Monday 9 January 2017

JANGAN SALAHKAN TUHAN






JANGAN SALAHKAN TUHAN








"Sudah takdir, tidak dapat berbuat apa-apa lagi."
"Allah sudah takdirkan saya seperti ini."
"Saya sudah tidak dapat berubah, lagipun saya ditakdirkan menjadi jahat."
"Saya ini bodoh. Walaupun belajar bersungguh-sungguh, tetapi masih kekal bodoh."




Kita biasa mendengar kata-kata ini, sama ada keluar daripada mulut orang lain, ataupun mulut kita sendiri. Kesilapan kita, adalah kita menyalahkan Allah SWT dalam segenap hal. Kita beranggapan Allah sudah takdirkan kita menjadi jahat, bodoh, tidak dapat berubah, dan sebagainya. Sedangkan, kita tidak tahu apa yang Allah takdirkan untuk kita.

     Jadi, jangan salahkan Allah SWT.

     Lihat dan nilai diri kita sendiri.

     Siapa mahu memilih untuk terus menjahatkan dan membodohkan diri sendiri serta tidak mahu membuat apa-apa perubahan?


Allah Maha Penyayang

Allah SWT mempunyai ilmu yang sangat luas. Kasih sayang-Nya kepada kita juga luas. Antara kasih sayang-Nya adalah, Allah tidak menjelaskan ilmu-Nya yang luas itu kepada manusia. Contohnya, ilmu Allah SWT berkenaan perkara-perkara masa hadapan. Allah tidak memberitahu kita. Allah tidak menceritakan kepada kita. Ini kerana, sekiranya kita mengetahui apa yang akan terjadi kelak, justeru terputus segala harapan dalam kehidupan manusia. Manusia yang kehilangan ikhtiar sama seperti mayat yang berjalan.

     Ini kerana, mereka tidak mempunyai ruang untuk berusaha.

     Tetapi, Allah tidak memberitahu kita berkenaan masa hadapan kita. Apakah yang akan terjadi pada kita. Lantas mewujudkan kepada kita suatu kuasa bernama ikhtiar ataupun pilihan.

     Di sini, nyalaan harapan muncul daripada manusia yang lemah.

     Tanda kasih sayang Allah SWT yang sangat luas.


Allah Memberikan Kita Pilihan Kemudian, Kita Berusaha

Dengan ikhtiar yang Allah kurniakan kepada manusia, manusia berhak memilih. Tidak ada paksaan. Cuma, di sini perlu diketahui bahawa setiap pilihan mempunyai kesannya.

     Allah SWT menerangkan dalam surah Al-Baqarah, ayat 256 yang bermaksud:

          "Tidak ada paksaan dalam agama Islam. Sungguh nyata
          kebenaran Islam daripada sebarang kesesatan. Oleh itu, sesiapa
          yang tidak percayakan taghut dan dia beriman kepada Allah,
          sesungguhnya dia beriman kepada simpulan tali agama yang
          teguh. Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Sesiapa memilih kebaikan, Allah pasti memberikan pengakhiran yang baik untuknya. Sesiapa yang memilih kejahatan, akhir nanti hasilnya adalah keburukan Ini keadilan Allah SWT. Walaupun mengambil jalan kebaikan menyebabkan kita susah di dunia, Allah Maha Adil dengan memberikan kita kesenangan di syurga Allah yang hebat dan abadi.

     Allah SWT menegaskan dalam surah Ar-Ra'd, ayat 11 yang bermaksud:

          "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada
          sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada
          diri mereka sendiri."

Allah menyuruh kita berusaha seperti dalam ayat atas. Ini adalah pemberian ataupun peluang oleh Allah SWT kepada manusia.

     Adakah kita patut menyalahkan Allah, sedangkan kita yang tidak mengambil peluang?


Tuduhan Kepada Allah, adalah Jenayah

Pada zaman Saidina Umar, ada seorang pencuri ditangkap. Apabila ditanya mengapa dia mencuri, dia menjawab, "Sesungguhnya, Allah telah mentakdirkan saya mencuri."

     Saidina Umar menyatakan, "Potong tangan dan sebatnya sehingga 40 sebatan." Saidina Ali yang ada pada ketika itu terkejut. "Wahai Umar, hudud untuk pencuri adalah memotong tangan. Justeru, mengapa pula dia dikenakan 40 sebatan?" Saidina Umar menjawab, "Itu adalah hukuman daripada pemerintah, kerana dia menuduh Allah SWT sesuatu yang tidak patut dituduhnya."

