Thursday 19 January 2017

SUSU HALIMATUS SA'ADIAH JADI SANTAPAN RASULULLAH






SUSU HALIMATUS SA'ADIAH JADI SANTAPAN RASULULLAH








"Senyum si yatim menyapa jiwa yang gundah
Kaki yang lesu kembali gagah
Biar tidak berganda upah
Asal diri terpilih menerima barakah
Engkaulah ibu susuan yang menatang hikmah
Engkaulah Halimatus Sa'adiah."




Halimah As-Sa'diah ialah ibu susuan Rasulullah dan disifatkan ibu kedua baginda selepas Aminah. Jasa Halimah kepada Muhammad sungguh besar. Beliau bukan sahaja menyusukan Muhammad tetapi juga turut mengasuh dan membesarkannya di dalam suasana kampung yang jauh dari kesibukan kota Makkah. Udara kampung yang nyaman dan bersih menjadi pilihan setiap ibu yang baru melahirkan untuk menyerahkan anak-anak mereka kepada wanita-wanita desa untuk disusukan.

     Setelah Rasulullah lahir, ibunya Aminah kekeringan susu. Ini disebabkan oleh kesedihan yang amat dirasai olehnya setelah suaminya Abdullah meninggal dunia. Seperti ibu-ibu lain juga, Aminah kini sedang menunggu untuk menyerahkan anaknya yang baru dilahirkan itu untuk disusukan oleh wanita-wanita dari suku Bani Sa'ad agar anak itu nanti membesar menjadi sihat dan bijak berkata-kata.

     Akhirnya wanita-wanita ini datang ke Makkah dan mencari-cari bayi yang baru lahir untuk disusukan. Namun begitu, mereka tidak suka mengambil anak-anak yang yatim dan miskin. Ini kerana mereka selalu mengharapkan balasan daripada ketua keluarga bayi yang disusukan itu. Oleh itu, ramai di antara mereka yang menjauhkan diri dari keluarga Muhammad. Mereka tahu bahawa keluarga Muhammad tidak dapat memberikan mereka upah yang lumayan.

     Bagaimanapun, seorang wanita bernama Halimah binti Abi-Dzu'ib Abdullah As-Sa'diyah yang pada mulanya menolak Muhammad, akhirnya setuju untuk kembali kepada keluarga Muhammad. Ini kerana setelah puas mencari-cari bayi yang kaya untuk disusukan, beliau masih belum berjaya menemuinya. Di samping itu, Halimah juga malu untuk pulang ke kampung halamannya dengan tangan kosong saja. Halimah kemudian berbincang dengan suaminya. Beliau berkata, "Apakah pandanganmu sekarang? Kawan-kawanku semua telah beroleh seorang bayi untuk disusukan. Sekarang ini pula tiada lagi bayi yang boleh disusukan melainkan bayi miskin yang bernama Muhammad itu. Apakah pendapatmu jika kita ambil saja anak yatim itu untuk dibawa pulang."

     Suami Halimah pun berkata, "Ambil saja bayi itu. Semoga beliau akan membawa berkat kepada kita!"

     Halimah pun segera pergi ke rumah Aminah semula dan mengambil Muhammad. Sebaik saja didukungnya Muhammad tiba-tiba mengalir susu daripada dadanya. Muhammad pun disusukan sehingga kenyang. Begitu juga anak Halimah yang bernama Abdullah, turut sama disusukan oleh Halimah dari susu yang sama.

     Halimah dan suaminya membawa pulang Muhammad ke kampung halamannya. Apabila didekati untangnya yang kurus kering itu, terlihat oleh suami Halimah unta itu menitik susu. Lalu beliau pun memerah susu unta itu untuk diminum bersama isterinya. Ketika ingin ditunggangi unta itu, dilihatnya unta itu tiba-tiba menjadi kuat, badannya tegak semula, dan boleh berlari dengan begitu pantas sekali.

