Friday 27 January 2017

AISYAH DIBELA ALLAH






AISYAH DIBELA ALLAH








"Khabar al-ifqi satu titik pemula
Telah mencalar kebahagiaan
Fitnah munafiqun tak kenal sesiapa
Insan yang mulia atau sahaya
Hatta dirimu ummahatul mukminin
Yang setanding al-mukatsirin."




Aisyah binti Abu Bakar As-Shiddiq ialah puteri Abu Bakar As-Shiddiq, sahabat yang paling hampir dan paling dipercayai oleh Rasulullah. Beliau dilahirkan di Mekah lebih kurang 8 tahun sebelum Hijrah. Aisyah adalah satu-satunya isteri Rasulullah yang masih gadis ketika dikahwini oleh baginda. Beliau dikurniakan Allah dengan paras yang rupawan, cerdas dan banyak membantu kerja-kerja penyembaran dakwah Rasulullah. Baginda menggelarnya 'Humaira' atau 'Si Merah' kerana pipinya yang kemerah-merahan.

     Tiada seorang pun isteri-isteri Rasulullah yang dapat melebihinya dalam segala perkara melainkan Khadijah. Aisyah amat cemburu. Ingatan Rasulullah yang masih kuat terhadap Khadijah juga menimbulkan rasa cemburunya walaupun Khadijah telah lama wafat. Beliau pernah cuba memperkecilkan darjat dan keturunan Khadijah di hadapan Rasulullah sehingga ditegur oleh Rasulullah SAW. Namun beliau telah meminta maaf kepada Rasulullah dan berjanji tidak akan mengulanginya kembali.

     Aisyah juga merasa cemburu terhadap isteri-isteri baginda yang lain, terutamanya terhadap Hafsah binti Umar bin Al-Khattab. Ini kerana Hafsah adalah seorang isteri yang cantik dan mempunyai kedudukan. Begitu juga dengan Zainab binti Jahsy, seorang wanita rupawan dari kaum Quraisy dan Ummi Salamah binti Abu Umaiyah yang bijak lagi terhormat. Perasaan cemburu ini telah mencetuskan perang mulut di kalangan isteri-isteri Rasulullah sehingga akhirnya Rasulullah mengambil keputusan mengasingkan diri dari mereka. Baginda duduk bersendirian dan meninggalkan mereka selama 30 hari. Kejadian ini telah menyebabkan fitnah bahawa Rasulullah telah menceraikan semua isteri baginda dan telah menimbulkan keributan di kalangan kaum Muslimin.

     Mujurlah ada campur tangan dari Saidina Umar bin Al-Khattab. Beliau telah mendatangi Rasulullah bertanyakan hal yang sebenar. Akhirnya Saidina Umar mengetahui Rasulullah hanya bersumpah tidak akan mendekati isteri-isteri baginda selama bulan saja. Tetapi dalam masa yang sama, Rasulullah juga telah memberi mereka sekalian pilihan sama ada mereka masih mahu bersama Rasulullah atau mereka mahu baginda melepaskan mereka dan memilih kesenangan duniawi. Rasulullah melakukan ini untuk mengingatkan mereka supaya tidak mengulangi perbuatan seperti itu sekali lagi, di mana akan membuat hati Rasulullah terluka lagi. Kemudian isteri-isteri baginda membuat keputusan untuk terus hidup bersama Rasulullah. Selepas 30 hari mengasingkan diri, Rasulullah telah pulang ke pangkuan isteri-isteri baginda dan isteri yang pertama didatangi oleh baginda ialah Aisyah, padahal beliau orang yang bertanggungjawab di atas berlakunya perkara ini.

     Sesungguhnya kehidupan Aisyah memang tidak pernah sunyi dari dugaan dan cubaan Allah ke atasnya. Sebaik saja peristiwa pengasingan Rasulullah terhadap beliau dan isteri-isteri baginda yang lain, satu lagi musibah telah menimpa Aisyah. Beliau telah ditimpa fitnah yang amat berat dan membuatkan kehidupannya menjadi gelap seketika. Satu hari Aisyah telah keluar bersama Rasulullah untuk memerangi suku Bani Al-Mushtaliq di mana kaum Muslimin memenangi peperangan ini. Apabila tiba waktu malam, kaum Muslimin telah berhenti berehat seketika di satu kawasan yang tidak jauh dari Madinah. Setelah puas berehat, mereka pun meneruskan perjalanan ke Madinah dan membawa bersama unta yang dinaiki oleh Aisyah kerana menyangka Aisyah telah pun berada di atasnya.

     Apabila rombongan itu tiba di Madinah pada waktu subuh, unta yang dinaiki oleh Aisyah itu dibawa ke rumahnya. Apabila sekudup yang berada di atas unta itu diturunkan dan dibuka, mereka mendapati Aisyah tiada di dalamnya. Orang yang menjaga sekudup itu pun terperanjat. Berita ini tersebar dengan cepat dan sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW dan para sahabat. Mereka turut terperanjat dan merasa bimbang lalu memerintahkan supaya mencari Aisyah. Orang-orang yang diutuskan untuk mencari Aisyah telah mengikut jejak perjalanan mereka tadi. Tidak berapa lama kemudian, mereka terlihat ada seekor unta yang sedang menuju ke arah mereka. Di atas unta itu kelihatan Aisyah sedang menunggang dan tali unta itu pula telah dipegang oleh Safwan bin Al-Mu'attal As-Sulami.

     Setibanya di Madinah, beliau telah ditanya mengapa beliau telah tertinggal di belakang. Beliau pun menceritakan bahawa loketnya tercicir ketika keluar dari sekedupnya untuk menunaikan hajat. Beliau lalu pergi mencarinya. Apabila sudah menemui loketnya dia pun kembali ke untanya. Namun beliau mendapati mereka semua telah pun meninggalkan tempat itu bersama untanya. Maka tinggallah Aisyah keseorangan. Beliau pun menutup dirinya dengan kain jilbabnya dan duduk kesepian di situ. Tiba-tiba Aisyah terlihat Safwan bin Al-Mu'attal yang juga tertinggal di belakang kerana sesuatu keperluan. Dia telah terlebih dulu berpisah dari mereka sebelum ini. Safwan pun menghampirinya dan mempelawa Aisyah menunggang untanya sambil dia sendiri berjalan dan memegang tali unta tersebut. Sepanjang perjalanan pulang bersama Safwan tidak seorang pun yang mereka temui sehinggalah mereka sampai di Madinah.

     Rasulullah telah mendengar cerita Aisyah itu dengan teliti dan sedikit pun tidak menaruh syak terhadap isterinya itu. Namun tanpa disangka-sangka orang-orang munafik terutamanya Abdullah bin Ubay bin Salul telah mengambil kesempatan di atas perkara itu dan memfitnahnya. Mereka telah menyebarkan cerita-cerita palsu kepada orang ramai. Malah mereka yang dekat dengan Rasulullah seperti Hassan bin Tsabit, penyair Nabi sendiri dan Mistah bin Usasah, seorang kerabat Saidina Abu Bakar juga turut serta menyampaikan berita palsu yang jahat itu. Tidak ketinggalan juga Hamnah binti Jahsy, sepupu isteri Rasulullah sendiri iaitu Zainab binti Jahsy. Fitnah itu telah tersebar selama sebulan dan akhirnya sampai ke pengetahuan Rasulullah, Abu Bakar dan isterinya Ummi Ruman.

     Ketika dilanda musibah ini, Aisyah telah meminta izin daripada Rasulullah untuk tinggal bersama orang tuanya buat sementara waktu. Setelah beberapa minggu, berita mengenai satu pakatan jahat ke atas dirinya akhirnya diketahui oleh Aisyah. Sejak itu, beliau telah menangis tanpa henti, tidak mahu makan dan minum, tidak cukup tidur sehingga beliau jatuh sakit. Badannya yang dulu sihat kini menjadi lemah dan kurus akibat penderitaan yang ditanggungnya.

     Peristiwa ini telah menyentuh hati setiap kaum Muslimin. Mereka tidak rela fitnah sebesar ini ditimpakan ke atas wanita dan isteri yang mulia dan tinggi akhlaknya kerana ia akan mencemarkan kehormatannya. Rasulullah juga sangat bingung ketika menghadapi peristiwa ini. Hatinya begitu terhiris mendengar tuduhan palsu ke atas isteri yang amat dicintainya. Lalu baginda pun pergi menemui Aisyah. Di sana baginda melihat keadaan isterinya masih belum reda dari tangisannya.

     Rasulullah cuba menenangkan Aisyah dan memintanya bertaubat jika ada melakukan sesuatu dosa. Mendengar ucapan Rasulullah ini, hati Aisyah seolah-olah hancur. Telinganya berdesing dan hatinya berderau. Sungguh berat untuk menerima apa yang diucapkan oleh suaminya itu. Ucapan baginda menunjukkan baginda tidak mempercayainya. Aisyah merasakan kehidupannya telah musnah.

     Beliau bersuara, "Demi Allah, aku tidak akan bertaubat kepada Allah terhadap apa yang telah aku katakan. Untuk apa aku mesti bertaubat kepadaNya, sedangkan aku tidak melakukan kesalahan pun. Demi Allah, aku tidak bersalah! Aku bersih dari segala tuduhan mereka itu!"

     Mendengar ucapan Aisyah itu, Rasulullah semakin bimbang. Namun, tidak lama kemudian, Allah mengutuskan Jibril menyampaikan wahyuNya bagi menjernihkan keadaan yang menimpa Aisyah ini. Rasulullah memang sedang menanti-nanti perutusan dari Allah ini.

     Di dalam utusanNya, Allah telah berfirman:

     "Sesungguhnya orang-orang yang menyebarkan berita dusta
     itu adalah dari golongan kamu juga, jangan kamu menyangka
     perbuatan itu memburukkan kamu, malah memberi kebaikan
     kepadamu. Setiap orang akan mendapat hukuman dari dosa yang
     dilakukannya. Dan orang yang mengambil peranan yang besar
     akan memperoleh seksa yang besar pula." (An-Nur: 11)

     Di dalam ayat yang lain pula Allah berfirman:

     "Sesungguhnya orang-orang yang melemparkan tuduhan jahat
     terhadap perempuan-perempuan yang bersih, yang baik hati dan
     yang beriman akan dikutuk di dunia dan di akhirat dan mereka
     akan memperoleh seksa yang berat." (An-Nur: 23)

Sungguh gembira hati Rasulullah ketika wahyu ini sampai kepadanya. Allah telah menunjukkan siapa yang benar dan siapa yang salah. Baginda lantas pergi ke rumah Abu Bakar untuk menyampaikan berita ini kepada Aisyah. Lapang sungguh hati Aisyah ketika berita ini disampaikan kepadanya. Beliau sungguh gembira. Hilang segala sedih dan pilu. Kedua ibubapanya turut gembira. Mereka telah menyuruh Aisyah bangun dan mengucapkan terima kasih kepada Rasulullah. Malangnya Aisyah enggan melakukannya dan tanpa disangka-sangka, Aisyah berkata di dalam linangan airmatanya:

     "Tidak! Aku tidak akan berterima kasih kepada sesiapa pun. Aku akan hanya bersyukur kepada Allah, Tuhanku, yang telah membersihkan aku dari tuduhan manusia yang jahat itu." Kali ini airmatanya bukanlah airmata kesedihan, namun ia adalah air mata yang bercampur dengan kegembiraan kerana Allah yang telah mensucikan dirinya sehingga terturunnya wahyu di mana semua manusia yang beriman denganNya akan membaca dan mengetahui pembelaan Allah ke atasnya. Begitulah, segala kesuraman yang menyelubungi rumahtangga Aisyah telah berlalu. Aisyah kini telah terhindar dari fitnah besar yang hampir memusnahkan kehidupannya. Kaum Muslimin juga turut merasa gembira.

