Friday 20 January 2017

KASIH BARAKAH PENGASUH RASULULLAH






KASIH BARAKAH PENGASUH RASULULLAH








"Wahai Barakah, wahai Ummu Aiman
Si yatim ini kau asuh penuh kasih
Walau miskin tidak pernah engkau sisih
Tanpa sedar dirinya insan terpilih
Tak pernah sekali kau biarkan beliau merintih."




Barakah binti Tsa'labah adalah seorang wanita yang paling hampir dengan Rasulullah selain ibu baginda, Aminah. Beliau terkenal sebagai Ummu Aiman. Barakah adalah di antara muslimah yang berhijrah sebanyak dua kali; sekali ke Habsyah dan sekali lagi ke Madinah.

     Tidak diketahui dari mana asal usul Barakah dan bagaimana beliau menjadi tawanan pedagang. Ketika itu, ramai kanak-kanak lelaki dan perempuan yang menjadi tawanan dan dijual sebagai hamba. Ada di antara mereka yang bernasib baik dan akan dibeli oleh orang-orang yang berbudi luhur. Di antara mereka yang bernasib baik ialah Barakah. Beliau dibeli oleh seorang yang baik hati iaitu Abdullah bin Abdul Muttalib, ayahanda Rasulullah untuk dijadikan jariah kepada isterinya Aminah.

     10 hari selepas perkahwinannya dengan Abdullah, Aminah diberitahu oleh Abdullah, beliau akan berangkat ke Syam untuk urusan perniagaan. Aminah amat kecewa mendengarnya. Beliau yang agak marah ketika itu telah jatuh pengsan. Ummu Aiman pun membawanya ke tempat pembaringan. Selepas kejadian itu, Aminah tidak dapat bergerak dan tidak mahu berbicara dengan sesiapa kecuali Abdul Muttalib.

     Selepas sebulan ditinggalkan oleh suaminya, Aminah pun mengandung. Suatu pagi Aminah memanggil Ummu Aiman dan menceritakan mimpinya yang aneh. Beliau bermimpi melihat cahaya keluar dari perutnya dan menerangi seluruh kota Mekah. Ummu Aiman bertanya jika beliau berbadan dua. Aminah mengiakannya dan mengaku tidak sedikit pun merasa susah mengandungkan anak ini. Ummu Aiman merasa amat gembira dan beliau juga dapat merasakan anak ini akan membawa berkat.

     Suatu hari rombongan kafilah yang pertama telah pulang dari Syria. Ummu Aiman yang ingin mengetahui jika ada apa-apa berita mengenai Abdullah pergi ke rumah Abdul Muttalib tanpa pengetahuan Aminah. Tiada apa-apa berita yang didapatinya. Selepas itu, rombongan yang terakhir pun kembali. Namun Abdullah tiada bersama mereka. Berita itu sampai ke pengetahuan Aminah. Apabila mengetahui keadaan suaminya, Aminah jatuh pengsan. Siang dan malam, Ummu Aiman sentiasa berada di sampingnya.

     Ketika tentera Abrahah yang mahu menghancurkan Kaabah dibinasakan Allah menjadi tajuk perbualan di Mekah, Aminah dapat merasakan beliau akan melahirkan anaknya bila-bila masa sahaja. Ummu Aiman sentiasa berada di sisinya; menjaga dan merawatnya sehingga beliau bersalin. Pada malam kelahiran Muhammad, bumi menyaksikan cahaya gemilang yang menyinari seluruh alam. Ummu Aiman adalah orang pertama yang mengendong Muhammad di pangkuannya. Dia wanita yang mendampingi baginda dari zaman kanak-kanak sehingga zaman perkahwinan baginda.

     Ketika baginda berusia 6 tahun, Aminah membawanya menziarahi kubur Abdullah. Ummu Aiman turut menemani mereka dan tidak pernah meninggalkan Aminah sendirian. Selepas berada di Madinah selama sebulan, mereka pun bercadang pulang ke Mekah. Dalam perjalanan, mereka dilanda ribut pasir. Aminah yang uzur tidak mampu bertahan. Beliau dapat merasakan ajalnya hampir tiba. Beliau memeluk anaknya dan merenung mukanya. Ummu Aiman cuba mententeramkan Aminah. Beliau amat bimbang kerana tidak tahu apa yang akan dilakukannya jika sesuatu terjadi ke atas Aminah.