     Setibanya di kampung Bani Sa'd, dilihatnya kambing-kambingnya telah mempunyai susu yang banyak dan boleh diminum susunya hingga kenyang. Ia amat berlainan dari waktu mereka pergi ke Makkah dahulu. Semua kambingnya kurus kering ketika ditinggalkan. Namun sekarang semuanya telah berubah. Halimah dan suaminya begitu hairan tetapi mereka tetap bersyukur kerana kehidupan mereka sekarang penuh dengan keberkatan rezeki yang melimpah ruah. Begitulah keberkatan yang telah dibawa oleh anak kecil bernama Muhammad bin Abdullah ini kepada ibu susuannya Halimah. Beliau telah diajar bertutur bahasa Arab dengan baik dan berjalan dengan sempurna.

     Setelah genap 2 tahun seperti yang dijanjikan, Halimah pun membawa Muhammad pulang ke pangkuan ibunya Aminah. Walaupun berat hatinya untuk melepaskan Muhammad pergi, namun beliau akur dengan perjanjian yang telah dibuatnya bersama-sama Aminah. Apabila sampai di rumah Aminah, Halimah terus memujuk Aminah mengizinkannya terus memelihara Muhammad supaya anak itu menjadi lebih kuat dan lebih subur pertumbuhannya. Walaupun terasa berat untuk melepaskan Muhammad pergi, namun akhirnya beliau bersetuju supaya Muhammad terus dipelihara oleh Halimah sedikit masa lagi.

     Halimah begitu gembira apabila Aminah mengizinkannya membawa Muhammad pulang semula ke kampung halamannya. Namun belum sampai beberapa bulan, suatu perkara yang sangat mencemaskan hatinya telah berlaku. Beliau segera membawa Muhammad pulang kepada ibunya semula. Aminah amat hairan. Sebelum ini Halimah yang beria-ia meminta Muhammad diserahkan kepadanya. Tetapi kini, beliau pula yang tergesa-gesa memulangkan Muhammad semula. Lalu Aminah meminta supaya Halimah menjelaskan apa sebenarnya yang telah berlaku. Pada mulanya, Halimah keberatan untuk menjelaskan, namun setelah didesak, Halimah pun menerangkan perkara yang sebenar.

     Beliau pun berkata: "Demi Allah, saudara susuan Muhammad yang bernama Abdullah datang kepadaku pada satu hari. Beliau kelihatan seperti di dalam keadaan terperanjat dan pucat mukanya. Beliau memberitahuku: 'Saudaraku, anak orang Quraisy itu, telah ditangkap oleh dua orang yang berpakaian putih lalu membaringkannya. Mereka membelah dadanya dan mengeluarkan isi perutnya...'"

     "Lalu aku dan suamiku telah berlari ke tempat itu. Kami mendapati Muhammad berdiri di situ sedang mukanya pucat seperti orang yang sedang dalam ketakutan. Kami terus bertanya kepadanya: Apa yang telah berlaku, wahai Muhammad? Beliau menjawab: Telah datang kepadaku dua orang yang berpakaian putih lalu mereka membaringkanku dan membelah dadaku seolah-olah beliau telah mengambil sesuatu daripadanya yang aku sendiri tidak tahu..."

     "Kami pun membawanya pulang ke rumah kami. Kemudian suamiku berkata: Wahai Halimah! Aku bimbang anak ini telah ditimpa sesuatu yang kita tidak tahu. Lebih baik kita kembalikan saja anak ini kepada keluarganya sebelum sesuatu yang tidak baik berlaku lagi..."

     "Itulah sebabnya kami membawanya pulang semula ke sini. Demi Allah, kami tidak akan memulangkannya, melainkan terpaksa."

     Aminah mendengar dan menerimanya dengan tenang dan tabah. Tidak sedikit pun beliau merasa takut atau khuatir seperti apa yang Halimah rasakan. Setelah itu Aminah mula bercerita tentang pengalamannya pula iaitu apa yang pernah dimimpi dan didengarinya sewaktu Muhammad masih di dalam kandungannya. Aminah juga menceritakan tentang kemudahan kandungan itu dan kemudahan ketika beliau melahirkan Muhammad.