     Hari-hari berlalu dan sekarang sudah tiba masanya untuk Rasulullah menunaikan haji ke Makkah. Haji itu dinamakan Hajjatul-Wada' atau Haji selamat tinggal. Setelah menunaikan haji di Makkah, baginda telah pulang ke Madinah. Tidak lama selepas itu, baginda telah jatuh sakit. Ketika sedang sakit, baginda masih juga bergilir-gilir dengan isteri-isteri baginda. Setiap kali itu juga, baginda pasti akan menanyakan bila waktunya baginda akan berada di samping Aisyah. Begitulah hebatnya cinta baginda kepada Aisyah. Apabila sakitnya semakin teruk, isteri-isteri baginda telah sepakat untuk mengizinkan baginda terus berada di sisi Aisyah. Maka tinggallah Rasulullah bersama-sama Aisyah sehingga rohnya terpisah dari tubuhnya, sedang kepalanya terus-menerus berada di pangkuan Aisyah seperti kata beliau, "Rasulullah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir, sedang baginda sedang berada di antara pangkuanku dan dadaku." Kemudian jenazahnya yang mulia dimakamkan di bilik Aisyah.

     Setelah Rasulullah wafat, Aisyah hidup seorang diri di dalam kesepian. Beliau tidak mempunyai sesiapa yang dapat menemankan atau menghiburkannya. Ini kerana beliau tidak mempunyai cahaya mata selama beliau bergelar isteri Rasulullah. Lantaran itu beliau telah mengambil seorang anak saudaranya yang bernama Abdullah bin Az-Zubair sebagai anak angkatnya. Beliau sungguh gembira dapat memelihara anak itu. Kemudian setelah saudaranya Abdul Rahman meninggal dunia, beliau telah mengambil anak saudaranya yang bernama Al-Qasim dan adik perempuannya untuk dijadikan anak angkatnya juga.

     Pelbagai peristiwa pahit manis telah dirasai oleh Aisyah. Di dalam peristiwa penting pula, Aisyah memegang peranan utama di dalamnya. Aisyah juga di antara seorang yang paling terkemuka di dalam bidang ilmu pengetahuan. Beliau banyak mempelajari ilmu pengetahuan sepanjang perkongsian hidupnya bersama Rasulullah. Beliau adalah wanita dan isteri yang bijak dan pintar. Beliau banyak menghafal apa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah. Maka itu Rasulullah telah mengesyorkan agar kaum Muslimin mempelajari separuh dari hukum-hukum agama daripada Aisyah.

     Aisyah telah dianggap sebagai tempat rujukan untuk segala ilmu Hadis dan Sunnah. Ramai para sahabat dan tabi'in telah mendapat tunjuk ajar dari beliau di dalam soal-soal hukum agama yang jelas mahupun yang samar-samar. Ada juga yang menanyakan tentang hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan baginda Rasulullah sehari-hari di dalam rumahnya dan tentang pergaulannya dengan isteri-isterinya serta akhlaknya yang mulia. Semua itu turut dijadikan contoh tauladan buat sekalian kaum Muslimin.

     Aisyah meninggal dunia ketika usianya menjangkau 66 tahun iaitu pada malam Selasa, 17 Ramadhan tahun 57 Hijrah. Jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Baqi' pada malam itu juga dengan diselubungi kegelapan malam yang pekat sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh Aisyah sendiri. Orang ramai telah bersama-sama mengiringi jenazah beliau dengan linangan airmata kesediahan dan kepiluan di malam yang gelap-gelita itu. Kaum muslimah telah kehilangan wira mereka buat selamanya.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.





No comments:

Post a Comment