Monday 30 January 2017

JANGAN BERSEDIH






JANGAN BERSEDIH










Pandangan orang-orang soleh kebanyakannya bertukar negatif terhadap mereka yang berbuat dosa. Begitu sedikit orang yang berasa dirinya faham pada agama, bertoleransi dan bersabar terhadap mereka yang berdosa. Sekiranya mereka tidak menghamburkan kata-kata nista, mereka pasti menyisihkan sesiapa yang berdosa dalam kehidupan.

     Benar, dosa itu jijik. Benar, ingkar kepada Allah itu lebih busuk daripada najis. Namun, perumpamaan jijik dan najis hanya untuk diri kita bagi mengajak diri kita menjauhi perbuatan dosa. Apabila yang jijik dan yang najis itu melekat pada orang lain, apakah yang patut kita lakukan? Ini adalah warkah untuk kita, wahai sahabat. Kita yang berdosa.

     Jangan bersedih. Sesungguhnya pengampunan Allah itu lebih luas daripada kemarahan-Nya.


Tidak Ada Manusia Sempurna

Tidak ada manusia sempurna. Selain daripada rasul dan nabi. Tidak ada lagi yang maksum selain mereka. Semua manusia melakukan dosa.

     Namun, sebaik-baik orang yang berdosa, adalah mereka yang bergerak pulang kepada Allah SWT.

     Orang pasti menghina kita. Orang pasti memerli kita. Orang berkata pada kita itu dan ini. Sukar berhadapan dengan semua kritikan dan hinaan itu. Namun, kita perlu tabah.

     Sematkan dalam diri kita bahawa semua kritikan, perlian, dan hinaan itu adalah balasan terhadap dosa kita. Kita perlu bersabar melalui balasan yang Allah berikan itu, di samping kita bergerak mempertingkatkan diri kita. Jangan kita terfikir membalas hinaan mereka dnegan hinaan ataupun berfikir untuk berhenti daripada perubahan kepada kebaikan. Sekiranya kita berhenti, sebenarnya kita tertipu oleh syaitan yang mati-matian cuba menghalang kita daripada Allah SWT. Tidak ada manusia sempurna. Apabila berbuat dosa, itu adalah lumrah sebagai manusia.

     Namun, apabila kita sedar dan berusaha bangkit daripada dosa, sebenarnya kita adalah yang terbaik dalam kalangan manusia. Ini kerana, kita termasuk dalam golongan yang dicintai Allah SWT. Allah menjelaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 222 yang bermaksud:

          "Sesungguhnya Allah begitu mencintai mereka yang sering
          bertaubat dan membersihkan diri."

Kepada mereka yang menghina orang yang berdosa, ketahuilah bahawa saudara juga tidak sempurna dan punya dosa yang perlu diperbaiki. Apa kata, daripada menghina, menyisihkan orang-orang yang berdosa, saudara sama-sama berpimpin tangan memperbaiki diri ke arah redha-Nya?


Keampunan Allah

Wahai sahabatku, yang terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat, apabila kita bangkit dan ingin melakukan perubahan, ketahuilah bahawa yang mengampunkan kita bukan manusia.

     Allah yang menentukan manusia itu kafir ataupun Islam. Allah yang mengira dosa pahala. Allah yang memberikan syurga ataupun neraka kepada kita.

     Berubah dan mohon keampunan-Nya. Jangan kita hiraukan pandangan manusia. Kita tidak meminta keampunan mereka. Jangan kita kasih pada hinaan mereka, bukan mereka yang mengampunkan kita. Manusia, mereka mudah menyimpan dalam hati. Tercalar, mereka simpan hingga mati. Apabila kita berdosa, mereka sukar menerima kita kerana berasa dikhianati. Tetapi, keampunan Allah lebih luas daripada kemarahan-Nya. Allah, sentiasa membuka pintu taubat-Nya. Walaupun hamba-Nya membunuh 100 nyawa ataupun lebih daripada itu. Sekiranya hamba itu kembali kepada-Nya, Dia pasti menerima. Lihatlah kecintaan Allah SWT dalam surah Yusuf, ayat 87 yang bermaksud:

          "Jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah,
          sesungguhnya yang berputus asa itu adalah mereka yang kafir."

Allah tidak meninggalkan kita. Walaupun seluruh dunia menyisihkan kita. Dia menyuruh kita menyambungkan harapan kita kepada-Nya. Jangan berputus asa. Allah bersama kita.

     Sedikit pesanan kepada yang suka menghina pendosa, ketahuilah Allah itu lebih mulia dan lebih besar daripada kita. Namun, Allah pun berkasih sayang dan memberikan peluang. Kita?


