Wednesday 18 January 2017

MENCARI KEKUATAN, KEBAHAGIAAN, DAN KETENANGAN






MENCARI KEKUATAN, KEBAHAGIAAN, DAN KETENANGAN








Kehidupan manusia bukan sentiasa berada di atas. Kembar pada kehidupan manusia adalah ujian. Apabila tiba masanya, manusia diuji dari pelbagai arah yang tidak dijangka. Kadangkala, ujian datang dalam keadaan manusia tidak bersedia.

     Ketika itu, manusia mula terkapai-kapai. Mencari sesuatu yang dinamakan kekuatan. Mereka mahu mendapatkan sesuatu yang bernama kebahagiaan. Cuba menggapai sesuatu yang dipanggil ketenangan. Tetapi, di mana?

     Semua itu di mana? Ini antara soalan yang diutarakan oleh manusia di muka bumi ini.


Cari Sumbernya?

Siapakah yang menyisipkan kekuatan? Siapakah yang memberikan kebahagiaan? Siapakah yang menyusupkan ketenangan?

     Siapa?

     Allah.

     Jawapan saya hanya satu, dan tiada lain. Allah menerangkan dalam surah At-Taubah, ayat 40 yang bermaksud:

          "Sekiranya kamu tidak menolongnya, iaitu Nabi Muhammad
          sesungguhnya Allah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir
          mengeluarkannya dari negeri Makkah. Ia adalah seorang
          daripada dua orang sahabat berlindung dalam gua. Ia berkata
          kepada sahabatnya, 'Jangan engkau berdukacita, sesungguhnya
          Allah bersama kita.' Allah menurunkan ketenangan kepada
          Nabi Muhammad dan menguatkannya dengan bantuan tentera,
          iaitu malaikat yang kamu tidak dapat melihatnya. Allah
          menjadikan seruan syirik orang-orang kafir terkebawah dan
          kalah dengan sehina-hinanya. Kalimah Allah (Islam) adalah
          yang tertinggi selama-lamanya, kerana Allah Maha Kuasa, lagi
          Maha Bijaksana."

Ketika Rasulullah SAW bersama Abu Bakar, mereka dikejar dan diburu oleh kaum musyrik Quraisy. Mereka hampir dijumpai dalam Gua Tsur dan Allah menurunkan ketenangan dalam hati mereka berdua. Betapa berkuasanya Allah. Pada saat mereka tersepit, ketenangan daripada Allah mampu menghilangkan kegelisahan. Allah menjelaskan dalam surah Al-Anfal, ayat 10 yang bermaksud:

          "Tidak ada ketenangan dan pertolongan itu, selain daripada
          Allah."

Itu adalah janji Allah. Mengapa Allah berjanji sedemikian rupa? Ini kerana, Dia adalah pemegang kekuatan. Pada Allah ada kudrah. Dia berhak membantu sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Siapakah yang pernah meminta kekuatan daripada-Nya? Dalam surah Asy-Syarh, ayat 1 hingga 12 yang bermaksud:

          "Bukankah Kami melapangkan bagimu dadamu? Kami
          meringankan daripadamu bebanku dalam menyiarkan syiar
          Islam."

Akhirnya, Allah sumber kepada semua yang dikehendaki oleh kita. Kekuatan, ketenangan, dan kebahagiaan adalah daripada Allah. Allah yang memberikannya, Allah juga yang menariknya semula. Siapakah antara kita yang bergerak ke arah-Nya?


Hubungan Kita dengan Allah SWT

Terdapat segelintir manusia di bumi ini yang hanya mengingati Allah SWT apabila dilanda kesusahan sahaja. Apabila mereka berhajatkan sesuatu, lantas baru mereka mencari Allah. Ketika mereka kaya, berharta, bahagia, dan senang hati, mereka lupa kepada Allah, malah bongkak kepada-Nya.

     Siapakah antara kita yang berusaha menjaga hubungannya dengan Allah? Ataupun sebenarnya kita langsung tidak merasakan ikatan kita dengan Allah? Adakah kita hanya melihat Allah itu di masjid sahaja? Adakah di masjid sahaja, kita sibuk menjaga hubungan kita dengan Allah? Bagaimana pula di pejabat? Bagaimana di sekolah? Bagaimana di tempat kita berada sekarang? Adakah kita berasa ikatan dengan Allah SWT?

     Hubungan dengan Allah adalah hubungan yang unik. Ini kerana, kita berhubung dengan Allah yang ghaib daripada pandangan kita. Tetapi, bagi manusia yang beriman, mereka sentiasa merasakan Allah SWT dekat dengannya. Allah menyatakan dalam surah Qaaf, ayat 16 yang bermaksud:

          "Demi sesungguhnya, Kami mencipta manusia dan Kami
          sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, malah
          pengetahuannya. Kami lebih dekat kepadanya dengan urat
          lehernya."