     Apabila melihat pelukan Aminah semakin lemah, beliau tahu beliau akan kehilangan Aminah buat selama-lamanya. Dengan nada suara yang agak perlahan, Aminah mengucapkan selama tinggal, "Aku akan mati dan sebutanku akan tinggal. Aku telah meninggalkan yang baik dan aku telah melahirkan yang suci..." Kemudian Aminah tidak bergerak lagi.

     Berada di tengah-tengah gurun yang terik dan mencengkam, Ummu Aiman duduk kebingungan menyaksikan musibah pertama yang menimpa Muhammad bin Abdullah. Muhammad menangis memanggil-manggil ibunya. Melihat keadaan itu, hati Ummu Aiman merasa amat pilu. Beliau dapat merasakan betapa berat tanggungan yang akan dipikul oleh Muhammad kerana anak kecil ini telah kehilangan kasih sayang kedua ibu bapanya dan tempat beliau berpaut. Ummu Aiman mendekati Muhammad lalu mendakapnya dengan erat. Kemudian beliau berkata: "Ibu sudah meninggal dunia, wahai anakku!"

     Sejurus selepas mententeramkan Muhammad, Ummu Aiman menguruskan jenazah Aminah. Mayat Aminah diangkat ke atas untanya lalu beliau memimpin Muhammad menuju ke kampung Al-Abwaa'. Di sana, Ummu Aiman menguruskan jenazah Aminah dan disemadikan dengan sempurna. Selepas selesai, Ummu Aiman membawa Muhammad pulang ke rumah datuknya, Abdul Muttalib. Ummu Aiman tidak membiarkan Muhammad sendirian di rumah datuknya dan turut mengasuh, dan menguruskan semua keperluannya seperti seorang ibu terhadap anaknya sendiri. Tidak pernah Ummu Aiman berjauhan dari Muhammad. Beliau sentiasa berada di sisinya.

     Rasulullah tidak pernah melupakan peristiwa menyayat hati itu. Setiap kali baginda terkenangkan saat-saat akhir ibunya, baginda akan teringat pada Ummu Aiman yang telah mententeramkan hati dan jiwanya. Dialah yang menguruskan jenazah Aminah dan sentiasa berada di sisi Rasulullah sejak kecil. Rasulullah sangat menyayanginya sehingga baginda sering mengatakan, "Ummu Aiman ini ibuku, sesudah ibuku Aminah!"

     Selepas dua tahun menjaga dan mengasuh Muhammad di rumah datuknya, Abdul Muttalib meninggal dunia. Muhammad berpindah pula ke rumah bapa saudaranya, Abu Talib dan Ummu Aiman ikut bersamanya. Rasulullah sangat menyayangi Ummu Aiman dan selalu memanggilnya "Wahai ibu!" Ummu Aiman merasa amat gembira setiap kali mendengar panggilan Rasulullah itu. Hatinya senang dan tanpa sedar, timbul naluri keibuan dari hatinya terhadap Rasulullah. Perasaan ini membawa ganjaran besar buat Ummu Aiman. Selepas Rasulullah berkahwin dengan Khadijah, beliau dibawa menetap bersama mereka dan mendapat kedudukan dan kemuliaan di rumah itu.

     Tiada seorang wanita pun di dunia ini yang mendampingi Rasulullah seperti Ummu Aiman mendampingi baginda. Ummu Aiman berada di sisi Nabi sejak baginda berada di dalam kandungan ibunya lagi. Ummu Aiman yang menyaksikan kelahiran dan keajaiban yang berlaku di sekelilingnya. Dari kecil hingga dewasa, Ummu Aiman tetap berada di samping Rasulullah. Ummu Aiman juga menyaksikan perkembangan Rasulullah di semua peringkat sehingga ke alam perkahwinan baginda. Ketika Rasulullah mendapat perutusan dari Allah. Ummu Aiman tidak sedikit pun merasa aneh dan terkejut. Bahkan sentiasa berada di sisi Nabi dan menjadi penyokong kuat di belakang baginda. Ummu Aiman adalah di antara wanita yang membenarkan Rasulnya dan beriman kepada Allah.

     Pada suatu hari Rasulullah bersabda, "Sesiapa yang suka memperisterikan seorang wanita dari ahli syurga, hendaklah beliau mengahwini Ummu Aiman." Ketika itu, Zaid bin Harisah yang asalnya seorang hamba tetapi telah dimerdekakan oleh Rasulullah berada di sisi baginda. Zaid juga telah memeluk agama Islam. Sebaik saja mendengar sabda Rasulullah itu, beliau segera mendatangi Nabi dan berkata: "Ya Rasulullah, aku akan mengahwini Ummu Aiman. Beliau lebih baik dari wanita cantik dan menawan." Lalu Zaid pun berkahwin dengan Ummu Aiman. Mereka kemudian dikurniakan seorang anak bernama Usamah bin Zaid. Rasulullah amat menyayangi Usamah seperti anaknya sendiri.

     Ketika kaum Muslimin berhijrah ke Madinah, Rasulullah meminta Ummu Aiman tinggal di Mekah. Beliau merasa berat sekali ditinggalkan oleh kaum keluarganya. Akhirnya Ummu Aiman membuat keputusan untuk berhijrah seorang diri. Lalu beliau pun merentasi padang pasir yang luas dan buas itu sendirian. Namun, dengan penuh cinta dan taqwa terhadap Allah dan RasulNya serta keyakinan yang kuat, Ummu Aiman tiba di Madinah.

     Setengah riwayat mengatakan, Ummu Aiman mengalami keajaiban ketika bermusafir. Ketika beliau berada di padang pasir yang panas itu, beliau amat kehausan. Lalu beliau mengangkat mukanya ke langit. Dilihatnya satu baldi tergantung di atas kepalanya. Baldi itu terikat dengan sesuatu tali putih namun tiada terlihat penghujungnya. Ummu Aiman pun mengambil baldi itu dan meneguk airnya sehingga puas. Setibanya di Madinah, Rasulullah menyambutnya dengan gembira. Baginda membersihkan muka dan matanya, mengurut bahu dan kakinya dengan tangan baginda yang lembut sambil berkata: "Ya Ummu Aiman, sesungguhnya tempatmu adalah di syurga."

     Sungguhpun Ummu Aiman hidup miskin dan tidak mempunyai apa-apa, beliau tetap redha dan bersyukur dengan pemberian Allah kepadanya. Setiap kali Ummu Aiman mendengar Rasulullah berdoa: "Ya Allah! Ya Tuhanku! Bangkitkanlah aku bersama-sama orang-orang miskin," Ummu Aiman merasa gembira. Hatinya semakin kuat ingin bergantung kepada kemiskinan dan kesyukuran. Ummu Aiman juga menyaksikan beberapa peperangan termasuk Hunain, Uhud dan Khaibar. Sewaktu Perang Uhud, Ummu Aiman turut serta berjihad bersama Rasulullah. Beliau memberi minum kepada para pejuang dan merawat mereka yang tercedera.

     Rasulullah sentiasa menziarahi Ummu Aiman dan tidak pernah meninggalkannya. Rasulullah pernah bersabda, "Ummu Aiman adalah sisa ahli rumah tanggaku." Selepas Rasulullah wafat, Saidina Abu Bakar dan Umar tetap menziarahi Ummu Aiman. Pernah suatu ketika Ummu Aiman menangis ketika Abu Bakar dan Umar menziarahinya. Mereka bertanya apa yang membuatkan Ummu Aiman menangis. "Bukankah tempat Rasulullah adalah lebih baik di samping kekasihnya?" Ummu Aiman menjawab, "Aku menangis bukan kerana kewafatan Nabi tetapi kerana terputusnya wahyu dari Allah."

     Begitulah cinta Ummu Aiman terhadap agama Islam yang suci. Ummu Aiman meninggal dunia semasa pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan. Walaupun tidak diketahui asal usulnya, tetapi tempatnya dijamin Allah di dalam syurga.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment