Friday 6 January 2017

EFEK DOSA PADA JASAD






EFEK DOSA PADA JASAD








Kita masih lagi dipanjangkan umur, diberikan izin oleh Allah SWT bagi menyelak lembaran 'Untuk Kita Pendosa'. Bersyukur kepada Allah kerana masih memanjangkan nyawa kita. Bukankah sudah terbukti cinta-Nya kepada kita? Andai Allah membenci kita, pasti kita sudah tidak ada hari ini. Tetapi, kita masih diberi peluang, itu tanda Allah masih sayangkan kita.

     Pada lembaran kali ini, mari kita bersama-sama menyelidik efek dosa kepada jasad.

     Dosa bukan sahaja ada efek pada hati, tetapi juga pada jasad.


Bukti-Bukti daripada Al-Quran

Allah menjelaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 219 yang bermaksud:

          "Mereka bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan arak dan
          judi. Kedua-duanya adalah dosa besar dan ada manfaat kepada
          manusia. Tetapi, dosa kedua-duanya lebih besar daripada 
          manfaatnya."

Allah mengingatkan dalam surah Al-Israk, ayat 32 yang bermaksud:

          "Jangan kamu hampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu
          perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kerosakan."

Allah menegaskan lagi dalam surah An-Nisa', ayat 111 yang bermaksud:

          "Sesiapa yang melakukan sesuatu dosa, sesungguhnya dia
          mencari bala bencana bagi menimpa dirinya sendiri. Ingatlah,
          Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Allah mengingatkan dalam surah Al-Israk, ayat 26 hingga ayat 27 yang bermaksud:

          "Berikanlah hak kepada kerabatmu, orang miskin, dan musafir.
          Jangan kamu membelanjakan harta kamu dengan boros yang
          melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah
          saudara syaitan. Syaitan pula adalah makhluk yang kufur 
          kepada Allah."

Allah menegaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 275 yang bermaksud:

          "Orang-orang yang memakan dan mengambil riba tidak dapat
          berdiri betul. Mereka berdiri dengan terhuyung-hayang seperti
          orang yang dirasuk syaitan. Ini disebabkan mereka mengatakan
          bahawa berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal Allah
          menghalalkan berjual-beli dan mengharamkan riba. Oleh itu,
          sesiapa yang sampai kepadanya peringatan dan larangan
          daripada Allah dan dia berhenti daripada mengambil riba, apa
          yang sudah diambilnya dahulu menjadi haknya. Dan sesiapa
          yang mengulangi perbuatan mengambil riba, dia adalah ahli
          neraka. Mereka kekal di dalamnya."

Terdapat banyak ayat dalam Al-Quran yang mengatakan perbuatan yang membawa kepada dosa. Semestinya perbuatan-perbuatan ini disertakan dengan amaran keras. Itu persamaannya. Mengapa diberikan amaran keras, sekiranya di belakangnya tidak ada sebarang mudarat. Lihatlah apabila Allah menjelaskan dalam surah Asy-Syura, ayat 30 yang bermaksud:

          "Apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan
          ataupun bala bencana, ia adalah disebabkan apa yang kamu 
          lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa.
          Pada masa yang sama, Allah memaafkan sebahagian besar
          daripada dosa kamu."

Ini bermakna setiap dosa yang dilakukan, pasti ada mudaratnya. Mudaratnya adalah disebabkan pilihan pendosa-pendosa itu sendiri yang hendak melakukan dosa.


Terbukti Banyak Keburukan

Kita tidak perlu bersusah payah ke perpustakaan, mahu melihat dan mencari fakta mudaratnya perbuatan dosa pada fizikal manusia. Kita dapat mengambil contoh mudah di sekeliling kita. Seperti penyakit Human Immunodeficiency Virus (HIVB) dan Acquired Immune Deficiency Syndrome (AIDS). Apakah punca kepada penyakit ini? Ia daripada hubungan bebas yang dilarang oleh Islam. Sehingga kita, masih tidak ada lagi rawatan yang nyata yang dapat menyembuhkan penyakit HIV dan AIDS melainkan dengan keajaiban daripada Allah SWT.

     Tidak dinafikan, penyakit ini memberikan impak yang buruk pada badan manusia.

     Kita ambil contoh lain pula. Merokok. Kita arif sekali bahawa rokok adalah punca kepada pelbagai penyakit kanser. Begitu juga penyakit jantung, bronkitis, emfisema, strok, dan ulser pada perut. Itu belum termasuk keburukan asap rokok kepada orang di sekitarnya.

     Antara contoh terdekat adalah meminum arak. Kita sedia maklum, arak menghilangkan kewarasan akal. Pelbagai statistik muncul dan menyatakan keburukan arak. Hampir 45 peratus sehingga 46 peratus kejadian jenayah mengikut statistik British Crime Survey pada tahun 2007 dan 2008 berlaku di bawah pengaruh arak. Daripada sumber yang sama, 39 peratus keganasan rumah tangga turut melibatkan arak.Hampir sejuta serangan ganas berlaku sepanjang tahun 2007 dan 2008 dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk.

     Riba? Ekonomi dunia pada hari ini kucar-kacir disebabkan oleh amalan riba. Atas dasar apakah sistem ekonomi kita dibina? Bukankah sistem kapitalis yang nyata menyimpang jauh daripada ajaran Islam. Pada awalnya kelihatan mengukuhkan ekonomi, tetapi kita lihat kemelesetan mulai berlaku semenjak tahun 2008 sehingga kita. Banyak negara Eropah sudah mula dijilat dengan kemuflisan.