Kepada Orang yang Menghina Pendosa

Perkara yang saya mahu katakan, jangan sesekali kita berasa kita ini sudah sempurna. Hati kita ini, di hujung kekuasaan Allah SWT bagi membalikkannya. Jangan ingat, hari ini kita beriman, esok kita pasti beriman lagi. Sepatutnya kita menjaga keimanan kita dan menjaga pula keimanan kawan-kawan kita. Bukan membiarkan mereka dalam lubang kehinaan selama-lamanya.

     Ada suatu kisah berkenaan seorang alim. Pada suatu hari dia berjalan, kemudian terlanggar seorang Nasrani. Semasa terlanggar, orang alim itu berkata, "Cis, ahli neraka!"

     Orang nasrani itu marah. Dia berkata, "Apakah kamu yang memegang neraka? Saksikan bahawasanya aku ini naik saksi bahawa Allah itu Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Dia, dan Muhammad itu rasul-Nya." Kemudian, orang Nasrani itu meninggalkan orang alim.

     Orang alim meneruskan perjalanan, akhirnya dia melalui sebuah rumah. Keluar daripada rumah itu, gadis yang cantik hingga memikat dirinya. Dia segera bertemu dengan ayah perempuan itu, meminta dikahwinkan dengannya. Rupanya, keluarga itu adalah keluarga Nasrani. Ayah kepada perempuan itu berkata, "Sekiranya kamu mahu mengahwini anakku, masuklah ke agamaku ini, dan bekerjalah sebagai penternak khinzirku selama beberapa bulan."

     Oleh kerana hatinya sudah sawan dengan perempuan itu, tanpa sedar, lelaki alim tadi bersetuju. Pada suatu ketika, lelaki Nasrani yang sudah memeluk Islam tadi melalui kembali jalan itu dan terserempak dengan lelaki alim tadi yang sedang menggembala khinzir.

     "Apa yang sudah berlaku kepada kamu, wahai Muslim?" Orang alim tadi menjawab, "Kerana aku menghinamu, Allah menukarkan kedudukan kita." Ini adalah kisah untuk ingat-ingatan kepada yang suka menghina pendosa.

     Saya berpandangan bahawa orang yang berdosa ini perlu kita bimbing. Tambahan mereka yang berdosa daripada golongan tersungkur. Mereka itu pada awalnya baik, kemudian berbuat dosa. Sebenarnya, sesiapa yang menyisihkan pendosa, dia berdosa secara tidak langsung. Sepatutnya kita mendekati orang yang berdosa dan merancang bagi mengubah mereka. Bukan kita hina dan tinggalkannya terkontang-kanting.


Sahabat, Jangan Bersedih

Kepada sahabatku yang terpalit dengan lumuran dosa, ketahuilah bahawa saudara tidak keseorangan. Saya pun bukan manusia sempurna. Kita sama-sama berdosa. Sama-sama saya mengajak saudara untuk kembali kepada yang Esa. Hinaan orang di sekeliling kita bukan penutup pintu taubat-Nya.

     Taubat Allah hanya tertutup pada dua perkara, iaitu pertama, mati dan kedua, matahari terbit dari barat. Selain daripada itu, berkejar-kejaranlah kita mencapai keampunan-Nya.

     Memang susah mahu meninggalkan dosa. Namun, kita perlu berusaha. Seperti usahanya pembunuh 100 orang dalam hadith yang dilaporkan oleh Muslim, lelaki itu tidak sempat bertaubat. Dia baru sahaja bergerak untuk bertaubat. Tetapi, Allah mengampunkannya dan memasukkannya ke dalam syurga, kerana dia bergerak kepada-Nya.

     Jangan kita berlengah. Biar seluruh dunia menghina kita. Jangan kita jadikan itu pelambat langkahan kita kepada Allah SWT.

     Saya ada kata-kata sebagai perkongsian, "Sahabat, saya mahu berpimpin tangan dengan saudara untuk masuk syurga. Sekiranya saudara terjun ke dalam neraka sekali pun, saya juga terjun dalam api itu, bagi menarik tangan saudara semula."

     Ini kerana, saya sahabat saudara. Apabila saya yang tersungkur, suka sekiranya ada yang menghulurkan tangan. Manusia, perlu sokong-menyokong, nasihat-menasihati, dan bantu-membantu. Baru ada sempurna-menyempurnakan.

     Jangan berputus asa dengan hinaan orang.

     Kita bergerak kepada Allah yang langsung tiak menghina kita.

     Alla yang mengampunkan dosa-dosa kita.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment