Wednesday 18 January 2017

RAHIM AMINAH KANDUNGKAN HIKMAH






RAHIM AMINAH KANDUNGKAN HIKMAH








"Semulia-mulia rahim
Yang mengandungkan bayinya
Semulia-mulia wanita
Yang mengandungkan rahmat
Tidak akan terulang lagi di dalam hikayat
Kisah laksana Aminah
Ibu pembawa berkat."




Aminah binti Wahb bin Abdu Manaf bin Kilab bin Murrah adalah ibu Muhammad bin Abdullah, Nabi dan Rasul terakhir. Beliau paling diberkati, suci dan mulia. Aminah lahir pada pertengahan abad ke-6 M. Keturunannya dianggap semulia-mulia keturunan. Rasulullah pernah berkata, "Allah terus-menerus memindahkanku dari tulang sulbi yang baik ke dalam rahim yang suci, bersih bertapis, tiada bercabang dua melainkan aku berada di tempat yang paling baik di antara keduanya."

     Kemuliaan keturunan Rasulullah ini bukan saja di sebelah ibunya, tetapi juga di sebelah ayahnya, Abdullah. Abdullah daripada keturunan yang berasal dari Kilab bin Murrah iaitu ayah Qushai. Perkahwinan Abdullah dan Aminah adalah satu peristiwa besar yang menggegarkan seluruh kota Mekah. Seluruh kabilah di Mekah menghayati peristiwa ini.

     Abdu Mutalib pernah bernazar, sekiranya beliau dikurniakan 10 orang anak lelaki, salah seorang daripada mereka akan dikorbankan. Selepas undian dibuat, anak bongsunya, Abdullah telah dipilih. Abdullah ialah anaknya yang paling kacak dan menjadi perhatian gadis-gadis Mekah. Abdul Muttalib membawa Abdullah ke Ka'abah sambil diikuti oleh kaum Quraisy yang mahu menyaksikan peristiwa itu. Ketika Abdul Muttalib mengeluarkan pisaunya, ramai yang membangkang dan mencadangkan perkara itu dibawa kepada tukang tilik Hijaz yang sangat terkenal. Abdul Muttalib terpaksa akur dengan permintaan mereka. Satu rombongan dihantar bertemu tukang tilik itu. Sebahagian lagi menunggu di Mekah. Antaranya ialah Aminah binti Wahb.

     Sementara itu, tukang tilik itu memberitahu supaya nazar itu ditebus dengan 10 ekor unta di pintu Ka'abah. Kemudian undian dijalankan. Jika undian itu ialah unta, bermaksud tebusan itu diterima oleh Tuhan mereka. Tetapi jika undian itu adalah Abdullah, mereka mesti menambah 10 ekor unta lagi. Begitulah seterusnya.

     Rombongan itu kembali ke Mekah dan melakukan apa yang diberitahu oleh tukang tilik itu. Semua yang hadir mengharapkan undian yang keluar itu adalah nama unta, namun hanya nama Abdullah yang keluar. Apabila bilangan unta menjadi 100 ekor, baru nama unta yang keluar. Bagi memuaskan hati mereka, undian itu diulang 3 kali, namun keputusannya sama. Kaum Quraisy berpuas hati dan amat bersyukur. Abdullah dilepaskan. Abdul Muttalib lega kerana nazarnya telah berakhir. Beliau memerintahkan unta-unta itu disembelih dan diagihkan kepada orang ramai.

     Selepas peristiwa itu, kaumnya pergi ke rumah Aminah untuk bertemu ayahnya. Ketika itu, Aminah sedang duduk bersama ibunya. Ayahnya menghampiri mereka dan berkata, "Ketua Bani Hasyim meminang Aminah menjadi isteri putera mereka, Abdullah." Aminah membisu seribu bahasa, tidak dapat berkata satu apa pun. Tidak lama kemudian, ramai ahli keluarganya datang mengucapkan tahniah kepada Aminah. Mereka berkata, "Bertuah engkau, wahai Aminah! Engkau bakal dijodohkan dengan orang yang selama ini menjadi rebutan wanita-wanita di kota Mekah."

     Majlis perkahwinan Abdullah dan Aminah berlangsung selama 3 hari. Pada malam pertama mereka, beliau bermimpi melihat satu cahaya muncul daripada dirinya dan menerangi bumi sehingga istana-istana Kaisar di Syam kelihatan. Kemudian beliau terdengar satu suara berkata, "Sebenarnya, engkau sedang hamilkan pemimpin umat ini!"

     Mimpi itu diceritakan kepada Abdullah. Mereka teringat peristiwa yang berlaku kepada diri mereka sebelum ini. Bani Zohrah iaitu keluarga Aminah pernah didatangi seorang tukang tilik wanita bangsa Quraisy bernama Saudah binti Zohrah. Beliau berkata, salah seorang wanita Bani Zohrah akan melahirkan seorang pengancam. Apabila ditanya siapakah orangnya, tukang tilik itu menunjuk ke arah Aminah. Abdullah pula teringat puteri Naufal bin Asad daripada bangsa Quraisy yang pernah menawarkan dirinya untuk mengahwini Abdullah. Namun kemudian puteri itu berubah fikiran. Apabila ditanyakan sebabnya, beliau berkata, cahaya yang pernah dilihatnya pada diri Abdullah sudah hilang dan beliau tidak berhajat kepadanya lagi. Abdullah dan Aminah merasa terharu kerana ditakdirkan menjadi sepasang suami isteri, namun mereka tidak tahu apa hikmah di sebaliknya.