     Itu belum lagi kita menyatakan dosa-dosa lain, seperti membunuh, berbohong, dan mencuri. Ia nyata dan jelas mempunyai pelbagai konsekuensi pada fizikal ataupun kehidupan secara amnya.

     Dosa-dosa ini, nyata membawa keburukan. Saya fokuskan efek dosa pada fizikal dalam lembaran kali ini. Penyakit, kesukaran hidup, kehilangan nyawa, dan sebagainya.

     Mengapakah kita tidak mampu melihat dan berfikir?



Jasad Lemah Kehidupan Rosak

Apa ada pada jasad yang penuh dengan penyakit? Apa ada pada kehidupan yang rosak?

     Tidak ada apa-apa.

     Hanya kehancuran. Kesakitan. Keseksaan.

     Tetapi, mahu salahkan siapa? Takdir?

     Tidak. Kita patut tuding jari pada diri sendiri. Dosa itu, kita yang memilih bagi melakukannya. Perintah Allah SWT itu, kita yang memilih bagi tidak melaksanakannya.

     Di tangan kita ada semua kesalahan itu. Kepada kita semua mudaratnya. Allah menjelaskan dalam surah Asy-Syura, ayat 30 yang bermaksud:

          "Apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan
          ataupun bala bencana, ia adalah disebabkan apa yang kamu
          lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa.
          Pada masa yang sama, Allah memaafkan sebahagian besar 
          daripada dosa kamu."


Seksaan Jasad yang Dasyat dalam Neraka-Nya

Tidak cukup dengan mudarat di atas muka bumi ini. Mereka yang tidak bertaubat daripada melakukan dosa-dosa ini pasti mendapat seksaan yang dasyat di neraka Allah SWT. Cukuplah beberapa ayat menjadi gambaran terhadap kedasyatan itu.

          "Sesungguhnya manusia yang kufur dan ingkar kepada ayat-
          ayat keterangan Kami, Kami bakar mereka dalam api neraka.
          Setiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan dengan
          kulit yang lain supaya mereka dapat berasa azab sengsara itu.
          Ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." Maksud 
          dalam surah An-Nisa', ayat 56.

Kulit yang terbakar, sudah tentu hilang reseptor yang mampu membuatkannya 'berasa'. Lalu, kulit itu akan ditukar lagi. Supaya kita berterusan merasai kesakitan. Begitulah dasyatnya seksaan Allah. Ia berlaku untuk selama-lamanya.

     Bagaimana keadaan kita ketika itu?

     Allah menerangkan dalam surah Al-Ala, ayat 12 hingga ayat 13, yang maksudnya:

          "Orang yang memasuki api neraka tidak mati dan tidak pula
          hidup di dalamnya."


Efeknya Buruk, Mengapa Kita Memilih Keburukan?

Dalam seks, ada nikmatnya. Tetapi, nikmat itu bersifat sementara. Bukan selama-lamanya. Oleh itu, Islam mendidik kita supaya tidak silap meletakkan nikmat. Islam mengajar kita, meletakkan nikmat itu di tempat yang sepatutnya, supaya tidak memudaratkan diri.

     Rokok dan arak juga mempunyai nikat. Tetapi, bukan selama-lamanya. Malah, disertai dengan mudarat yang besar. Islam memberikan alternatif lain yang jauh lebih bersih bagi menghilangkan tekanan, hilangkan kegelisahan, dan hilangkan keserabutan.

     Riba juga mempunyai kelebihannya. Tetapi, keburukannya berkali ganda lebih dasyat daripada kelebihannya. Riba dapat menghancurkan hampir seluruh dunia. Islam tidak melarang kita mencari keuntungan. Namun, pastikan ajaran Islam menjadi panduan kita, mencari keuntungan dengan cara yang baik, cara yang bersih, dan cara yang sebenarnya. Lebih selamat, lebih kukuh, dan lebih terjamin.

     Dosa mempunyai kesan buruk. Kesan pada jasad, iaitu membawa mudarat dan membawa kerosakan yang teruk pada kehidupan. Mengapa kita memilih pada keburukan?

     Wahai pendosa, mengapa kita tidak memikirkannya? Allah menerangkan dalam surah Hud, ayat 19 hingga ayat 24 yang bermaksud:

          "Manusia yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain daripada
          jalan Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi terpesong, dan
          ingkar pada hari akhirat, tetapi mereka tidak dapat melemahkan
          kekuasaan Allah daripada menimpakan mereka azab di dunia.
          Tidak ada sesiapa pun selain daripada Allah, yang dapat menolong
          melepaskan mereka daripada seksaan-Nya. Azab untuk mereka 
          digandakan kerana mereka benci pada jalan agama Allah, sehingga
          mereka tidak tahan mendengarnya, dan tidak pula suka melihat tanda-
          tanda kebenaran. Mereka adalah orang yang merugikan diri sendiri dan
          lenyaplah daripada mereka apa yang mereka ada-adakan. Tidak syak
          lagi, bahawa mereka yang paling rugi, pada hari akhirat kelak. Orang
          yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat 
          menunaikan ibadat kepada Allah dengan khusyuk, mereka adalah 
          ahli syurga, mereka kekal di dalamnya. Perbezaan golongan kafir
          dan beriman, seperti orang yang buta serta pekak dibanding dengan
          orang yang celik serta mendengar. Keadaan kedua-dua golongan
          ini tidak sama. Tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan
          berasa insaf?"

Sama-sama kita bermuhasabah. Marilah kita menjadi hamba yang sejati!




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.
      


No comments:

Post a Comment