereka.

     Pada masa yang sama, orang-orang Islam mula diberi layanan yang buruk oleh kaum Musyrikin Mekah. Rasulullah dan pengikut-pengikutnya terus ditimpa penyeksaan dan penganiayaan. Di sana sini terdengar jeritan orang-orang Islam meminta tolong. Kaum Quraisy cuba melakukan kekasaran terhadap Rasulullah SAW namun mereka tidak berjaya kerana baginda mendapat perlidungan dari sukunya iaitu Bani Hashim. Lantaran itu seluruh kaum Quraisy telah menyingkirkan mereka sehingga mereka terpaksa melarikan diri ke suatu kawasan yang dinamakan Syi'ib. Di istu mereka telah dikawal rapi dan diharamkan untuk bertemu dengan orang ramai. Di situ juga Abu Talib, orang yang selama ini lantang melindungi Rasulullah telah meninggal dunia. Tidak lama selepas itu, ketika masih di Syi'ib, Khadijah pula meninggal dunia.

     Pada suatu hari, Allah telah memerintahkan RasulNya berhijrah ke Madinah kerana orang-orang Musyrikin ketika itu telah berpakat untuk membunuh Rasulullah. Zainab tidak henti-henti mendoakan ayahnya dan orang-orang Mukmin supaya selamat dari kekejaman orang-orang kafir itu. Berkat doa anak yang solehah itu telah membawa ayahnya dan rombongan orang-orang Muslim selamat sampai di bumi Madinah.

     Tidak berapa lama selepas Rasulullah berada di Madinah, adik-beradiknya pula mula meninggalkan Mekah untuk menyertai ayah mereka di Madinah. Kini tinggallah Zainab seorang diri di Mekah menunggu suaminya yang masih di dalam kekufuran itu. Beliau tidak mempunyai sesiapa untuk mengadu nasib selain kubur ibunya sahaja. Setiap kali merasa sedih, beliau akan menziarahi kubur ibunya dan mengadu nasibnya yang malang itu sambil menangis.

     Tidak lama selepas penghijrahan orang-orang Islam ke Madinah, tercetuslah satu peperangan yang besar di dalam iaitu Perang Badar. Ketika peperangan itu berlaku, Zainab langsung tidak dapat melelapkan matanya kerana memikirkan nasib yang akan menimpa kedua-dua orang yang amat dikasihinya iaitu ayahnya yang tercinta dan suaminya yang tersayang. Alangkah pilu hatinya setiap kali mengenangkan perkara sedemikian berlaku di dalam hidupnya. Hatinya terasa luka mengenangkan keadaan yang akan menimpa dirinya.

     Namun, kemenangan berpihak ke atas ayahnya dan kaum Muslimin. Zainab merasa amat gembira namun kegembiraannya tidak berterusan kerana beliau mendapat tahu bahawa suaminya Abul Ash telah menjadi tawanan kaum Muslimin. Perasaannya menjadi tidak menentu memikirkan apa yang akan berlaku ke atas suaminya itu. Dengan segera beliau cuba mencari-cari barang yang boleh dijadikan tebusan lalu mendapati kalung pusaka milik ibunya yang boleh dikirimkan kepada kaum Muslimin untuk menebus suaminya. Rasulullah yang amat mengenali kalung itu ketika menerimanya merasa amat sedih dan terharu. Atas persetujuan sahabat, Abul Ash dibebaskan dan kalung itu diberikan semula kepada Zainab. Abul Ash pulang menemui Zainab dan mengucapkan terima kasih di atas pengorbanan isterinya itu.

     Tidak berapa lama selepas Perang Badar, kaum Quraisy memutuskan sesiapa yang beripar-duaikan baginda dipulangkan kepada baginda. Zainab yang baru saja bergembira di atas kepulangan suaminya kini terpaksa pula berpisah dengan Abul Ash. Zainab menerimanya dengan sabar. Kerana Islam, beliau merelakan perpisahan itu berlaku. Zainab tetap berdoa supaya suatu hari nanti suaminya akan pulang ke pangkuan Islam. Seperti yang telah dijanjikan, Zainab telah diserahkan kepada ayahandanya. Setibanya di Madinah, Zainab telah disambut oleh penduduk Madinah dengan riang dan gembira, terutama sekali ayahnya.