     Selepas 10 hari, Abdullah mahu menyertai sebuah kafilah yang akan ke Syam. Aminah resah dan gelisah. Abdullah cuba mententeramkannya, namun beliau tetap resah. Selepas sebulan ditinggalkan suaminya, perutnya mula berisi. Beliau sedar, beliau sedang mengandung dan tidak sabar memberitahu berita gembira itu kepada suaminya. Beliau dan pembantunya bernama Ummu Aiman menunggu ketibaan Abdullah yang sepatutnya sudah kembali dari Syam ketika itu.

     Namun sebaliknya, ayah dan ayah mertuanya datang memberitahu, Abdullah demam panas di Yathrib. Beliau sedang dijaga oleh keluarganya di sana. Mereka menasihatkan Aminah supaya bersabar. Beberapa hari kemudian, Abdullah meninggal dunia. Jenazahnya disemadikan di Yathrib. Pengantin baru yang berusia 18 tahun itu belum sempat menemui isterinya buat kali kedua. Jantung Aminah bagai dihiris-hiris kesedihan.

     Hari demi hari berlalu. Aminah semakin dapat melupakan perstiwa sedih itu. Beliau sedang sarat mengandungkan anak sulungnya yang bakal lahir tidak lama lagi. Ketika ini, orang ramai sedang sibuk bercakap mengenai tentera Abrahah Habsyi akan menyerang Mekah dan menghancurkan Ka'abah. Ramai yang keluar dari kota itu bagi menyelamatkan diri.

     Abdul Muttalib juga menasihatkan Aminah supaya berlindung bersama mereka. Namun kata-kata Abdul Muttalib itu tidak dipedulikan langsung oleh Aminah. Beliau tidak mahu meninggalkan kota Mekah dan mahu berlindung saja di dalam Ka'abah. Beliau yakin tentera Abrahah tidak akan memasuki Ka'abah kerana ia dilindungi Tuhan yang Maha Esa.

     Abdul Muttalib marah dengan keputusan Aminah itu. Namun beliau hairan dengan sikap Aminah yang sedikit pun tidak takut atau gentar. Apa yang dirasakan oleh Aminah itu terbukti benar. Allah melindungi Ka'abah dengan menghantar burung-burung Ababil yang membawa batu-batu dari neraka Sijjil lalu melemparkannya ke atas tentera gajah Abrahah. Mereka dimusnahkan sebelum sempat memasuki Mekah.

     Ketika orang ramai sibuk memperkatakan peristiwa itu, Aminah merasakan tanda-tanda kelahiran anaknya sudah hampir tiba. Pada malam Isnin Rabiul Awal tahun Gajah, Rasulullah SAW pemimpin umat dilahirkan. Cahaya yang terang benderang menyinari seluruh alam, menyambut kelahiran bayi istimewa bernama Muhammad. Selepas matahari pagi bersinar, Aminah segera menghantar utusan kepada Abdul Muttalib dan memberitahu berita gembira itu. Abdul Muttalib segera menuju ke rumah Aminah. Dengan gembira, beliau mendukung cucunya itu dan membawanya bertawaf di Ka'abah. Beberapa hari kemudian, Muhammad diserahkan kepada seorang wanita bernama Halimah untuk disusukan dan dijaga sementara waktu.

     Selepas dua tahun bersama Halimah, Muhammad dikembalikan kepada Aminah. Aminah menguruskan sendiri semua keperluan anaknya, mendidik dan mengasuhnya dengan penuh cinta sehingga terserlah sifat-sifat Muhammad yang bijak dan cerdas. Ketika Muhammad berusia enam tahun, Aminah membawa Muhammad dan pembantunya, Ummu Aiman menziarahi pusara Abdullah di Yathrib. Apabila tiba di Yathrib, mereka menginap di rumah keluarganya yang sedang menunggu ketibaan mereka. Keesokan harinya, beliau membawa Muhammad ke pusara ayahnya.

      Selepas berada di Madinah selama sebulan, Aminah bercadang mahu pulang ke Mekah. Mereka pun bersiap-siap untuk berangkat. Dalam perjalanan, mereka dilanda ribut pasir. Aminah yang sedang uzur itu tidak mampu bertahan lebih lama dalam keadaan itu. Beliau dapat merasakan ajalnya hampir dekat. Beliau memeluk anaknya dengan erat dan merenung mukanya. Lama kelamaan pelukan itu semakin lemah. Dengan nada dan suara yang agak perlahan, Aminah mengucapkan selama tinggal, "Aku akan mati dan sebutanku akan tinggal. Aku telah meninggalkan yang baik dan aku telah melahirkan yang suci..." Kemudian Aminah tidak bergerak lagi. Beliau telah pergi buat selama-lamanya.

     Sejurus selepas mententeramkan Muhammad, Ummu Aiman menyempurnakan jenazah Aminah. Jenazah Amnah diangkat ke atas untanya lalu memimpin Muhammad dan berjalan menuju ke Kampung Al-Abwaa'. Di sana Ummu Aiman berhenti bagi menguruskan mayat Aminah. Bersemadilah Aminah di Ab'waa buat selama-lamanya.

     Nama Aminah telah dicatit di dalam sejarah yang abadi sebagai ibu Nabi berbangsa Arab itu Rasulullah SAW.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD. 

No comments:

Post a Comment