Hatta, yang kita bisikkan dalam hati pun, Allah mengetahuinya. Apakah patut semasa bekerja kita memutuskan hubungan kita dengan-Nya? Apakah pantas, semasa belajar, kita memutuskan hubungan kita dengan-Nya? Mereka yang menghubungkan diri dengan Allah pada setiap masa, mereka serius dalam pekerjaan mereka. Mereka tidak mencuri tulang, tidak korup, tidak pecah amanah, dan tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah sepanjang pekerjaan mereka. 

     Mereka berusaha sebaik mungkin bagi menjaga segala yang diperintahkan oleh Allah SWT pada setiap masa. Semuanya bagi mendapatkan kebaikan daripada Allah SWT. Allah menegaskan dalam surah Asy-Syura, ayat 30 hingga ayat 31 yang bermaksud:

          "Apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan
          ataupun bala bencana, ia adalah disebabkan apa yang kamu
          lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan
          berdosa. Pada masa yang sama, Allah memaafkan sebahagian
          besar daripada dosa-dosa kamu. Kamu tidak dapat melemahkan
          kuasa Allah daripada menimpakan kamu dengan bala bencana,
          walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja di muka bumi
          ataupun langit. Kamu juga tidak beroleh sesiapa pun yang
          lain daripada Allah sebagai pelindung ataupun pemberi
          pertolongan."


Saya Mendekati Allah, Tetapi Mengapa Tidak Bahagia?

Ini adalah soalan yang popular. Ada dalam kalangan kita yang mendekati Allah, tetapi tetap tidak bahagia. Hidup terasa sukar. Malah, masih terasa sempit dan tidak tenang.

     Adakah ini bermakna, mendekati Allah SWT tidak memberikan apa-apa kesan? Saya hanya tersenyum. Allah menyatakan bahawa segala keburukan adalah daripada diri manusia sendiri.

     Cuba lihat dan kaji semula. Mengapa kita berasa tenang? Mengapa kita tidak bahagia? Mengapa kita tidak mempunyai kekuatan? Walaupun sudah mendekati Allah, mengapa semua itu tidak muncul? Antara sebab utama adalah, "Kita mendekati Allah dan meminta kepada-Nya. Pada masa yang sama, kita mendekati apa yang dimurkai-Nya dan mencintai pula kemungkaran itu."

     Ini adalah punca dan penghalang kepada kebahagiaan kita, kekuatan kita, dan ketenangan kita. Dosa ibarat bintik hitam yang melekat dalam hati. Semakin banyak dosa, semakin banyak bintik hitam.

     Akhirnya, hati kita menjadi gelap dan keras. Kita mendekati Allah, tetapi kita mencintai maksiat. Kita tidak membuang punca keresahan kita, kita tidak membuang punca kelemahan kita, dan kita tidak membuang punca kegelisahan kita. Bagaimana kita mahu mencapai kekuatan, ketenangan, dan kebahagiaan?

     Kita perlu mengkajinya semula.

     Mustahil kita menggabungkan dua cinta ini dalam satu masa.

     Cinta kepada Allah, dan cinta kepada kermukaan-Nya.


Puncanya Adalah Kita Menjauhi-Nya

Hairan apabila kita melihat kembali kehidupan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang miskin dan serba kekurangan. Contohnya, Bilal bin Rabah, Abu Hurairah, hatta Rasulullah SAW. Tetapi, mereka bahagia dan penuh dengan ketenangan. Tidak ada sahabat Rasulullah SAW yang mempunyai rumah besar seperti kita. Rasulullah SAW sendiri tidur di atas pelepah tamar sehingga berbirat belakang tubuhnya. Kita pula selesa dengan tidur di atas tilam.

     Tetapi, mereka bahagia. Mereka kuat. Mereka tenang. Sesiapa yang melihat mereka, pasti berasa tenang juga.

     Mengapa? Ini kerana, mereka mendekati Allah SWT. Mereka beriman dengan Allah SWT. Allah menerangkan dalam surah Al-Anfal, ayat 64 yang bermaksud:

          "Wahai nabi, cukuplah Allah menjadi penolongmu, dan juga pengikut-
          pengikutmu daripada orang-orang yang beriman."

     Ya, Allah sudah cukupkan untuk mereka.

     Saya teringat suatu kisah, orang selalu membaca, "Hasbi rabbi jallallah, ma fi qalbi ghairullah," yang bermaksud, "Cukuplah untuk aku Tuhanku Allah yang Agung, tidak ada dalam kalbuku melainkan Allah." Di manakah kata-kata seperti ini dalam kehidupan kita?

     Apakah punca kelemahan kita? Apakah punca kegelisahan kita? Apakah punca keresahan kita?

     Kita menjauhi Allah SWT. Apabila manusia tidak mengambil Islam sebagai panduan, apakah yang berlaku kepada dunia? Huru-hara.

     Mengapa manusia tidak memerhatikan ini?

     Mengapa kita tidak memerhatikan perkara ini?

     Dunia ini bukan terpagar dalam alam materialistik sahaja.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment