Monday 16 January 2017

SINGGAHSANA BALQIS






SINGGAHSANA BALQIS








"Mana lagi nak ditemu hikayat
Kisah Balqis dan Nabi Sulaiman
Disinarkan cahaya pada jahil Sang Ratu
Lantas di dalam cahaya mereka bersatu
Membawa sejahtera seluruh benua."




Saba' adalah sebuah negara yang mahsyur dengan kotanya Makrab dan empangannya. Perkataan Saba' mempunyai hubung kait dengan nama raja perempuannya iaitu Balqis.

     Saba' pernah diserang oleh seorang penjahat bernama Amru dan bala tenteranya yang ingin merampas negeri itu dari Ratu Balqis. Namun Ratu Balqis yang pintar itu dapat mematahkan cubaan rampasan kuasa itu dengan tipu muslihat. Beliau telah memberikan arak kepada Amru dan menyembelihnya hingga mati ketika Amru sedang mabuk. Kemudian Ratu Balqis mengatur satu rundingan bersama-sama Raja dan pembesar-pembesar Himyar di istananya yang bernama Ghamdan dan mereka semua telah bersetuju untuk melantik Balqis menjadi Ratu negerinya itu.

     Ratu Balqis adalah ratu yang luar biasa kecantikannya. Walaupun beliau seorang wanita namun beliau sendiri yang menerajui urusan pemerintahan negerinya. Beliau amat cekap mentadbir negerinya seperti raja-raja lain yang mentadbir negeri mereka. Nama Balqis terkenal di merata-rata negeri sehingga Nabi Sulaiman di Jerusalem pun mengetahui kisahnya.

     Ratu Balqis mentadbir negerinya dengan berani dan bijaksana. Beliau sentiasa cergas dan cerdas. Di tangannya terletak kuasa yang besar. Kerajaannya maju, mewah dan kuat. Beliau mempunyai bala tentera yang paling besar dan banyak negeri menjadi tawanannya. Di bawah pemerintahannya, beliau telah membangunkan empangan Makrab yang terkenal yang boleh mengumpulkan air dari tiga gunung.

     Ratu Balqis juga telah membina sebuah istana bernama Istana Balqis di kota Makrab seperti yang termaktub di dalam Al-Quran. Diriwayatkan bahawa Istana Balqis dibina setinggi 10 tingkat. Dewan perundangannya yang terletak di tingkat paling atas dihiasi dengan batu marmar yang berwarna-warni dan syilingnya pula bercermin kaca. Takhta kerajaan Ratu Balqis pula dibuat daripada emas dan perak bersalut permata maknikam, yakut merah, zamrud hijau dan berlian.

     Rakyat Saba' hidup dengan aman dan tenteram. Ekonominya berkembang pesat sehingga rakatnya dapat menikmati kekayaan dan kemewahan. Kemajuan yang dicapai oleh negeri Saba' dan Ratu Balqis dikenang oleh sejarah sehingga ke hari ini. 

     Salah satu peristiwa yang sentiasa disebut-sebut dan tidak pernah dilupakan ialah Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis. Nabi Sulaiman adalah seorang raja besar di Jerusalem. Beliau telah dikurniakan oleh Allah kuasa istimewa yang belum pernah dimiliki oleh seseorang pun sebelum dan sesudahnya. Nabi Sulaiman dikurniakan oleh Allah akal yang bijaksana serta dapat memahami bahasa binatang seperti firmanNya:

     "Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan beliau berkata: 'Hai 
     Manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan
     kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-
     benar suatu kurnia yang nyata.'" (An-Naml: 16)

Nabi Sulaiman bukan sahaja diberi kuasa untuk memahami bahasa binatang malah beliau juga diberi kuasa ke atas jin dan angin. Disebabkan ilmunya yang luas dan luar biasa ini beliau tidak digelar sebagai Nabi malah beliau digelar dengan nama "Raja Sulaiman Yang Bijaksana".