     Halimah teringat sesuatu yang sudah dilupakannya lantas berkata, "Sekarang barulah aku faham. Aku faham apa yang aku tidak faham sebelum ini!" Halimah mengangguk-anggukkan kepadanya. Aminah hairan melihat kelakuan Halimah itu dan meminta Halimah menerangkan kepadanya.

     Lalu Halimah berkata, "Ketika aku membawa Muhammad pulang setelah menyusukannya kali kedua, beberapa orang Nasrani Habsyah telah terpandang Muhammad. Mereka memerhatikannya dan bertanya mengenainya. Setelah itu mereka memeriksanya dengan teliti dan berkata kepadaku: Berikanlah kami anak ini untuk kami serahkannya kepaa raja kami dan negeri kami. Budak ini mempunyai masa hadapan yang cerah dan kami lebih mengetahuinya dan lebih memehaminya."

     "Dengan pantas aku merampas anak itu dari tangan mereka. Aku sudah membuat keputusan memulangkannya kepadamu dan hampir melakukannya, kemudian aku terfikir, perlindungan Bani Sa'ad lebih dekat kepadaku darimu maka aku letakkan beliau di bawah lindungan mereka saja..."

     Kemudian Halimah meneruskan ceritanya. Satu hari ketika beliau membawa pulang Muhammad pada kali pertama setelah menerimanya dari Aminah di Makkah, datang sekumpulan Yahudi menghampiri mereka dan bertanyakan perihal Muhammad. Apabila diterangkan kepada mereka bahawa Muhammad telah membawa banyak berkat dan tuah, ada di antara mereka yang berbicara supaya mereka membunuh saja anak ini. Lalu mereka bertanya kepadaku jika Muhammad ini anak yatim. Namun Halimah telah membohongi mereka dengan mengatakan beliau dan suaminyalah ayah dan ibu Muhammad.

     Setelah diberitahu bahawa Muhammad bukan anak yatim barulah kaum Yahudi tadi merasa tenang. Lalu mereka mengatakan andai kata anak ini anak yatim, nescaya mereka akan membunuhnya. Banyak lagi peristiwa yang pelik dan ajaib tetapi benar-benar berlaku yang sentiasa diingati oleh Halimah. Beliau benar-benar yakin bahawa anak susuannya ini akan membawa keberkatan dan rahmat kepada manusia.

     Apabila Muhammad berkahwin, Halimah datang untuk mengucapkan tahniah. Muhammad telah menyambut dan memuliakannya. Kemudian Khadijah menghadiahkan Halimah seekor unta dan empat ekor kambing. Halimah menjadi terkenal dan namanya sering menjadi sebutan orang di dalam sejarah Islam. Beliau memang patut diberikan kemuliaan kerana telah berbudi kepada Nabi di masa kecilnya. Dari susunya, Rasulullah telah dibesarkan. Di tangannya juga Rasulullah belajar berjalan dan di rumahnya bermula keperibadian Rasulullah yang awal. Rasulullah tidak pernah melupakannya sama sekali.

     Abu Tufail pernah menyebut, bahawa beliau pernah melihat ketika Rasulullah sedang membahagi-bahagikan dagi di Ji'irranah, datang seorang wanita badwi menghampiri baginda lalu baginda membentangkan kain ridaknya dan disuruhnya wanita badwi itu duduk di atasnya, maka wanita itu pun duduk. Beliau merasa hairan lalu bertanya siapa wanita itu. Lalu orang ramai pun berkata bahawa itulah ibu susuan Rasulullah SAW yang dahulu pernah menyusukannya.

     Begitulah keadaan Halimah. Beliau sentiasa dimuliakan oleh Rasulullah dan kerap diziarahinya.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment