Sunday 22 January 2017

MENGHIDUPKAN JIWA






MENGHIDUPKAN JIWA








Mungkin ada yang tertanya, bagaimana jiwa mati? Jawapan saya mudah. Jiwa mati apabila berjauhan dengan Allah SWT. Mungkin jawapan ini kelihatan remeh, tetapi manusia yang percaya, akhirat adalah destinasi akhirnya, perkara ini kelihatan besar. Hakikatnya, ini adalah kebenaran.

     Jiwa semakin lemah dan akhirnya mati, kerana ia jauh daripada Allah SWT. Ada satu lompong dalam jiwa yang akhirya memunculkan perasaan tidak senang, berasa gelisah, dan berasa resah. Sekiranya wajah kita tersenyum, dalam hati tetap berasa gundah. Kita berasa hidup tidak bermakna.

     Kita berasa kosong. Berasa gelap.

     Itu adalah perasaan orang yang mati jiwanya. Mungkin sahaja dia hidup seperti manusia lain, belajar seperti orang lain, kerja seperi orang lain, ada kawan-kawan, ada keluarga, dan tatkala dia terluka pasti bersedih. Tetapi, dia melalui semua itu dengan kekosongan.

     Sebab, jiwanya sudah mati.

     Dia jauh daripada Allah SWT. 


Selalunya Kita Terlepas Pandang

Apabila ajaran Islam diambil secara sebahagian-sebahagian, maka kita melihat bahawa manusia berhadapan dengan satu masalah. Iaitu, masalah memandang Islam sebagai satu agama yang teori dan hanya wujud dalam buku-buku. Kita menghadapi satu lagi masalah, iaitu hubungan kita dengan Allah tidak mampu kita kuatkan.

     Tali yang menguatkan hubungan kita dengan Allah SWT seperti solat, membaca Al-Quran, berzikir, dan bersilaturahim menjadi lemah kerana semua perkara itu diambil sebagai adat. Secara tidak langsung, kita meletakkan Allah sebagai watak sampingan. "Yang penting saya solat." "Asalkan sehari saya membaca Al-Quran, kira cukuplah.

     Perkara-perkara ini adalah penyebab jiwa tidak terisi. Walaupun solat, walaupun membaca Al-Quran, walaupun bersilaturahim, walaupun melakukan kebaikan, jiwa tetap berasa kosong. Ini kerana, kita tidak letakkan Allah sebagai matlamat dalam amalan kita.

          "Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang bersolat, iaitu
          mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan
          solatnya. Juga bagi orang-orang yang berkeadaan riyak dan
          bangga diri dalam ibadat." Maksud daripada surah Al-Maun
          ayat 4 hingga 6.

Pernahkah kita terfikir, adakah selama ini kita melakukan sesuatu kerana mahu berhubung dengan Allah.


Jalan Menghidupkan Jiwa Hanya Satu

Jalan menghidupkan jiwa hanya satu. Iaitu menjaga hubungan kita dengan Allah SWT. Tidak ada jalan lain bagi menghidupkan jiwa. Meditasi, tafakur dalam gua, berseorangan, semuanya tidak bermakna sekiranya ia tidak berhubung dengan Allah SWT.

     Oleh itu, kita sebagai manusia perlu melihat kembali hubungan kita dengan Allah SWT. Lebih-lebih lagi yang merasakan jiwanya kosong, gelap, gundah, resah, dan 1001 lagi perasaan yang tidak senang dalam jiwa dan kehidupannya.

     Bagaimana hubungan kita dengan Allah SWT? Soal diri sendiri.

     Kemudian, lihat pada kehidupan kita. Apakah yang kita isi? Kebaikan? Keburukan? Sekiranya kita sudah isinya dengan kebaikan, kita lihat pula bagaimanakah kita isi kebaikan itu. Benarkah kita berbuat kebaikan itu dengan harapan, mahukan keredhaan Allah. Mahukan kasih sayang-Nya. Mahukan cinta-Nya. Ataupun kita berbuat baik disebabkan adat?

     Matlamat dalam beribadah adalah perkara yang penting. Sekiranya beribadah, melakukan solat, dan membaca Al-Quran, tetapi bukan kerana Allah, nescaya ketenangan tidak hadir. Perkara ini perlu kita perhatikan dengan serius.

     "Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat dan setiap manusia itu apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, hijrahnya kepada Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia untuk habuannya ataupun kerana perempuan untuk dinikahinya, hijrahnya pasti ke arah apa yang dihijrahkannya." Hadith ini dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim.

     Insya Allah, sekiranya kita melihat semula perkara ini satu per satu. Bawa kembali pada diri kita untuk berhubungan dengan Allah SWT. Nescaya, jiwa kita pasti kembali hidup.

     Jelasnya, tidak ada yang mampu menghidupkan jiwa kita, selain daripada pencipta jiwa.

     Siapakah pencipta jiwa?

     Dia adalah Allah SWT.


Dosa Pembunuh Jiwa

Suka diingatkan, sebagaimana di awal bab, jauh daripada Allah adalah sebab kematian jiwa. Dosa adalah sesuatu yang memutuskan hubungan kita dengan Allah SWT.

     Jadi, apa juga dosa, ia pasti membunuh jiwa kita. Perlahan-lahan ia membakar jiwa sehingga hangus dan menjadikannya mati. Kadangkala, dosa ini dilakukan seolah-olah benda itu tidak berdosa. Ia sudah menjadi kebiasaan masyarakat itu. Contohnya, merokok, mencarut, tidak menutup aurat, tidak menjaga pandangan, dan terlalu asyik dengan hiburan.

     Ini antara virus-virus halus yang meragut jiwa kita. Sedar-sedar kita sudah berada di tengah lembah kehancuran, jauh daripada Allah SWT. Apatah lagi yang hidupnya penuh dengan melakukan perkara haram seperti pergaulan bebas tanpa batasan, berzina, menonton video lucah, minum arak, mencuri, rasuah, berbohong, membunuh, dan sebagainya.

     Rasulullah SAW menyatakan, "Sesungguhnya orang Mukmin apabila melakukan satu dosa, terbentuk bintik hitam dalam hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, bersihlah dirinya dairpada bintik hitam itu. Apabila dia terus melaksanakan dosanya, bertambahlah bintik hitam pada hatinya sehingga tertutup seluruh hatinya. Itu adalah karat yang disebut oleh Allah dalam kitabnya, 'Tidak sesekali demikian, sebenarnya apa yang diusahakan sudah menutup hati mereka'." Hadith ini dilaporkan oleh Al-Baihaqi.

     Semakin lama jiwa menjadi hitam seperti kuali hitam. Tidak lagi sensitif. Tidak lagi peka. Tidak lagi merasakan hangatnya bahagia. Akhirnya, jiwa tidak hidup. Sekiranya mahu menghidupkan jiwa, dekati Allah SWT yang Maha Esa.


Ketenangan, Kebahagiaan, dan Kelapangan

Apabila jiwa sudah hidup, baru kita mampu merasai ketenangan, kebahagiaan, kelapangan, dan semua perasaan yang menyenangkan. Kita melihat bahawa hidup bermakna, ibadah-ibadah yang dilakukan terasa berisi, dan memberikan kekuatan dalam hubungan bersama manusia. Semuanya lancar apabila kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT.

     Persoalannya, siapakah yang menjaga hubungan dengan Allah SWT? Mari kita lihat diri kita.

     Adakah kita?

     Sama-sama perhatikan, hubungan kita dengan Allah SWT.

     Mari kita menjadi hamba-Nya dan mencuci dosa-dosa kita.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.



No comments:

Post a Comment