     Suatu hari Raja Sulaiman memanggil burung hud hud, namun ia hilang entah ke mana. Akhirnya burung itu muncul dan memberitahu baru pulang dari kota Saba' di Yaman yang kerajaannya dikuasai oleh seorang ratu. Takhta kerajaannya diperbuat dari permata manikam yang sangat mahal, namun beliau dan seluruh rakyatnya adalah penyembah matahari dan bukan Allah.

     Mendengarkan hal ini Raja Sulaiman kehairanan. Beliau masih tidak percaya di zaman kekuasaannya masih lagi terdapat manusia yang menyembah selain Allah. Lalu beliau pun menulis sepucuk surat dan memerintahkan Hudhud memberikannya kepada Ratu Balqis. Tanpa membuang masa lagi, Hudhud pun terus pergi menyempurnakan tugasnya. Beliau telah pergi ke istana Balqis dan dilemparkan surat itu di mana Ratu Balqis beradu.

     Ratu Balqis lalu membaca surat itu. Dilihatnya surat itu datang dari Raja Sulaiman yang memerintahkan agar Ratu Balqis datang menyerah diri dalam keadaan beragama Islam. Ratu Balqis kemudiannya telah memanggil semua pemimpin kerajaannya dan orang-orang bijaksana untuk mengkhabarkan kandungan surat Raja Sulaiman itu. Ratu Balqis telah meminta pandangan mereka seraya berkata: "Beritahulah apa yang harus aku lakukan. Aku tidak mahu membuat keputusan tanpa terlebih dahulu membincangkannya kepada kalian!" Pemimpin-pemimpin Saba' dengan sombong mengatakan bahawa mereka bersedia untuk melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh Ratu Balqis ke atas mereka seperti jawapan mereka yang terkandung di dalam Al-Quran:

     "Kita adalah orang-orang yang memiliki kekuatan dan (juga)
     memiliki keberanian yang sangat (dalam peperangan) dan
     keputusan berada di tanganmu; maka pertimbangkanlah apa yang
     akan kamu perintahkan." (An-Naml: 33)

Setelah mendengar ucapan pemimpin-pemimpinnya itu, Ratu Balqis diam sejenak untuk memikirkan apakah langkah yang sewajarnya diambil. Kemudian Ratu Balqis pun bertitah: "Kita akan cuba berbuat baik kepada Raja Sulaiman sebelum mengambil sebarang keputusan untuk berperang. Kita akan memikat hatinya dengan pelbagai hadiah untuk mengalihkan hasratnya untuk memerangi kita."

     Setelah semua hadiah-hadiah yang mahal itu disediakan, Ratu Balqis memerintahkan supaya dipersembahkan kepada Raja Sulaiman. Beliau juga memerintahkan supaya memerhatikan segala perihal kerajaan Raja Sulaiman serta kekuatannya. Lalu mereka pun segera menjalankan apa yang diperintahkan oleh Ratu Balqis itu.

     Apabila utusan Ratu Balqis itu tiba di istana Raja Sulaiman, mereka telah menerima satu tamparan hebat dari Raja Sulaiman. Raja Sulaiman bukan sahaja telah menolak segala hadiah pemberian mereka itu, malah beliau juga telah mengisytiharkan perang ke atas mereka dengan satu bala tentera yang besar dan akan mengheret mereka keluar dari negeri mereka dalam keadaan hina-dina seperti yang terkandung di dalam Al-Quran:

     "Maka tatkala utusan itu sampai kepada Sulaiman, Sulaiman
     berkata: 'Apakah (patut) kamu menolong aku dengan harta?
     Maka apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada
     apa yang diberikanNya kepadamu; tetapi kamu merasa bangga
     dengan hadiahmu." (An-Naml: 36)

     "Kembalilah kepada mereka, sungguh kami akan mendatangi
     mereka dengan bala tentera yang mereka tiada kuasa melawannya
     dan pasti kami akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba')
     dengan terhina dan mereka menjadi (tawanan-tawanan) yang
     hina dina." (An-Naml: 37)

Apabila utusan Ratu Balqis itu pulang ke negeri mereka, mereka lalu menyampaikan perutusan dari Raja Sulaiman itu. Mendengar ucapan mereka itu, Ratu Balqis mula bimbangkan rakyatnya. Beliau lalu memutuskan akan pergi menemui Raja Sulaiman sendiri berserta beberapa orang pembesar negeri untuk berbincang bagi menjauhi peperangan itu.