     Pada suatu malam, pintu rumah Zainab telah dimasuki orang. Zainab terperanjat. Badannya menggeletar melihat Abul Ash berada di dalam rumahnya. Sangkanya Abul Ash telah memeluk Islam dan kembali kepadanya. Namun apa yang sebenarnya berlaku ialah Abul Ash telah melarikan diri ketika kaum Muslimin menyerang hendap kafilah yang baru saja pulang dari menguruskan perniagaan di negeri Syam. Tanpa berfikir panjang, Zainab terus menjerit sekuat-kuat hatinya dan melaungkan bahawa Abul Ash telah berlindung di rumahnya. Ayahnya yang mendengar jeritan menyuruhnya bertenang dan mengambil Abul Ash. Rasulullah mahu Zainab membiarkan saja Abul Ash melepaskan rindu kepada kedua-dua orang anaknya yang sedang bersama Zainab itu.

     Apabila terbit matahari, Rasulullah telah mengutus orang untuk memanggil Abul Ash. Abul Ash datang mengadap baginda lalu baginda pun berkata kepada sekalian yang hadir.

     "Sesungguhnya orang ini adalah dari keluarga kami, sebagaimana yang telah kamu sekalian maklum. Kamu telah merampas hartanya. Jika kamu fikir ada baiknya jika kamu menyerahkannya kembali, maka kami sangat gembira. Tetapi, jika kamu tetap ingin kepada harta rampasan itu, maka kamu adalah lebih berhak kepada harta itu."

     Kaum Muslimin terus berkat dengan satu nada: "Bahkan kami ingin mengembalikan harta itu, wahai Rasulullah." Abul Ash menerima kembali harta perniagaannya dan membawanya pulang ke Mekah. Setibanya di Mekah, kaum peniaga di sana datang untuk menerima hak masing-masing dari Abul Ash dan Abul Ash membayar semua hak mereka. Selepas selesai mengembalikan semua harta-harta itu kepada yang hak, Abul Ash meneliti pandangannya kepada mereka semua. Tanpa disangka-sangka, telah keluar satu ucapan dari Abul Ash dengan keadaannya yang tenang dan khusyuk.

     "Kini dengarlah kamu sekalian! Aku telah menyaksikan tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu hamba Allah dan RasulNya!"

     Semua yang berada di sekelilingnya terpukau dan terpegun mendengar ucapan Abul Ash itu. Tanpa berlengah, Abul Ash pun segera memecut kudanya menuju ke arah Madinah. Sebaik-baik saja tiba di Madinah, beliau terus menuju kepada Rasulullah yang ketika itu berada di masjid. Beliau lalu menghulurkan tangannya tangannya untuk menyatakan keislamannya. Maka gembiralah sekalian yang hadir di majlis ketika itu. Mereka semua bertahlil dan bertakbir mengalu-alukan pengislaman Abul Ash tadi. Kemudian Rasulullah pun bangun memimpin Abul Ash dengan tangannya sendiri untuk membawa Abul Ash pulang ke rumah bertemu dengan puterinya, Zainab. Begitulah kehendak Allah. Doa seorang isteri yang begitu mencintai suaminya akhirnya dimakbulkan Allah. Akhirnya, Rasulullah mengahwinkan mereka semula.

     Akan tetapi, sekali lagi kegembiraan yang dikecapi oleh mereka ini tidak kekal lama. Sebaik saja berakhir satu perpisahan, bermula pula satu lagi perpisahan. Kali ini perpisahan yang abadi. Selang setahun, selepas pengislaman Abul Ash, Zainab telah lebih dulu menyambut panggilan Ilahi. Musibah yang menimpa Abul Ash ini amat berat untuk ditanggung olehnya. Dengan pemergian Zainab, puteri Rasulullah yang sangat dicintai itu, maka berakhirlah suatu kisah cinta yang teragung. Kisah yang penuh dengan perasaan cinta yang suci dan diselubungi oleh peristiwa pahit dan manis. Pemergian Zainab diiringi oleh doa restu dan linangan airmata yang tidak kering dari suaminya yang menghargai pengorbanan dan perjuangan cinta Zainab.



N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.



1 comment:


  1. Do you need a financial help? Are you in any financial crisis or do you need funds to start up your own business? Do you need funds to settle your debt or pay off your bills or start a good business? Do you have a low credit score and you are finding it hard to obtain capital services from local banks and other financial institutes? Here is your chance to obtain a financial services from our company. We offer the following finance to individuals-
    *Commercial finance
    *Personal finance
    *Business finance
    *Construction finance
    *Business finance And many More:
    and many more at 2% interest rate;
    Contact Us Via Email:oceancashcapital@gmail.com
    Phone number :+1-6474-864-724 (Call/Whats app)

    ReplyDelete