     Ini menunjukkan, tuduhan bahawa Allah mentakdirkan kita kepada keburukan, adalah suatu jenayah. Kita meletakkan Allah sebagai punca bagi segala kesalahan kita. Sedangkan, pada asalnya kita tidak tahu sesuatu perkara melainkan apabila ia sudah berlaku. Pada ketika itu, kita perlu memilih kebaikan, bukan mengambil keburukan.

     Silap pada tempat pertama adalah kita.

     Kita yang memilih keburukan. Di manakah salahnya Allah SWT?


Sudah Berusaha, Tetapi Masih Mendapat Keburukan

Terdapat banyak kes, manusia cuba menjadi yang terbaik dan pandai. Tetapi, mereka tidak mampu berjaya. Mereka sudah berusaha keras, namun masih gagal mencapai kebaikan.

     Akhirnya, mereka kecewa. Putus asa dan berkata, "Nampaknya, Allah sudah takdirkan kami seperti ini." Jelas, kesilapan mereka adalah mereka tidak melihat keluasan kasih sayang Allah kepada seluruh manusia.

     Apakah kita tidak menyedari, kita masih bernafas, dapat melihat pergerakan masa di sekeliling kita, dan usia kita masih disambung? Di manakah peluang untuk kita berputus asa? Putus asa berlaku apabila kita mati kelak. Sebelum mati, kita mempunyai banyak peluang dan ruang bagi berusaha. Tidakkah kita melihat kasih sayang Allah pada ketika ini?

     Kesukaran kita mendapat kebaikan adalah ujian. Ia bukan alasan bagi memilih dan mengambil keburukan, lalu redha dengan kerosakan Allah SWT menerangkan dalam surah Al-Mulk, ayat 2 yang bermaksud:

          "Dia mentakdirkan adanya mati dan hidup bagi menguji dan 
          menzahirkan keadaan kamu. Siapakah antara kamu yang
          terbaik amalannya. Dia Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun
          bagi orang-orang yang bertaubat."

Ujian perlu ditempuh dengan kecekalan. Bukan berputus asa. Allah menegaskan dalam surah Yusuf, ayat 87 yang bermaksud:

          "Jangan kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan
          Allah. Sesungguhnya, tidak berputus asa daripada rahmat dan
          pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir."

Orang yang berputus asa adalah, mereka yang tidak percaya kepada Allah. Lihat. Pilihan di tangan kita. Mengapa kita tidak memilih berusaha hingga ke akhir nyawa?


Allah Maha Penyayang, Mengapa Kita Mengkhianati-Nya?

Kita banyak ragam dengan menyalahkan Allah SWT dalam segenap perkara. Sedangkan, Allah tumpahkan kepada kita banyak kebaikan. Keburukan-keburukan yang berlaku dalam hidup kita, majoritinya adalah kerana diri kita sendiri. Allah menegaskan dalam surah As-Syuura, ayat 30 yang bermaksud:

          "Apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan ataupun
          bala bencana, ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan daripada
          perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa. Pada masa yang sama, 
          Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu."

Kita lupa bahawa Allah tidak memerlukan kita untuk hidup. Kita yang memerlukan-Nya. Allah menyatakan dalam surah Toha, ayat 132 yang bermaksud:

          "Kami tidak meminta rezeki daripada kamu, bahkan Kami yang
          memberi rezeki kepada kamu. Oleh itu, kesudahan yang baik adalah
          untuk mereka yang bertakwa."

Adakah patut kita mengkhianati kasih sayang-Nya yang luas itu, lantas memilih kepada keburukan, berputus asa, dan tidak bergerak bagi berusaha sehingga ke akhir nyawa?

     Walaupun usaha kita itu tidak mendatangkan hasil, namun kita mendapat pahala atas usaha itu. Allah menyebut dalam surah Al-Zalzalah, ayat 7 yang bermaksud:

          "Sesiapa berbuat kebajikan sebesar zarah, nescaya pasti dilihat dalam
          surat amalnya."

Besarnya kasih sayang Allah kepada kita. Tetapi, kita sering mengkhianati-Nya.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF. 

1 comment:

  1. Saya copy dan share ye penulisan ni kepada kenalan2 saya. Semoga penulisan ni membawa banyak kebaikan pada ummat. Terima kasih 🙂

    ReplyDelete