     Setelah mendapat berita bahawa Ratu Balqis akan datang menemuinya, Raja Sulaiman telah memerintahkan supaya dibangunkan sebuah istana dari kaca untuk diperlihatkan kepada Ratu Balqis akan kekuasaannya serta kurniaan Allah kepadanya. Beliau juga berharap agar Ratu Balqis merasa takjub dengan apa yang dilihatnya. Raja Sulaiman juga memutuskan untuk memindahkan istana Ratu Saba' yang indah itu ke negerinya sebelum sempat Ratu Balqis sampai ke negerinya seperti ayat yang terkandung di dalam Al-Quran:

     "Berkata Sulaiman: 'Hai pembesar-pembesar, siapakah di antara
     kamu sekalian yang sanggup membawakan singgahsananya
     kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang
     yang berserah diri.' Berkata Ifrit (yang cerdik) dari golongan jin:
     'Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgahsana
     itu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya
     aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercayai.'
     Berkata seorang yang mempunyai ilmu dari Al-Kitab: 'Aku akan
     membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip.'
     Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu telah terletak di
     hadapannya, iapun berkata: 'Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk
     mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan
     nikmatNya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya
     beliau bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa
     yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha
     Mulia." (An-Naml: 38-40)

Maka segala kemahuan Raja Sulaiman itu pun ditunaikan. Takhta Ratu Balqis dibawa ke negeri Raja Sulaiman dan diletakkan di dalam istana kaca yang baru dibina.

     Apabila Ratu Balqis tiba dengan rombongannya, dilihatnya istana yang berada di hadapannya amat serupa dengan istananya. Ratu Balqis merasa satu keajaiban. Bagaimana istana ini boleh menyerupai istananya di Saba'. Ratu Balqis cuba mendekati takhta itu. Beliau telah menyinsing kainnya hingga ke betis kerana menyangkakan lantai itu dipenuhi dengan air. Namun pengawal istana telah menegurnya dengan berkata bahawa itu adalah kaca yang kelihatan seperti air.

     Peristiwa ini ada terkandung di dalam Al-Quran:

     "Dan ketika Balqis datang, ditanyakan kepadanya: 'Serupa inikah
     singgahsanamu?' Beliau menjawab: 'Seakan-akan singgahsana
     ini singgahsanaku, kami telah diberi pengetahuan sebelumnya 
     dan kami adalah orang-orang yang berserah diri. Dan apa yang
     disembahnya selama ini selain Allah, mencegahnya (untuk
     melahirkan keislamannya) kerana sesungguhnya beliau dahulunya
     termasuk orang-orang yang kafir. Dikatakan kepadanya: 'Masuklah
     ke dalam istana.' Maka tatkala beliau melihat lantai istana itu,
     disangkanya kolam air yang besar lalu disingkapkannya kedua-dua
     betisnya. Berkata Sulaiman: 'Sesungguhnya ia adalah istana licin
     terbuat dari kaca.' Berkatalah Balqis: 'Ya Tuhanku, sesungguhnya
     aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah
     diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam.'"
     (An-Naml: 42-44)

Setelah peristiwa itu, Ratu Balqis telah berkahwin dengan Raja Sulaiman dan rakyatnya di Saba' juga turut memeluk agama Islam. Mereka telah dikurniakan beberapa orang anak. Ratu Balqis menghembuskan nafasnya yang terakhir selang setahun pembunuhan ke atas anaknya Rahbaam bin Sulaiman.

     Nama Ratu Balqis akan sentiasa dikenang dan disanjung sebagai seorang Ratu Arab yang terbilang di dalam sejarah.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD. 

No comments:

Post a Comment